liposuction
Liposuction juga dikenali sebagai lipoplasty, liposculpture suction, lipectomy atau lipo adalah sejenis pembedahan kosmetik yang memecahkan dan menyedut lemak daripada badan anda.

Liposuction juga dikenali sebagai lipoplasty, liposculpture suction, lipectomy atau lipo adalah sejenis pembedahan kosmetik yang memecahkan dan menyedut lemak daripada badan anda.

Kebanyakan individu melakukan liposuction untuk membentuk bentuk badan dan kontur badan yang langsing. Mereka ingin lemak lebihan pada perut, paha, punggung, leher, dagu, bahagian lengan, betis, dan punggung dikeluarkan.

Lemak dikeluarkan melalui kanula. Kanula dimasukkan ke bawah kulit dan vakum tekanan tinggi yang kuat digunakan untuk menarik keluar sel lemak.

Kebanyakan individu yang menjalani liposuction biasanya mempunyai berat badan yang stabil tetapi ingin membuang lemak badan yang tidak diingini di bahagian tertentu.

Liposuction bukanlah kaedah yang menurukan berat badan secara keseluruhan. Ia juga bukan rawatan untuk menyelesaikan masalah kegemukan.

Prosedur ini tidak menghilangkan selulit, lesung pipit, atau stretch mark. Tujuannya adalah estetik. Ia sesuai untuk mereka yang ingin mengubah dan mencantikkan bentuk badan mereka.

Liposuction secara kekal menghilangkan sel-sel lemak, mengubah bentuk badan seseorang.

Namun, jika pesakit tidak menjalani gaya hidup yang sihat setelah pembedahan, ada risiko sel lemak yang tinggal akan menjadi lebih besar. Jumlah lemak yang dapat dibuang dengan selamat adalah terhad.

Terdapat beberapa risiko liposuction, seperti jangkitan, kebas, dan parut. Sekiranya terlalu banyak lemak dikeluarkan, hasilnya akan terdapat lebam atau lekuk pada kulit.

Risiko pembedahan bergantung dengan jumlah lemak yang dikeluarkan.

Kegunaan Liposuction

Liposuction digunakan untuk memperbaiki penampilan dan bukannya memberikan manfaat kesihatan fizikal.

Sebilangan besar mungkin akan memperoleh hasil yang sama atau lebih baik dengan mengamalkan gaya hidup sihat,diet yang seimbang, senaman teratur, dan waktu tidur yang sihat.

Liposuction biasanya disarankan apabila perubahan gaya hidup yang sihat tidak mencapai hasil yang diinginkan. Ia dapat membuang kawasan lemak yang tidak terbakar meskipun dengan senaman dan diet.

Bahagian badan yang selalunya disasarkan untuk rawatan liposuction:

  • perut
  • lengan atas
  • punggung
  • dada dan belakang badan
  • sisi lutut
  • leher dan kawasan di bawah dagu
  • paha dan pinggul

Liposuction hanya boleh dilakukan apabila dipertimbangkan dengan teliti. Hasilnya lebih halus dan bukannya dramatik.

Adakah liposuction sesuai untuk anda?

Liposuction sangat sesuai untuk seseorang yang mempunyai warna kulit dan kulit anjal yang baik, kerana kulit akan membentuk dengan mudah bentuk badan yang baru.

Seseorang yang tidak mempunyai kulit yang anjal, bentuk badan serta tonus otot yang baik boleh mengakibatkan hasil kulit yang kelihatan longgar di bahagian prosedur dijalankan.

Ia juga sesuai untuk seseorang yang sihat berumur 18 tahun ke atas dan tidak merokok.

Mereka yang mengalami masalah peredaran darah atau aliran darah, seperti penyakit arteri koronari, diabetes, atau sistem imun yang lemah tidak boleh menjalani liposuction.

Kebaikan Liposuction

Anda perlu berbincang tentang kebaikan dan keburukan liposuction bersama doktor anda sebelum memutuskan sama ada perlu melakukannya atau tidak.

Liposuction biasanya dilakukan untuk tujuan kosmetik, tetapi kadang-kadang digunakan untuk merawat keadaan tertentu. Ini termasuklah:

Lymphedema: Keadaan kronik, atau jangka panjang, di mana lebihan cecair yang dikenali sebagai limfa terkumpul dalam tisu, menyebabkan edema, atau bengkak.

Edema biasanya berlaku di lengan atau kaki. Liposuction kadang-kadang digunakan untuk mengurangkan bengkak, ketidakselesaan, dan kesakitan.

Ginekomastia: Keadaan di mana lemak terkumpul di bawah payudara lelaki.

Sindrom lipodystrophy: Lemak berkumpul di satu bahagian badan berbanding bahagian lain. Liposuction membantu meningkatkan penampilan pesakit dengan memberikan pengedaran lemak badan yang lebih semula jadi.

Penurunan berat badan yang melampau selepas obesiti: Seseorang yang gemuk yang hilang sekurang-kurangnya 40 peratus BMI mereka mungkin memerlukan rawatan untuk menghilangkan kulit berlebihan dan keadaan tidak normal yang lain.

Lipoma: Ini adalah tumor lemak.

Pembedahan Liposuction

Sebelum pembedahan, pesakit perlu menjalani beberapa ujian kesihatan untuk memastikan mereka sihat untuk menjalani pembedahan. Cadangan berikut mungkin diberikan.

  • Individu yang menggunakan ubat aspirin dan anti-radang biasa diminta untuk menghentikan pengambilan sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum pembedahan.
  • Pengambilan pil perancang di kalangan wanita akan diminta untuk menghentikan pengambilan.
  • Pesakit anemia mungkin diminta untuk mengambil makanan tambahan zat besi.

Individu tersebut perlu menandatangani borang persetujuan. Ini untuk mengesahkan bahawa mereka mengetahui kesemua risiko, faedah, dan kemungkinan alternatif untuk prosedur tersebut.

Hasil Pembedahan Liposuction

Hasil liposuction tidak jelas sehingga keradangan surut. Dalam beberapa kes, ini mungkin memerlukan beberapa bulan. Sebilangan besar pembengkakan akan mengendur setelah sekitar 4 minggu, dan kawasan di mana lemak dikeluarkan mungkin kelihatan kurang besar.

Orang yang mengekalkan berat badannya biasanya dapat hasil yang kekal. Manakala bagi mereka yang menambah berat badan selepas prosedur mungkin mendapati penyebaran lemak mereka berubah. Mereka yang sebelumnya mempunyai lemak terkumpul di pinggul mereka mungkin mendapati bahawa punggung mereka menjadi masalah baru.

Risiko Liposuction

Sebarang pembedahan besar membawa risiko pendarahan, jangkitan, dan reaksi buruk terhadap anestesia.

Risiko komplikasi biasanya dikaitkan dengan seberapa besar prosedur, serta kemahiran dan pengalaman pakar bedah.

Risiko ketika pembedahan:

  • Komplikasi anestetia
  • Reaksi alergi: Pesakit mungkin alergi terhadap ubat-ubatan atau bahan yang digunakan semasa pembedahan.
  • Kulit terbakar: Pergerakan kanula boleh menyebabkan geseran terbakar pada kulit atau saraf.
  • Kerosakan saraf
  • Kejutan
  • Tusukan organ dalaman
  • Kematian : Anestesia boleh mengakibatkan kematian dengan risiko yang rendah.

Risiko Selepas Pembedahan:

  • Jangkitan: Jarang berlaku, jangkitan kulit mungkin berlaku selepas pembedahan liposuction. Kadang-kadang hal ini perlu dirawat secara pembedahan, yang boleh menyebabkan kesan parut.
  • Thrombophlebitis: Gumpalan darah terbentuk di urat, menyebabkan keradangan dan komplikasi.
  • Masalah buah pinggang atau jantung: Ketika cecair disuntik atau disedut, perubahan tahap cecair dalam tubuh badan boleh menyebabkan masalah buah pinggang atau jantung.
  • Emboli pulmonari: Lemak memasuki saluran darah dan bergerak masuk ke dalam paru-paru, menyekat peredaran paru-paru. Hal ini boleh mengancam nyawa.
  • Edema pulmonari: Kadang kala berlaku, apabila cecair yang disuntik ke dalam badan, terkumpul di paru-paru.

Risiko ketika penyembuhan:

  • Lebam teruk: Ini boleh berlaku selama beberapa minggu.
  • Keradangan: Pembengkakan mungkin memakan masa sehingga 6 bulan untuk surut, dan cairan mengalir keluar daripada hirisan pembedahan.
  • Kontur tidak sekata: Sekiranya terdapat masalah keanjalan kulit, atau jika luka sembuh dengan cara yang tidak normal, atau jika penyingkiran lemak tidak rata, kulit mungkin kelihatan bergelebeh atau kendur.
  • Kebas: Kawasan yang terkena mungkin terasa kebas untuk sementara waktu, tetapi hal ini selalunya hanya sementara.
  • Jangkitan
  • Parut
  • Warna Kulit Berubah

Mereka yang berpuas hati dengan hasilnya selalunya mempertimbangkan dengan baik kebaikan dan keburukan liposuction sebelum menjalani pembedahan.

Perkara yang dipertimbangkan seperti; apa yang bakal diperolehi, memilih pakar bedah yang berkelayakan serta berpengalaman, dan membincangkan secara terperinci dan teliti dengan pakar bedah mereka.

Sumber:

https://www.medicalnewstoday.com/articles/180450

https://www.webmd.com/beauty/cosmetic-procedure-liposuction#1

https://www.healthline.com/health/is-liposuction-safe

https://www.mayoclinic.org/tests-procedures/liposuction/about/pac-20384586


Summary
Apakah liposuction dan kenapa anda mungkin tidak memerlukannya
Article Name
Apakah liposuction dan kenapa anda mungkin tidak memerlukannya
Description
Liposuction juga dikenali sebagai lipoplasty, liposculpture suction, lipectomy atau lipo adalah sejenis pembedahan kosmetik yang memecahkan dan menyedut lemak daripada badan anda.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: