baju kurung johor

Di Malaysia, terdapat beberapa jenis baju kurung yang berbeza-beza mengikut negeri. Salah satu antaranya adalah Baju Kurung Johor atau nama lain Baju Kurung Teluk Belanga. Umum mengetahui bahawa baju kurung merupakan pakaian tradisional wanita Melayu yang popular. Ianya menjadi pakaian rasmi untuk negara Malaysia dan Brunei dan pada masa yang sama juga boleh didapati di Indonesia, Singapura dan Thailand.

Apabila disebut Baju Kurung Teluk Belanga, barangkali ada diantara kita yang tertanya-tanya apa perbezaan dengan baju kurung pakaian rasmi yang dipakai di negara kita, Malaysia? Namun, tahukah anda bahawa Baju Kurung Teluk Belanga atau juga dipanggil Baju Kurung Johor merupakan asal daripada baju kurung yang standard pada hari ini?

Baju Kurung Teluk Belanga atau Baju Kurung Johor sangat popular di Negeri Johor dan Kepulauan Riau. Ianya mula diperkenalkan semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar tatkala Almarhum bersemanyam di Teluk Belanga Singapura dan berpindah ke Tanjung Puteri pada tahun 1866 (kini dikenali Johor Bahru).

Almarhum menetapkan supaya baju perempuan labuhnya hingga bawah lutut dengan alas lehernya halus dan tidak berkocek. Terdapat berbagai bentuk sulaman yang dipadankan pada bahagian leher seperti mata lalat, tulang belut dan insang pari. Semasa pemerintahan Almarhum SUltan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar pakaian tersebut telah diubah mengikut cadangan Allahyarham Jaafar bin Haji Muhammad, Menteri Besar Johor Pertama, satu kocek pada baju perempuan.

Sejarah Baju Kurung Teluk Belanga

Menurut Dato’ Haji Muhamad Said, baju kurung Teluk Belanga pada asalnya mula diperkenalkan di Singapura pada tahun 1862 iaitu ketika Temenggung Abu Bakar ditabalkan menjadi Temenggung Johor menggantikan ayahanda, Temenggung Ibrahim Sri Maharaja.

Ada kisah di sebalik nama Teluk Belanga itu. Ia sebenarnya diambil sempena nama kawasan kediaman Temenggung Johor di daerah Teluk Belanga, Singapura yang kini lebih dikenali sebagai Harbour Front. Pemilihan nama ini juga bagi membezakan baju itu dengan baju-baju lain seperti baju pesak sebelah, baju kurung, baju kebaya dan sebagainya.

Pada awal kemunculan baju kurung Teluk Belanga, ia mempunyai beberapa ciri khas termasuklah labuhnya (bawah pinggang bagi lelaki dan melebihi paras lutut bagi perempuan), alas leher (lebar bagi lelaki dan halus bagi perempuan) dan kocek ataupun saku di mana bagi lelaki, baju itu akan mempunyai 2 kocek dan tanpa kocek bagi perempuan.

Ketika pemerintahan Sultan Ibrahim ibni Abu Bakar, ciri-ciri tadi diubah di mana labuh bagi lelaki adalah pada paras pinggang manakala bagi perempuan pula paras lutut. Leher baju bagi kedua-dua jantina pula halus dan 1 kocek tampil membuat kemunculan di baju perempuan.

Ciri-ciri Unik Baju Kurung Teluk Belanga (Baju Kurung Johor)

  1. Berlengan panjang
  2. Labuh baju bawah lutut atau separas lutut
  3. Mempunyai satu kocek ataupun tiada kocek
  4. Potongan pada leher berbentuk bulat dan mempunyai belahan di hadapan
  5. Mempunyai Pengancing Baju (‘rumah kancing’) pada bahagian pangkal belahan depan
  6. ‘Rumah Kancing’ dibuat dengan jahitan ‘Insang pari’
  7. Pada bahagian leher dikancing dengan sebutir butang berwarna emas atau perak
  8. Dipakai dengan Kain Sarung ikatan ‘Ombak Mengalun’

Beza Baju Kurung Teluk Belanga (Baju Kurung Johor) dengan Baju Kurung Moden

  1. Rekaan baju kurung moden yang direka dengan potongan yang mengikut bentuk badan
  2. Tidak berpesak.
  3. Zip pada belakang atau bahagian hadapan baju
  4. Aksesori tambahan seperti manic, kerawang, sulaman dan labuci berbanding rekaan lama yang lebih ringkas.

Pemakaian baju kurung yang ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’ adalah sebagai satu simbolik kesederhanaan dan kesopanan dalam berpakaian di dalam masyarakat Melayu. Baju kurung, pada sepanjang zaman telah diubah suai mengikut kesesuaian masyarakat semasa namun tidak menghapuskan ciri-ciri penting baju kurung itu sendiri. Baju Kurung Johor atau Baju Kurung Teluk Belanga sendiri mengalami sedikit perubahan bagi melengkapi keperluan cara masyarakat berpakaian pada masa itu, malahan telah diteruskan ciri-cirinya pada hari ini.

Penting bagi kita, masyarakat hari ini meraikan tradisi berpakaian yang telah diturunkan oleh nenek moyang kita. Ini kerana, dengan berpakaian itulah secara zahirnya menunjukkan jati diri dan dari mana kita berasal. Bak kata pepatah, ‘Yang lama dikelek, yang baharu didukung’.

SUMBER:

http://anggunkurung.com/blog/wanita-anggun-berbaju-kurung/

https://iamlejen.com/sejarah-serta-asal-usul-baju-teluk-belanga-dan-cekak-musang-berdasarkan-buku-pakai-patut-melayu/#.YOIYLU0zbIU

https://ms.wikipedia.org/wiki/Baju_kurung

https://www.buzzkini.com/trending/2021/01/17/pengkaji-seni-warisan-melayu-ini -ini-kongsi-perbezaan-baju-melayu-baju-kurung-lelaki/

http://bicaramentari.blogspot.com/2019/05/hir.html

https://jejarum.wordpress.com/2017/08/07/jenis-jenis-baju-kurung/

https://www.lanafira.com/baju-kurung-tradisional-vs-baju-kurung-moden/

Summary
BAJU KURUNG TELUK BELANGA, BAJU KURUNG JOHOR
Article Name
BAJU KURUNG TELUK BELANGA, BAJU KURUNG JOHOR
Description
Di Malaysia, terdapat beberapa jenis baju kurung yang berbeza-beza mengikut negeri. Salah satu antaranya adalah Baju Kurung Johor atau nama lain Baju Kurung Teluk Belanga. Umum mengetahui bahawa baju kurung merupakan pakaian tradisional wanita Melayu yang popular.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: