Anestesiologi
Anestesiologi didefinisikan sebagai amalan perubatan yang khas bagi melegakan kesakitan dan menjaga pesakit sebelum, semasa dan selepas pembedahan.

Pengenalan

Anestesiologi didefinisikan sebagai amalan perubatan yang khas bagi melegakan kesakitan dan menjaga pesakit sebelum, semasa dan selepas pembedahan. Ini adalah kepakaran perubatan yang diamalkan oleh doktor yang pakar dalam bidang anestesia, pengurusan kesakitan dan perubatan rawatan kritikal. Kemajuan dalam bidang perubatan kini menjadikan penggunaan anestesia sebagai sangat selamat, dengan risiko kematian individu sihat yang berkaitan dengan anestesia adalah 1 dari 200,000 orang.

Terdapat beberapa jenis anestesia yang sering digunakan, termasuklah anestesia umum, anestesia sedatif dan anestesia serantau. Jenis anestesia yang dipilih adalah berdasarkan sejarah perubatan pesakit, pembedahan atau prosedur yang dirancang dan pilihan pesakit sendiri.

Kepakaran pakar anestetik

Pakar anestetik atau pakar bius adalah gelaran yang diberikan kepada doktor yang memiliki kepakaran dalam bidang anestasia. Malah, mereka tidak hanya bekerja di bilik pembedahan tetapi juga dapat menghilangkan rasa sakit jika anda mempunyai keadaan yang berterusan seperti sakit belakang atau kanser. Selepas pembedahan, mereka kadangkala boleh membantu anda mengawal kesakitan setelah anda pulang ke rumah.

Walau bagaimanapun, pakar anestetik juga memainkan peranan yang lebih luas daripada hanya membuatkan individu tidur sebelum menjalani pembedahan. Mereka juga terlibat dalam pelbagai prosedur perubatan lain, termasuk melakukan penilaian di unit rawatan kritikal, menangani situasi kecemasan dan memberi nasihat mengenai pengurusan kesakitan.

Pakar anestetik atau jururawat anestetik akan bersama anda sebelum, semasa dan selepas pembedahan untuk memastikan bahawa anda tidak berasa sakit, santai dan selamat sepanjang masa.

Sebelum pembedahan

Sebelum pembedahan, pakar anestetik akan memeriksa kesihatan anda. Dia akan memilih ubat bius yang selamat mengikut keadaan anda. Ianya adalah sangat penting bahawa doktor mengetahui sebanyak mungkin tentang kesihatan anda. Ini termasuklah sejarah perubatan, gaya hidup dan senarai ubat-ubatan lengkap yang anda ambil. Pastikan anda memberitahu pasukan kesihatan mengenai semua ubat, vitamin dan suplemen herba yang anda ambil kerana ia mungkin boleh memberi kesan negatif pada jenis anestasia yang diberikan.

Semasa pembedahan

Anda mungkin akan diberikan ubat penenang sebelum pembedahan untuk membantu anda berehat dan tidur bagi mencegah kesakitan. Anda akan menerima ubat ini melalui urat, topeng muka, atau kedua-duanya sekali. Sekiranya anda mendapat anestesia umum, pakar bius akan kekal bersama anda sepanjang pembedahan. Beliau akan memeriksa pernafasan, degupan jantung, tekanan darah dan tanda-tanda penting anda lain, serta menyesuaikan tahap anestesia jika diperlukan.

Selepas pembedahan

Sebaik sahaja anda berada di bilik pemulihan, pakar anestetik akan memeriksa semula tanda-tanda anda. Doktor juga akan memastikan anda terjaga sepenuhnya dan tidak menghadapi masalah berkaitan anestesia. Anda mungkin mempunyai kesan sampingan seperti loya atau menggigil akibat anestesia. Jadi, doktor juga boleh memberi ubat untuk keadaan itu.

Bila anda perlu dapatkan rawatan

Sekiranya anda mempunyai keadaan seperti diabetes, asma, masalah jantung, atau artritis, ini perlu diketahui oleh pakar anestetik anda. Mereka akan bersedia untuk menguruskan keadaan ini semasa dan selepas pembedahan seperti yang diperlukan. Golongan pakar ini tidak hanya dilatih untuk menangani masalah perubatan yang berkaitan dengan pembedahan, malah mereka juga harus menangani sebarang keadaan kronik yang mungkin memerlukan perhatian semasa pembedahan.

Memandangkan anestesia dan pembedahan boleh mempengaruhi setiap sistem dalam badan, pakar bius akan bertanyakan sedikit soalan sebelum pembedahan dibuat. Kadangkala, ini dilakukan secara berdepan. Dalam kes lain, pakar anestetik akan menemu ramah anda melalui telefon. Doktor akan mengkaji sejarah perubatan anda serta memberitahu apa yang anda boleh jangkakan semasa pembedahan berjalan serta membincangkan pilihan anestetik yang sesuai dengan anda. Ini juga adalah waktu untuk membincangkan penggunaan ubat mana yang harus dihentikan, dan mana yang dapat dilanjutkan sebelum pembedahan berjalan, serta bila anda harus mula berpuasa sebelum pembedahan.

Prosedur rawatan anestetik

Pakar anestetik akan berjumpa dengan anda sebelum pembedahan dibuat untuk mengkaji keseluruhan sejarah perubatan anda dan keputusan ujian perubatan yang telah dilakukan sebelumnya. Pada masa ini, doktor akan mempunyai pemahaman yang jelas mengenai keperluan anestetik anda.

Seterusnya, pakar anestetik atau pakar bius boleh menyediakan beberapa jenis ubat anestetik seperti:

  • Anestesia am. Ini akan membuatkan anda “tertidur” semasa pembedahan. Anda akan mendapatkannya bagi pelbagai prosedur, termasuk pembedahan berskala besar seperti pembedahan penggantian lutut atau pembedahan jantung. Malah, ia juga diberikan dengan jarum dalam urat (IV) untuk membuatkan anda tidur dan kemudian menghirup ubat melalui tiub di saluran udara anda untuk membuatkan anda tidur.
  • Ubat sedatif atau ubat penenang. Ini membantu anda berehat sebelum dan semasa prosedur pembedahan anda. Kesannya boleh melibatkan rasa mengantuk ringan hinggalah tertidur dengan nyenyak. Anda mungkin tidak mengingati dengan tepat tentang apa yang berlaku, tetapi anda juga bukanlah tidak sedar sepenuhnya.
  • Anestesia serantau. Jenis anestesia ini hanya mematikan rasa pada sebahagian badan anda di mana anda akan menjalani pembedahan. Contohnya, doktor menggunakan ubat tahan sakit ini bagi pembedahan pada satu lengan atau kaki.
  • Anestesia tempatan. Ini akan mengebaskan kawasan lebih kecil di mana anda akan menjalani pembedahan. Anda boleh mendapatkan anestesia jenis ini untuk prosedur menghilangkan kanser kulit. Doktor boleh menggosokkan krim atau gel pada kulit atau memberikan anda suntikan. Anda masih berada dalam keadaan terjaga, tetapi tidak akan merasa kesakitannya.
  • Blok saraf. Ini adalah suntikan yang melegakan kesakitan akibat kecederaan dan keadaan perubatan. Doktor sering menggunakannya untuk merawat kesakitan di kawasan tertentu, seperti belakang badan.

Anggaran kos

Rawatan di hospital kerajaan bagi suntikan anestesia umum biasanya adalah percuma namun ianya berbeza di hospital swasta. Anda biasanya boleh dicaj sehingga RM1,000 bagi suntikan yang sama. Bagi suntikan-suntikan jenis lain, anda boleh dapatkan informasi lanjut daripada pihak hospital itu sendiri kerana harganya mungkin berbeza mengikut keadaan dan kos yang telah ditetapkan oleh mereka.

SUMBER

https://www.medicalnewstoday.com/articles/287857

https://my.clevelandclinic.org/health/treatments/15286-anesthesiology

https://www.webmd.com/a-to-z-guides/what-does-an-anesthesiologist-do#

https://www.urmc.rochester.edu/encyclopedia/content.aspx?ContentTypeID=85&ContentID=P01391

https://www.theapprenticedoctor.com/what-does-an-anesthetist-do/

Summary
Anestesiologi
Article Name
Anestesiologi
Description
Anestesiologi didefinisikan sebagai amalan perubatan yang khas bagi melegakan kesakitan dan menjaga pesakit sebelum, semasa dan selepas pembedahan.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: