artritis reaktif
Artritis reaktif, yang dahulu digelar sebagai Sindrom Reiter.

Artritis Reaktif, yang dahulu digelar sebagai Sindrom Reiter, adalah sejenis artritis yang menjejaskan sendi, mata, uretra (tiub yang membawa air kencing dari pundi kencing ke luar badan) dan kulit.

Penyakit ini dikaitkan dengan pelbagai simptom pada organ-organ yang berlainan dalam badan yang mungkin atau tidak mungkin muncul pada masa yang sama. Ia boleh muncul dengan teruk secara sekelip mata dan secara perlahan, diikuti pengulangan secara tiba-tiba.

Sindrom ini selalunya menyerang lelaki berumur di antara 20 tahun hingga 40 tahun yang aktif dalam hubungan seksual. Mereka yang mempunyai HIV (virus imunodefisiensi manusia) pula mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk diserang penyakit ini.

Simptom Artritis Reaktif

Simptom pertama artritis reaktif adalah kesakitan ketika membuang air kecil. Sekiranya anda mengalami keradangan uretra pada masa yang sama, sejenis cecair akan keluar dari zakar anda. Selain itu, anda juga mungkin akan mengalami simptom seperti cirit birit  jika usus anda terjejas. Seterusnya, dalam jangka masa 4 hari hingga 28 hari kemudian, artritis reaktif akan mula mengyerang anda. Ia akan menjejaskan jari tangan dan kaki, tumit, pinggul dan sendi lutut anda. Kebiasaannya, hanya satu atau beberapa sendi yang terjejas pada satu masa. Simptom lain bagi artritis reaktif termasuklah:

  • Ulser mulut
  • Keradangan mata
  • Muncul tompok kulit bersisik di telapak tangan, tumit, badan, atau kulit kepala (Keratoderma blennorrhagica)
  • Sakit belakang berpunca dari penglibatan sendi ‘sarcoiliac’
  • Sakit akibat keradangan ligamen dan tendon pada tapak kemasukannya ke dalam tulang (enthesitis)

Punca Artritis Reaktif

Sindrom ini berkembang melalui tindak balas kepada jangkitan dalam badan anda. Selalunya ia bermula dalam usus anda, alat kelamin atau saluran kencing. Anda mungkin tidak akan menyedari akan jangkitan ini sekiranya anda hanya mengalami simptom yang ringan atau tiada simptom langsung.

Pelbagai jenis bakteria boleh menyebabkan penyakit ini. Sesetengahnya disebarkan melalui hubungan seksual dan yang lain pula boleh datang dari makanan. Antara bakteria yang boleh dikaitkan dengan artritis reaktif termasuklah:

  • Klamidia
  • Salmonella
  • Shigella
  • Yersinia
  • Campylobacter
  • Clostridium difficile

Walaupun artritis reaktif adalah sejenis penyakit yang tidak berjangkit, bakteria tersebut boleh disebarkan melalui aktiviti seksual atau makanan yang dicemari. Namun begitu, hanya beberapa individu yang bernasib malang akan terdedah kepada jangkitan bakteria tersebut dan seterusnya mengalami penyakit itu.

Diagnosis Artritis Reaktif

Masih belum wujud ujian makmal yang spesifik bagi menguji sindrom ini secara terperinci. Oleh itu, doktor hanya menentukan keputusan diagnosis penyakit ini berdasarkan pemerhatian dan pengalaman. Proses tersebut akan melibatkan doktor:

  • Merekodkan sejarah perubatan anda, termasuklah simptom masa lalu dan semasa, terutamanya simptom seperti cirit-birit atau cecair dari alat kelamin
  • Memeriksa kawasan radang, termasuklah kawasan pelvis, alat kelamin, mata, dan kulit
  • Memeriksa sendi untuk menguji fungsi motor, melihat sebarang pembengkakan  dan keradangan
  • Melakukan ujian darah untuk mengenalpasti kehadiran gen HLA B27, faktor utama bagi rheumatoid, antibodi antinuklear, kadar pemendapan sel darah merah
  • Menjalankan ujian pengesahan klamidia ke atas anda
  • Menguji sampel dari tekak, uretra, dan tisu serviks untuk mengesan bakteria
  • Menganalisis sampel air kencing dan najis anda
  • Mengkaji cecair sinovial yang terdapat pada sendi seperti lutut
  • Melakukan X-ray pada tulang belakang, pelvik, dan sendi

Oleh kerana artritis reaktif sukar untuk didiagnosis, kes-kes yang ringan mungkin sukar ditemui dan tidak dilaporkan. Sesetengah penyelidik berpendapat bahawa kes penyakit ini lebih banyak berlaku daripada yang disangka.

Faktor Risiko Arthritis Reaktif

Faktor berikut boleh meningkatkan risiko anda untuk mendapat artritis reaktif:

  • Umur. Artritis reaktif paling kerap terjadi dalam kalangan individu dewasa yang berumur di antara 20 tahun hingga 40 tahun.
  • Jantina. Wanita dan lelaki kedua-duanya berisiko untuk menghidap artritis reaktif melalui makanan yang dicemari bakteria berkenaan. Walau bagaimanapun, lelaki lebih berisiko tinggi berbanding wanita untuk menghidap artritis reaktif melalui aktiviti seksual.
  • Keturunan. Penanda genetik tertentu telah dikaitkan dengan artritis reaktif. Tetapi ramai individu yang mempunyai penanda ini tidak mengalami artritis reaktif.

Rawatan Arthritis Reaktif

Rawatan untuk artritis reaktif termasuklah yang berikut:

  • Menyembuhkan jangkitan pencetus artritis reaktif melalui pengambilan antibiotik
  • Merawat simptom yang muncul pada alat kelamin
  • Menjaga simptom yang muncul pada mata
  • Mengawal simptom yang muncul pada kulit
  • Menguruskan kesakitan akibat keradangan dan sebagainya

Anda harus bekerjasama dengan ramai doktor yang berbeza bagi mencari rawatan untuk artritis reaktif. Bermula dengan berjumpa seorang pakar rheumatologi, iaitu pakar dalam artiritis, seterusnya anda juga mungkin akan bertemu dengan doktor sakit puan, pakar urologi pakar mata mata pakar dermatologi kulit dan pakar bedah ortopedik berpengalaman.

Doktor mendapati bahawa jika kes artritis reaktif berpunca dari jangkitan klamidia, rawatan awal dapat membantu mengehadkan perkembangan penyakit ini.

Ubat-ubatan yang disyorkan bagi mengawal penyakit ini termasuklah:

  • Ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDS), seperti ibuprofen atau naproxen, untuk mengurangkan bengkak dan ketidakselesaan.
  • Kortikosteroid, sejenis ubat yang kuat dan digunakan untuk mengurangkan keradangan. Ubat ini boleh disuntik ke dalam sendi atau diambil secara oral.
  • Ubat-ubatan anti-reumatik (DMARDs) pula akan digunakan bagi kes-kes yang kronik.
  • Sulfasalazine akan disyorkan kepada anda terutamanya jika jangkitan pada gastrousus menjadi sangat teruk.
  • Terapi gabungan, pelbagai jenis antibiotik akan dipreskripsi kepada anda untuk melawan penyakit ini.

SUMBER

https://www.webmd.com/arthritis/arthritis-reactive-arthritis

https://www.healthline.com/health/reactive-arthritis

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/reactive-arthritis/symptoms-causes/syc-20354838

https://www.medicalnewstoday.com/articles/318187

Summary
Artritis Reaktif (Reactive Arthritis) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Artritis Reaktif (Reactive Arthritis) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Artritis reaktif, yang dahulu digelar sebagai Sindrom Reiter, adalah sejenis artritis yang menjejaskan sendi, mata, uretra dan kulit.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: