gigitan kutu babi
Kutu babi adalah spesies ‘arachnid’ (klasifikasi yang merangkumi labah-labah) kecil. Ia memerlukan darah untuk menyelesaikan kitaran hidup yang kompleks.

Apakah itu kutu babi?

Kutu babi adalah spesies ‘arachnid’ (klasifikasi yang merangkumi labah-labah) kecil. Ia memerlukan darah untuk menyelesaikan kitaran hidup yang kompleks.

Seterusnya, kutu babi adalah penghantar (vektor) penyakit untuk manusia dan haiwan. Ia boleh menyebarkan penyakit ke banyak “perumah” (hosts). Kutu babi juga bertindak sebagai vektor apabila mikrob dalam rembesan air liur dan mulut mereka masuk ke kulit dan darah “perumah”.

Bagaimana anda boleh mengenal pasti gigitan kutu babi?

Kutu babi bukanlah seperti pepijat yang menggigit anda dan kemudian terbang atau hilang. Apabila ia naik ke badan anda, ia mula mendirikan rumah di situ. Ia kemudian akan mencari tempat makan, kemudian menggali kepalanya ke kulit anda dan mula makan. Malah, kutu babi juga akan kekal di situ selama beberapa hari.

Ada kemungkinan besar bahawa anda tidak akan merasakan apa-apa kerana gigitannya tidak menyakitkan, dan biasanya tidak menggatalkan. Memandangkan kutu babi bersaiz sangat kecil, anda juga mungkin tidak melihatnya. Pada mulanya, ia mungkin kelihatan seperti kotoran. Apabila ia sudah dapat makan dengan baik, ia mula membengkak dan lebih mudah dicari.

Seterusnya, anda mungkin mendapat lebam merah kecil di mana kutu babi menggigit anda. Ada badan yang mungkin bertindak balas terhadap kutu babi dengan kemerahan 1 hingga 2 inci di sekitar kawasan gigitan. Kawasan merah itu tidak akan menjadi lebih besar, kecuali jika ia adalah ruam yang merupakan tanda bagi penyakit tertentu.

Kutu babi biasanya menggigit individu di kawasan yang hangat, lembap atau berbulu, seperti:

  • Kulit kepala
  • Kulit di belakang telinga
  • Ketiak
  • Pangkal paha
  • Kulit di antara jari tangan dan jari kaki

Setelah kutu babi menjumpai tempat makannya, ia akan tinggal di sana dari beberapa hari hingga 2 minggu. Ia men​​ggigit sekali dan menggunakan kawasan itu untuk memakan darah anda sehingga kenyang.

Namun, kutu babi akan jatuh dengan sendirinya apabila ia sudah kenyang. Jadi, anda tidak akan mendapat banyak gigitan daripadanya. Kebanyakan gigitan kutu babi tidak menyakitkan dan hanya menyebabkan reaksi kecil. Tapi, kadangkala, ia juga boleh menularkan penyakit.

Simptom gigitan kutu babi

Gigitan kutu babi hampir mustahil untuk dirasakan. Tetapi, kawasan gigitan tersebut kemudian boleh berkembang dan menunjukkan tanda seperti:

  • gatal
  • rasa terbakar
  • kemerahan atau bintik merah
  • rasa sakit di satu kawasan seperti di sendi (beberapa gigitan kutu babi lembut) pada sesetengah individu yang jarang berlaku

Tambahan pula, sebilangan individu mungkin sensitif atau alergi terhadap gigitan kutu babi ini dan berkembang menjadi simptom seperti:

  • ruam berhampiran kawasan gigitan
  • sesak nafas
  • bengkak
  • rasa kebas
  • lumpuh (misalnya, kekakuan leher)

Walau bagaimanapun, majoriti individu dengan gigitan kutu babi tidak mengalami gejala dan banyak orang tidak ingat bahawa mereka pernah digigit.

Adakah gigitan kutu berbahaya?

Rembesan dari bahagian tertentu kutu babi dapat menyebabkan reaksi kulit, seperti kawasan menaik, benjolan dan pertumbuhan yang disebut sebagai granuloma. Demam dan lumpuh juga mungkin timbul setelah gigitan kutu babi, walaupun kelumpuhan jarang terjadi.

Selain itu, kutu babi dapat dijangkiti bakteria, virus atau protozoa. Organisme ini dapat ditularkan dari kutu ke perumah (haiwan atau orang) ketika kutu makan dan menyebabkan penyakit.

Penyakit yang boleh berlaku disebabkan oleh kutu babi termasuk:

  • Penyakit Lyme
  • Anaplasmosis (sebelumnya dikenali sebagai ‘human granulocytic ehrlichiosis’)
  • Babesiosis
  • ‘Human monocytic ehrlichiosis’
  • Tularemia
  • Demam bertompok ‘Rocky Mountain’
  • Demam kutu Colorado
  • Demam kambuh

Kutu babi tertarik pada orang dan binatang peliharaan berkaki empat, dan ia dapat bergerak dengan mudah di antara keduanya. Sekiranya anda meluangkan masa di luar rumah, anda mungkin boleh mendapat kutu babi pada suatu ketika.

Gigitan kutu babi sering tidak berbahaya, sehingga tidak menimbulkan gejala yang ketara. Walau bagaimanapun, ada juga yang boleh menyebabkan reaksi alergi, dan kutu babi tertentu boleh menyebarkan penyakit pada manusia dan haiwan peliharaan ketika menggigit. Ini boleh membahayakan atau menyebabkan kematian.

Bagaimana untuk merawat gigitan kutu?

Perkara yang paling penting untuk dilakukan apabila anda menjumpai kutu babi adalah membuangnya. Anda boleh mengeluarkan kutu babi sendiri dengan alat pembuang kutu babi atau dengan set ‘tweezers’. Ikut langkah-langkah ini:

  1. Pegang kutu babi sedekat mungkin ke permukaan kulit anda.
  2. Tarik dengan melurus ke atas dan jauh dari kulit, dengan memberi tekanan yang stabil. Cuba jangan bengkokkan atau memusingkan kutu babi itu.
  3. Periksa kawasan gigitan untuk melihat sama ada anda meninggalkan bahagian kepala atau mulut kutu babi di gigitan. Sekiranya ada, hapuskannya.
  4. Bersihkan tempat gigitan dengan sabun dan air.
  5. Setelah mengeluarkan kutu babi, masukkan ke dalam alkohol penggosok untuk memastikannya mati. Letakkannya di dalam bekas tertutup rapat.

Berjumpa dengan doktor secepat mungkin untuk mengetahui sama ada rawatan diperlukan berdasarkan jenis kutu yang menggigit anda. Kawasan berlainan dalam negara mempunyai risiko yang berbeza apabila dikaitkan dengan penyakit yang terjadi akibat gigitan kutu babi.

Jadi, ia adalah penting untuk berjumpa dengan doktor sejurus selepas gigitan kutu babi supaya anda dapat membincangkan risiko, komplikasi apa yang harus dicari dan bila anda perlu diperiksa lagi.

Cara mencegah jangkitan dari gigitan kutu

Mencegah gigitan kutu babi adalah kaedah terbaik untuk mengelakkan penyakit bawaan kutu babi. Kutu babi adalah perosak yang tidak menyenangkan dan boleh membahayakan manusia dan haiwan. Pendekatan bersepadu untuk menguruskan serangga perosak ini dapat menyelamatkan anda dan keluarga dari ketidakselesaan dan penyakit.

  • Pakai baju dan seluar lengan panjang ketika berjalan di kawasan hutan atau berumput di mana kutu babi sering dijumpai.
  • Berjalan di bahagian tengah jalan.
  • Gunakan penghalau kutu dengan sekurang-kurangnya 20 peratus DEET.
  • Rawat pakaian dan kelengkapan dengan 0.5 peratus permetrin.
  • Mandi dalam masa dua jam selepas berada di luar rumah.
  • Periksa kulit dengan teliti setelah berada di kawasan yang mempunyai kutu babi, terutama di bahagian bawah lengan, di belakang telinga, di antara kaki, di belakang lutut dan di rambut anda.

Biasanya, ia mengambil masa lebih dari 24 jam bagi gigitan kutu babi untuk menjangkiti seseorang. Oleh itu, lebih cepat kutu babi dapat dikenal pasti dan dikeluarkan, semakin baiklah peluang anda untuk mencegah penyakit yang berkaitan dengannya.

SUMBER

https://www.webmd.com/skin-problems-and-treatments/is-that-a-tick-bite#1

https://www.medicinenet.com/ticks/article.htm

https://www.health.harvard.edu/a_to_z/tick-bites-a-to-z

https://www.insider.com/tick-bite-symptoms-treatment

Tagged: