ADHD
Hiperaktif kurang daya tumpuan atau dalam bahasa Inggerisnya ‘Attention deficit hyperactivity disorder’ (ADHD) adalah salah satu gangguan mental yang paling kerap berlaku pada kanak-kanak. Namun, ia juga mempengaruhi banyak orang dewasa.

Hiperaktif kurang daya tumpuan atau dalam bahasa Inggerisnya ‘Attention deficit hyperactivity disorder’ (ADHD) adalah salah satu gangguan mental yang paling kerap berlaku pada kanak-kanak. Namun, ia juga mempengaruhi banyak orang dewasa. Gejala ADHD termasuklah tidak dapat memberi perhatian (tidak dapat kekal fokus), hiperaktif (pergerakan berlebihan yang tidak sesuai dengan keadaan) dan impulsif (tindakan tergesa-gesa yang berlaku tanpa berfikir).

Individu dengan keadaan ini mungkin menghadapi masalah untuk memberi tumpuan, mengawal tingkah laku impulsif (mungkin bertindak tanpa memikirkan kesannya) atau terlalu aktif. Walaupun masalah ini tidak dapat disembuhkan, ia dapat diatasi dengan jayanya serta beberapa gejala dapat berkurangan seiring pertambahan usia.

Simptom ADHD

Banyak simptom ADHD, seperti tahap aktiviti yang tinggi, kesukaran untuk bertahan dalam jangka masa yang panjang dan hanya mampu memberi perhatian dalam jangka masa terhad, adalah perkara biasa bagi pesakit ADHD.

Bagi kanak-kanak, perbezaan antara kanak-kanak dengan masalah ini dengan kanak-kanak normal adalah mereka tahap hiperaktif dan kekurangan perhatian mereka jauh lebih besar daripada berbanding yang dijangkakan untuk usia mereka. Ini justeru dapat menyebabkan kesusahan dan / atau masalah untuk berfungsi di rumah, di sekolah atau dengan rakan-rakan.

ADHD didiagnosis sebagai salah satu daripada tiga jenis: jenis tidak memberi perhatian, jenis hiperaktif / impulsif atau jenis gabungan. Diagnosis boleh dibuat berdasarkan gejala yang telah berlaku selama enam bulan terakhir.

a) Jenis tidak memberi perhatian – gejala seperti berikut kerap berlaku:

  • Tidak memperhatikan perincian atau membuat kesalahan mudah di sekolah atau pekerjaan.
  • Mempunyai masalah untuk kekal fokus pada tugas atau aktiviti, seperti semasa kuliah, perbualan atau membaca dalam tempoh panjang.
  • Kelihatan seperti tidak mendengar ketika diajak berbicara
  • Tidak mampu mengikuti arahan dan tidak menyelesaikan kerja sekolah, tugas atau tugas pekerjaan (mungkin memulakan tugas tetapi cepat hilang fokus).
  • Mempunyai masalah dalam mengatur tugas dan kerja (misalnya, tidak menguruskan masa dengan baik, mempunyai kerja yang tidak kemas dan tidak teratur, ketinggalan tarikh akhir).
  • Menghindari atau tidak menyukai tugas yang memerlukan usaha mental secara berterusan.
  • Sering kehilangan barang yang diperlukan untuk tugas atau kehidupan seharian, seperti kertas sekolah, buku, kunci, dompet, telefon bimbit dan cermin mata.
  • Mudah terganggu.
  • Lupa akan tugas harian, seperti melakukan dan menjalankan tugas.

b) Jenis hiperaktif / impulsif – gejala berikut kerap berlaku seperti:

  • Rasa gelisah dengan atau mengetuk tangan atau kaki, atau menggeliat di tempat duduk.
  • Tidak dapat kekal duduk (di dalam kelas, tempat kerja).
  • Berlari atau memanjat tanpa mengira situasi atau tempat.
  • Tidak dapat bermain atau melakukan aktiviti riadah secara senyap.
  • Sentiasa “bergerak” seolah-olah digerakkan oleh motor.
  • Bercakap terlalu banyak.
  • Memberi jawapan sebelum soalan selesai ditanya.
  • Mengalami kesukaran untuk menunggu gilirannya, seperti ketika menunggu dalam barisan.
  • Mengganggu atau mengacau orang lain (misalnya, memotong perbualan, permainan atau aktiviti, atau mula menggunakan barang oran lain tanpa izin). Remaja dan dewasa yang lebih tua mungkin mengambil alih apa yang dilakukan oleh orang lain.

Punca ADHD

Pakar tidak pasti apa yang menyebabkan penyakit ADHD. Namun, terdapat beberapa perkara boleh menyebabkannya, termasuk:

  • Gen. ADHD cenderung diwarisi dalam keluarga.
  • Bahan kimia. Bahan kimia otak pada individu dengan ADHD mungkin tidak seimbang.
  • Perubahan otak. Kawasan otak yang mengawal perhatian adalah kurang aktif pada individu dengan ADHD.
  • Pemakanan tidak sihat, jangkitan, merokok, minum dan penyalahgunaan bahan semasa kehamilan. Perkara-perkara ini boleh mempengaruhi perkembangan otak bayi.
  • Toksin, seperti plumbum. Ia boleh mempengaruhi perkembangan otak anak.
  • Kecederaan otak atau gangguan otak. Kerosakan pada bahagian depan otak, yang disebut ‘lobus frontal’ boleh menyebabkan masalah dalam mengawal impuls dan emosi.

Pengambilan gula berlebihan tidak menyebabkan ADHD. Ia juga tidak berlaku disebabkan terlalu banyak menonton TV, kehidupan rumah tangga yang tertekan, kehidupan di sekolah yang buruk atau alahan makanan.

Diagnosis ADHD

Tiada ujian makmal yang ada untuk mendiagnosis ADHD. Diagnosis yang dibuat melibatkan pengumpulan maklumat daripada ibu bapa, guru dan orang lain, mahupun majikan di tempat kerja dan mengisi senarai semak serta melakukan penilaian perubatan (termasuk pemeriksaan penglihatan dan pendengaran) untuk mengetepikan masalah perubatan lain.

Doktor biasanya menggunakan garis panduan Persatuan Psikiatri Amerika, yang berdasarkan seberapa banyak gejala yang berlaku dan berapa lama mereka mengalaminya. Malah, doktor juga akan menolak perkara-perkara lain yang boleh menyebabkan gejala, seperti keadaan kesihatan atau masalah dalam kehidupan seharian.

Seterusnya, doktor penjagaan utama anda mungkin merujuk anda kepada pakar  perubatan lain seperti pakar psikiatri, psikologi atau psikoterapi.

Faktor Risiko ADHD

ADHD lebih kerap berlaku pada individu lelaki berbanding wanita, dan wanita dengan ADHD lebih cenderung menghadapi masalah terutamanya dengan masalah kekurangan perhatian. Keadaan lain, seperti ketidakupayaan belajar, gangguan kecemasan, gangguan tingkah laku, kemurungan dan penyalahgunaan bahan adalah perkara biasa pada individu dengan ADHD.

Rawatan ADHD

Banyak gejala ADHD dapat diatasi dengan penggunaan ubat dan terapi yang bersesuaian.

Ubat

Ubat yang dipanggil perangsang dapat membantu mengawal tingkah laku hiperaktif dan impulsif serta meningkatkan jangka masa perhatian anda. Ia merangkumi:

  • Amphetamine (Adzenys XR ODT, Dyanavel)
  • Dexmethylphenidate (Focalin)
  • Dextroamphetamine (Adderall, Dexedrine)
  • Lisdexamfetamine (Vyvanse)
  • Methylphenidate (Aptensio, Cotempla, Concerta, Daytrana, Jornay PM, Metadate, Methylin, Quillivant, Ritalin)

Ubat perangsang tidak semestinya berfungsi untuk semua individu dengan masalah ADHD. Individu yang berumur lebih dari 60 tahun boleh mengambil ubat-ubatan tanpa stimulan seperti:

  • Atomoxetine (Strattera)
  • Clonidine (Kapvay)
  • Guanfacine (Intuniv)

Terapi

Rawatan ini memberi tumpuan kepada perubahan tingkah laku.

  • Pendidikan khas boleh membantu kanak-kanak belajar di sekolah. Mempunyai struktur dan rutin dapat membantu kanak-kanak dengan keadaan ADHD.
  • Pengubahsuaian tingkah laku untuk menggantikan tingkah laku buruk dengan yang baik.
  • Psikoterapi (kaunseling) dapat membantu individu dengan ADHD belajar cara yang lebih baik untuk menangani emosi dan kekecewaan mereka. Ini dapat membantu meningkatkan harga diri. Kaunseling juga dapat membantu ahli keluarga untuk lebih memahami kanak-kanak atau orang dewasa dengan ADHD.
  • Latihan kemahiran sosial dapat mengajar perkara berkaitan tingkah laku, seperti konsep bergiliran dan berkongsi.

Alat perubatan

FDA telah meluluskan “Sistem Stimulasi Saraf Trigeminal luaran Monarch” (eTNS) bagi kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun yang tidak mengambil ubat ADHD. Ini adalah bersaiz seperti telefon bimbit dan dipasang pada elektrod dengan tampalan yang diletakkan di dahi individu. Ia dapat menghantar impuls tahap rendah ke bahagian otak mereka yang dianggap menyebabkan ADHD. Di samping itu, peranti ini biasanya dipakai pada waktu malam.

Kumpulan sokongan

Kumpulan dengan individu yang mempunyai masalah dan keperluan serupa dapat membantu anda mengetahui lebih lanjut mengenai ADHD dan cara menguruskan gejala tersebut. Kumpulan ini berguna bagi orang dewasa dengan ADHD atau ibu bapa dengan kanak-kanak yang mempunyai ADHD.

Rawatan semula jadi

Makanan tambahan dengan omega-3 dikatakan berpotensi memberi faedah bagi individu yang mempunyai ADHD.

Malah, beberapa perubahan gaya hidup juga dapat membantu anda atau anak anda menguruskan simptom dengan:

  • Makan makanan yang sihat dengan banyak buah-buahan, sayur0sayuran, biji-bijian dan protein tanpa lemak.
  • Bersenam setiap hari.
  • Hadkan masa bagi penggunaan peranti elektronik.
  • Dapatkan banyak tidur.

Sekiranya anak anda menghidap ADHD, anda boleh:

  • Ikuti jadual dan rutin yang jelas.
  • Bercakap dengan anak anda secara sederhana dan jujur ​​tentang apa yang anda harapkan daripada mereka.
  • Fokus pada anak anda semasa anda bercakap dengan mereka.
  • Tunjukkan contoh tingkah laku yang tenang dan fokus.
  • Berikan ganjaran bagi tingkah laku yang baik.

SUMBER

https://www.cdc.gov/ncbddd/adhd/index.html

https://www.psychiatry.org/patients-families/adhd/what-is-adhd

https://www.nimh.nih.gov/health/topics/attention-deficit-hyperactivity-disorder-adhd/index.shtml

https://www.webmd.com/add-adhd/childhood-adhd/attention-deficit-hyperactivity-disorder-adhd

Summary
ADHD (Attention deficit hyperactivity disorder) – Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
ADHD (Attention deficit hyperactivity disorder) – Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
ADHD adalah salah satu gangguan mental yang paling kerap berlaku pada kanak-kanak. Namun, ia juga mempengaruhi banyak orang dewasa.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: