Anak angkat bukanlah satu pilihan yang mudah untuk diterima. Setiap pasangan pasti mengimpikan zuriat. Zuriat bukan sahaja menjadi penyambung warisan dan keturunan, akan tetapi kehadiran zuriat dalam hidup melengkapkan dan menceriakan kehidupan pasangan-pasangan yang sudah berkahwin.

Namun bagi pasangan yang sukar mendapatkan zuriat, ada yang mengambil langkah untuk mengambil anak angkat. Di Malaysia, urusan pengambil anak angkat diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Malaysia di bawah AKta Pengangkatan 1952. Terdapat beberapa prosedur dan syarat yang telah ditetapkan bagi mengambil anak angkat di Malaysia. Antaranya :

Syarat- syarat untuk bakal Ibu Bapa

  • Salah seorang ibu bapa angkat (suami/isteri) atau ibu/bapa (tunggal) bertaraf Warganegara atau Penduduk Tetap;
  • Ibu bapa angkat atau ibu/bapa (tunggal) berumur 25 tahun ke atas dan sekurang-kurangnya 18 tahun lebih tua daripada kanak-kanak;
  • Pasangan suami isteri memiliki Dokumen Perkahwinan yang sah;
  • Mendapat keizinan pengangkatan daripada ibu dan bapa kandung atau ibu tunggal (surat akuan berkanun)
  • Sekiranya tiada keizinan ibu bapa kandung, pengangkatan masih boleh dilaksanakan melalui perintah mahkamah atau laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
  • Permohonan perlu dikemukakan di JPN dalam daerah  ibu dan bapa angkat bermastautin.

Syarat Untuk Kanak-kanak

  • Belum pernah berkahwin;
  • Berumur di bawah 18 tahun dan bermastautin di Semenanjung Malaysia.
  • Telah dalam jagaan dan dipelihara pasangan suami isteri secara bersama, sebagai anaknya sendiri bagi tempoh tidak kurang dari dua tahun yang berterusan sebelum pendaftaran pengangkatan  dibuat.
  • Kanak-kanak bertaraf warganegara atau bukan warganegara.
  • Kanak-kanak memiliki dokumen pengenalan diri (Sijil Kelahiran/ Kad Pengenalan/ Passport/ Permit Masuk bagi warganegara asing/ dan visa perlu cukup tempoh dua tahun).
  • Memiliki Sijil Kelahiran (jika tiada, Permohonan Daftar Lewat Kelahiran harus dibuat)[1]

Walau bagaimanapun, tidak mudah mengambil anak angkat. Selain faktor prosedur pengangkatan yang renyah, terdapat faktor lain yang perlu dipertimbangkan oleh pasangan-pasangan yang berhajat untuk mengambil anak angkat.

Persediaan Emosi

Mengambil anak angkat memerlukan persediaan emosi. Soalan yang perlu ditanya oleh setiap pasangan sebelum mengambil anak ialah, “Apakah ibu bapa angkat boleh menyayangi si anak seperti darah daging sendiri?” atau “Apakah si anak boleh menyayangi ibu bapa angkat seperti ibu bapa kandung mereka sendiri?”

Tidak mudah untuk menjaga seorang anak. Ianya menuntut kesabaran yang amat tinggi. Anak juga sentiasa dahagakan perhatian daripada ibu bapa. Para ibu bapa perlu diingatkan bahawa pengabaian emosi anak adalah satu bentuk pengabaian secara fizikal. Persediaan kasih sayang perlulah diberi tanpa berbelah bagi daripada ibu bapa angkat kepada bakal anak angkat mereka.

Persediaan Kewangan

Tidak dinafikan bahawa memelihara anak, tidak kira anak kandung ataupun sebaliknya, memerlukan kos yang tinggi. Kos-kos ini berterusan sehinggalah seseorang anak itu tamat pembelajaran seterusnya berupaya menanggung dirinya sendiri.

Faktor Kesihatan

Bakal ibu bapa wajib mengetahui sejarah kesihatan bakal si anak. Walau pun bakal anak angkat tersebut masih bayi, penting untuk mengambil tahu sejarah keluarga (ibu bapa kandung) si anak. Ini termasuklah :

  1. kehamilan ibu mereka dan kelahiran dan perkembangan awal mereka
  2. sejarah perubatan keluarga kelahiran mereka
  3. sejarah perubatan mereka sendiri, termasuk pengalaman penyalahgunaan dan pengabaian, dan senarai kronologi imunisasi, kecederaan dan penyakit yang mereka alami
  4. kesihatan fizikal mereka sekarang, termasuk penglihatan, pendengaran dan penjagaan gigi
  5. kesihatan mental dan tingkah laku mereka, termasuk pengalaman trauma dan kehilangan

Sekiranya tiada rekod berkenaan sejarah kesihatan si anak, maka bakal ibu bapa perlu membuat perancangan penjagaan dengan membuat penilaian kesihatan setiap 6 bulan bagi kanak-kanak berumur 4 tahun dan ke bawah. Bagi kanak-kanak 5 tahun dan keatas, pemeriksaan kesihatan perlu dibuat sekurang-kurangnya setiap 12 bulan atau setahun sekali.

Faktor kesihatan ini teramat penting untuk dipertimbang, dan soalan-soalan yang perlu ditanya bagi setiap pasangan yang bakal mengambil anak angkat,

“Adakah ibu bapa angkat sedia untuk menanggung si anak dari segi kewangan dan  tenaga sekiranya bakal si anak mempunyai penyakit? ”

“Adakah bakal ibu bapa sedia menerima keadaan si anak sekiranya anak angkat mempunyai penyakit yang serius ataupun penyakit yang sentiasa memerlukan pengawasan doktor?”

Selain itu, cabaran mengambil anak angkat dari usia bayi sudah tentu sedikit berbeza dengan mengambil anak berusia 4 tahun dan ke atas. Ini kerana penjagaan bayi [0-1.5 tahun] dan kanak-kanak bertatih (toddler) [1.5-4 tahun] jauh lebih mencabar, dan ianya menuntut tenaga dan masa yang banyak daripada kedua ibu bapa. Oleh itu, faktor kesihatan bakal ibu bapa juga penting untuk dipertimbangkan kerana soalan yang paling penting di sini ‘’Adakah ibu bapa angkat mampu menjaga si anak dengan sebaiknya?”.

Penerimaan Ahli Keluarga

Penerimaan ahli keluarga juga penting sebelum mengambil anak angkat. Ini kerana si anak yang akan diambil bakal menjadi sebahagian ahli keluarga ibu bapa. Sekiranya keluarga ibu bapa angkat tidak dapat menerima kehadiran si anak di dalam keluarga, maka perkara ini akan memberi kesan kepada anak angkat dari segi emosi. Mereka akan berasa seperti orang asing dan tersisih.

Jika ahli keluarga ibu bapa angkat tidak ada masalah untuk menerima kehadiran ahli keluarga baru, penting bagi ibu bapa supaya tidak merahsiakan status pengangkatan anak tersebut. Kerahsiaan hanya akan menambah jurang yang lebih besar antara ibu bapa dan si anak apabila perkara tersebut diketahui daripada orang lain ataupun perkara tersebut diketahui setelah si anak telah meningkat usia dewasa.

Krisis Identiti

Pembentukan identiti merupakan sesuatu yang berlaku sepanjang zaman kanak-kanak dan usia remaja. Ianya akan berterusan berkembang dan mengalami perubahan ke atas hidup seseorang. Identiti seseorang itu ditakrifkan dengan keadaan di mana seseorang itu percaya seseorang itu berasal.

Bagi anak angkat, membentuk jati diri atau identiti merupakan suatu cabaran. Ada sesetengah mereka berasa tersisih ataupun mereka berasa berbeza berbanding rakan-rakan sebaya yang lain yang dibesarkan oleh keluarga kandung mereka sendiri.

Kesan daripada perasaan terasing atau tersisih ini menyebabkan berlakunya krisis identiti yang boleh membawa kepada kerisauan melampau (anxiety), tekanan (depression) ataupun rasa rendah diri (low self-esteem).

Umum mengetahui bahawa tidak mudah untuk menjadi ibu bapa. Bakal ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan persediaan mental dan fizikal dalam menghadapi cabaran membesarkan si anak. Tidak ada bezanya anak kandung dan anak angkat kerana mereka juga manusia. Akan tetapi anak angkat selalunya mempunyai sensitiviti yang tinggi  berkenaan kekeluargaan. Oleh itu, dengan cara dan ilmu yang betul, jurang pengangkatan tersebut dapat dikurangkan.

SUMBER:


https://bidadari.my/cara-mengambil-anak-angkat-di-hospital/

https://ms.toyodacenter.com/your-adopted-childs-health-needs-400e0e

https://ms.wikipedia.org/wiki/Kanak-kanak

https://consideringadoption.com/adopted/impact-of-adoption/adoption-identity-issues/

Summary
Anak Angkat: Faktor Yang Dipertimbangkan.
Article Name
Anak Angkat: Faktor Yang Dipertimbangkan.
Description
Walau bagaimanapun, tidak mudah mengambil anak angkat. Selain faktor prosedur pengangkatan yang renyah, terdapat faktor lain yang perlu dipertimbangkan oleh pasangan-pasangan yang berhajat untuk mengambil anak angkat.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: