ANGKASA dan Sejarah Kewujudan Koperasi di Malaysia

angkasa

Ramai mesti pernah dengar perkataan ANGKASA bukan? Tetapi tak semestinya ramai yang tahu dan faham fungsi penubuhan ANGKASA sebagai sebuah pertubuhan atau badan. Ya, ANGKASA merupakan sebuah pertubuhan di Malaysia ini. Penulis pada hari ini akan berkongsikan tujuan penubuhan ANGKASA di Malaysia ini.

Pergerakan Koperasi Kebangsaan Malaysia

Idea penubuhan koperasi di Malaysia (pada waktu itu lebih dikenali sebagai Malaya) telah dimulakan oleh Sir Arthur Young di mana beliau pada waktu tersebut merupakan Setiausaha British di Negeri-negeri Selat. Idea beliau ini dicadangkan oleh beliau pada tahun 1907 kerana melihat kejayaan pergerakan koperasi di Cyprus pada ketika itu. Pada mulanya, pergerakan koperasi pada mulanya agak perlahan dan kurang mendapat sambutan kerana rakyat tempatan mengesyaki ada agenda tersembunyi dan masih was-was dengan konsep yang dibawakan oleh pergerakan koperasi ini.

Kemudiannya, Sir Alexander Cavendish yang menggalas tugasnya selaku Pembantu kepada Penasihat British di Negeri Kedah pada waktu tersebut telah mencadangkan kepada Sir George Maxwell iaitu Penasihat British di Negeri Kedah pada waktu tersebut untuk menghantar seorang pegawai kerajaan ke Burma untuk mengkaji kejayaan konsep Koperasi Raiffeisen di sana. Oleh sebab itu, Sir Alex Cavendish sendiri telah dihantar ke Burma untuk mempelajari dan mengkaji serta membuat rekomendasi akan cara-cara yang bersesuaian untuk menubuhkan koperasi di Malaysia.

Selesai sahaja tugas Sir Alexander Cavendish di Burma dan beliau kembali ke Malaya pada waktu tersebut, sebuah laporan telah dibentangkan di Badan Persekutuan (Federal Council) pada tarikh 12 Disember 1921 untuk dibahaskan. Bermula dari situ dan kemudiannya pada 28 Jun 1922, satu undang-undang koperasi yang pertama iaitu Enakmen Persatuan Koperasi telah diluluskan oleh Badan Persekutuan Negeri-negeri Melayu (Federated Malay States Council). Undang-undang ini telah digazetkan oleh kerajaan British pada 15 Julai 1922.

Kesan langsung daripada pengazetan undang-undang ini, satu koperasi yang diberi nama Postal and Telecommunications Co-operative Thrift and Loan Society Limited Company telah didaftarkan pada 21 Julai 1922. Syarikat koperasi ini masih lagi kekal aktif sehingga hari ini.

Pembentukan ANGKASA

Pada tahun 1966, Kongres Koperasi Pertama telah dianjurkan dengan matlamat untuk menubuhkan satu persatuan koperasi yang bersifat kebangsaan. Tujuannya adalah tidak lain dan tidak bukan untuk meningkatkan kerjasama dan menyatukan pelbagai koperasi di Malaysia di bawah satu payung persatuan yang bersekutu. Disebabkan itu, pada tanggal 12 Mei 1971, Angkatan Kerjasama Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) telah didaftarkan secara rasmi untuk bertindak sebagai pertubuhan kebangsaan untuk koperasi di Malaysia hasil daripada penganjuran Kongres Koperasi Kedua.

Pembentukan ini menjadi titik permulaan pergerakan pertubuhan koperasi yang bersatu di Malaysia. Sejak daripada tarikh penubuhannya, ANGKASA telah memainkan peranan penting sebagai penyatu dan penggerak pelbagai koperasi di Malaysia. Dengan termeterainya Akta Koperasi yang baru pada tahun 1993, ANGKASA akhirnya telah diikitraf secara rasmi oleh kerajaan Malaysia untuk mewakili pergerakan koperasi di Malaysia di peringkat nasional dan antarabangsa.

Kini, ANGKASA beribu pejabat di Petaling Jaya, Selangor dan memiliki 16 cawangan di pelbagai lokasi di setiap negeri di Malaysia.

Peranan, Visi dan Misi

Pada 13 Julai 2012, ANGKASA telah dipertanggungjawabkan melalui Deklarasi Putrajaya dimana pihak-pihak selain ANGKASA yang telah bersetuju semasa persetujuan Deklarasi Putrajaya ini dibuat ialah Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Maktab Koperasi Malaysia untuk:

  1. Menyatukan dan mewakili pelbagai koperasi di Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa
  2. Menggalakan dan mengusahakan proses kemajuan perniagaan koperasi
  3. Meningkatkan dan menyebarkan kefahaman dan pengalaman prinsipi koperasi selaras dengan Kenyataan Jati Diri Koperasi

ANGKASA kini mempunyai visi untuk menjadi badan APEKS dalam memangkin pembangunan koperasi sebagai koperasi terunggul di ASEAN menjelang tahun 2020. ANGKASA juga telah menetapkan misi untuk menyediakan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi serta melindungi kepentingan dan memperjuangkan hal pergerakan koperasi melalui pengurusan bertaraf profesional.

ANGKASA pada masa kini

Sehingga tahun 2019, ANGKASA kini telah mengumpul sebanyak 9866 ahli yang berdaftar secara sah yang diterajui oleh Datuk Abdul Fattah Abdullah. Secara tahunan, Perhimpunan Nasional akan dianjurkan di mana ahli-ahli membuat persetujuan dalam pembentangan bajet tahunan, membuat polisi baru dan mempersetujui sebarang pertukaran serta perubahan yang dibuat dalam Perlembagaan ANGKASA.

ANGKASA juga kini mempunyai Jawatankuasa Pentadbiran Nasional (NAC) yang juga bertindak sebagai lembaga pengarah. Jawatankuasa Pentadbiran Nasional ini dipimpin oleh seorang presiden yang dibantu oleh seorang Timbalan Presiden. Manakala, ada empat orang Naib Presiden dan seorang ahli pengerusi yang akan mempengerusikan Jawatankuasa Liason Negeri juga akan menganggotai Jawatankuasa Pentadbiran Nasional ini. Seorang wakil masing-masing daripada Kementerian Perdagangan Tempatan, Koperasi dan Konsumerisme dan Kementerian Kewangan juga menjadi anggota Jawatankuasa Pentadbiran Nasional ini. Jawatankuasa Pentadbiran Nasional ini dipertanggungjawabkan untuk membangunkan ahli-ahli koperasi serta mentadbir urus perjalanan harian ANGKASA dan program-program yang dilaksanakannya.

Di peringkat Parlimen, dua akta baru juga telah diuruskan yang akan memegang hak undang-undang koperasi iaitu Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Akta Persatuan Koperasi 2007.

Kini ANGKASA bergerak semakin maju ke hadapan dalam memperkasakan koperasi-koperasi di Malaysia melalui Pelan Strategik ANGKASA. Melalui Pelan Strategik ini, ANGKASA akan memfokuskan pembangunnya dalam empat teras strategik utama iaitu ekonomi, ekosistem, tadbir urus dan inovasi.

See Also
TUDM



SUMBER

http://eng.angkasa.coop

https://ms.wikipedia.org/wiki/Angkatan_Koperasi_Kebangsaan_Malaysia_Berhad

https://www.thestar.com.my/business/business-news/2019/06/08/what-is-angkasa

http://eng.angkasa.coop/images/LOGO-ANGKASA-2017.png.png

https://ikimfm.my/wp-content/uploads/2015/12/angkasa.jpg

error: Content is protected !!