Penyakit Ain

Kebanyakan kita mempunyai akaun media sosial. Masing-masing seronok berkongsikan perihal diri dan gambar untuk tontonan umum. Sedar atau tidak, apa sahaja yang kita kongsikan itu, ada ‘mata-mata’ yang akan memerhatikan.

Pada masa sama, perkongsian itu membuka ruang untuk orang lain meninggalkan komen sama ada yang baik atau buruk. Namun, ketahuilah tindakan kita itu sebenarnya boleh mengundang kepada penyakit ain jika individu yang melihatnya menyimpan bibit-bibit cemburu dalam hati.

Malah, penyakit itu boleh ‘membinasakan’ kita gara-gara panahan mata atau ain menerusi gambar yang dilihat di media sosial tadi. Dalam dunia realitinya, memang tidak mustahil perkara itu boleh berlaku dengan izin-Nya.

Bagaimana ia boleh berlaku?

  • Pandangan mata

Penyakit ain disebabkan oleh pandangan mata yang disertai sifat hasad dengki atau iri hati. Ia juga akibat rasa takjub terhadap apa yang dipandang walaupun tanpa sekelumit pun rasa iri hati, tidak kiralah sama ada daripada orang soleh atau orang yang dicintai sekalipun.

Disebabkan itu, apabila melihat kanak-kanak comel, orang cantik dan apa-apa yang dilihat dengan pandangan mata menakjubkan, kita digalakkan untuk menyebut Masya-ALLAH, Tabarakallah. Ia supaya penyakit ain itu tidak menimpa ke atas kanak-kanak atau pada orang yang cantik (pada pandangan mata kita).

Seperkara lagi, elakkan memuji melampau-lampau kerana dibimbangi kanak-kanak atau orang tersebut akan ditimpa kesakitan akibat pandangan mata kita. Bagaimanapun, penyakit ain itu termasuk dalam qada dan qadar. Bagi umat Islam, wajib bertawakal kepada ALLAH dan selalu memohon perlindungan daripada-NYA dengan ayat Al-Quran, zikir dan doa mathurat daripada Nabi Muhammad SAW.

  • Hantaran gambar melalui media sosial

Kita juga perlu berhati-hati berkongsi cerita peribadi melalui media sosial. Hal ini kerana platform itu hakikatnya membuka ruang kepada kita terkena penyakit berbahaya itu. Bayangkan kecantikan wajah kita dipuji oleh ribuan, bahkan puluhan ribu orang yang melihat, maka kecenderungan untuk terkena penyakit ain semakin tinggi.

Begitu juga apabila kita post gambar kita dengan tujuan memperlihatkan kejayaan kita. Maka orang yang melihat akan mula iri hati dan pintu kejahatan akan terbuka bagi mereka yang menyimpan dengki terhadap kejayaan itu.

Tanda-tanda Terkena Penyakit Ain

  • Wajah nampak pucat seperti orang sakit.
  • Tubuh badan yang selalu lemah dan tidak bersemangat.
  • Badan selalu demam panas.
  • Emosi yang tidak stabil dan selalu marah-marah tanpa sebab.
  • Dibenci oleh ahli keluarganya sendiri dan orang sekeliling sehingga boleh menyebabkan dia hilang jawatan. Jika seseorang itu berniaga, perniagaannya lingkup disebabkan hasad dengki orang lain yang melihatnya.
  • Bermimpi sesuatu yang pelik.
  • Tanda-tanda penyakit ain hampir sama dengan tanda-tanda gangguan jin dan sihir.

Tips Untuk Mendidik Diri Agar Tidak Terjerumus Dengan Perasaan Hasad Dengki

  • Betulkan niat untuk merawat hati sendiri. Kemudian, setiap kali sebelum memulakan apa- apa pekerjaan atau amalan, mulakanlah dengan ucapan ta’awuz iaitu a’uzu billahi minashaitanir rajim dan disusuli dengan basmallah.
  • Beristighfarlah dengan ucapan Astaghfirullah al-a’zim untuk diri kita, bukan untuk orang lain. Ini kerana, istighfar sebenarnya adalah permohonan ampun kita kepada ALLAH supaya DIA mengampuni diri kita.
  • Biasakanlah diri kita untuk melihat sekeliling dengan aura yang positif. Ia termasuklah apabila kita berhadapan dengan seseorang.
  • Jangan lupa untuk sentiasa bermuhasabah diri melihat kembali kesalahan, kekurangan dan dosa yang dilakukan.

Rawatan Penyakit Ain

  • Dibacakan ruqyah atau doa
  • Dimandikan dengan air.
  • Berlindung dari terkena penyakit ain

Berusaha berlindung daripada penyakit ain adalah dibolehkan serta ia tidak menafikan konsep tawakkal. Ini kerana tawakkal adalah bergantung kepada Allah SWT disertai dengan melakukan asbab perkara yang diharuskan atau diperintahkan dengannya. Berlindung kepada Allah SWT merupakan pencegahan terbaik daripada terkena penyakit ain malah daripada segala jenis bahaya.

SUMBER

https://www.sinarharian.com.my/article/64382/LIFESTYLE/Sinar-Islam/Waspada-panahan-penyakit-ain-usah-lambung-pujian-melampau

https://muftiwp.gov.my/artikel/al-afkar/3072-al-afkar-43-penyakit-ain-dan-rawatannya

Tagged: