Gelinciran Cakera

Apabila anda dikatakan mempunyai gelinciran cakera (prolaps), cakera tersebut bukan sebenarnya tergelincir. Apa yang berlaku  adalah bahagian  dalaman cakera yang lembut (nukleus pulposus)  menembusi keluar melalui kelemahan  pada cakera bahagian luaran.

Prolaps cakera atau gelinciran cakera kadang-kadang juga dipanggil sebagai cakera herniated. Cakera yang membonjol keluar  akan menekan struktur berdekatan seperti saraf yang berasal daripada saraf tunjang  dan  akan menyebabkan kesakitan dan gejala lain di kaki. 

Sebenarnya, mana-mana cakera di bahagian tulang belakang kita mampu tergelincir. Walau bagaimanapun, kebanyakan gelinciran cakera berlaku di bahagian bawah punggung (tulang belakang lumbar) kita. 

Jarak gelinciran itu selalunya berbeza. Pendek kata, semakin besar gelincirannya, semakin parah simptom yang mungkin berlaku.

Penyebab Gelinciran Cakera

Tidak jelas mengapa sebilangan orang  akan mendapat gelinciran cakera  manakala sesetengah tidak  walaupun mereka melakukan pekerjaan atau aktiviti seperti mengangkat objek yang sama.  Sebilangan orang mungkin mempunyai bahagian luar cakera yang lemah.

Pelbagai perkara boleh mencetuskan bahagian lembut dalaman cakera untuk terkeluar melalui bahagian luar cakera yang lemah. Contohnya, bersin, posisi menunduk yang pelik, atau mengangkat barang-barang berat dalam kedudukan mencangkung boleh menyebabkan tekanan tambahan pada cakera.

Bagi orang yang mempunyai kelemahan pada cakera, ini mungkin  faktor yang mencukupi untuk menyebabkan berlakunya  gelinciran.  Antara faktor-faktor lain yang  akan meningkatkan risiko  gelinciran cakera termasuk:

  • Pekerjaan yang melibatkan banyak aktiviti  mengangkat .
  • Pekerjaan yang melibatkan banyak posisi duduk (terutamanya memandu).
  • Sukan menanggung berat badan (angkat berat, dll).
  • Merokok.
  • Usia yang meningkat (cakera  semakin cenderung mengalami kelemahan  apabila kita semakin tua).
  • Tidak aktif atau berat badan berlebihan (obesiti).

Simptom-Simptomnya

Anda boleh mendapat gelinciran cakera di mana-mana bahagian tulang belakang anda, daripada leher hingga ke bahagian bawah punggung. Bahagian bawah punggung adalah salah satu kawasan yang lebih biasa untuk cakera tergelincir. 

Saraf tulang belakang anda adalah rangkaian saraf dan saluran darah yang rumit. Cakera yang tergelincir akan memberi tekanan tambahan pada saraf dan otot di sekitarnya.

 Simptom gelinciran cakera (juga disebut sebagai cakera prolaps atau herniated) termasuk:

  • sakit dan  rasa kebas, kebiasaannya di bahagian satu sisi badan
  • sakit yang  berkembang ke lengan atau kaki anda
  • kesakitan yang menjadi semakin parah pada waktu malam atau melalui pergerakan yang tertentu
  • sakit yang menjadi semakin parah  sewaktu berdiri atau duduk
  • sakit ketika berjalan jarak jauh
  • kelemahan otot yang tidak dapat dijelaskan
  • kekebasan  atau sakit di  bahagian yang terjejas
  • sakit leher
  • masalah membongkok atau meluruskan belakang 
  • sakit pada punggung, pinggul atau kaki jika cakera menekan pada saraf sciatic (sciatica)

Jenis kesakitan berbeza-beza daripada orang ke orang. Berjumpalah dengan doktor anda sekiranya rasa sakit anda mengakibatkan rasa kebas atau kesemutan yang mempengaruhi kemampuan anda untuk mengawal otot anda.

Cara Untuk Mendiagnosis Gelinciran Cakera

Terlebih dahulu, doktor anda akan melakukan pemeriksaan fizikal. Mereka akan mencari punca kesakitan dan ketidakselesaan anda. Ini akan melibatkan pemeriksaan fungsi saraf dan kekuatan otot anda, dan sama ada anda merasa kesakitan ketika bergerak atau disentuh kawasan yang terjejas.

Doktor anda juga akan bertanya mengenai sejarah perubatan dan  simptom anda. Mereka akan  ingin mengetahui  waktu anda mula merasakan simptom dan juga aktiviti yang menyebabkan kesakitan tersebut bertambah buruk.

Ujian pencitraan dapat membantu doktor anda melihat tulang dan otot tulang belakang anda dan mengenal pasti kawasan yang terjejas . Contoh imbasan pengimejan termasuk:

  • Sinar-X
  • Imbasan CT
  • Imbasan MRI
  • Diskogram

Doktor anda boleh menggabungkan maklumat ini  bagi menentukan punca yang menyebabkan kesakitan, kelemahan, atau ketidakselesaan anda.

Rawatan Gelinciran Cakera

Sekiranya anda mempunyai gelinciran cakera’ (prolaps), anda harus meneruskan harian anda seperti biasa. Kemungkinannya anda akan tidak dapat melakukannya pada mulanya jika kesakitan menjadi sangat teruk. Namun, sambung kembali bergerak dalam masa secepat mungkin dan kembali ke aktiviti normal anda.

Tetapi, jangan melakukan perkara yang menyebabkan  pertambahan kesakitan. Namun, anda harus menahan  sedikit ketidakselesaan ketika anda berusaha untuk terus aktif, tetapi ini tidak akan membahayakan kesihatan anda.

Tetapkan matlamat baru setiap hari mungkin akan menjadi idea yang baik – misalnya, berjalan-jalan di rumah pada satu hari, berjalan kaki ke kedai-kedai pada hari berikutnya, dll.

Pasa masa dahulu, nasihatnya adalah untuk berehat sehingga rasa sakit reda. Namun sekarang  kajian menunjukkan  bahawa ini salah. Anda lebih cenderung untuk pulih dengan lebih cepat dan tidak cenderung untuk mengalami sakit belakang yang berterusan (kronik) jika anda terus aktif ketika anda mengalami sakit belakang.

Selain itu, tidur dalam keadaan yang paling selesa dan semula jadi di permukaan yang paling selesa. (Nasihat yang diberikan pada masa dahulu adalah untuk tidur di tilam yang keras. Namun, tidak ada bukti yang mengatakan bahawa tilam keras  adalah lebih baik daripada jenis tilam lain bagi orang yang mengalami sakit belakang.

Senaman

 Senaman sangat penting jika anda mempunyai gelinciran cakera . Ia dapat mengurangkan rasa sakit dengan menguatkan otot yang menyokong tulang belakang anda. Walaupun masih tidak diketahui jika  senaman tulang belakang yang spesifik adalah pilihan yang lebih baik daripada senaman yang biasa, seorang ahli fisioterapi boleh menasihati anda mengenai latihan yang dapat anda lakukan dalam situasi anda.

Senaman bukan sahaja dapat mengurangkan rasa sakit pada cakera yang tergelincir tetapi juga dapat mengurangkan kemungkinan ia berulang lagi.

Rawatan fizikal

Sebilangan orang mengunjungi kiropraktor atau osteopath untuk membetulkan dan / atau rawatan fizikal yang lain. Boleh diperdebatkan juga sama ada rawatan fizikal sedemikian  mampu membantu dengan gelinciran cakera atau tidak, tetapi ia mungkin memberikan keselesaan dalam jangka masa yang pendek. Namun, ia  harus diikuti dengan senaman yang kerap.

Ubat

Sekiranya anda memerlukan ubat penahan sakit, pilihan yang lebih baik adalah untuk mengambilnya dengan kerap. Ia  lebih baik daripada mengambilnya sekali-sekala ketika sakit sahaja. Sekiranya anda kerap mengambilnya, rasa sakit mungkin akan berkurangan sepanjang masa, membolehkan anda untuk bersenam dan kekal aktif.

  • Ubat penahan sakit anti-radang. Sebilangan orang mendapati bahawa ini berfungsi lebih baik daripada parasetamol). Ia termasuk ibuprofen yang anda boleh  mendapati di farmasi atau dapatkannya dengan preskripsi. Jenis lain seperti diclofenac atau naproxen memerlukan preskripsi. Beberapa orang yang menghidap asma, tekanan darah tinggi, kegagalan buah pinggang, atau kegagalan jantung mungkin tidak dapat mengambil anti-radang. Ubat penahan sakit anti-radang hanya boleh digunakan dalam dos efektif paling rendah dalam masa se-singkat mungkin.
  • Ubat opioid yang lemah (misalnya, codeine), dengan atau tanpa parasetamol, boleh digunakan untuk menguruskan sakit belakang belakang jika ubat penahan sakit anti-radang tidak dapat digunakan. Walau bagaimanapun, opioid tidak boleh digunakan untuk rawatan jangka panjang.
  • Ubat untuk kesakitan neuropatik, seperti amitriptyline sering dipreskripsikan jika kesakitan berlangsungan lebih dari beberapa hari. Ubat-ubatan ini perlu diambil secara berkala agar berkesan.

Epidural

Epidural adalah suntikan yang diberikan ke bahagian belakang. Biasanya diberikan di bahagian belakang di mana saraf sciatic keluar daripada tulang belakang. Ia hanya boleh dilakukan oleh pakar. Suntikan mengandungi sejenis anestetik tempatan dan steroid, yang merupakan anti-radang yang sangat kuat. Ia pada dasarnya adalah ubat penahan sakit jangka masa panjang yang dapat memberikan anda rasa tahan sakit yang cukup sehingga anda dapat memulakan atau meneruskan senaman.

Pembedahan

Pembedahan mungkin menjadi pilihan dalam beberapa kes. Sebagai contoh, pembedahan boleh dipertimbangkan jika simptomnya sangat parah dan belum pulih setelah sekurang-kurangnya enam minggu atau lebih.

Ini merangkumi sebilangan kecil kes kerana di antara 9 daripada setiap 10 orang yang mempunyai gelinciran cakera, simptomnya akan hilang sepenuhnya atau tidak bertambah buruk sehingga memerlukan pembedahan.

Tujuan pembedahan adalah untuk memotong bahagian cakera yang tergelincir dan melepaskan tekanan pada saraf. Ini sering mengurangkan simptom.

Walau bagaimanapun, ia tidak berfungsi dalam setiap kes. Juga, seperti semua operasi, ada risiko pembedahan. Pakar akan memberi nasihat mengenai kebaikan dan keburukan pembedahan dan teknik berbeza yang disediakan.

Masih tidak pasti jika ia lebih baik menjalani pembedahan atau lebih baik menunggu dan melihat. Penyelidikan terkini menunjukkan bahawa pembedahan lebih baik dalam jangka masa pendek tetapi tidak ada perbezaan dalam jangka masa panjang.

Sebagai contohnya, orang yang menjalani operasi merasakan sakit yang lebih kurang enam minggu kemudian daripada mereka yang tidak menjalani operasi. Namun, tidak ada bezanya dengan jumlah kesakitan seseorang atau kesannya terhadap kehidupan mereka, setelah tiga bulan.

Cara Pencegahan Yang Dapat Dilakukan

Bukti menunjukkan bahawa cara terbaik untuk mencegah sakit belakang dan gelinciran cakera adalah dengan terus aktif dan bersenam secara teratur. Ini bermaksud senaman kecergasan umum seperti berjalan, berlari, berenang, dan lain-lain.

Tidak ada bukti kukuh yang mengatakan bahawa senaman pengukuhan punggung yang tertentu lebih berguna daripada sekadar menjaga kesihatan dan aktif. Wajar juga untuk kerap mengingati beberapa tips seperti jangan angkat objek semasa anda berada dalam keadaan berpusing yang canggung dan jangan merokok – nikotin akan melemahkan tisu cakera.

SUMBER:

www.healthline.com/health/herniated-disk#prevention

www.nhs.uk/conditions/slipped-disc/

patient.info/bones-joints-muscles/back-and-spine-pain/slipped-disc-prolapsed-disc

www.myhealth.gov.my/en/slipped-disc-spine/

KREDIT GAMBAR:

blog.mercy.com/herniated-slipped-disc-detection/

orthoinfo.aaos.org/en/diseases–conditions/herniated-disk-in-the-lower-back

Summary
Adakah Gelinciran Cakera Membahayakan?
Article Name
Adakah Gelinciran Cakera Membahayakan?
Description
Apabila anda dikatakan mempunyai cakera 'tergelincir' (prolaps), cakera tersebut bukan sebenarnya tergelincir. Apa yang berlaku adalah bahagian dalaman cakera yang lembut (nukleus pulposus) menembusi keluar melalui kelemahan pada cakera bahagian luaran. prolaps cakera atau gelinciran cakera kadang-kadang juga dipanggil sebagai cakera herniated.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: