Resepi Telur

Telur paling selalu dimasak harian kerana terdapat aneka resepi telur yang mudah lagi sedap untuk dicuba jika seseorang sedang mahu berjimat.

Baik di kedai mahupun di rumah, menu yang berasaskan telur memang sesuai dimakan bersama nasi melihatkan itu adalah makanan ruji masyarakat di Malaysia. Meski ringkas, rasanya tetap mengujakan!

Meski hidangan telur lazimnya disediakan menggunakan teknik menggoreng, kamu sebenarnya boleh mengolah ilham masakan telur dengan pelbagi cara kreatif lain.

Bagi memberi idea menu yang ringkas buat para pembaca sekalian, ini Ceria Sihat tampilkan beberapa resepi telur yang bukan sahaja lazat untuk dinikmati tetapi, sangat mudah dan menjimatkan masa.

RESEPI 1: Telur Masak Cili Manis

Apa kamu ingat, ikan dan ayam sahaja yang boleh dimasak bersama tumisan yang berasa masam-manis? Telur pun boleh juga. Resepi Telur Masak Cili Manis ini diambil daripada ilham masakan ala Thai, dengan menggunakan ramuan berupa sos manis. Ringkas untuk disediakan. Jelasnya resepi ini Cuma mengambil masa kira-kira 15 minit sahaja untuk siap dimasak.

Bahan-Bahan: –

  • 3 Biji Telur (digoreng sebagai telur mata)
  • 1 Botol Sos Thai (jenama Mae Ploy)

Cara-Cara: –

  1. Agar telur masak cantik, guna kuali jenis anti-lekat agar proses menterbalikkan telur jadi mudah. Panaskan kuali dengan minyak secukupnya.
  2. Pecahkan telur perlahan-lahan agar kuning telur terletak cantik dan tidak pecah. Biarkan sebelah bahagian telur masak dahulu.
  3. Apabila telihat bahagian hujung telur sudah mulai garing, boleh menterbalikkan telur untuk masak bahagian yang satu lagi pula. Pastikan setiap bahagian dimasak sekurang-kurangnya 1 minit di atas api serdehana.

Bagi penyediaan sos manis Thai pula, kamu boleh terus menggunakan sos manis Thai segera jenama “Mae Ploy”. Jenama ini mungkin boleh didapati di pasaraya besar seperti Jaya Grocer dan Village Grocer.

Cara-Cara: –

  1. Tuang sos di dalam mangkuk bersih, campurkan sedikit air untuk kurangkan rasa manis sos. Jika guna sos manis Thai jenama lain, rasa dahulu. Jika manisnya tidak terlampau menyegat, kamu tidak perlu menambah air.
  2. Sira sos manis Thai tersebut di atas telur mata yang siap digoreng. Tambahkan sedikit perahan limau kasturi untuk rasa yang lebih memukau.

RESEPI 2: Kentang Goreng Bertelur

Resepi kentang goreng telur ini tersangatlah mudah. Cuma perlu goreng kentang dan campurkan dengan telur. Lebih enak jika menikmatinya dengan nasi panas serta kicap. Meskipun terlihat simple, ramai yang menyukai menu ini. Penulis pun suka!

Bahan-Bahan: –

  • 2 Biji Kentang
  • 3 Biji Telur
  • Cili Api (dihiris)
  • Bawang besar (dihiris)

Cara-Cara: –

  1. Goreng hirisan kentang sehingga garing keemasan.
  2. Seterusnya, pukul 2 biji telur bersama hirisan cili dan bawang besar. Tambahkan garam sebagai perasa, lalu goreng di atas kuali panas yang sudah dituangkan minyak masak.
  3. Apabila keadaan telur dadar kelihatan separa masak, masukan kentang empuk yang sudah siap digoreng awal tadi. Gaul rata bersama telur.

RESEPI 3: Telur Dadar Rangup Ala Gerai Tom Yam

Ramai tak tahu bahawa terdapat kelainan apabila memesan telur dadar di gerai-gerai Tom Yam. Kebiasaannya, telur dadar mereka sangat garing dan bertesktur rangup -berbeza dengan telur dadar yang kita goreng di rumah.

Bahan-Bahan: –

  • Telur
  • Tepun Beras
  • Sos Ikan
  • Minyak Masak

Cara-Cara :-

  1. Pukul telur berasam sos ikan dan tepung beras.
  2. Pastikan penggunaan minyak adalah lebih sedikit daripada biasa. Ini kerana, teknik gorengan telur ala gerai tom yam ini perlu digoreng dengan minyak penuh.
  3. Setelah minyak panas di atas api serdehana, tuang bancuhan telur dan biar ia masak sehingga benar-benar garing dan kelihatan bersawang.
  4. Angkat dan toskan minyak di atas tisu dapur yang bertujuan menyerap lebihan minyak menggoreng tadi.
  5. Boleh taburkan hirisan cili hidup, bawang goreng serta daun bawang jika mahu.

RESEPI 4: Telur Goreng Tomato Bersama Cuka Dan Kicap

Merupakan masakan aasl China, hidangan yang mudah ini cuma gunakan 3 bahan ini. Sumpah senang disiapkan!

Bahan-Bahan: –

  • 2 Biji Telur Bersaiz besar
  • 1 Biji Tomato Ranum (Lebih enak kalau gunakan buah tomato yang masak kerana lebih berjus dan manis)
  • Hirisan daun bawang segar

Cara-Cara: –

  1. Panaskan minyak di atas api serdehana. Sila gunakan minyak yang banyak agar telur yang digoreng menjadi gebu.
  2. Tuangkan telur yang sudah dipukul ringan ke dalam minyak panas. Biarkan seketika sehingga tekstur telur sedikit kembang dan separa masak sebelum mengaulnya ringan dengan sudip untuk hasil telur hancur yang gebu.
  3. Tutup api dan biarkan telur berehat di dalam kuali.
  4. Dalam kuali lain, tumis daun bawang sehingga naik bau sebelum memasukkan hirisan tomato.
  5. Apabila tomato sudah kian melembut. Taburkan gula dan masukkan satu sudu cuka masakan.
  6. Kemudian, tambahkan sesudu kicap untuk rasa yang lebih sedap. Gaul kesemuanya dan tuang tumisan tomato ke dalam kuali yang berisi telur hancur tadi.

RESEPI 5: Telur Masala Berkuah

Selalunya kita hanya melihat ayam yang sering dijadikan bahan utama dalam masakan masala India. Rupanya, telur juga boleh dijadikan hidangan masala berkuah.

Katanya, hidangan ini sedap dimakan bersama nasi basmati. Kalau nak jadikan kuah cicahan roti Chapati dan Pratha pun boleh juga! Nak tahu sedap ke tidak jom kita cuba.

Bahan-Bahan: –

  • 3 Biji Telur Rebus
  • Sudu Makan Serbuk Jintan
  • Daun Salam
  • 2 Butir Buah Pelanga
  • 3 Biji Bunga Cengkih
  • 1 Inci Kayu Manis
  • 1 – 2 Cawan Hirisan Bawang Besar
  • 1 Sudu Pes halia bawang putih (dikisar)
  • 1 Cawam Tomato (dipotong dadu)
  • 1 Sudu Serbuk Cili
  • 1 Sudu Kecil Serbuk Garam Masala
  • Sedikit serbuk Kunyit
  • 3 Sudu Santan

Cara-Cara: –

  1. Panaskan minyak. Tumiskan daun salam, bunga cengkih, jintan, buah pelaga dan kayu manis sehingg naik bau.
  2. Masukkan pula bawang. Taburkan garam dan tumis sehingga bawang menjadi layu keemasan.
  3. Masuk juga tomato serta pes halia bawang putih yang dikisar secara berasingan awal tadi.
  4. Setelah tumisan tomato sudah berubah konsistensi seolah pes, boleh masukkan serbuk cili, serbuk kunyit dan serbuk garam masala. Gaul rata.
  5. Apabila rempah mulai pecah minyak, tuangkan beberapa sudu santan.
  6. Masak untuk beberapa ketika lagi sebelum memasukkan telur.
  7. Boleh tuangkan sedikit air agar masakan masala sedikit berkuah.
  8. Biarkan kuah masala terus masak sehingga mendidih sebelum memadam api.

RESEPI 6: Sayur Asin Bersama Telur Hancur Bercili

Siapa di sini gemarkan sayur asin? Sayur asin merupakan sayur sawi atau Pak Choy yang dijeruk dengan air garam serta cuka. Lazimnya, masyarakat Cina yang menggemari hidangan sayur asin ini.

Bahan-Bahan: –

  • 2 Biji Telur
  • 1 Paket Sayur Asin (diracik halus)
  • 5 Batang Cili Api (dihiris)
  • Bawang Holland (dihiris)

Cara-Cara: –

  1. Panaskan kuali bersama minyak di atas api perlahan. Masukkan bawang dan cili. Goreng sehingga terbit bau.
  2. Masukkan hirisan sayur asin dan goreng sehingga sedikit kering.
  3. Setelah itu, pecahkan telur di atas sayur asin dan biar telur menjadi separa masak sebelum menggaul rata kesemuanya.
  4. Andai telur sudah berubah rupa seperti telur hancur, boleh angkat dan hidangkan.

Buat para isteri serta kaum ibu yang sibuk menggalas tugas harian sebagai wanita berkerjaya, tunggu apa lagi? Kalau buntu idea masakan, bolehlah cuba aneka resepi telur ini ya?

Selamat mencuba!

SUMBER

https://www.indianhealthyrecipes.com/egg-masala-curry-for-biryanichapathipulao

https://www.foodelicacy.com/stir-fried-eggs-and-tomatoes

Summary
Aneka Resepi Telur: Ilham Masakan Untuk Wanita Berkerjaya
Article Name
Aneka Resepi Telur: Ilham Masakan Untuk Wanita Berkerjaya
Description
Telur paling selalu dimasak harian kerana terdapat aneka resepi telur yang mudah lagi sedap untuk dicuba jika seseorang sedang mahu berjimat.
Publisher Name
CeriaSihat
Tagged: