penghasilan vaksin covid-19
Seluruh dunia dengan sabar menunggu penghasilan vaksin COVID-19 yang telah membunuh hampir 260 ribu individu sejak ia mula ditemui. Ia dianggarkan memerlukan masa selama 12 hingga 18 bulan.

Seluruh dunia dengan sabar menunggu penghasilan vaksin COVID-19 yang telah membunuh hampir 260 ribu individu sejak ia mula ditemui. Ia dianggarkan memerlukan masa selama 12 hingga 18 bulan. Namun, ada pihak mengatakan bahawa vaksin itu mungkin dapat disediakan lebih awal dari tempoh tersebut. Sehingga kini, sudah banyak pihak yang sedang mengembangkan vaksin COVID-19 dengan harapan bahawa ia berkesan dalam membantu mengurangkan penularan wabak yang sangat berbahaya ini.

Walaupun ramai yang menyangka bahawa vaksin ini adalah penyelamat yang diperlukan ketika ini, namun kenyataannya adalah jauh lebih rumit. Proses untuk menghasilkan sebuah vaksin bukanlah mudah malah ia boleh melibatkan banyak proses, tenaga pakar dan mengambil masa yang lama untuk benar-benar membuktikan keberkesanannya itu. Jadi, sehingga kini tiada jaminan bahawa manusia dapat mencipta vaksin itu dalam masa terdekat.

Sama juga seperti penyakit HIV yang masih belum mempunyai vaksin tersendiri walaupun ia telah diusahakan selama berpuluh-puluh tahun lamanya.

Ia adalah sukar untuk ramalkan apa yang akan berjaya dan sebaliknya

Salah satu batasan bagi pengembangan vaksin adalah saintis tidak boleh meramalkan 100% adakah ia akan berfungsi seperti tujuannya atau tidak. Vaksin berfungsi dengan merangsang sistem imun untuk menghasilkan antibodi yang mengenal pasti virus dan memicu sel-sel imun yang lain agar memberi tindak balas sepatutnya.

Kekebalan virus ini masih tidak diketahui sehingga kini. Malah, para saintis juga harus mengesahkan antibodi mana yang boleh berkesan serta bahagian virus yang mana boleh merangsang pengeluaran antibodi tersebut.

Anda mungkin tidak begitu faham akan proses ini bukan? Baik, secara mudahnya, bagi merangsang sistem imun untuk menghasilkan antibodi, bahagian virus yang dapat merangsang proses itu haruslah diketahui terlebih dahulu. Setelah itu, saintis harus berharap bahawa antibodi yang dihasilkan itu berkesan untuk memberi kekebalan kepada individu.

Jadi, ia sememangnya satu proses yang sukar dan tidak boleh dilakukan atas “anggapan” begitu sahaja kerana ini melibatkan nyawa manusia. Malah, ia perlu diuji pada calon vaksin dalam ujian manusia untuk menentukan keberkesanannya. Bayangkan jika ujian tersebut tidak berjalan lancar seperti yang diharapkan, pelbagai kemungkin keadaan buruk boleh berlaku kepada calon tersebut. Disebabkan itulah, pembangunan vaksin harus dilakukan secara teliti dengan menilai setiap aspek banyak kali.

Proses penghasilan vaksin bukan satu perjalanan yang mudah

Menghasilkan vaksin memerlukan ujian yang banyak kali dan setiap satunya boleh mengambil masa yang lama. Saintis harus mencuba pelbagai pendekatan dengan harapan salah satunya boleh berjaya.

Disebabkan itulah, ianya adalah sangat penting bahawa vaksin ini cuba dihasilkan dengan idea inovatif yang berbeza-beza kerana ini dapat meningkatkan lagi kemungkinan bahawa salah satunya boleh berkesan.

Setiap ujian haruslah dilakukan secara teliti dengan memikirkan aspek keselamatan dan keberkesanannya. Ini termasuklah percubaan Tahap I, II, dan III, di mana vaksin yang dihasilkan itu akan diuji pada sukarelawan manusia dan dinilai sama ada ia berkesan dan mempunyai kesan sampingan yang berbahaya atau tidak diingini.

Walaupun terdapat cara untuk mempercepat ujian tersebut, namun proses ini masih panjang. Tiada jamin bahawa vaksin yang diuji untuk selamat dan berfungsi dalam ujian manusia. Jadi, buat masa sekarang, saintis harus membuat ujian secara berulang kali sehinggalah vaksin yang betul dapat ditemui. Keberkesanannya juga haruslah diperakui oleh pihak yang berpengalaman sebelum ia keluar ke pasaran dan digunakan oleh masyarakat.

Aspek kekebalan boleh menjadi satu isu

Adakah anda pernah terfikir mengapa kita diharuskan untuk mendapat suntikan vaksin secara berkala? Pasti ada alasan yang kukuh disebaliknya bukan?

Menurut pakar, virus boleh bermutasi. Jadi, proses mutasi yang berlaku itu boleh menyebabkan virus ini tidak lagi kebal terhadap vaksin yang digunakan dahulu.

Inilah yang membimbangkan para saintis kerana sekiranya Coronavirus juga mempunyai karakter sama iaitu bermutasi dengan cepat, ini mungkin menjadi satu situasi di mana kita semua harus mendapatkan suntikan tersebut secara tahunan. Namun begitu, setakat ini, masih belum banyak proses mutasi yang dilihat dan virus ini juga tidak mengalami tekanan evolusi untuk bermutasi.

Jadi, secara ringkasnya, proses bagi menghasilkan vaksin COVID-19 boleh menjadi semakin sukar sekiranya Coronavirus mula bermutasi. Ini bermakna kajian dan ujian yang dilakukan perlu diubah setiap kali proses mutasi itu dikesan. Akhirnya, lebih banyak masa, tenaga dan aspek-aspek lain diperlukan untuk menghasilkan sesuatu yang tidak pasti.

Bagaimana dengan perkembangan penghasilan vaksin di Malaysia setakat ini?

Walaupun proses penghasilan vaksin sememangnya sukar, tetapi itu tidak bermakna bahawa ia tidak dapat dilakukan. Malah, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Malaysia sudah bersedia untuk menjadi rakan kerjasama bersama China bagi penyelidikan klinikal vaksin COVID-19. Ia sudah memasuki fasa kedua penyelidikan klinikal dan keputusan sama ada vaksin itu berkesan atau tidak akan diketahui hujung tahun ini.

Menurutnya lagi, jika fasa kedua tersebut menunjukkan kesan positif yang memberangsangkan, ianya tidak mustahil untuk meneruskan kerjasama tersebut pada fasa ketiga penyelidikan.

Dengan mengambil kira aspek-aspek seperti ubat apa yang harus digunakan untuk merawat pesakit serta impak dan kesan sampingannya terhadap individu, banyak perkara perlu ditentukan dengan perbincangan daripada pihak atasan terlebih dahulu.

JADI,

Fahami proses penghasilan vaksin dan ketahui mengapa ia mengambil masa yang lama untuk disediakan. Dengan kepakaran daripada semua pihak, ianya tidak mustahil bagi kita untuk menghasilkan vaksin COVID-19 dalam masa terdekat. Dengan adanya vaksin ini, mungkin lebih ramai nyawa dapat diselamatkan dengan pantas.

SUMBER

https://vitals.lifehacker.com/we-may-never-get-a-covid-19-vaccine-1843197376

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/04/681258/covid-19-kkm-sedia-untuk-kerjasama-fasa-ketiga-dengan-china

Summary
Adakah kita mungkin tidak akan berjaya menghasilkan vaksin COVID-19?
Article Name
Adakah kita mungkin tidak akan berjaya menghasilkan vaksin COVID-19?
Description
Seluruh dunia dengan sabar menunggu penghasilan vaksin COVID-19 yang telah membunuh hampir 260 ribu individu sejak ia mula ditemui.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: