Bolehkah Telefon Pintar Membahayakan Diri Anda?
Setiap hari, anda membawa telefon pintar bersama ke mana sahaja anda pergi.

Majoriti individu memiliki telefon pintar tidak mengira peringkat umur dari muda ke tua, termasuklah kanak-kanak (tidak digalakkan!). Sekiranya anda termasuk dalam golongan ini, jadi, artikel ini sangat sesuai untuk dibaca oleh anda. Ingatlah pepatah, sediakan payung sebelum hujan, siapkan diri anda dengan ilmu yang sepatutnya mengenai bahaya telefon pintar supaya anda boleh bersedia untuk melindungi diri anda daripada sebarang perkara yang tidak diingini.

Telefon pintar adalah ‘sarang’ kuman

Setiap hari, anda membawa telefon pintar bersama ke mana sahaja anda pergi. Sama ada di sekolah, bekerja, semasa membeli-belah dan juga menjalankan tugas harian lain. Ada sesetengah orang membawa telefon pintar mereka ke bilik mandi juga (tidak disyorkan)! Telefon pintar berkemungkinan untuk menjadi perumah bagi virus dan bakteria seperti E. coli yang boleh membuatkan anda jatuh sakit. Untuk membersihkan telefon pintar, anda boleh gunakan tisu yang mengandungi alkohol yang selamat digunakan pada barang elektronik dan lap telefon pintar anda sekurang-kurangnya sekali setiap hari untuk menghilangkan kotoran, habuk, dan kuman.

Terdapat bukti bahawa melihat telefon pintar dalam masa yang panjang boleh menyakitkan leher anda

Menundukkan kepala ke bawah untuk melihat telefon pintar anda dalam jangka masa yang lama boleh menyebabkan kekejangan otot di leher. Selain itu, perbuatan ini juga mungkin akan mengakibatkan kesakitan saraf yang boleh merebak ke bahagian belakang badan, bahu, atau bawah lengan. Seeloknya, setiap kali anda menggunakan telefon pintar, berehatlah sekurang-sekurangnya pada setiap 20 minit. Postur yang betul juga penting untuk mengelakkan sebarang kecederaan atau ketidakselesaan kepada tubuh badan anda. Apabila melihat telefon pintar, pegang telefon anda lebih tinggi selaras dengan mata. anda juga disyorkan untuk melakukan senaman yang menguatkan dan melegakan otot seperti yoga dan Pilates secara teratur.

Pegang telefon pintar dengan cara yang betul

Sebarang posisi yang melibatkan penundukan leher dalam kedudukan yang janggal untuk tempoh masa yang lama boleh menyebabkan sakit leher. Itu termasuklah memegang telefon pintar anda di tengah-tengah, antara bahu dan telinga anda. Sekiranya anda berada dalam posisi ini buat masa yang terlalu lama, anda mungkin akan mengalami kesakitan pada leher anda. Manakala, jika anda berada dalam kedudukan sebegini ketika bercakap di telefon, rehat dengan kerap sambil menggerakkan leher bagi mengelakkan kekakuan. Sekiranya leher anda berasa kejang, rehat dan cuba letakkan pad hangat di kawasan itu untuk mengelakkan otot menjadi tegang. Sebaliknya, jika kesakitan berlangsung selama lebih daripada beberapa hari berbincanglah dengan doktor anda.

Jangan gunakan telefon sambil memandu

Bahaya telefon pintar yang paling ketara adalah ketika menghantar mesej sambil memandu. Perbuatan ini adalah sangat berbahaya bukan sahaja terhadap pelaku, tetapi pemandu lain juga. Menghantar mesej sambil memandu mengalihkan perhatian anda dari apa yang berlaku di jalan raya dan anda meletakkan diri anda di tahap tinggi mengalami risiko kemalangan. Pada tahun 2015 sahaja, seramai 3,500 orang terbunuh dan kira-kira 391,000 orang telah cedera dalam kemalangan kereta yang melibatkan pemandu yang tidak memberi tumpuan kepada pemanduan. Sesetengah negara mengharamkan penggunaan telefon semasa memandu, manakala negara-negara lain membenarkan penggunaan telefon secara ‘hands-free’.

Bercakap di telefon semasa memandu boleh mengancam nyawa

Ramai salah faham bahawa bercakap di telefon sewaktu memandu adalah selamat. Sebenarnya, perbuatan ini tidak selamat sama sekali dan boleh membawa kepada keadaan yang dipanggil gangguan kognitif. Gangguan ini mengalihkan fikiran anda dari jalan raya. Jadi, walaupun anda menggunakan peranti bebas tangan (hands free), fikiran anda berada di tempat lain. Ya, mata anda mungkin melihat apa yang berada di hadapan anda tetapi, anda tidak dapat melihat persekitaran anda 100%. Oleh itu, bercakap di telefon ketika memandu meningkatkan risiko kemalangan kereta dan boleh mengancam nyawa anda. Sekiranya anda perlu menjawab panggilan telefon sewaktu memandu, berhentikan kereta anda di tepi jalan. 

Kurangkan penggunaan telefon pintar dalam persekitaran yang gelap

Ini kerana, cahaya biru dari telefon pintar adalah tidak bagus untuk kesihatan anda. Cahaya biru bergelombang pendek yang dipancarkan melalui telefon, lampu, komputer, tablet dan skrin televisyen boleh merosakkan kesihatan seseorang. Pendedahan berpanjangan terhadap gelombang ini boleh menjejaskan irama sirkadian. Bukan itu sahaja, pendedahan terhadap cahaya biru yang terlampau banyak selepas matahari terbenam juga boleh mengganggu tidur anda. Anda akan lebih berisiko untuk mengalami penyakit jantung, obesiti, kencing manis dan keadaan kesihatan lain yang membimbangkan. Selepas persekitaran menjadi gelap, kurangkan pendedahan terhadap cahaya dari skrin telefon pintar. Sebaliknya, banyakkan pendedahan terhadap cahaya semula jadi pada siang hari dan anda akan mendapati tidur anda lebih nyenyak. Percayalah! 

Berjalan semasa menggunakan telefon pintar adalah berbahaya

Berjalan sewaktu menggunakan telefon pintar seperti menghantar mesej atau melayari internet adalah antara bahaya telefon pintar yang harus dielakkan. Anda tentu berfikir bahawa perbuatan ini tidak berbahaya, tetapi pernahkah anda terfikir mengenai risiko yang mungkin anda alami seperti berjalan di jalan raya yang sibuk, jatuh atau melanggar sesuatu di hadapan anda ketika menggunakan telefon sewaktu berjalan? Telah dilaporkan sebanyak 52% kemalangan melibatkan individu yang menggunakan telefon pintar sewaktu berjalan berlaku di rumah, menghairankan tetapi ia adalah benar. Beberapa kemalangan yang mungkin berlaku termasuklah, patah tulang, kecederaan pada kepala atau ketegangan otot dan tendon. Apabila anda perlu menjawab atau membuat panggilan, duduk atau berhenti terlebih dahulu sebelum bercakap di telefon pintar anda.  

Adakah telefon pintar boleh menyebabkan kanser?

Ini merupakan satu persoalan yang sering berlegar-legar dalam fikiran sesetengah orang yang memiliki telefon pintar. Mereka bimbang bahawa penggunaan dan radiasi dari telefon pintar dikaitkan dengan penyakit serius seperti tumor otak, kanser otak, dan jenis tumor dan kanser lain. Bertenang, berdasarkan kajian epidemiologi yang dijalankan oleh para penyelidik bertauliah, telefon pintar tidak mempunyai hubungan dengan penyakit-penyakit tersebut. Sekiranya anda bimbang mengenai radiasi pengionan yang dipancarkan oleh telefon anda, hadkan masa penggunaan telefon. Anda juga boleh bercakap di telefon bimbit dengan menggunakan mod pembesar suara atau alat pendengaran seperti fon telinga untuk mengurangkan pendedahan terhadap radiasi telefon.

Anda berisiko mengalami ‘Trigger thumb’ sekiranya menaip secara berlebihan pada telefon pintar

Menaip teks yang berlebihan pada telefon pintar boleh mengakibatkan ‘trigger thumb’ iaitu keadaan di mana ibu jari menjadi bengkok dan tidak boleh diluruskan. Keadaan ini terjadi apabila terdapat tendon yang meradang di ibu jari anda. Keradangan menghalang keupayaan tendon untuk melakukan gerakan dengan bebas. Di samping itu, anda mungkin akan merasakan kesakitan pada ibu jari yang terjejas. Sekiranya anda mengalami keadaan ini, rehatkan ibu jari anda dan kurangkan tabiat menghantar mesej untuk meredakan masalah pada ibu jari anda.  

Penggunaan telefon pintar secara berlebihan boleh memburukkan keadaan arthritis pada ibu jari

Satu lagi bahaya telefon pintar dengan penggunaan yang berlebihan turut dikaitkan dengan peningkatan simptom penyakit arthritis pada ibu jari. Sekiranya anda mempunyai penyakit ini, memegang telefon pintar ketika menghantar mesej boleh mengakibatkan kesakitan di ibu jari bertambah teruk. Walaupun tiada ubat untuk merawat arthritis, anda masih boleh meredakan kesakitan dengan berehat, mengambil ubat tahan sakit atau memakai ‘splint’ di ibu jari anda. Secara umum, terdapat pelbagai jenis arthritis dan yang paling biasa berlaku pada ibu jari adalah arthritis degeneratif atau, keadaan ini juga dikenali sebagai osteoarthritis.

Pendedahan kepada cahaya biru (blue light) dari telefon pintar boleh merosakkan penglihatan

Cahaya biru bergelombang pendek yang dipancarkan dari telefon pintar boleh mengakibatkan ketegangan dan kesakitan mata. Selain itu, penedahan berpanjangan terhadap cahaya ini juga boleh mengakibatkan kersosakan kornea dan memberi kesan kepada penglihatan. Jika anda mengalami masalah yang berkaitan dengan penggunaan telefon pintar seperti ketegangan dan kesakitan mata, kurangkan penggunaan telefon anda. Tidak terkecuali tablet, komputer, dan TV. Rehatkan mata anda dengan kerap apabila anda perlu menggunakan peranti seperti ini.

Berhati-hatilah!

Sumber

https://www.onhealth.com/content/1/dangers_cell_phone_health

https://www.fraud-magazine.com/article.aspx?id=4294992799

https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/adult-health/expert-answers/cell-phones-and-cancer/faq-20057798

Summary
Bolehkah Telefon Pintar Membahayakan Diri Anda?
Article Name
Bolehkah Telefon Pintar Membahayakan Diri Anda?
Description
Majoriti individu memiliki telefon pintar dari muda ke tua, termasuklah kanak-kanak. Ketahuilah bahaya telefon pintar anda!
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: