yakult
Yakult adalah minuman probiotik berkualiti tinggi dalam bentuk minuman susu kultur. Ia mengandungi bakteria probiotik ‘Lactobacillus casei Shirota strain’ (terkenal sebagai "Shirota strain").

Jika di pasaraya, anda pasti pernah melihat minuman Yakult di rak-rak minuman yang dijual dalam paket bukan? Selain rasanya yang enak, minuman ini juga sangat digemari oleh golongan kanak-kanak. Malah, tahukah anda bahawa minuman ini sering dibekalkan sekali dalam hidangan makanan tengah hari bagi kanak-kanak di Jepun?

Yakult adalah minuman probiotik dari Jepun yang melalui proses penapaian tertentu. Dengan manfaat yang ditawarkan, tidak asinglah mengapa minuman Yakult ini digemari ramai di seluruh dunia. Sekarang, jom kita pelajari lebih lanjut tentang minuman Yakult.

Sejarah Yakult

Yakult bukanlah jenama baru, malah ia adalah syarikat yang sudah berusia 90 tahun dari Jepun. Ramai pasti tidak tahu bahawa Yakult dahulu dijual dari pintu ke pintu di beberapa negara termasuk Jepun dan India, tetapi telah popularitinya telah melonjak sejak sedekad yang lalu.

Berdasarkan laman web Yakult, anda boleh mempelajari sejarah Yakult yang membawa anda kembali ke awal tahun 1930-an di Jepun, ketika pengasasnya iaitu saintis Dr. Minoru Shirota, memilih dan mengusahakan bakteria Lactobacillus casei Shirota. Dr Shirota memerlukan 5 tahun tambahan bagi tempoh penyelidikannya untuk mencari medium makanan yang tepat untuk bakteria Lactobacillus casei Shirota. Pada tahun 1935, botol pertama Yakult iaitu minuman berasaskan susu yang ditapai, dihasilkan dalam botol kaca. Jururawat yang bekerja untuk Dr. Shirota, yang kemudian disebut sebagai Yakult Ladies mula mengedarkan Yakult kepada pelanggan.

Minuman susu yang ditapai menjadi begitu berjaya, dan permintaan terus meningkat sehinggalah pada tahun 1955, Dr. Shirota menubuhkan Yakult Honsha Ltd., (yang secara harfiah bermaksud ibu pejabat Yakult) di Tokyo, Jepun. Serentak dengan itu, Yakult Central Institute yang terkenal juga ditubuhkan di Kyoto.

Setelah Dr. Shirota menubuhkan ibu pejabat yang memusatkan semua proses perniagaan, dia kembali sepenuhnya ke bidang kegemarannya iaitu ilmu sains! Sehingga kematiannya pada tahun 1982, Dr.Shirota tetap berdedikasi untuk mendalami dan berbakti pada bidang sains di Yakult Central Institute.

Apakah itu Yakult?

Yakult adalah minuman probiotik berkualiti tinggi dalam bentuk minuman susu kultur. Ia mengandungi bakteria probiotik ‘Lactobacillus casei Shirota strain’ (terkenal sebagai “Shirota strain”). Dengan lebih dari 30 bilion strain Shirota yang hidup dalam setiap botol, Yakult mempunyai antara kadar probiotik tertinggi berbanding produk probiotik lain di pasaran.

Banyak kertas kajian telah diterbitkan dan terdapat banyak bukti bahawa bakteria di dalam minuman ini imun terhadap jus gastrik dan hempedu dan sampai ke usus dalam keadaan hidup. Selain itu, pengambilan Yakult setiap hari dikatakan membantu meningkatkan proses pencernaan dan membantu membina imuniti seseorang.

Apakah bahan di dalam Yakult?

Bahan-bahan yang terkandung dalam minuman ini adalah air, susu skim, sirup glukosa-fruktosa, sukrosa dan bakteria Lactobacillus casei Shirota hidup. Strain pada asalnya diklasifikasikan sebagai Lactobacillus casei tetapi pada tahun 2008, ia diklasifikasikan semula sebagai milik L. paracasei.

Sebotol kecil Yakult mengandungi 11.4 gram gula. Itu adalah sepertiga daripada jumlah gula yang terdapat dalam tin air soda. Minuman Yakult tidak mempunyai lemak, gluten dan bebas dari kolesterol. Ia juga mengandungi sekurang-kurangnya 6.5 ​​bilion Lactobacillus casei Shirota, iaitu bakteria asid laktik eksklusif yang mencapai usus hidup.

Mengapa anda mesti minum Yakult?

Sistem pencernaan anda adalah “rumah” bagi trilion bakteria, yang mana ada yang bermanfaat dan ada yang berbahaya. Diet yang tidak seimbang, tekanan tinggi, kurang tidur dan kurang bersenam setiap hari dapat membuatkan sistem pencernaan anda menjadi tidak seimbang. Ini justeru memberi peluang kepada bakteria berbahaya untuk membiak di dalamnya.

Akibatnya, anda mungkin mengalami proses pencernaan atau imuniti yang lemah. Minum Yakult setiap hari dapat membantu mengimbangkan sistem pencernaan anda. Selama lebih dari 80 tahun, individu di seluruh dunia menjadikan Yakult sebagai sebahagian daripada diet harian mereka kerana ia mudah didapati di kedai runcit mahupun pasaraya besar.

Adakah minuman Yakult menyihatkan?

Penelitian selama bertahun-tahun menyokong pelbagai manfaat kesihatan probiotik seperti yang terdapat dalam minuman ini, termasuk keseimbangan flora usus, penindasan bakteria berbahaya dalam usus, peningkatan fungsi pencernaan, imuniti yang diperkuat dan pemeliharaan kesihatan secara keseluruhan.

Tambahan pula, sebotol Yakult mengandungi bakteria bermanfaat hidup yang sampai ke usus hidup bagi meningkatkan pencernaan. Bakteria ini meningkatkan imuniti kita dengan meningkatkan tahap sel ‘Natural Killer’ (sel NK), yang merupakan sebahagian daripada sistem imun kita dan merangsang sel-sel imun. Bakteria bermanfaat bertanggungjawab untuk memerangi penyakit berjangkit dan mencegah berlakunya sel kanser.

Mengapakah probiotik itu penting?

Probiotik terhasil daripada bakteria hidup dan / atau yis yang hidup secara semula jadi di dalam badan anda. Anda sentiasa mempunyai bakteria baik dan buruk di dalam badan. Apabila anda mendapat jangkitan, terdapat lebih banyak bakteria buruk, sehinggakan sistem dalam badan anda menjadi tidak seimbang. Jadi, bakteria baik diperlukan untuk membantu menghilangkan bakteria buruk serta mengembalikan keseimbangan.

Selain itu, kandungan probiotik juga membantu mengekalkan keseimbangan bakteria baik dan bakteria jahat dalam sistem pencernaan kita. Fungsi mereka adalah penting kerana ketidakseimbangan kedua-dua jenis bakteria ini akan membahayakan kesihatan dan imuniti anda. Ketidakseimbangan ini telah menunjukkan adanya hubungan dengan pelbagai keadaan kesihatan usus seperti sindrom kerengsaan usus (IBS), penyakit ‘celiac’ dan penyakit keradangan usus (IBD) seperti penyakit Crohn dan kolitis ulseratif. Keadaan ini juga boleh dikaitkan dengan diabetes jenis 1 dan diabetes jenis 2 serta masalah obesiti.

Siapa yang dibolehkan untuk mengambil minuman ini?

Setiap botol mengandungi susu skim, gula, glukosa, air dan perasa semula jadi. Selain kesan kembung untuk peminum Yakult buat pertama kali, minuman susu yang ditapai ini tidak memberi kesan sampingan. Malah, simptom kembung yang dialami adalah hasil semula jadi dari perubahan tahap bakteria usus anda dan biasanya berlaku pada minggu pertama.

Individu yang mempunyai masalah intoleransi laktosa biasanya disarankan untuk menghindari produk tenusu dan susu, dengan alasan yang baik. Dengan kurang keupayaan tubuh untuk mencerna laktosa, gejala seperti sakit perut, kembung dan cirit-birit dipicu setelah mengambil makanan dan minuman yang mengandungi laktosa.

Tetapi, seperti keadaan kesihatan lain, masalah intoleransi laktosa mempengaruhi individu dengan cara yang berbeza-beza. Kajian menunjukkan bahawa probiotik sangat membantu mengurangkan gejala intoleransi laktosa. Oleh itu, minuman ini boleh diambil oleh mereka yang mengalami intoleransi laktosa tetapi pastikan anda berunding dengan doktor anda terlebih dahulu sebelum mengambilnya.

Di sinilah pentingnya agar anda bekerjasama dengan pakar nutrisi. Pakar penjagaan kesihatan yang berkelayakan dapat membantu anda menentukan jenis dan tahap intoleransi makanan anda dengan lebih tepat. Sebaik sahaja anda mengetahui tahap intoleransi laktosa, ianya adalah lebih mudah untuk menguruskan gejala intoleransi laktosa anda.

Sebaliknya, Yakult tidak digalakkan bagi individu yang mempunyai alergi susu kerana susu skim adalah salah satu ramuannya. Sekali lagi, berunding dengan pakar penjagaan kesihatan yang berkelayakan bagi mengetahui dengan pasti sama ada keadaan anda adalah alahan susu, alergi produk tenusu atau intoleransi laktosa.

Selain itu, penghidap diabetes juga tidak digalakkan meminum Yakult kerana ia mengandungi gula, jadi lebih baik anda berjumpa doktor sebelum meminumnya.

Soalan lazim mengenai minuman Yakult

Lazimnya, anda mungkin mempunyai beberapa pertanyaan dan keraguan sebelum mengambil minuman ini. Dari laman web rasmi Yakult, kami telah merangkumi beberapa soalan umum untuk pemahaman anda yang lebih baik seperti di bawah.

1. Adakah terdapat masa tertentu untuk mengambil Yakult?

Tidak. Minuman ini boleh dinikmati pada bila-bila masa sepanjang hari.

2. Bagaimana Yakult harus disimpan?

Ia mesti disimpan di dalam peti sejuk dengan suhu di bawah 10 °C.

3. Apakah jangka hayat Yakult?

Jangka hayat minuman ini adalah 45 hari dari tarikh pembuatan, apabila disimpan dalam keadaan sejuk di bawah 10 °C. Sebaik sahaja botol Yakult dibuka, ia mesti dihabiskan sekali gus agar probiotik berfungsi dengan baik.

4. Bolehkah Yakult ditambahkan ke makanan lain?

Ya. Yakult boleh ditambahkan ke bijirin, ‘smoothie’, ‘milkshake’, kek keju atau makanan sejuk lain. Jika bakteria tidak tahan pada suhu tinggi dan boleh mati, jangan tambahkan Yakult ke makanan atau minuman panas.

5. Apakah perbezaan antara Yakult dan yogurt?

Yakult dan yogurt adalah produk tenusu fermentasi yang dihasilkan daripada susu yang diperam dengan bakteria hidup. Walau bagaimanapun, Yakult adalah unik kerana ia dibuat menggunakan strain Lactobacillus casei Shirota dengan bakteria hidup, bukan jenis bakteria yang digunakan dalam yogurt.

Strain bakteria bermanfaat ini sampai ke usus hidup, yang telah terbukti secara saintifik. Yakult dihasilkan hanya untuk menjaga keseimbangan bakteria bermanfaat dalam sistem pencernaan. Di samping itu, yogurt bukanlah pengganti Yakult dan sebaliknya. Mereka saling melengkapi sebagai sebahagian daripada diet yang seimbang.

6. Bolehkah saya minum lebih daripada satu botol sehari?

Ya, ianya adalah selamat untuk mengambil lebih dari satu botol setiap hari agar anda mempunyai bakteria yang lebih bermanfaat di usus anda. Walau bagaimanapun, berjumpa doktor terlebih dahulu sebelum mengambilnya untuk mengelakkan kesan sampingan yang tidak diingini.

Fakta menarik mengenai Yakult yang anda harus ketahui

Sekiranya anda pernah minum minuman ini, anda pasti tahu bahawa ia membantu mengekalkan sistem pencernaan yang sihat. Tetapi, berikut adalah beberapa perkara yang anda mungkin tidak pernah ketahui mengenai minuman ini:

1. Singapura adalah satu-satunya negara dengan rasa Yakult yang berbeza

Proses pembuatan minuman ini adalah standard untuk semua negara, namun Yakult yang terdapat di Singapura mempunyai lebih banyak perasa (anggur, oren, epal).

2. Negara berbeza mempunyai saiz botol yang berbeza

Yakult hadir dalam botol dengan sukatan 65ml di negara-negara seperti Jepun, Indonesia, Australia, Eropah, New Zealand, Vietnam dan India. Sementara di Amerika, Thailand, Korea Selatan, Filipina dan Malaysia pula, ia hadir dalam botol dengan sukatan 80ml.

Di Singapura, ukuran hidangan untuk Yakult adalah 100ml (serupa dengan China, Taiwan dan Hong Kong), yang ‘terbesar’ di dunia.

3. Produk Yakult juga dijual untuk tujuan yang berbeza

Sebagai pelopor dalam bidang probiotik, Yakult telah mencipta banyak jenis minuman susu yang ditapai, iaitu Yakult 400 (40 bilion setiap botol 80ml), Yakult 400LT (kurang kemanisan dan kurang kalori berbanding Yakult 400), New Yakult (20 bilion setiap botol 65ml), Setengah Kalori Yakult Baru (50% kurang kalori daripada New Yakult), dan banyak lagi.

Malah, ia juga mempunyai minuman susu soya yang diperam. ‘Yakult no Hakko Tonyu’ mengandungi strain L. casei Shirota dan isoflavon soya dalam satu produk.

Rangkaian ini telah berkembang dalam produk sabun tangan, mi segera dan lebih lagi.

Kredit: Gambar diambil daripada sumber https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Fail:SG_Yakult_4_flavours.JPG

SUMBER

https://gulfnews.com/lifestyle/how-a-probiotic-drink-can-help-you-stay-healthy-1.1583916846384

https://yakultme.com/

https://danielfooddiary.com/2019/10/26/yakult/

https://yakulteurope.com/company/corporate-story/

https://www.newlifenutrition.com.au/food-intolerances-and-allergies/lactose-intolerance/is-yakult-good-for-lactose-intolerance/

Summary
Adakah minuman Yakult yang digemari ramai baik untuk anda?
Article Name
Adakah minuman Yakult yang digemari ramai baik untuk anda?
Description
Yakult adalah minuman probiotik berkualiti tinggi dalam bentuk minuman susu kultur. Ia mengandungi bakteria probiotik ‘Lactobacillus casei Shirota strain’ (terkenal sebagai "Shirota strain").
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: