Amoxicillin
Amoxicillin adalah sejenis ubat antibiotik preskripsi.

Pengenalan

Amoxicillin adalah sejenis ubat antibiotik preskripsi. Ia digunakan untuk merawat jangkitan yang terjadi kerana jenis bakteria tertentu. Selain itu, ia juga boleh digunakan sebagai sebahagian daripada terapi kombinasi. Ini bermakna, anda mungkin perlu mengambilnya dengan gabungan ubat lain.

Selain itu, amoxicillin ini mempunyai beberapa jenis seperti tablet oral seperti tablet immediate-release (IR), tablet extended-release (ER), dan tablet yang boleh dikunyah. Namun, tablet yang boleh dikunyah dan tablet IR hanya boleh didapati sebagai ubat generik. Sementara itu, tablet ER pula hanya boleh didapati sebagai ubat berjenama Moxatag.

Ia juga boleh didapati sebagai kapsul dan ubat cecair. Semua ini boleh diambil melalui mulut.

Kegunaan Amoxicillin

Amoxicillin digunakan untuk merawat pelbagai jenis jangkitan yang terjadi disebabkan bakteria, seperti tonsilitis, bronkitis, keradangan paru-paru dan jangkitan telinga, hidung, tekak, kulit atau saluran kencing.

Ia juga kadangkala digunakan bersama antibiotik lain yang disebut clarithromycin (Biaxin) untuk merawat ulser perut disebabkan jangkitan Helicobacter pylori. Malah, gabungan ini kadangkala digunakan dengan pengurang asid perut yang dipanggil lansoprazole (Prevacid). Namun, ia tidak dapat merawat jangkitan virus seperti selesema atau selesema biasa.

Jika anda mengambil amoxicllin dengan clarithromycin dan/ atau lansoprazole untuk merawat ulser perut, gunakan kesemua ubat seperti yang diarahkan. Bacalah panduan ubat atau arahan pesakit yang disediakan pada setiap ubat. Pastikan anda tidak mengubah dos atau jadual ubat tanpa mendapatkan nasihat daripada doktor anda.

Selain itu, gunakan ubat ini untuk tempoh masa yang ditetapkan walaupun gejala-gejala anda telah sembuh. Melangkau dos boleh meningkatkan risiko jangkitan yang ditentang oleh ubat.

Ubat ini boleh menjejaskan keputusan ujian perubatan tertentu. Jadi, maklumkan pada mana-mana doktor yang merawat anda bahawa anda menggunakan ubat ini.

Langkah Berjaga-jaga dan Amaran Bagi Penggunaan Amoxicillin

  • Menghabiskan terapi: Ianya adalah penting untuk menyelesaikan keseluruhan rawatan seperti yang ditetapkan oleh doktor anda. Jangan berhenti mengambil ubat ini atau melangkau dos jika anda mula berasa lebih baik. Ini boleh menyebabkan jangkitan anda bertahan lebih lama. Malah, anda juga boleh membangunkan daya tahan terhadap ubat tersebut. Ini bermakna jika anda mendapat jangkitan bakteria yang sama pada masa akan datang, anda mungkin tidak dapat merawatnya dengan amoxicillin lagi.
  • Cirit-birit: Ubat ini boleh menyebabkan gejala cirit-birit. Hubungi doktor anda jika anda mempunyai cirit-birit berdarah atau berair, dengan atau tanpa simptom lain seperti sakit perut dan demam.
  • Reaksi alergi yang serius: Ubat ini boleh menyebabkan tindak balas alergi yang serius. Lebih membimbangkan lagi adalah tindak balas ini boleh membawa maut (menyebabkan kematian). Jika anda alah kepada antibiotik lain, seperti penisilin atau cephalosporins, risiko anda mendapat tindak balas alergi mungkin lebih tinggi. Hubungi doktor sekiranya anda mengalami kesukaran untuk bernafas atau pembengkakakan pada tekak atau lidah semasa mengambil ubat ini.

Kesan Sampingan Amoxicillin

Kesan sampingan biasa bagi penggunaan amoxicillin termasuk:

  • Sakit perut
  • Cirit-birit
  • Muntah
  • Jangkitan yis

Kesan sampingan yang serius terhadap amoksisilin juga boleh berlaku. Sekiranya anda mempunyai apa-apa kesan sampingan seperti di bawah, hentikan pengambilan dan hubungi doktor anda dengan segera:

  • Ruam yang teruk
  • Kulit atau mata yang bertukar menjadi warna kuning (penyakit kuning)
  • Pendarahan atau lebam luar biasa
  • Kegatalan (hives)
  • Kejang
  • Keletihan yang melampau
  • Bengkak pada muka, bibir, atau lidah
  • Sakit dada
  • Kesukaran bernafas
  • Ruam yang mengelupas atau meleleh
  • Cirit-birit yang teruk atau berdarah

Kontraindikasi Amoxicillin

Hipersensitiviti terhadap suntikan G-Amoxicillin adalah kontraindikasi bagi penggunaan amoxicillin. Di samping itu, ia tidak boleh digunakan jika anda mempunyai syarat-syarat seperti:

  • Hipersensitiviti terhadap mana-mana penicilin

Interaksi Amoxicillin

Sesetengah ubat boleh menjejaskan fungsi amoxicillin serta ia sendiri juga boleh menjejaskan ubat lain yang anda ambil, dan menyebabkan masalah. Ia sangat penting untuk memaklumkan pada doktor tentang semua ubat yang anda ambil, termasuklah apa-apa vitamin, herba, atau suplemen yang tidak dipreskripsi (OTC).

Di samping itu, amoxicillin mungkin membuatkan jenis pil kawalan kelahiran tertentu menjadi kurang berkesan.

Ubat-ubatan yang dikenal pasti boleh berinteraksi dengan termasuk:

  • Ubat dipanggil allopurinol (Lopurin, Zyloprim), yang digunakan untuk merawat gout, asid urik yang tinggi dalam badan dan batu karang.
  • Satu lagi ubat yang digunakan untuk merawat gout, iaitu probenecid (Benemid).
  • Antibiotik lain, termasuk chloramphenicol, sulfonamides, macrolides dan tetracycline.

Jika anda seorang pesakit kencing manis dan melakukan ujian air kencing anda untuk memeriksa kadar gula, anda harus tahu bahawa pengambilan amoxicillin boleh menjejaskan beberapa ujian air kencing. Tanya doktor tentang ujian air kencing yang dibuat semasa pengambilan amoxicillin.

Amoxicillin dan Alkohol

Mengambil alkohol semasa menggunakan amoxicillin umumnya dianggap selamat, dan ia tidak mengurangkan keberkesanan.

Walau bagaimanapun, mengambil antibiotik seperti amoxicillin boleh menyebabkan sakit perut, dan alkohol boleh menyebabkan kesan sampingan ini dan yang lain menjadi lebih teruk lagi.

Dos Amoxicillin

– Dos biasa Amoxicillin

Dos amoxicillin adalah bergantung kepada seberapa teruknya jangkitan anda dan apakah jenis jangkitan yang anda alami. Bagi kanak-kanak, dos ubat ini ditentukan oleh doktor berdasarkan jenis jangkitan dan berat badan kanak-kanak.

Selain itu, amoxicillin terdapat dalam bentuk kapsul dan tablet. Individu dewasa harus mengambil tablet atau kapsul dengan segelas air. Amoxicillin bagi kanak-kanak pula wujud dalam bentuk tablet dan cecair. Ia juga diambil dengan atau tanpa makanan.

Seterusnya, dos biasa untuk individu dewasa dengan jangkitan telinga, hidung, atau tekak yang tidak serius hingga sederhana ialah 500mg setiap 12 jam atau 250mg setiap 8 jam sehingga preskripsi tersebut selesai. Untuk jangkitan yang lebih teruk, dos biasa adalah 875mg setiap 12 jam atau 500mg setiap 8 jam.

Dos amoxicillin untuk kanak-kanak (lebih tua dari 3 bulan) dengan jangkitan saluran pernafasan yang lebih rendah adalah 40mg per kilogram (kg) berat badan dalam sehari dan dos dibahagikan setiap 8 jam. Atau, doktor boleh juga kadangkala mahukan kanak-kanak mengambil 45mg per kg sehari dalam dos yang dibahagikan setiap 12 jam.

– Dos Amoxicillin yang terlebih

Walaupun ia jarang berlaku, ada kemungkinan bahawa anda mungkin mengambil dos amoxicillin yang berlebihan. Jika individu lain tidak sedarkan diri, berhenti bernafas atau mengalami simptom yang serius kerana terlebih dos, hubungi pakar perubatan dengan segera.

– Dos yang dilangkau

Ambil amoxicillin seperti yang diarahkan oleh doktor anda. Usah berhenti mengambil amoxicillin dengan sendiri. Melangkau dos atau berhenti terlalu cepat boleh menjadikan jangkitan anda lebih sukar untuk dirawat.

Jika anda terlepas dos, ambil dos tersebut sebaik sahaja anda ingat akannya. Namun, sekiranya anda sudah hampir untuk dos seterusnya, langkau dos yang tidak diambil itu. Jangan gandakan dos anda untuk menebus dos yang tidak diambil sebelumnya.

Sumber:

https://www.webmd.com/drugs/2/drug-1531-3295/amoxicillin-oral/amoxicillin-oral/details

https://www.healthline.com/health/amoxicillin-oral-tablet

https://www.rxlist.com/amoxicillin-side-effects-drug-center.htm

https://www.healthline.com/health/side-effects-amoxicillin-amoxil-trimox

Summary
Amoxicillin
Article Name
Amoxicillin
Description
Amoxicillin adalah sejenis ubat antibiotik preskripsi. Ia digunakan untuk merawat jangkitan yang terjadi kerana jenis bakteria tertentu.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: