Now Reading
Awas: ‘Tripping jump challenge’ boleh menyebabkan kematian!

Awas: ‘Tripping jump challenge’ boleh menyebabkan kematian!

tripping jump challenge boleh menyebabkan kematian

Terbaru, media sosial gempar dengan ‘viral challenge’ yang dikenali sebagai ‘tripping jump challenge’ di mana ia memerlukan penglibatan tiga orang individu. Individu yang di bahagian kiri dan kanan akan melompat dahulu sebelum individu di tengah. Apabila individu di tengah melompat, kakinya seperti akan “ditahan” oleh dua individu di belah kiri dan kanan. Ini secara langsung akan menyebabkannya tidak stabil dan jatuh ke belakang dalam keadaan kepala terhentak.

‘Trend’ ini bukan sahaja dilakukan oleh golongan remaja malah sudah mula diikuti oleh golongan kanak-kanak juga. Ia mungkin menyeronokkan dan lawak terutamanya bagi mereka yang berada di bahagian kiri dan kanan, namun lain pula bagi individu di tengah. Biasanya, mereka tidak tahu akan situasi sebenar dan diperdaya begitu sahaja sebagai bahan jenaka.

Seterusnya, walaupun ‘challenge’ ini dilihat sesuatu yang mudah sahaja, namun tahukah anda bahawa ‘challenge’ ini telah mendapat perhatian ramai kerana dikatakan berbahaya dan boleh menyebabkan kematian?

Mengapa jatuh terhentak itu membahayakan?

Berdasarkan artikel di Astro Awani, menurut pegawai perubatan Dr. Shazif Othman, terdapat beberapa risiko yang boleh berlaku kepada individu yang jatuh terhentak sebegitu. Risiko yang paling utama adalah hentakan di kepala boleh memberi kesan pada anggota terpenting manusia iaitu otak.

Menurutnya lagi, jika otak kita menerima impak yang besar secara mengejut, ia boleh menyebabkan kematian otak atau juga dikenali sebagai ‘brain dead’ begitu sahaja. Malah, ia juga boleh membuatkan anggota fizikal badan luka sekiranya individu terjatuh di tempat-tempat dengan permukaan yang kasar dan membahayakan. Patah kaki, patah tangan dan kesan-kesan lain boleh berlaku begitu sahaja.

Malah, ia juga boleh menyebabkan si mangsa menjadi trauma akan keadaan tersebut buat jangka masa yang panjang. Mangsa mungkin trauma untuk melakukan apa-apa aktiviti fizikal melibatkan lompatan mahupun perkara yang berkaitan dengan kejadian itu.

Apakah tindakan pihak tertentu akan ‘tripping jump challenge’ ini?

Banyak pihak menunjukkan kerisauan mereka terhadap cabaran sebegini memandangkan ia boleh mendatangkan bahaya yang serius jika tidak dibendung. Menerusi artikel oleh ‘Filter Free Parents’, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun maut disebabkan kecederaan yang dialami dalam cabaran ini (berdasarkan artikel TV Costa Branca).

Di Florida, ibu bapa kepada mangsa yang terlibat memfailkan saman terhadap dua pelajar sekolah yang terlibat dalam kejadian tersebut. Di Arizona pula, seorang ibu mengatakan bahawa anaknya tidak sedarkan diri selepas dua orang rakannya membuat cabaran itu bersama (sumber daripada rojakPOT). Ada juga pihak sekolah yang ingin mengambil tindakan kepada pelajarnya yang terlibat dalam hal ini namun ia tidak diteruskan. Sebaliknya, kedua-dua pelajar tersebut telah diberi tindakan disiplin yang bersesuaian dengan hal tersebut.

JADI,

Walaupun cabaran ini lebih terkenal di luar negara, namun itu tidak bermakna kita harus berdiam diri sahaja terutamanya jika kita mempunyai anak-anak remaja yang suka mencuba sesuatu cabaran baru. Kanak-kanak dan remaja sekarang mudah terpengaruh dengan sesuatu yang dilihat di Internet tanpa mengira kesan baik buruknya.

Sebagai ibu bapa atau pihak yang rapat dengan golongan ini secara langsung, ambillah tindakan sewajarnya agar ‘challenge’ seperti ini tidak diteruskan lagi. Tidak semua perkara di Internet itu adalah perkara yang baik jadi pastikan anda mengambil berat akan hal ini sebelum ia menjadi lebih buruk.

SUMBER

  1. https://www.astroawani.com/berita-dunia/bahaya-tripping-jump-challenge-boleh-sebabkan-kematian-230712
  2. https://filterfreeparents.com/the-tripping-jump-is-the-latest-social-media-challenge-among-kids-and-its-terrifyingly-dangerous/
  3. https://www.rojakpot.com/tripping-jump-challenge-danger/
error: Content is protected !!