Bahaya air kotak: Jangan ambilnya setiap hari!
Kebanyakan orang tahu bahawa minuman bersoda dalam bentuk air kotak, air tin atau sebagainya mengandungi gula dan boleh menyebabkan kenaikan berat badan.

Pengambilan minuman ringan masih menjadi isu kontroversi bagi kesihatan awam dan dasar awam. Selama bertahun-tahun, banyak kajian telah dilakukan mengenai kemungkinan adanya hubungan antara pengambilan minuman ringan dan masalah perubatan, namun hasilnya masih tetap dipertikaikan.

Kebanyakan orang tahu, walaupun mereka memilih untuk mengabaikan kenyataan sebenar, minuman bersoda dalam bentuk air kotak, air tin atau sebagainya mengandungi sejumlah besar gula dan boleh menyebabkan kenaikan berat badan. Malah, tahukah anda bahawa mereka juga boleh meningkatkan risiko penyakit jantung, kanser dan diabetes?

Jadi, dalam artikel ini kita akan bincang lebih lanjut tentang bahaya air kotak yang selalu menjadi pilihan anda apabila anda teringin air manis sebelum memulakan perjalanan atau ketika makan makanan pedas.

1. Mengandungi terlalu banyak gula

Minuman bergula adalah cara termudah dan paling biasa yang menyebabkan pengambilan fruktosa dalam jumlah yang berlebihan. Dalam kadar yang banyak, hati anda menjadi terlalu penuh dan mengubah fruktosa menjadi lemak. Sebilangan lemak ini dihantar sebagai trigliserida darah, sementara sebahagian daripadanya tetap berada di hati anda. Lama kelamaan, ini boleh menyebabkan penyakit hati berlemak tanpa alkohol.

2. Meningkatkan risiko penyakit jantung

Lebihan jumlah gula dalam minuman ringan, kesan metabolik fruktosa atau HFCS yang digunakan untuk memberi rasa manis pada minuman ringan, boleh menyebabkan peningkatan risiko serangan jantung atau penyakit jantung. Berdasarkan ‘Nurse’s Health Study’, yang mengikuti tahap kesihatan bagi lebih daripada 90,000 wanita selama lapan tahun, kajian mendedahkan bahawa risiko berlakunya serangan jantung atau penyakit jantung adalah 40 peratus lebih tinggi di kalangan wanita yang mengambil lebih daripada dua hidangan minuman bergula berbanding mereka yang jarang minum minuman manis ini.

3. Menyebabkan kerosakan gigi

Kandungan gula dalam air kotak kegemaran anda juga boleh menyebabkan kerosakan gigi kerana asid yang dihasilkan ketika bakteria memasuki mulut dan bercampur dengan gula. Apabila asid menyerang gigi selama 20 minit atau lebih dan menyebabkan penumpukan plak pada gigi dan gusi, ia boleh mengikis enamel yang seterusnya menyebabkan kerosakan gigi.

4. Mendorong kepada kerosakan tulang

Minuman kotak atau minuman soda biasa mengandungi kadar fosfat yang tinggi. Mengambil lebih banyak fosfat berbanding kalsium boleh membahayakan kesihatan tulang. Pengambilan kalsium yang mencukupi adalah sangat penting semasa zaman kanak-kanak dan remaja, iaitu ketika berlakunya pertumbuhan tulang. Minuman ringan kekurangan kalsium dan nutrien sihat yang lain yang boleh menyebabkan penurunan kepadatan mineral tulang dan peningkatan risiko kepatahan tulang.

5. Meningkatkan risiko kanser

Kanser cenderung berlaku sekali dengan penyakit kronik lain seperti obesiti, diabetes jenis 2 dan penyakit jantung. Disebabkan itu, ianya tidaklah mengejutkan apabila anda melihat bahawa minuman bergula sering dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser. Satu kajian dengan lebih dari 60,000 orang dewasa mendapati bahawa mereka yang minum 2 atau lebih minuman kotak atau bergula setiap minggu adalah 87% lebih berkemungkinan untuk menghidap kanser pankreas berbanding individu lain.

6. Mendorong kepada peningkatan risiko demensia

Demensia adalah istilah kolektif untuk keadaan melibatkan penurunan fungsi otak pada orang dewasa yang lebih tua. Bentuk yang paling biasa adalah penyakit Alzheimer. Penyelidikan menunjukkan bahawa kenaikan gula darah sangatlah berkaitan dengan peningkatan risiko demensia. Dengan kata lain, semakin tinggi gula darah anda, semakin tinggilah risiko demensia dan pengambilan minuman manis boleh mendorong ke arah itu.

7. Menyumbang kepada diabetes

Kajian menunjukkan bahawa pengambilan minuman ringan secara berkala boleh menyebabkan risiko mendapat diabetes. Pemanis dan pewarna karamel yang ditambahkan pada minuman sebegini boleh mengurangkan kepekaan insulin. Ini mengakibatkan peningkatan kadar glukosa darah dan diabetes. Mengambil air kotak boleh menambah kalori untuk diet harian, tetapi tidak membendung rasa lapar. Ini menyebabkan pengambilan kalori yang terlalu banyak, dan justeru meningkatkan risiko diabetes.

8. Menambahkan berat badan secara tidak sihat

Air kotak pastinya tidak sihat dan boleh menjadikan anda gemuk! Ini kerana, mereka tidak mempunyai nilai nutrisi dan mampu menyebabkan kenaikan berat badan, yang selanjutnya mengundang penyakit lain seperti diabetes dan penyakit jantung. Dalam satu kajian baru-baru ini yang dilakukan di Universiti Birzeit di wilayah Palestin, para penyelidik mengambil sekumpulan tikus jantan dan memberikan mereka minuman bergula, atau air paip untuk diminum. Apabila sampel darahnya diambil, pengkaji mendapati bahawa tikus yang minum minuamn bergula mempunyai kadar ghrelin hormon kelaparan yang jauh lebih tinggi, yang mana ini dapat menjelaskan punca berlakunya kenaikan berat badan.

Oleh itu,

Mengambil minuman manis dengan gula dalam jumlah tinggi seperti dalam bentuk air kotak, air tin dan sebagainya boleh memberi pelbagai kesan buruk kepada kesihatan anda. Ini termasuklah kerosakan gigi, risiko penyakit jantung dan gangguan metabolik yang lebih tinggi seperti diabetes jenis 2 dan banyak lagi.

Air putih, bersama dengan susu rendah lemak atau bebas lemak berserta kopi dan teh tanpa gula, masih merupakan kaedah terbaik untuk mendapatkan cecair yang mencukupi. Sekiranya anda memilih versi yang berperisa, pilih jenama pemanis dengan kandungan buah semula jadi dan bukannya pemanis biasa atau buatan.

SUMBER

https://www.hindawi.com/journals/bmri/2015/128697

https://www.healthline.com/nutrition/13-ways-sugary-soda-is-bad-for-you

https://goodnessme.com.au/blogs/news/why-soft-drinks-are-bad

https://getzpharma.com/health-post/five-reasons-soft-drinks-are-bad-for-you/

Summary
Bahaya air kotak: Jangan ambilnya setiap hari!
Article Name
Bahaya air kotak: Jangan ambilnya setiap hari!
Description
Kebanyakan orang tahu bahawa minuman bersoda dalam bentuk air kotak, air tin atau sebagainya mengandungi gula dan boleh menyebabkan kenaikan berat badan.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: