amnesia disosiatif
Amnesia disosiatif adalah salah satu daripada sekumpulan keadaan yang dipanggil sebagai gangguan disosiatif. 

Amnesia disosiatif adalah salah satu daripada sekumpulan keadaan yang dipanggil sebagai gangguan disosiatif. Gangguan disosiatif ialah penyakit mental yang melibatkan gangguan atau kerosakan pada memori, kesedaran, identiti dan/atau persepsi.

Apabila satu atau lebih fungsi (memori, persepsi dll.) ini terganggu, amnesia disosiatif boleh berlaku. Ia dapat mengganggu fungsi umum seseorang individu dari segi aktiviti sosial, kerja dan perhubungan.

Jenis Amnesia Disosiatif

Terdapat banyak jenis amnesia. Di bawah adalah senarai amnesia yang biasa berlaku:

  • Amnesia Anterogred : Individu yang tidak dapat mengingat maklumat baharu. Perkara yang baru berlaku serta maklumat yang disimpan dalam memori jangka pendek hilang. Kebiasaannya, ia terjadi disebabkan trauma terhadap otak apabila terdapat hentakan atau pukulan di kepala yang boleh mengakibatkan kerosakan otak. Namun, memori serta peristiwa yang berlaku sebelum masa kecederaan dialami tidak terjejas dan mereka masih boleh mengingatinya.

 

  • Amnesia Retrogred: Ia bertentangan dengan amnesia anterogred di mana individu yang mengalami amnesia retrogred mempunyai gangguan memori mengenai peristiwa yang berlaku sebelum trauma atau kecederaan. Kebarangkalian untuk kedua-dua amnesia, amnesia retroged dan anterogred, berlaku serentak adalah jarang.

 

  • Amnesia Global Sementara : Individu yang mengalami amnesia global sementara didapati hilang semua ingatan secara sementara dan dalam kes yang serius, mereka mengalami kesukaran untuk membentuk memori baharu. Kes ini sangat jarang berlaku dan lebih cenderung terjadi pada orang dewasa yang lebih tua dan menghidapi penyakit vaskular (pembuluh darah).

     

  • Amnesia Traumatik : Kehilangan memori akibat hentakan kuat ke kepala. Misalnya, dalam kemalangan kereta. Individu tersebut mungkin mengalami kesedaran singkat atau koma. Amnesia traumatik juga biasanya bersifat sementara, tetapi jangka masa ia untuk sembuh bergantung kepada betapa teruknya kecederaan tersebut.

     

  • Psikosis Wernicke-Korsakoff : Kes ini berpunca dari penyalahgunaan alkohol yang berlebihan sehingga boleh membawa kepada kehilangan ingatan progresif yang semakin memburuk dari semasa ke semasa. Individu tersebut juga mungkin mengalami masalah neurologi, seperti koordinasi yang lemah dan kehilangan rasa di jari tangan dan kaki. Selain itu, ia juga boleh terjadi disebabkan kekurangan zat makanan, khususnya kekurangan thiamin (vitamin B1).

      

  • Amnesia Histeris (fugue atau disosiatif) : Amnesia jenis ini amat jarang berlaku. Pesakit boleh melupakan bukan sahaja masa lalu tetapi juga identiti mereka. Mungkin suatu hari mereka bangun dari tidur dan secara tiba-tiba tidak mengenali siapa diri mereka. Walaupun mereka melihat cermin, mereka tidak boleh mengenali refleksi mereka sendiri. Pengesahan identiti seperti lesen memandu, kad kredit, atau kad pengenalan menjadi tidak bermakna buat mereka. Biasanya amnesia ini dicetuskan oleh peristiwa yang tidak mampu diterima oleh fikiran seseorang, seperti trauma atau kenangan pahit. Keupayaan untuk mengingat biasanya kembali sama ada secara perlahan atau tiba-tiba dalam tempoh masa beberapa hari, tetapi ingatan peristiwa yang traumatik itu mungkin tidak akan kembali sepenuhnya.

     

  • Amnesia Kanak-kanak (amnesia kanak-kanak) : Individu yang tidak dapat mengimbas kembali peristiwa dari awal kanak-kanak, mungkin disebabkan oleh masalah perkembangan bahasa atau beberapa kawasan memori otak yang tidak matang sepenuhnya pada zaman kanak-kanak.

     

  • Amnesia Pascahipnotik: Ketidakupayaan seorang individu untuk mengingati peristiwa yang berlaku sewaktu berada dalam keadaan hipnotik. Ia boleh terjadi secara automatik ketika proses cadangan hipnotik dijalankan. Seorang ahli hipnotik mungkin mencadangkan kepada individu yang berada dalam keadaan hipnotik supaya dia tidak mengingati maklumat spesifik atau mengingati maklumat spesifik apabila telah bersedia. Amnesia ini bersifat sementara dan walaupun ahli hipnotik telah mencadangkan memori tertentu dilupakan atau diingati, mereka tetap akan memperolehi memori tersebut dari masa ke semasa terpulang kepada individu.

       

  • Amnesia Sumber : Amnesia sumber ialah ketidakupayaan individu untuk mengingat di mana, bila atau bagaimana maklumat yang dipelajari sebelum ini diperoleh, sambil mengekalkan pengetahuan faktual mereka. Ia sering dikaitkan dengan kegagalan untuk berfikir dengan jelas.

 

  • Fenomena gelap : Ia selalunya terjadi sewaktu individu mengambil alkohol dalam jumlah yang banyak dan mabuk, sebagai contoh mabuk sehingga menyebabkan pertengkaran dengan orang lain di sekeliling. Kesannya mengakibatkan tercetus jurang memori sewaktu pertengkaran tersebut berlaku dan selepas individu tersebut sedar dari keadaan mabuk. Mereka tidak dapat mengingati peristiwa yang terjadi sewaktu berada dalam pengaruh alkohol yang tinggi.

     

  • Prosopamnesia : Prosopamnesia ialah gangguan neurologi terpilih dalam keupayaan untuk mempelajari wajah baru. Secara amnya, otak manusia terdapat litar saraf khas untuk pemprosesan wajah berbanding dengan objek bukan wajah yang lain. Prosopamnesia adalah defisit yang berlaku di bahagian litar ini, yang bertanggungjawab untuk pengekodan persepsi sebagai kenangan.  

 Simptom Amnesia Disosiatif

Gejala utama amnesia disosiatif ialah ketidakupayaan untuk mengingati pengalaman atau maklumat peribadi yang lalu secara tiba-tiba. Sesetengah orang yang menghidap gangguan ini mungkin kelihatan keliru dan mengalami kemurungan dan/atau kebimbangan.

Berikut adalah gejala umum amnesia:

  • Keupayaan untuk mempelajari maklumat baru terganggu dalam amnesia anterogred.
  • Tidak berupaya untuk mengingati peristiwa masa lalu dan maklumat yang terdahulu dalam amnesia retrogred
  • Kenangan palsu mungkin sama sekali dicipta atau terdiri daripada kenangan nyata yang tidak kena pada masanya, dalam fenomena yang dikenali sebagai konfabulasi. 
  • Pergerakan dan gegaran yang tidak diselaraskan menunjukkan masalah neurologi.
  • Kekeliruan atau disorientasi mungkin berlaku.
  • Mungkin ada masalah dengan ingatan jangka pendek, kehilangan sebahagian atau keseluruhan memori.
  • Individu mungkin tidak dapat mengenali wajah atau lokasi.

 

Walau bagaimanapun, amnesia adalah berbeza daripada dimensia. Dimensia termasuk dalam kategori hilang ingatan, tetapi ia juga melibatkan masalah kognitif penting lain yang boleh menjejaskan keupayaan pesakit untuk menjalankan aktiviti harian.

Punca Amnesia Disosiatif

Punca amnesia disosiatif boleh dikaitkan dengan tekanan yang mungkin disebabkan oleh peristiwa traumatik – seperti perang, penyalahgunaan dadah, kemalangan, atau bencana sama ada individu tersebut mengalaminya atau menyaksikannya. 

Selain itu, faktor genetik turut memberi kesan kepada perkembangan gangguan disosiatif, termasuk amnesia disosiatif, kerana segelintir individu yang mengalami gangguan ini didapati mempunyai saudara terdekat yang mempunyai keadaan yang sama.

Diagnosis Amnesia Disosiatif

Pada permulaan diagnosis, doktor perlu mengetepikan sebab-sebab lain seperti dimensia, penyakit Alzheimer, kemurungan atau tumor otak.

Mereka juga akan mengambil kira sejarah perubatan individu tersebut secara terperinci, yang mungkin boleh menjadi sukar jika pesakit tidak mengingatinya. Oleh itu, ahli keluarga atau penjaga perlu hadir untuk turut membantu proses rawatan yang dijalankan.

Tambahan lagi, doktor turut memerlukan kebenaran pesakit untuk berkongsi mengenai butiran perubatan mereka dengan orang lain.

Soalan yang kerap ditanya oleh doktor termasuklah:

  • Bolehkah pesakit mengingati peristiwa masa lalu dan peristiwa yang baru berlaku??
  • Bilakah masalah ingatan bermula?
  • Bagaimana perkembangan masalah ingatan?
  • Adakah individu tersebut mengalami sebarang faktor yang menyebabkan kehilangan ingatan seperti kecederaan kepala, pembedahan, atau strok?
  • Adakah terdapat riwayat keluarga menghidap sebarang masalah neurologi atau psikiatri?
  • Adakah individu tersebut mengambil alkohol?
  • Adakah mereka menggunakan/mengambil sebarang ubat?
  • Pernahkah mereka mengambil dadah yang diharamkan seperti kokain atau heroin?
  • Adakah simptom yang dialami memberi kesan terhadap keupayaan penjagaan diri?
  • Adakah mereka mempunyai sejarah kemurungan atau kekejangan?
  • Pernahkah mereka menghidapi kanser?           

 

Seterusnya, doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal termasuk aspek pemeriksaan otak dan sistem saraf, seperti:

  • Refleks
  • Fungsi deria
  • Keseimbangan

 

Doktor juga boleh menyemak pesakit melalui:

  • Penghakiman
  • Memori jangka pendek
  • Memori jangka panjang

 

Penilaian memori akan membantu menentukan sejauh mana kehilangan memori pesakit. Ini akan memberi alternatif kepada doktor mencari rawatan yang terbaik buat pesakit.

Rawatan Amnesia Disosiatif

Dalam kebanyakan kes, amnesia boleh sembuh sendiri tanpa rawatan. Walau bagaimanapun, jika terdapat gangguan fizikal atau mental yang kritikal, rawatan mungkin diperlukan.

  • Psikoterapi boleh membantu sesetengah pesakit. Hipnosis boleh menjadi cara yang berkesan untuk mengingati ingatan yang telah dilupakan.

     

  • Sokongan keluarga juga penting.

     

  • Deria juga boleh membantu pesakit untuk mengingati peristiwa yang telah berlaku. Sebagai contoh, melihat foto, menghidu bau, dan mendengar muzik.

     

  • Rawatan, teknik dan strategi untuk membantu mengimbangi masalah ingatan dilakukan oleh doktor juga penting.

     

  • Bekerjasama dengan ahli terapi pekerjaan untuk memperoleh maklumat baharu bagi menggantikan kenangan yang hilang, atau menggunakan kenangan yang sedia ada sebagai asas untuk mendapatkan maklumat baharu.

     

  • Rangka strategi pembelajaran baharu untuk mengatur maklumat, bagi memudahkan penyimpanan.

     

  • Menggunakan bantuan digital, seperti telefon pintar, untuk membantu tugas harian dan mengingatkan pesakit mengenai peristiwa penting, waktu pengambilan ubat-ubatan, dan sebagainya. Senarai kenalan di dalam gajet yang disertakan dengan gambar wajah juga berguna.

     

  • Menjaga pemakanan juga amat penting bagi memelihara ingatan. Pada masa ini tiada ubat untuk memulihkan ingatan yang hilang akibat amnesia. Individu yang kekurangan thiamin (vitamin B1), iaitu, Sindrom Malnutrisi atau Sindrom Wernicke-Korsakoff, boleh mengalami kehilangan ingatan. Jadi, amat penting untuk menjaga pemakanan dan hindarkan dari mengambil makanan yang tidak berkhasiat.

SUMBER

https://www.webmd.com/mental-health/dissociative-amnesia

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/dissociative-disorders/symptoms-causes/syc-20355215

https://www.healthline.com/health/dissociative-amnesia

https://www.medicalnewstoday.com/articles/9673

Summary
Amnesia Disosiatif (Dissociative Amnesia) - Jenis, Gejala, Punca, Diagnosis dan Rawatan
Article Name
Amnesia Disosiatif (Dissociative Amnesia) - Jenis, Gejala, Punca, Diagnosis dan Rawatan
Description
Gangguan disosiatif ialah penyakit mental yang melibatkan gangguan atau kerosakan pada memori, kesedaran, identiti, dan/atau persepsi.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: