Kencing manis kanak-kanak
Kanak- kanak yang menghidap penyakit diabetes boleh memberi peluang rawatan yang lebih baik.

Individu muda yang menghidap penyakit diabetes biasanya berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan lain dalam kehidupan mereka. Jadi, dengan mengesan simptom penyakit kencing manis dari peringkat awal, ia boleh memberi peluang rawatan yang lebih baik kepada kanak-kanak yang terlibat. 

Penyakit diabetes boleh menjejaskan kupayaan tubuh anak anda untuk  menggunakan insulin. Kencing manis jenis 1 dan 2 merupakan penyakit yang berbeza tetapi kedua-duanya berkaitan dengan masalah insulin dalam badan.

Sebelum ini, diabetes jenis 1 yang dihidapi kanak-kanak digelar sebagai kencing manis remaja (teen diabetes). Ia terjadi apabila pankreas tidak dapat menghasilkan insulin.

Tanpa insulin, gula dalam darah tidak boleh bergerak ke dalam sel justeru meningkatkan paras gula dalam darah.

Simptom penyakit diabetes

Penyakit kencing manis jenis 1

Sesetengah simptom adalah serupa kepada kanak-kanak dan remaja termasuklah:

  • Sering berasa dahaga dan membuang air kencing dengan kerap.
  • Kerap lapar.
  • Berat badan berkurangan.
  • Keletihan.
  • Nafas berbau seperti buah-buahan.
  • Penglihatan menjadi kabur.

Kanak-kanak perempuan biasanya mungkin mengalami jangkitan yis. Malah, simptom penurunan berat badan adalah gejala biasa sebelum diagnosis penyakit diabetes disahkan. Sebagai ibu bapa atau penjaga, anda harus memberi perhatian kepada anak-anak anda mengenai 4T ini iaitu:

  • Toilet (Tandas): Kerap menggunakan tandas, lampin bayi perlu selalu ditukar atau kencing malam setelah kekal kering buat seketika.
  • Thirsty (Haus): Minum lebih banyak air daripada biasa tetapi masih dahaga.
  • Tired (Lelah): Rasa lebih letih daripada kebiasaan.
  • Thinner (Semakin kurus): Penurunan berat badan secara tiba-tiba

Penyakit kencing manis jenis 2

Simptom penyakit diabetes jenis 2 termasuklah:

  • Kerap kencing terutamanya pada waktu malam.
  • Sentiasa berasa dahaga.
  • Keletihan.
  • Berat badan turun tanpa sebab.
  • Gatal-gatal di sekitar alat kelamin, mungkin dijangkiti yis.
  • Penyembuhan luka mengambil masa yang lama.
  • Penglihatan menjadi kabur kerana lensa mata menjadi kering

Tanda rintangan insulin pula termasuklah:

  • Kemunculan tompokan gelap dan lembut pada kulit yang dipanggil ‘nigrican acanthosis’.
  • Mengalami sindrom ovarium polikistik (PCOS – Polycystic ovary syndrome).

Simptom penyakit kencing manis jenis 1 pada kanak-kanak selalunya berkembang pesat selama beberapa minggu. Manakala, bagi simptom penyakit diabetes  jenis 2, ia berkembang dengan lebih perlahan sehingga boleh mengambil masa selama berbulan atau bertahun untuk didiagnosis.

Tanda Amaran Penyakit Kencing Manis

Sesetengah kanak-kanak tidak didiagnosis sehinggalah gejala mereka sudah berapa pada tahap yang teruk dan dalam beberapa kes, boleh membawa maut. 

Jangan abaikan simptom anak anda

Kanak-kanak dan remaja yang menghidap kencing manis selalunya menunjukkan empat gejala utama, tetapi ramai kanak-kanak hanya menunjukkan satu atau dua simptom. Dalam beberapa kes yang lain, mereka mungkin tidak menunjukkan sebarang simpom langsung. Sekiranya seorang kanak-kanak menjadi terlalu dahaga, letih atau membuang air kencing lebih kerap daripada biasa, ibu bapa mungkin tidak menganggap keadaan itu sebagai tanda-tanda penyakit diabetes.

Oleh kerana penyakit kencing manis jarang berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang kecil, doktor mungkin akan mendiagnosisnya sebagai simptom biasa bagi penyakit lain.

Jadi, ibu bapa perlu ambil tahu mengenai simptom-simptom penyakit diabetes di kalangan kanak-kanak dari awal dan dapatkan diagnosis dan rawatan secepat mungkin.

Komplikasi Penyakit Kencing Manis

Komplikasi penyakit diabetes jenis 1

Salah satu komplikasi paling serius bagi penyakit kencing manis jenis 1 adalah ketoasidosis diabetic (diabetic ketoacidosis). Sekiranya anak anda tidak didiagnosis dengan diabetes jenis 1 atau jenis 2, mereka berkemungkinan mengalami ketoasidosis diabetik. Ketoasidosis diabetik adalah punca utama bagi kematian kanak-kanak yang menghidap penyakit kencing manis jenis 1.

Jika tahap insulin anak anda sangat rendah, tubuhnya tidak boleh menggunakan glukosa sebagai sumber tenaga. Sebaliknya, ia mula memecahkan lemak untuk menjana tenaga.

Hal ini menyebabkan pengeluaran bahan kimia yang dipanggil sebagai keton. Ia boleh menjadi toksik sekiranya dimiliki dalam paras tinggi. Pembentukannya juga akan mengembangkan ketoasidosis diabetik iaitu tubuh badan anak anda boleh menjadi berasid. Diagnosis awal dan pengurusan penyakit diabetes yang baik dapat mencegah komplikasi ketoasidosis diabetik

Satu kajian yang dijalankan terhadap kanak-kanak berusia 8 bulan hingga 16 tahun yang menghidap kencing manis jenis 1 mendapati bahawa, sewaktu kanak-kanak berumur 2 tahun ke bawah menerima diagnosis, 80% daripada mereka telahpun mengalami ketoasidosis diabetik.

Para penyelidik juga mendapati bahawa ketoasidosis diabetik adalah lebih lazim dalam kalangan kanak-kanak dengan didiagnosis diabates jenis 1 yang lambat atau salah.

Komplikasi penyakit kencing manis jenis 2

Tanpa sebarang rawatan, penyakit diabetes jenis 2 berkembang lebih cepat pada individu muda berbanding individu dewasa. Mereka juga berkemungkinan tinggi mengalami komplikasi teruk seperti penyakit buah pinggang dan penyakit mata lebih awal dalam kehidupan berbanding kanak-kanak yang menghidap penyakit kencing manis jenis 1. Selain itu, mereka juga berisiko mendapat penyakit tekanan darah tinggi dan tahap kolesterol tinggi yang boleh mengakibatkan penyakit saluran darah.

Penyakit diabetes jenis 2 pada kanak-kanak selalunya berlaku akibat masalah obesiti. Oleh itu, pengesanan awal simptom kencing manis jenis 2 adalah amat penting. Ibu bapa perlulah mengambil berat mengenai berat badan anak mereka untuk mengelakkan sebarang penyakit sebegini. Ia termasuklah menggalakkan anak-anak mengikuti diet yang sihat dan bersenam secara berkala.

Diagnosis Penyakit Kencing Manis

Kanak-kanak yang mempunyai simptom penyakit kencing manis perlu berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan pemeriksaan. Pemeriksaan tersebut boleh terdiri daripada:

  • Ujian air kencing untuk mengukur jumlah gula dalam air kencing.
  • Ujian darah pada jari telunjuk bagi memeriksa tahap glukosa kanak-kanak.

Kanak-kanak berumur lebih dari 10 tahun yang tidak menghidap penyakit diabetes tetapi mempunyai berat yang berlebihan disarankan untuk melakukan diagnosis yang sama. Ini diperlukan bagi mengesan simptom tersembunyi bagi penyakit ini terutamanya jika mereka memiliki faktor risiko tersebut:

  • Mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit kencing manis jenis 2, seperti ibu bapa atau adik beradik.
  • Etnik yang berisiko tinggi menghidap penyakit diabetes seperti orang Asli Amerika, Afrika Amerika, Latin, Asia Amerika atau Kepulauan Pasifik.
  • Mempunyai simptom rintangan insulin
  • Ibu yang menghidap penyakit kencing manis atau diabetes gestasi sewaktu hamil.

Langkah Pencegahan Penyakit Kencing Manis

Ianya adalah sesuatu yang mustahil untuk mengelakkan penyakit kencing manis jenis 1. Namun, anak anda boleh mengambil langkah berikut untuk mengurangkan risiko mendapat penyakit diabetes jenis 2 seperti:

  • Mengekalkan berat badan yang sihat.
  • Kekal aktif.
  • Mengehadkan makanan dan minuman manis.
  • Mengamalkan pemakanan yang seimbang.

Rawatan Penyakit Kencing Manis

Penyakit diabetes jenis 1 biasanya boleh berlaku pada kanak-kanak atau remaja pada bila-bila masa. Biasanya, rawatan penyakit kencing manis jenis 1 melibatkan pemantauan paras gula dalam darah dan pengambilan insulin sepanjang hayat. Kanak-kanak yang menghidap penyakit kencing manis jenis 1 juga perlu mengamalkan diet yang seimbang dan selalu bersenam untuk mengekalkan paras gula mengikut sasaran

Manakala, penyakit kencing manis jenis 2 pula jarang berlaku kepada kanak-kanak kecil, tetapi boleh berlaku sekiranya insulin tidak berfungsi dengan baik. Tanpa insulin yang mencukupi, glukosa akan terkumpul dalam saluran darah

Oleh itu, penyakit diabetes tahap 2 boleh diuruskan melalui:

  • Perubahan diet.
  • Banyak bersenam.
  • Mengekalkan berat badan yang sihat.
  • Pengambilan ubat-ubatan.

SUMBER

https://www.webmd.com/diabetes/type-2-diabetes-in-children

https://www.healthline.com/health/type-2-diabetes-children

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/type-2-diabetes-in-children/symptoms-causes/syc-20355318

https://www.medicalnewstoday.com/articles/284974

Summary
Anak Anda Juga Boleh Menghidap Penyakit Kencing Manis Kanak-kanak
Article Name
Anak Anda Juga Boleh Menghidap Penyakit Kencing Manis Kanak-kanak
Description
Penyakit kencing manis bukan sahaja menjejaskan golongan dewasa, tapi tahukah anda terdapat juga penyakit kencing manis kanak-kanak yang boleh berlaku?
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: