Air Ketuban Kurang - Punca, Risiko dan Rawatan

Air ketuban adalah cecair yang terdapat di dalam rahim wanita ketika hamil. Fungsi utamanya adalah untuk melindungi bayi sepanjang lebih dari 40 minggu kehamilan.

Selain itu, ia juga berfungsi dalam membantu bayi mengekalkan suhu yang stabil, membantu dalam perkembangan paru-paru dan sistem pencernaan bayi, mencegah pemampatan tali pusat serta memberi keupayaan kepada bayi untuk bergerak di samping membantu perkembangan otot dan tulang bayi.

Air ketuban atau cecair amniotik ini mengandungi nutrien, antibodi dan hormon yang berfungsi untuk membantu bayi anda dalam melawan jangkitan kuman.

Air Ketuban Kurang

Oligohydramnios adalah keadaan di mana cecair amniotik lebih rendah daripada yang dijangkakan untuk usia kehamilan bayi. Tiada rawatan jangka masa panjang yang terbukti berkesan dalam meningkatkan cecair ini tetapi peningkatan cecair dalam jangka masa pendek adalah tidak mustahil dan boleh dilakukan dalam keadaan tertentu.

Selain itu, jumlah cecair amniotik ini mencerminkan jumlah air kencing bayi yang merupakan ukuran keadaan kesihatan bayi. Sekiranya anda mempunyai air ketuban yang rendah ketika anda berada dalam tempoh 36 hingga 37 minggu kehamilan, anda akan diminta untuk bersalin lebih awal.

Sekiranya anda mempunyai air ketuban yang rendah ketika hamil kurang dari 36 minggu, doktor akan mengkaji kesihatan bayi, membincangkan kemungkinan mengapa anda mempunyai air ketuban yang rendah dan akan memantau kehamilan bayi anda dengan menggunakan kaedah ultrasound janin.

Doktor juga mungkin akan mengesyorkan anda agar minum lebih banyak air kosong terutamanya jika anda mengalami dehidrasi.

Sekiranya anda mempunyai air ketuban yang rendah semasa bersalin, penyedia perkhidmatan kesihatan anda mungkin akan mempertimbangkan prosedur amnioinfusion di mana cecair diletakkan di dalam kantung amniotik.

Ini biasanya dilakukan semasa bersalin sekiranya terdapat kelainan dalam kadar degupan jantung janin. Amnioinfusion dilakukan dengan memasukkan garam ke dalam kantung ketuban melalui kateter yang diletakkan di serviks semasa bersalin.

Punca Air Ketuban Kurang

Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada air ketuban rendah semasa kehamilan. Antaranya termasuk:

  • Pecah membran pramatang (PROM). Keadaan ini adalah ketika kantung amniotik anda pecah atau mula bocor sebelum bersalin. Sekiranya perkara ini berlaku, anda dikehendaki untuk menghubungi doktor dengan kadar segera.
  • Gangguan plasenta. Plasenta memainkan peranan penting untuk membawa nutrien dan oksigen kepada bayi anda. Sekiranya plasenta tidak berfungsi, atau sudah mulai melepaskan diri dari dinding rahim, bayi anda mungkin tidak mendapat nutrien yang cukup untuk mengeluarkan cairan (air kencing) yang baik.
  • Kecacatan kelahiran. Sekiranya bayi mempunyai masalah fizikal, terutama dengan ginjal, mereka mungkin tidak mengeluarkan air kencing yang mencukupi, yang menyebabkan cecair amniotik rendah.
  • Keadaan kesihatan ibu, contohnya ibu mengalami komplikasi seperti tekanan darah tinggi yang kronik, preeklamsia, diabetes, obesiti dan penyahhidratan ketika mengandung. Oleh itu, sangat penting untuk ibu hamil sentiasa alert dengan janji temu bersama doctor sebelum kelahiran.
  • Post-term pregnancy. Cecair amniotik secara semula jadi mula berkurang setelah 36 minggu kehamilan, dan mungkin akan turun lebih rendah setelah masuk 42 minggu kehamilan.

Penggunaan ubat-ubatan tertentu. Beberapa ubat, terutama yang digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi merupakan salah satu sebab mengapa cecair ketuban rendah.

Risiko Air Ketuban Kurang

Air ketuban sangat penting untuk perkembangan otot, anggota badan, paru-paru, dan sistem pencernaan bayi. Pada trimester kedua, bayi mula bernafas dan menelan cecair amniotik ini untuk membantu paru-paru mereka tumbuh dan matang.

Cecair ketuban juga membantu bayi dalam perkembangan otot dan anggota badan dengan menyediakan banyak ruang untuk bergerak.

Oleh itu, sekiranya oligohydramnios atau air ketuban kurang telah dikesan ketika separuh pertama kehamilan, komplikasi boleh menjadi lebih serius dan ia merangkumi:

  • Organ janin termampat mengakibatkan kecacatan kelahiran
  • Kebarangkalian untuk ibu mengalami keguguran atau kelahiran mati meningkat

Sekiranya oligohydramnios dikesan pada separuh kedua kehamilan, komplikasi boleh merangkumi:

  • Sekatan Pertumbuhan Intrauterin (IUGR)
  • Kelahiran pramatang
  • Komplikasi ketika bersalin seperti pemampatan tali pusat, cecair berwarna mekonium, dan kelahiran secara Caesar

Rawatan Untuk Meningkatkan Air Ketuban

1. Minum air kosong lebih banyak

Minum banyak air semasa hamil dapat memberi perbezaan yang besar. Menurut kajian, penghidratan sangat membantu dalam meningkatkan kadar cecair ketuban pada wanita antara 37 dan 41 minggu kehamilan.

Ini adalah salah satu cara mudah untuk meningkatkan indeks bendalir amniotik dan ia tidak memberi apa-apa kesan bahaya sama ada anda mengandung atau tidak. Malah, ia sangat bagus untuk kesihatan

2. Amnioinfusion

Amnioinfusion berlaku apabila doktor memasukkan garam ke dalam kantung ketuban melalui kateter yang diletakkan di serviks semasa bersalin. Cara ini sekurang-kurangnya dapat meningkatkan tahap cecair amniotik buat sementara waktu.

Ia juga dilakukan untuk meningkatkan penampakan bayi anda semasa ultrasound atau sebelum melahirkan jika degupan jantung bayi tidak normal.

Menurut tinjauan dari Pusat Perubatan UNC School of Medicine, amnioinfusion adalah rawatan yang berkesan untuk membaiki persekitaran bayi sekiranya anda mempunyai cecair ketuban yang tidak mencukupi.

3. Suntikan cecair sebelum bersalin menggunakan amniosentesis

Amniosentesis melibatkan jarum nipis yang dimasukkan terus ke dalam kantung ketuban melalui abdomen. Sekiranya anda mempunyai cecair amniotik yang rendah sebelum atau semasa bersalin, doktor mungkin akan memberi anda cecair melalui amniosentesis sebelum melahirkan bayi.

Ia membantu dalam menjaga pergerakan dan degupan jantung bayi anda semasa bersalin, di samping membantu anda bersalin secara normal, bukan secara caesar.

4. Cecair IV

Doktor mungkin akan mengesyorkan cecair IV. Ia sangat berguna jika anda mengalami dehidrasi disebabkan loya atau muntah, atau jika anda perlu meningkatkan kadar hidrat di mana cecair ini sekaligus akan meningkatkan air ketuban dengan lebih cepat.

Secara asasnya, ini merupakan cara lain untuk memasukkan cecair penting ke dalam badan anda.

5. Rawatan bagi penyebab yang sedia ada

Sekiranya anda mempunyai penyakit seperti darah tinggi atau diabetes ketika hamil, ia berpotensi dalam menyebabkan air ketuban kurang.

Oleh itu, anda disarankan agar merawat penyakit-penyakit tersebut agar dapat meningkatkan tahap cecair amniotik anda. Rawatannya adalah seperti melibatkan pengambilan ubat, memantau tahap gula dalam darah, atau sentiasa rujuk dengan doktor.

Penyakit ini juga mungkin akan menimbulkan masalah lain semasa hamil, jadi menguruskan penyebabnya adalah win-win.

6. Bedrest

Bedrest mungkin tidak begitu popular dalam merawat wanita hamil tetapi sebilangan doktor tetap akan mengesyorkannya sekiranya berlaku kekurangan air ketuban.

Berehat di tempat tidur atau di sofa dapat membantu meningkatkan aliran darah ke plasenta, sekaligus membantu untuk meningkatkan air ketuban. Bedrest sangat disarankan jika anda berada di trimester kedua atau ketiga awal.

7. Pemantauan tambahan

Sekiranya anda hamil kurang dari 36 minggu, doktor mungkin akan memantau anda dengan lebih kerap dan mungkin akan melakukan ujian tambahan untuk memastikan bayi anda berada dalam keadaan baik.

Ujian ini mungkin merangkumi ujian tanpa tekanan, di mana pelekat yang diletakkan di perut anda akan memantau kontraksi dan degupan jantung bayi.

Selain itu, anda mungkin memerlukan profil biofizik yang lebih kerap, iaitu ultrasound yang mengukur tahap cecair amniotik dan pergerakan bayi anda.

Ini mungkin menakutkan, tetapi ada beberapa kelebihan dalam pemantauan tambahan ini iaitu: anda akan lebih kerap dapat melihat bayi anda dan doktor juga dapat menangani sebarang masalah dengan lebih cepat.

8. Diet

Walaupun diet yang sihat seperti mengambil protein tanpa lemak, biji-bijian, dan buah-buahan segar serta sayur-sayuran sangat penting sepanjang kehamilan, terdapat sedikit bukti bahawa ia mempengaruhi tahap cecair ketuban anda.

Sebilangan penyelidikan menunjukkan kesan negatif yang sederhana pada tahap cecair ketuban ketika ibu menggunakan diet tinggi lemak.

Selain itu, walaupun terdapat beberapa pendapat yang mengatakan stevia (pemanis) dapat meningkatkan cairan ketuban, namun sebenarnya, tidak ada penyelidikan yang sahih untuk menyokongnya. Malah, perkara sebaliknya mungkin berlaku.

Contohnya, terdapat beberapa kajian awal yang menunjukkan bahawa pengambilan pemanis buatan semasa mengandung dapat meningkatkan risiko bayi anda untuk mendapat gangguan metabolik di kemudian hari.

Seterusnya, yang menjadikan perkara lebih rumit adalah apabila terdapat beberapa isu tentang stevia sama ada ia adalah semula jadi atau buatan. Oleh itu, sekiranya anda ingin kekal sihat dan selamat, anda sepatutnya menjauhkan diri daripada hal-hal sebegini.

Sumber:

https://www.babylist.com/hello-baby/amniotic-fluid

https://www.babylist.com/hello-baby/amniotic-fluid

Summary
Air Ketuban Kurang - Punca, Risiko dan Rawatan
Article Name
Air Ketuban Kurang - Punca, Risiko dan Rawatan
Description
Oligohydramnios atau air ketuban kurang adalah keadaan di mana cecair amniotik lebih rendah daripada yang dijangkakan untuk usia kehamilan bayi. Tiada rawatan jangka masa panjang yang terbukti berkesan dalam meningkatkan cecair ini tetapi peningkatan cecair dalam jangka masa pendek adalah tidak mustahil dan boleh dilakukan dalam keadaan tertentu. Selain itu, jumlah cecair amniotik ini mencerminkan jumlah air kencing bayi yang merupakan ukuran keadaan kesihatan bayi.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: