Ubat Darah Tinggi, Apakah Kesan Sampingannya?
Salah satu rawatan tekanan darah tinggi adalah melalui perubahan gaya hidup sihat.

Merawat tekanan darah tinggi dapat membantu mencegah masalah seperti penyakit jantung, strok, hilang penglihatan, penyakit batu karang kronik dan penyakit saluran darah yang lain.

Salah satu rawatan tekanan darah tinggi adalah melalui perubahan gaya hidup sihat. Namun, jika perubahan gaya hidup tidak memberi kesan kepada tekanan darah anda, anda mungkin perlu mengambil ubat khas untuk menurunkan tekanan darah tinggi anda. Tetapi, apa pula kesan sampingan ubat darah tinggi kepada anda?

Bilakah ubat darah tinggi diperlukan?

Dalam kebanyakan masa, doktor akan memeriksa tekanan darah anda sebanyak dua kali atau lebih dan mengesyorkan anda melakukan perubahan gaya hidup terlebih dahulu. Sekiranya tekanan darah anda berada pada tahap 120/80 hingga 129/80 mm Hg, anda mempunyai kenaikan darah.

  • Doktor akan mencadangkan perubahan gaya hidup supaya tekanan darah anda boleh kembali ke tahap yang normal.
  • Walau bagaimanapun, ubat-ubatan jarang disyorkan pada tahap ini.

Sekiranya tekanan darah anda pada tahap yang sama atau lebih tinggi daripada 130/80 tetapi lebih rendah daripada 140/90 mm Hg, anda mempunyai tekanan darah tinggi peringkat 1. Sebelum memberi preskripsi ubat darah tinggi, doktor perlu mempertimbangkan perkara berikut:

  • Doktor mungkin akan mencadangkan perubahan gaya hidup dan mengulangi pengukuran tekanan darah selepas beberapa bulan, sekiranya anda tidak mempunyai penyakit atau faktor risiko yang lain.

  • Doktor anda boleh mengesyorkan ubat-ubatan untuk merawat tekanan darah tinggi, sekiranya tekanan darah anda kekal sama atau lebih tinggi daripada 130/80 tetapi lebih rendah daripada 140/90 mm Hg selepas anda melakukan perubahan gaya hidup.

  • Doktor mungkin mengesyorkan ubat pada masa yang sama dengan perubahan gaya hidup.

Sekiranya tekanan darah anda adalah sama atau lebih tinggi daripada 140/90 mm Hg, anda mempunyai tekanan darah tinggi Peringkat 2. Doktor akan mengesyorkan anda mengambil ubat-ubatan darah tinggi dan mencadangkan anda melakukan perubahan gaya hidup.

Sebelum menetapkan keputusan akhir bagi diagnosis darah tinggi, doktor akan mengarahkan anda mengukur tekanan darah di rumah, farmasi atau di tempat lain terlebih dahulu sebelum berjumpa kembali dengan doktor di klinik/hospital untuk mengesahkan penyakit yang anda alami.

Jika anda mempunyai penyakit jantung, kencing manis, masalah jantung, atau pernah mengalami strok, ubat-ubatan mungkin akan diberikan pada bacaan tekanan darah yang lebih rendah daripada individu biasa iaitu, pada tahap 130/80.

Jenis ubat-ubatan untuk tekanan darah tinggi

Dalam kebanyakan kes, hanya satu jenis ubat sahaja digunakan pada awal diagnosis penyakit darah tinggi. Sekiranya tekanan darah anda semakin meningkat sehingga peringkat 2, anda perlu mengambil dua jenis ubat.

Terdapat beberapa jenis ubat yang digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi. Anda mungkin perlu mengambil lebih daripada satu jenis ubat dan doktor anda bertanggungjawab untuk menentukan jenis ubat yang sesuai bagi keadaan penyakit anda.

Setiap jenis ubat tekanan darah tinggi yang disenaraikan di bawah memiliki nama dan jenama yang berlainan. Ubat-ubatan tekanan darah tinggi berikut merupakan yang sering digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi:

  • Diuretik yang juga digelar sebagai pil air. Ubat ini membantu buah pinggang menapis garam (natrium) dari badan anda. Justeru itu, saluran darah anda tidak perlu menyimpan banyak cecair dan tekanan darah anda akan turun.

  • Penyekat beta memperlahankan kadar denyutan jantung dengan daya yang kurang.

  • Angiotensin-converting enzyme inhibitors (juga digelar Perencat ACE) berfungsi untuk merelakskan saluran darah anda dan kemudiannya menurunkan tekanan darah.

  • Perencat reseptor Angiotensin II (juga dipanggil ARB) berfungsi dengan cara yang sama seperti penghalang ACE.

  • Penyekat saluran kalsium merehatkan saluran darah dengan mengurangkan kemasukan kalsium ke dalam sel.

Ubat tekanan darah tinggi yang jarang digunakan termasuklah:

  • Penyekat alpha membantu merelakskan saluran darah anda dan merendahkan tekanan darah.

  • ‘Centrally Acting Drug’ memberi isyarat kepada otak dan sistem saraf anda supaya merelakskan saluran darah anda.

  • Vasodilators memberi isyarat kepada otot-otot dinding dalam saluran darah untuk relaks.

  • Perencat Renin merupakan sejenis ubat baru yang digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi. Ia bertindak dengan mengurangkan jumlah angiotensin di samping merelakskan saluran darah anda.

Kesan sampingan ubat tekanan darah tinggi

Kebanyakan jenis ubat tekanan darah tinggi mudah diambil, tetapi setiap jenis ubat tersebut memiliki kesan sampingan tertentu. Namun begitu, hampir semua kesan sampingan adalah ringan dan akan hilang dari masa ke semasa.

Beberapa kesan sampingan biasa ubat tekanan darah tinggi termasuklah:

  • Batuk
  • Cirit-birit atau sembelit
  • Pening kepala
  • Masalah ereksi
  • Rasa gelabah
  • Rasa letih, lemah, mengantuk, atau kurang bertenaga
  • Sakit kepala
  • Mual atau muntah
  • Ruam pada kulit
  • Kenaikan atau penurunan berat badan tanpa sebab

Jika anda mempunyai kesan sampingan daripada pengambilan ubat-ubatan tekanan darah tinggi, berundinglah dengan doktor anda segera. Kebiasaannya, doktor akan melakukan perubahan terhadap dos ubat untuk mengurangkan kesan sampingan.

Jangan sekali-kali menukar dos atau berhenti mengambil ubat anda dengan sendiri, tanpa arahan dari doktor.

Cara badan menyerap ubat tekanan darah tinggi boleh berubah mengikut jumlah ubat yang diambil. Selain itu, pengambilan suplemen tambahan atau alkohol juga boleh mengubah cara ubat bertindak dalam badan anda.

Kesimpulannya,

Anda perlu sentiasa mengikuti arahan doktor semasa anda mengambil ubat tekanan darah tinggi untuk sembuh dan bagi mengelakkan sebarang komplikasi yang tidak diingini berlaku.

SUMBER

https://www.webmd.com/hypertension-high-blood-pressure/guide/side-effects-high-blood-pressure-medications#1

https://www.medicalnewstoday.com/articles/323724

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/high-blood-pressure/in-depth/high-blood-pressure-medication/art-20046280

Summary
Ubat Darah Tinggi, Apakah Kesan Sampingannya?
Article Name
Ubat Darah Tinggi, Apakah Kesan Sampingannya?
Description
Rawatan tekanan darah tinggi yang biasa adalah melalui ubat-ubatan. Namun begitu, selamatkah penggunaan ubat darah tinggi?
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: