diagnosis covid-19
Peningkatan kes COVID-19 semakin membimbangkan di seluruh dunia.

Dengan kes COVID-19 yang semakin meningkat, bagaimanaka pakar perubatan mendiagnosis pesakit yang berpotensi dijangkiti coronavirus?

Coronavirus novel, atau COVID-19 telah merebak ke seluruh dunia dan menyebabkan jumlah bilangan individu yang dijangkiti semakin meningkat sejak akhir tahun 2019. Pada masa yang sama, bilangan kematian pula semakin hari semakin meningkat sejak awal tahun 2020.

Setakat ini, pakar-pakar perubatan telah melihat walaupun terdapat kes-kes yang serius, jangkitan biasanya adalah ringan dengan gejala-gejala yang tidak spesifik. Malah, tiada ciri klinikal bagi tanda-tanda jangkitan coronavirus ini. Simptom-simptom yang telah dikenal pasti pada individu yang positif penyakit ini adalah batuk, sesak nafas, demam dan gejala seperti selesema yang mungkin menimbulkan kebimbangan dan memerlukan ujian diagnostik dengan segera. Memandangkan virus ini boleh berjangkit, terdapat kemungkinan bahawa seseorang itu mungkin terdedah kepadanya tanpa mengetahuinya atau tanpa sejarah perjalanan ke negara-negara yang berkenaan.

Ujian makmal diperlukan untuk mendiagnosis penyakit COVID-19. Sebaik sahaja seseorang telah didiagnosis dengan coronavirus, ujian diagnostik tambahan boleh dilakukan untuk menentukan tahap jangkitan.

Siapa yang boleh diuji?

Individu yang memiliki kriteria di bawah dibenarkan untuk membuat ujian tertentu bagi mengetahui keputusan bagi penyakit COVID-19 ini.

  • Pesakit hospital yang mempunyai tanda-tanda dan gejala yang serasi dengan COVID-19.
  • Orang dewasa dan warga tua yang mempunyai keadaan perubatan kronik atau sistem imun terkompromi dan menunjukkan gejala COVID-19
  • Sesiapa sahaja, termasuk pekerja penjagaan kesihatan, yang menunjukkan gejala dan sama ada:

– mempunyai hubungan rapat dengan pesakit COVID-19 yang telah disahkan dalam tempoh 14 hari sebelumnya.

– baru pulang dari kawasan/ negara yang terjejas.

Langkah-langkah yang dilakukan sebelum individu diuji

Dengan penyebaran wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan setiap hari, ujian bagi coronavirus telah mula dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia yang mengenal pasti kontak rapat kepada kes yang disahkan positif COVID-19 melalui Pasukan Kesihatan di Pejabat Kesihatan Daerah.

Sehingga kini, terdapat sebanyak 26 buah hospital KKM yang telah dikenal pasti di seluruh negara bagi mengendalikan kes-kes yang disyaki tersebut. Hospital-hospital ini akan membantu melakukan pemeriksaan diagnosis coronavirus serta memberikan rawatan lanjut yang diperlukan.

Selain itu, KKM juga telah bekerjasama dengan agensi lain yang berkaitan di Pintu Masuk Antarabangsa bagi membolehkan pengesanan pantas bagi pengembara yang menunjukkan simptom-simptom penyakit ini.

Jenis ujian

Ketua Pengarah Kesihatan KKM, Datuk Dr Noor Hisham mengatakan bahawa kit ujian pantas (rapid test kit) yang dijual di pasaran tidak boleh membantu dengan pengesanan awal penyakit COVID-19 ini.

Menurutnya lagi, segala diagnosis yang dilakukan di hospital dan kemudahan kesihatan kerajaan menggunakan teknik ‘Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR)’.

  • Teknik ‘Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rRt-PCR)

Ujian ini akan mengesan kehadiran virus COVID-19 dalam badan individu yang disyaki. Keputusan positif bermakna bahawa individu tersebut telah dijangkiti virus tersebut. Malah, keputusan yang tepat melalui penggunaan teknik ini adalah sangat penting dalam menguruskan pesakit-pesakit COVID-19 secara efektif.

Sekiranya anda memerlukan ujian ini, seorang pembekal penjagaan kesihatan akan mengumpul sampel kahak serta ‘ujian kesat bagi nasopharyngeal’ (saluran hidung) dan ‘orofaryngeal’ (belakang tekak). Sampel tersebut dikumpulkan dengan mengesat cecair daripada bahagian belakang mulut dan hidung.

Seterusnya, sampel tersebut akan dihantar ke makmal yang diluluskan untuk membuat ujian. Bahan genetik virus (RNA) akan diekstrak daripada sampel yang didapati. Sejenis enzim yang dikenali sebagai “transkriptase berbalik” digunakan untuk menukarkan maklumat genetik virus itu menjadi DNA. Ia kemudiannya disalin banyak kali supaya bahan itu dapat dikesan walaupun dalam jumlah kecil.

Proses amplikasi DNA dikenali sebagai PCR (Polymerase Chain Reaction) dan apabila digabungkan dengan RT (Reverse transcription), maka terhasillah kaedah rRT-PCR.

Campuran tindak balas ini mengandungi molekul ‘probes’ yang direka khas supaya dapat menempel pada urutan genetik yang disasarkan kepada virus penyebab COVID-19.

Keputusan ujian

  • Sekiranya keputusan ujian anda positif: Ini bermakna bahawa anda telah dijangkiti oleh coronavirus. Tetapi, ia tidak semestinya bermaksud bahawa COVID-19 adalah penyebab (atau satu-satunya penyebab) bagi penyakit anda. Jangkitan bersama virus atau bakteria lain juga boleh menjadi punca yang menyebabkan simptom anda.
  • Sekiranya keputusan ujian anda negatif: Faktor lain adalah penting untuk membantu mengesahkan bahawa anda benar-benar bebas daripada COVID-19, seperti sejarah gejala dan pemeriksaan klinikal anda. Anda mungkin boleh dijangkiti virus ini, tetapi kehadirannya tidak dapat dikesan dalam sampel anda yang telah diambil.

Periksa sendiri

Penilaian anda sendiri mengenai risiko jangkitan anda melibatkan sentiasa kekal maklum akan tarikh pendedahan anda. Sekiranya anda telah mengembara ke tempat di mana penyakit itu telah dikenal pasti atau jika anda telah berinteraksi dengan individu yang dijangkiti atau terdedah kepada virus ini, anda mungkin lebih berisiko. Sekali lagi, memandangkan virus itu merebak dengan cepat dan telah meningkat di seluruh dunia, anda mungkin boleh terdedah tanpa mengetahuinya.

Jadi, anda juga boleh memantau kesihatan anda sendiri bagi tanda-tanda jangkitan COVID-19. Perkara yang perlu diperhatikan termasuklah:

  • Demam
  • Batuk
  • Sesak nafas
  • Masalah bernafas yang lain

Anda perlu ingat bahawa gejala ini sangat biasa dan boleh berlaku dengan masalah sinusitis, keradangan paru-paru, bronkitis, atau mana-mana jangkitan pernafasan virus atau bakteria, termasuk selesema.

Memandangkan kes-kes jangkitan COVID-19 yang serius boleh menyebabkan penyakit keradangan paru-paru, sindrom kesusahan pernafasan akut, kegagalan buah pinggang, dan juga kematian, ianya adalah penting untuk anda sentiasa memantau apa-apa masalah kesihatan yang berlaku atau simptom yang semakin memburuk.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/coronavirus/diagnosis-treatment/drc-20479976

https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/symptoms-testing/testing.html

https://www.healthline.com/health/coronavirus-diagnosis

Summary
Article Name
Bagaimana untuk mendiagnosis Coronavirus (COVID-19)?
Description
Dengan kes COVID-19 yang semakin meningkat, bagaimanaka pakar perubatan mendiagnosis pesakit yang berpotensi dijangkiti coronavirus?
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: