Apakah itu MBCT?
Terapi kognitif berasaskan kesedaran (Mindfulness-based cognitive therapy - MBCT) menggabungkan teknik kesedaran seperti meditasi, latihan pernafasan dan regangan bersama elemen daripada terapi tingkah laku kognitif.

Terapi kognitif berasaskan kesedaran (Mindfulness-based cognitive therapy – MBCT) menggabungkan teknik kesedaran seperti meditasi, latihan pernafasan dan regangan bersama elemen daripada terapi tingkah laku kognitif. Ini dilakukan bagi membantu mematahkan corak pemikiran negatif yang merupakan ciri kemurungan berulang.

Dengan alat ini, ahli terapi MBCT akan mengajar individu bagaimana untuk melepaskan diri daripada corak pemikiran negatif yang boleh menyebabkan terjadinya masalah dan keadaan tertekan agar mereka dapat melawan kemurungan sebelum ia berlaku.

Terapi ini dikembangkan oleh ahli terapi Zindel Segal, Mark Williams dan John Teasdale yang berusaha membangunkan satu bentuk terapi disebut terapi kognitif, yang telah dikembangkan oleh Aaron T. Beck pada tahun 1960-an. Mereka merasakan bahawa dengan mengintegrasikan terapi kognitif bersama program yang dikembangkan pada tahun 1979 oleh Jon Kabat-Zinn iaitu pengurangan tekanan berdasarkan kesedaran (MBSR), terapi tersebut boleh menjadi lebih efektif.

Mengapakah anda memerlukan MBCT?

MBCT dikembangkan bagi individu dengan episod kemurungan atau kesedihan yang berulang, untuk mencegah pengulangannya. Ia telah terbukti berkesan pada individu dengan gangguan masalah kemurungan utama yang telah mengalami sekurang-kurangnya tiga episod kemurungan.

Mencegah keadaan berulang berdasarkan fikiran juga berguna untuk merawat gangguan kecemasan dan ketagihan umum. Malah, MBCT juga terbukti dapat memperbaiki gejala tekanan pada beberapa orang dengan keadaan kesihatan fizikal, seperti penyakit vaskular dan trauma otak.

Ia juga disyorkan oleh Institut Nasional untuk Kesihatan dan Kecemerlangan Penjagaan (NICE) untuk mencegah penularan kemurungan berulang. Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa “Terapi Kognitif Berasaskan Kesedaran” ini secara purata dapat mengurangkan risiko pengulangan bagi individu dengan masalah kemurungan berulang sebanyak 43%. Penyelidikan juga menunjukkan bahawa ia sangat berkesan untuk kumpulan yang lemah dan cenderung untuk kembali semula.

Apakah yang anda boleh pelajari daripada MBCT?

Dalam pendekatan terapi ini, individu dapat belajar menggunakan kaedah kognitif dan meditasi kesedaran untuk mengganggu proses automatik yang sering menyebabkan kemurungan. Emosi tidak stabil, pemikiran negatif dan sensasi badan tertentu seperti rasa letih dan kelesuan sering terjadi semasa dalam episod kemurungan.

Walaupun episod tersebut berlalu, hubungan mungkin masih wujud dalam simptom yang berlainan, dan ada kemungkinan rangsangan negatif kecil boleh mencetuskan masalah yang lebih besar. Para penyelidik mendapati apabila individu dengan masalah kemurungan mengalami emosi yang rendah, mereka mungkin juga mengalami kenangan dan fikiran negatif dari masa lalu, yang boleh menimbulkan kebimbangan tentang masa depan dan sensasi fizikal seperti keletihan.

Justeru itu, rawatan MBCT membantu individu belajar cara untuk mengenali perasaan mereka dan melihat diri mereka secara terpisah daripada pemikiran dan emosi yang dialami. Jurang ini dapat membebaskan mereka daripada corak pemikiran negatif di mana mesej negatif yang sama dimainkan berulang kali.

Setelah mengembangkan kesedaran tentang pemisahan antara pemikiran, emosi, dan diri, individu yang menerima rawatan mungkin mendapati bahawa sementara diri dan emosi mungkin wujud secara serentak, mereka tidak harus berada dalam dimensi yang sama. Wawasan ini dapat menyumbang kepada penyembuhan dengan membantu individu belajar untuk menyisipkan pemikiran positif ke dalam suasana negatif bagi menghilangkan emosi negatif tersebut.

Bagaimanakah ia berfungsi?

Terapi ini dilakukan sebagai program rawatan berkumpulan mingguan selama 8 minggu. Setiap sesi mingguan berlangsung selama dua jam, tetapi menyelesaikan tugasan rumah dalam tempoh 45 minit enam hari seminggu juga diperlukan. Bagi aspek kerja rumah, individu akan mendengar rakaman audio dan berlatih melakukan meditasi kesedaran. Mereka juga akan diperkenalkan dengan teknik yang disebut ruang pernafasan selama tiga minit. Teknik ini mendorong individu untuk memasukkan latihan formal ke dalam kehidupan seharian mereka.

Walaupun ketika ini tiada kesepakatan mengenai bagaimana kesedaran harus didefinisikan, konsep asasnya merujuk pada pengembangan, dalam cara tidak menghakimi, iaitu kesedaran yang lebih mendalam tentang apa yang terjadi di dalam fikiran dan tubuh seseorang dari semasa ke semasa. Teknik meditasi tertentu – meditasi pernafasan, meditasi duduk, meditasi imbasan badan, meditasi berjalan kaki, dan yoga dapat membantu meningkatkan kesedaran seseorang. Dalam rawatan MBCT, individu juga diajar konsep kognitif seperti perkaitan antara pemikiran dan perasaan, dan mereka juga sering berpeluang mengembangkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai kemurungan.

Bagaimana untuk membuat persediaan bagi MBCT?

Ahli terapi MBCT adalah pakar bagi kesihatan mental yang mempunyai latihan tambahan dalam amalan dan teknik berdasarkan kesedaran dan mahir mengajar teknik ini kepada orang lain. Selain memeriksa kelayakan, ianya adalah penting untuk anda mencari ahli terapi MBCT yang boleh membuatkan anda berasa selesa bekerja bersamanya.

SUMBER

https://www.verywellmind.com/mindfulness-based-cognitive-therapy-1067396

https://www.mentalhealth.org.uk/a-to-z/m/mindfulness-based-cognitive-therapy-mbct

https://www.goodtherapy.org/learn-about-therapy/types/mindfulness-based-cognitive-therapy

https://www.psychologytoday.com/intl/therapy-types/mindfulness-based-cognitive-therapy

Summary
Apakah itu MBCT?
Article Name
Apakah itu MBCT?
Description
Terapi kognitif berasaskan kesedaran (MBCT) menggabungkan teknik kesedaran seperti meditasi, latihan pernafasan dan regangan bersama elemen daripada terapi tingkah laku kognitif.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: