taksub bermain gajet
Kanak-kanak kini banyak didedahkan dengan peranti elektronik berbanding kanak-kanak zaman dahulu.

Kanak-kanak pada zaman sekarang lebih mudah terdedah dengan peranti elektronik berbanding kanak-kanak generasi terdahulu. Mereka telah didedahkan dengan penggunaan telefon pintar, tablet, komputer dan sudah biasa menggunakan Internet pada usia yang sangat muda. Jika dahulu, kanak-kanak lebih banyak menghabiskan masa bermain di luar, kini keadaan sebegitu semakin jarang dilihat apabila mereka lebih taksub bermain gajet.

Ibu bapa biasanya memberikan gajet sebegitu untuk menarik perhatian anak-anak agar mereka tidak meragam atau membuat bising dalam keadaan tertentu. Contohnya ketika di majlis perkahwinan, di pusat beli-belah serta di rumah juga.

Sebuah kajian oleh pakar pediatrik telah mendapati bahawa masa skrin yang terlalu banyak akibat taksub bermain gajet boleh mengganggu perkembangan kanak-kanak seperti perkembangan otak, bahasa dan kemahiran kognitif mereka.

Jadi, mengapakah isu ini boleh timbul? Pakar pediatrik menjelaskan bahawa kanak-kanak terutamanya yang berumur bawah 5 tahun seharusnya meneroka persekitaran dan mengembangkan kemahiran motor mereka berkenaan perkara harian yang dapat dilihat atau dirasa menggunakan deria mereka. Semua itu tidak akan berlaku sekiranya mereka menghabiskan masa menggunakan peranti elektronik sahaja.

Walaupun peranti-peranti ini sebenarnya boleh memberikan kebaikan kepada kanak-kanak, berapa ramaikah ibu bapa yang menggunakannya dengan betul untuk membantu perkembangan anak mereka?

Ianya tidak salah sekiranya kanak-kanak diberi gajet sebegini dalam keadaan yang tertentu, namun pastikan adanya pengawasan ataupun interaksi bersama daripada ibu bapa juga. Ini akan membantu mengembangkan interaksi sosial kanak-kanak kerana mereka dapat berbual bersama individu lain sambil menggunakan peranti elektronik tersebut.

Selain itu, hadkan juga masa penggunaan peranti ini agar kanak-kanak tidak terlalu bergantung kepadanya dan menjadi taksub bermain gajet. Sebaliknya, berikan aktiviti lain kepada kanak-kanak seperti mewarna, membaca atau bermain dengan permainan blok yang boleh mengembangkan kemahiran berfikir serta kemahiran motor mereka juga.

Pastikan anda meluangkan masa bersama anak-anak terutamanya pada 5 tahun pertama mereka kerana inilah masa kritikal bagi setiap kanak-kanak. Tempoh inilah yang membolehkan mereka belajar cara untuk berinteraksi secara verbal ataupun tidak verbal melalui persekitaran yang dilihat. Biarkan mereka meneroka, bertanyakan soalan dan belajar benda baharu sebanyak yang boleh.

SUMBER

https://parenting.firstcry.com/articles/parents-beware-this-is-how-gadgets-are-harming-your-little-child/

https://www.longdom.org/open-access/the-impact-of-using-gadgets-on-children-2167-1044-1000296.pdf

https://www.verywellfamily.com/the-negative-effects-of-too-much-screen-time-1094877

https://healthmatters.nyp.org/what-does-too-much-screen-time-do-to-childrens-brains/

Summary
Adakah si kecil anda taksub bermain dengan gajet elektronik?
Article Name
Adakah si kecil anda taksub bermain dengan gajet elektronik?
Description
Kanak-kanak pada zaman ini lebih mudah terdedah kepada penggunaan gajet elektronik. Ini membimbangkan kerana ia boleh mengganggu perkembangan otak, bahasa dan kognitif mereka.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: