Pembedahan Hernia
Pesakit angin pasang hendaklah membuat pembedahan.

Pada suatu hari, seorang lelaki perasan terdapat benjolan pada pangkal pahanya. Kemudian, doktor telah mendiagnosis bahawa dia mempunyai, angin pasang dan perlu melakukan pembedahan. Langkah ini kedengaran mudah bukan? Namun, sebenarnya terdapat 3 langkah yang perlu dipertimbangkan tetapi dalam bentuk persoalan seperti: “Perlukah Hernia dirawat?”, “Rawatan manakah yang terbaik?” dan “Anestesia jenis apa yang akan digunakan oleh doktor?”.

Walaupun pada awalnya, ia kedengaran mudah seperti 1-2-3, anda masih perlu mengetahui kelebihan serta kekurangan bagi setiap keputusan yang disyorkan itu.

Adakah anda memerlukan pembedahan?

Ini merupakan soalan pertama yang perlu dititikberatkan bagi setiap individu dengan benjolan angin pasang di pangkal paha mereka.

Ya, satu-satunya rawatan Hernia yang berkesan adalah melalui pembedahan. Dahulu kala, sesetengah individu cuba merawatnya menggunakan sokongan luar atau tali pinggang angin pasang. Namun begitu, pemakaian sebegini hanya akan membantu sekiranya Hernia itu boleh dikecilkan dengan mudah dan sekiranya tali pinggang itu kekal di kedudukannya apabila anda melakukan sebarang aktiviti fizikal.

Dalam keadaan yang terhad seperti ini, tali pinggang ini boleh membantu mengurangkan ketidakselesaan bagi pesakit yang menunggu tarikh pembedahan angin pasang simptomatik. Namun, kurang daripada 1/3 pesakit boleh mengawal Hernia mereka dengan cara ini dan lebih 2/3 individu yang menggunakan tali pinggang angin pasang mengatakan bahawa penggunaannya boleh menyebabkan ketidakselesaan.

Bagi pesakit yang mengalami Hernia dan menyebabkan ketidakselesaan serta mengganggu aktiviti harian mereka, hanya pembedahan sahaja boleh membantu menangani masalah tersebut. Pesakit muda yang aktif secara fizikal biasanya lebih bijak untuk memilih prosedur pembedahan walaupun angin pasang mereka tidak menyakitkan. Namun, ada juga kajian mendapati bahawa kebanyakan pesakit mengalami kesukaran dalam memilih rawatan yang sesuai.

Penyelidik telah menilai seramai 720 pesakit dengan purata umur iaitu 58 tahun. Semua pesakit ini mempunyai Hernia ‘inguinal’ yang tidak menyakitkan atau tidak menyebabkan ketidakselesaan. Mereka telah ditugaskan secara rawak untuk menunggu penyakit tersebut sembuh dengan sendiri ataupun menjalani pembedahan. Selepas tempoh pemerhatian iaitu selama dua hingga empat tahun setengah, tiada perbezaan dari segi kesakitan atau ketidakselesaan antara kedua-dua kumpulan tersebut. Hanya seorang pesakit dalam kumpulan penunggu yang mengalami sebahagian usus yang terperangkap (Incarceration) dan tiada siapa yang mengalami angin pasang Terbelit (Strangulation). Pada permulaan kajian, 17% pesakit yang ditugaskan untuk menjalani pembedahan memutuskan untuk tidak menjalani pembedahan tersebut, dan 23% daripada kumpulan menunggu kemudiannya memutuskan untuk menjalani pembedahan.

Seterusnya, para saintis dari Scotland juga melakukan percubaan rawak yang serupa terhadap 160 orang pesakit Hernia berusia 55 tahun atau lebih tua dengan simptom yang minimum. Pada akhir tahun pertama, pesakit dalam kedua-dua kumpulan telah melaporkan tahap kesakitan dan ketidakselesaan yang sama. Tambahan lagi, pada tahun pertama kajian, seramai 20% lelaki dalam kumpulan menunggu memerlukan pembedahan. Secara keseluruhannya, terdapat tiga komplikasi signifikan berkaitan dengan angin pasang yang dialami oleh pesakit dalam kumpulan menunggu dan satu komplikasi kardiovaskular yang signifikan selepas pesakit menjalani pembedahan Hernia..

Seterusnya, kajian ketiga adalah sedikit berbeza berbanding kedua-dua kajian sebelumnya. Para saintis dari Sweden telah menilai seramai 2,299 lelaki dan      157 wanita selama dua hingga tiga tahun selepas pemulihan angin pasang. Sebanyak 31% daripada pesakit telah melaporkan kesakitan, dan hanya 6% melaporkan kesakitan yang teruk sehingga mengganggu aktiviti harian mereka. Jadi, kemungkinan Hernia untuk berulang adalah kecil.

Jika digabungkan bersama, kajian-kajian ini memberitahu kita bahawa ianya adalah selamat bagi pesakit angin pasang Simptomatik minimum untuk menangguhkan pembedahan mereka. Ini dibolehkan kerana risiko usus terperangkap (incarceration) dan terbelit (strangulation) adalah sangat rendah. Jadi, pesakit berpeluang memilih untuk menunggu dan melihat jika mereka mengalami ketidakselesaan yang teruk dan memerlukan pembedahan atau tidak. Walau bagaimanapun, kelemahan bagi proses menunggu ini mungkin meningkatkan risiko pembedahan. Namun, dengan penggunaan anestesia tempatan (local anesthesia), risikonya adalah rendah. Oleh itu, pesakit yang memilih untuk menunggu dapat mengelakkan risiko komplikasi pasca pembedahan seperti kesakitan dan kebarangkalian Hernia berulang kembali (yang lebih sukar untuk dipulihkan).

Jadi, perlukah anda menjalani pembedahan bagi angin pasang Inguinal Simptomatik yang minumum? Tidak ada jawapan yang tepat mengenainya. Bincanglah bersama doktor anda dari segi kemudahan, kos dan ketersediaan pembedahan yang bagus seiring dengan risiko dan faedah setiap pilihan.

Berdasarkan kajian-kajian ini,  ramai pesakit kini boleh memutuskan “jika ia tidak menyakitkan, maka tidak keperluan untuk merawatnya.” Tetapi, jika anda masih memilih untuk melakukan pembedahan, prosedur manakah yang terbaik?

Kesan sampingan pembedahan Hernia terhadap hubungan seksual dan pemanduan

Lebih 750,000 pembedahan angin pasang dilakukan setiap tahun dan kebanyakan pesakitnya adalah individu lelaki. Kebanyakan pesakit biasanya tertanya-tanya jika pembedahan ini akan menjejaskan fungsi seksual mereka.

Bagi menjawab kebimbangan ini, mari baca mengenai satu kajian yang dijalankan di Jerman. Menurut kajian tersebut, pakar bedah telah mengesan seramai 73 orang lelaki tidak mengalami sebarang ketegangan semasa menjalani pembedahan Hernia secara laparoskopi. Prosedur yang dilakukan tersebut tidak menjejaskan aliran darah pada testikel dan saiznya juga tidak berubah. Namun, 14% daripada pesakit melaporkan perubahan dalam aktiviti seksual mereka, biasanya kerana kesakitan di pangkal paha tetapi kebanyakannya pulih tanpa sebarang rawatan.

Ada juga yang tertanya bilakah mereka boleh melakukan aktiviti seksual selepas pembedahan angin pasang manakala hampir kesemuanya bertanya bila mereka dibenarkan untuk memandu semula. Dalam prosedur pembedahan dahulu, pesakit memerlukan 6 hingga 8 minggu untuk proses penyembuhan tisu-tisu dan kebanyakan doktor akan melarang pesakit daripada memandu dan melakukan aktiviti lain yang mungkin memberi tekanan mendadak pada abdomen. Namun begitu, keadaannya adalah berbeza bagi teknologi pembedahan terkini seperti laparoskopi. Ramai pesakit boleh kembali memandu dan melakukan aktiviti harian secara normal dalam tempoh 5 hingga 7 hari. Ini dibolehkan selagi mereka berasa sihat dan tidak memerlukan ubat tahan sakit yang melambatkan refleks mereka.

Pembedahan manakah yang sesuai untuk dilakukan?

Sejak beberapa tahun yang lalu, persoalan ini menjadi lebih mudah kerana kini, hanya terdapat dua pilihan rawatan dan bukannya tiga, seperti dahulu.

Pemulihan Hernia yang pertama, atau ‘herniorrhaphy’ berlaku pada tahun 1887. Selama hampir 100 tahun, pakar bedah telah melakukan pembedahan dengan hanya menggunakan jahitan untuk menyambungkan tisu yang terpisah. Ianya berkesan, namun memandangkan tisu-tisu ini berada di dalam keadaan tegang, jahitan terbuka semula bagi hampir 10% pesakit dan mengakibatkan keadaan angin pasang berulang.

Pada tahun 1960-an, Dr. Irving Lichtenstein telah mencipta cara baru untuk mengatasi masalah Hernia tanpa menyebabkan ketegangan tisu. Bagi melakukan prosedur tersebut, beliau telah menggunakan ‘mesh’ bagi menutup kecacatan pada angin pasang. Seperti prosedur terdahulu, pemulihan Hernia tanpa ketegangan ini boleh dijalankan menggunakan anestesia tempatan atau spina (local or spinal anesthesia) sewaktu pembedahan. Memandangkan pesakit yang menjalani pembedahan ini kurang mengalami kesakitan dan risiko angin pasang berulang adalah lebih rendah, pembedahan ini menjadi terkenal dengan segera dan beberapa jenisnya telah diwujudkan.

Selain pembedahan terbuka, satu lagi pembedahan baharu iaitu pembedahan laparoskopi telah dicipta pada awal 1990-an. Walaupun kedua-dua pembedahan terbuka memerlukan 4 hingga 6 inci pemotongan (insicion) pada pangkal paha, pembedahan laparoskopi hanya memerlukan tiga pemotongan bersaiz 1.5 inci pada abdomen. Langkah pertama yang dilakukan adalah pakar bedah akan mengembangkan abdomen menggunakan karbon dioksida. Seterusnya, beliau akan memasukkan tiub fiber optik yang nipis, iaitu laparoskop melalui pembukaan pemotongan. Sambil melihat imej dalaman melalui kamera, pakar bedah akan memasukkan alatan bedah untuk menarik kandungan usus ke tempat asalnya dan menampal ‘mesh’ pada kecacatan Hernia. Disebabkan pengembangan abdomen adalah menyakitkan dan memerlukan alatan dan latihan khas, pembedahan laparoskopi memerlukan anestesia jenis umum. Jadi, kos rawatannya adalah lebih mahal berbanding pembedahan terbuka (open surgery).

Jadi, pembedahan manakah yang terbaik? Pembedahan laparoskopi mengakibatkan kesakitan pasca pembedahan yang kurang dan membenarkan pesakit kembali bekerja lebih cepat berbanding pembedahan terbuka. Sejumlah kecil kajian juga mencadangkan bahawa kedua-dua jenis pembedahan ini mempunyai kadar pengulangan yang sama, tetapi pembedahan laparoskopi dilihat lebih baik. Namun begitu, satu kajian pada tahun 2004 telah menimbulkan beberapa persoalan mengenai pembedahan ini.

Para penyelidik dari satu pusat perubatan telah menugaskan seramai 1,983 orang pesakit angin pasang secara rawak untuk menjalani pembedahan terbuka atau pembedahan laparoskopi. Pesakit daripada kumpulan laparoskopi mengalami kesakitan awal yang sedikit dan boleh bekerja seperti biasa dalam waktu yang singkat. Namun, mereka juga mengalami banyak komplikasi dan mempunyai kemungkinan berlakunya kejadian Hernia semula.

Hasil daripada kajian ini tidak boleh diambil secara umum bagi semua pembedahan laparoskopi yang pernah dijalankan. Salah satu faktor yang memberi kesan kepada hasil kajian tersebut adalah pengalaman pakar bedah itu sendiri. Pakar bedah yang telah menjalankan sebanyak 250 pembedahan laparoskopi adalah setanding dengan pakar bedah pembedahan terbuka yang berpengalaman. Kebiasaannya, pakar bedah berpengalaman akan mencadangkan prosedur laparoskopi dijalankan bagi pesakit yang mengalami angin pasang di kedua-dua bahagian badan atau sekiranya pesakit mengalami kes Hernia berulang. 

Walau bagaimanapun, hasil daripada pembedahan terbuka biasa juga tidak boleh dijangka. Pada tahun 2008, satu percubaan telah melaporkan bahawa risiko kes angin pasang berulang meningkat apabila pakar bedah menjalankan lebih dari            5 pembedahan dalam setahun. Jadi, sekiranya anda boleh memilih pakar bedah laparoskopi yang berpengalaman bagi merawat masalah Hernia anda, anda masih akan mendapat pilihan terbaik antara kedua-dua jenis pembedahan ini.

Anestesia manakah yang terbaik?

Sekiranya anda menjalani pembedahan laparoskopi, anda memerlukan anestesia umum (general anesthesia). Pembedahan terbuka pula boleh dijalankan dengan anestesia tempatan (local anesthesia), tulang belakang (spinal anesthesia), atau umum (general anesthesia). Namun begitu, percubaan klinikal rawak pada 616 orang pesakit angin pasang di Sweden telah melaporkan bahawa anestesia tempatan kurang menyebabkan kesakitan dan masalah untuk kencing berbanding anestesia umum. Manakala, sejumlah kecil percubaan yang dilakukan di negara Belanda mendapati bahawa anestesia tempatan adalah lebih bagus daripada anestesia tulang belakang. Dalam kedua-dua kajian ini, kelebihan anestesia tempatan hanya terhad kepada minggu pertama pasca pembedahan, jadi jika doktor memilih untuk menggunakan antara anestesia umum atau tulang belakang atas sebab tertentu, ia masih dikategorikan sebagai keputusan yang munasabah.

Bagaimana anda boleh membuat keputusan?

Keadaan perubatan sekarang adalah jauh berbeza berbanding era paternalistik terdahulu, di mana doktor membuat keputusan rawatan tanpa berunding dengan pesakit. Dalam kebanyakan kes, keputusan yang dilakukan sekarang adalah bergantung kepada doktor serta pesakit. Sebagai contoh, pada suatu masa dahulu, diagnosis pembengkakan prostat bukan kanser iaitu, ‘Benign Prostatic Hyperplasia’ (BPH) sering dikaitkan dengan pembedahan ‘Transurethral Resection of Prostate’ (TURP). Kini, pesakit sudah boleh memilih antara pembedahan TURP, beberapa pilihan pembedahan kurang invasi lain, terapi perubatan atau sekadar ingin menunggu dan melihat sebarang perubahan yang berlaku.

Penyelidikan terkini telah membenarkan pesakit untuk membuat keputusan sendiri. Komunikasi yang baik merupakan kunci bagi pilihan yang baik. Oleh itu, anda harus mengambil tahu mengenai pembedahan anda dengan lebih terperinci. Pelbagai sumber maklumat telah tersedia dalam bentuk buku, rundingan, atau secara atas talian (online). Anda juga boleh berbincang dengan ahli keluarga dan rakan-rakan, dan meminta pendapat kedua jika anda mengalami kesukaran menentukan keputusan.

SUMBER

https://www.webmd.com/digestive-disorders/qa/whats-the-treatment-for-inguinal-hernia

https://www.healthline.com/health/strangulated-hernia

https://www.mayoclinichealthsystem.org/hometown-health/speaking-of-health/treatment-options-for-inguinal-hernia-repair

https://www.medicalnewstoday.com/articles/326748

Summary
Bagaimana untuk menguruskan Hernia?
Article Name
Bagaimana untuk menguruskan Hernia?
Description
Satu-satunya rawatan Hernia yang berkesan adalah melalui pembedahan Hernia. Ia boleh dirawat menggunakan sokongan luar atau tali pinggang angin pasang, namun pemakaian sebegini tidak begitu membantu.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: