Kencing manis hamil
Sewaktu peringkat awal kehamilan, kadar gula darah tinggi boleh menyebabkan kecacatan kelahiran pada bayi dan boleh menjadi semakin teruk.

Sebelum itu, apakah yang dimaksudkan dengan penyakit diabetes?

Penyakit kencing manis adalah keadaan di mana tubuh anda tidak boleh menghasilkan insulin dalam jumlah yang mencukupi atau tidak boleh menggunakan insulin secara normal. Insulin adalah sejenis hormon yang berfungsi membantu gula (glukosa) dalam darah masuk ke sel-sel badan dan digunakan sebagai bahan bakar. Apabila glukosa tidak dapat masuk ke dalam sel, ia akan terkumpul dalam darah. Ini akan mendorong kepada kadar gula darah tinggi yang dipanggil hiperglikemia.

Kadar gula darah tinggi boleh menjejaskan seluruh badan anda. Malah, ia juga boleh merosakkan saluran darah dan saraf. Mata, buah pinggang dan jantung anda juga boleh terjejas kerana masalah sama.

Sewaktu peringkat awal kehamilan, kadar gula darah tinggi boleh menyebabkan kecacatan kelahiran pada bayi dan boleh menjadi semakin teruk.

Terdapat 3 jenis diabetes iaitu:

  • Kencing manis jenis 1. Ia adalah sejenis penyakit autoimun. Sistem imun badan merosakkan sel-sel di pankreas yang menghasilkan insulin.
  • Diabetes 2. Penyakit ini berlaku apabila tubuh tidak dapat menghasilkan insulin yang mencukupi atau menggunakannya secara normal. Ia bukanlah sejenis penyakit autoimun.
  • Kencing manis gestasi (kehamilan). Ia adalah keadaan di mana tahap glukosa darah naik dan simptom diabetes lain muncul semasa kehamilan. Ini berlaku bagi wanita yang belum pernah didiagnosis dengan penyakit kencing manis sebelum ini. Kebiasaannya, ia akan berlaku kepada 3 hingga   9 orang daripada 100 wanita hamil.

Apakah yang menyebabkan diabetes semasa kehamilan?

Sesetengah wanita mungkin telah menghidap kencing manis sebelum hamil. Keadaan ini dipanggil sebagai diabetes pragestasi. Wanita lain pula mungkin mendapat penyakit kencing manis yang hanya berlaku sewaktu hamil dan dipanggil sebagai kencing manis gestasi (diabetes semasa kehamilan). Kehamilan boleh mengubah bagaimana sistem tubuh wanita menggunakan glukosa. Oleh itu, ia boleh menjadikan kencing manis menjadi semakin memburuk (diabetes pragestasi) atau mendorong kepada kepada penyakit diabetes (kencing manis gestasi). 

Dalam tempoh kehamilan, organ yang dikenali sebagai plasenta membekalkan nutrien dan oksigen kepada bayi. Ia juga berfungsi untuk mengasilkan hormon. Dalam kehamilan lewat, hormon estrogen, kortisol dan laktogen plasenta manusia boleh menyekat insulin. Apabila insulin disekat, keadaan ini dipanggil sebagai rintangan insulin. Jadi, glukosa tidak boleh masuk ke dalam sel-sel badan dan kekal dalam darah. Kemudian, ini akan mengakibatkan paras gula darah meningkat.

Siapakah yang berisiko menghidap diabetes semasa kehamilan?

Faktor risiko kencing ,manis semasa hamil bergantung kepada jenis diabetes:

  • Kencing manis jenis 1 – Diabetes jenis 1 sering berlaku pada kanak-kanak atau orang dewasa muda, tetapi boleh juga bermula pada sebarang peringkat usia.
  • Kencing manis jenis 2 – Wanita yang berlebihan berat badan lebih cenderung menghidap diabetes jenis 2 dan kencing manis gestasi. Selain itu, ia juga lebih kerap berlaku pada wanita yang pernah menghidap penyakit diabetes sebelum ini serta wanita yang mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit kencing manis jenis 2. Tambahan lagi, wanita yang mempunyai kembar atau adik beradik lain dengan penyakit diabetes juga lebih cenderung untuk memilikinya.

Apakah tanda-tanda diabetes semasa kehamilan?

Tiada simptom kencing manis biasa yang berlaku sewaktu kehamilan. Kebanyakan wanita hamil tidak tahu mereka mempunyai penyakit ini sehinggalah mereka menjalani ujian tertentu.

Bagaimana diabetes didiagnosis semasa kehamilan?

Hampir kesemua wanita hamil yang bukan merupakan pesakit kencing manis perlu melakukan ujian saringan untuk diabetes gestasi antara 24 hingga 28 minggu kehamilan. Ujian saringan glukosa juga boleh dilakukan pada masa yang sama. Sewaktu ujian dijalankan, anda akan diberi minuman glukosa dan tahap glukosa darah anda akan diuji selepas 2 jam.

Sekiranya ujian ini menunjukkan tahap glukosa darah yang tinggi, ujian toleransi glukosa pula akan dijalankan selama 3 jam. Jika keputusan ujian kedua-duanya adalah tidak normal, anda akan didiagnosis dengan kencing manis gestasi.

Bagaimana diabetes dirawat semasa kehamilan?

Rawatan bergantung kepada simptom yang dialami, umur dan kesihatan umum anda. Ia juga bergantung kepada tahap penyakit kencing manis anda.

Matlamat rawatan memberi tumpuan untuk  mengekalkan tahap glukosa darah dalam lingkungan normal, termasuklah:

  • Pemakanan yang berhati-hati dengan jumlah makanan dan minuman karbohidrat yang rendah.
  • Senaman.
  • Pemantauan glukosa darah.
  • Suntikan insulin.
  • Ubat oral untuk hipoglikemia.

Apakah komplikasi diabetes yang mungkin berlaku semasa kehamilan?

Kebanyakan komplikasi akan berlaku pada wanita yang pernah menderita penyakit ini sebelum hamil. Komplikasi yang mungkin berlaku termasuklah:

  • Memerlukan suntikan insulin lebih kerap.
  • Tahap glukosa darah yang sangat rendah, dan boleh mengancam nyawa sekiranya ia tidak dirawat.
  • Mengalami keadaan ketoasidosis berpunca dari kadar glukosa darah yang tinggi, dan mungkin juga mengancam nyawa jika tidak dirawat.

Wanita yang menghidap kencing manis gestasi lebih cenderung untuk menghidap diabetes jenis 2 pada kemudian hari. Mereka juga mungkin berisiko mengalami diabetes gestasi pada kehamilan seterusnya. Sekiranya anda mempunyai kencing manis gestasi, pastikan anda melakukan ujian beberapa bulan selepas bayi anda dilahirkan dan setiap 3 tahun selepas itu.

Komplikasi yang mungkin terjadi kepada bayi termasuklah:

  • Kematian janin. Kematian janin lebih cenderung berlaku pada wanita hamil yang didiagnosis dengan diabetes. Bayi mungkin membesar secara perlahan-lahan dalam rahim disebabkan oleh peredaran yang kurang baik atau keadaan lain. Ini termasuklah tekanan darah tinggi atau saluran darah kecil dan rosak. Namun, punca sebenar kematian janin bagi penyakit kencing manis gestasi masih tidak diketahui. Risiko kematian janin semakin meningkat pada wanita dengan kawalan glukosa darah dan keadaan perubahan saluran darah yang lemah.
  • Kecacatan kelahiran. Kecacatan kelahiran lebih cenderung berlaku pada bayi daripada ibu-ibu yang menghidap diabetes gestasi. Sesetengah kecacatan kelahiran adalah begitu serius hingga menyebabkan kematian janin. Masalah ini biasanya berlaku pada trimester pertama kehamilan. Bayi mungkin mempunyai kecacatan kelahiran utama pada jantung dan saluran darah, otak dan tulang belakang, sistem kencing dan ginjal, serta sistem pencernaan.
  • Makrosomia. Ia adalah istilah bagi bayi yang lahir lebih besar daripada biasa. Semua nutrien bayi diambil melalui darah ibu. Jadi, jika darah ibu mempunyai terlalu banyak gula, pankreas bayi akan menghasilkan lebih banyak insulin untuk memproses glukosa ini. Justeru itu, ini akan menyebabkan pengumpulan lemak dan kelahiran bayi yang bersaiz besar.
  • Kecederaan sewaktu kelahiran. Kecederaan kelahiran mungkin berlaku kerana saiz bayi yang besar dan kesukaran semasa proses kelahiran.
  • Hipoglikemia. Bayi mungkin mempunyai kadar glukosa darah yang rendah selepas dilahirkan. Masalah ini berlaku jika tahap glukosa darah ibu adalah tinggi dalam tempoh yang lama. Ini menyebabkan banyak insulin terkumpul dalam darah bayi. Selepas bersalin, bayi akan terus mempunyai tahap insulin yang tinggi, tetapi tidak lagi menerima glukosa daripada ibu. Keadaan ini menyebabkan tahap glukosa darah bayi baru lahir menjadi sangat rendah. Kebiasaannya, tahap glukosa darah bayi akan diperiksa selepas kelahiran. Sekiranya tahap terlalu rendah, bayi mungkin memerlukan glukosa yang disalurkan melalui intravena (IV).
  • Masalah pernafasan (tekanan pernafasan). Terlalu banyak insulin atau terlalu banyak glukosa dalam sistem bayi boleh menghalang paru-paru daripada tumbuh sepenuhnya. Keadaan ini boleh menyebabkan masalah pernafasan pada bayi. Malah, ia juga meningkatkan risiko bayi dilahirkan sebelum 37 minggu kehamilan.
  • Praeklampsia. Wanita yang mempunyai penyakit kencing manis jenis 1 atau jenis 2 mengalami peningkatan risiko untuk mendapat praeklampsia sewaktu kehamilan. Bagi menurunkan risiko tersebut, mereka harus mengambil aspirin dalam dos yang rendah (60 hingga 150 mg sehari) dari tempoh akhir trimester pertama sehingga bayi dilahirkan.

Bolehkah kencing manis semasa kehamilan dicegah?

Tidak semua jenis diabetes boleh dicegah. Kencing manis jenis 1 biasanya bermula apabila seseorang masih muda. Manakala, diabetes jenis 2 pula boleh dielakkan dengan penurunan berat badan. Pilihan senaman dan makanan yang sihat juga boleh membantu mencegah kencing manis jenis 2.

Bagaimana keadaan ini diuruskan?

Ujian khas dan pemantauan bayi mungkin diperlukan bagi pesakit kencing manis yang hamil, terutamanya jika mereka perlu mengambil insulin. Ini diperlukan kerana adanya peningkatan risiko berlakunya kematian janin. Ujian tersebut termasuklah:

  • Mengira pergerakan janin. Ini bermakna mengira bilangan pergerakan atau tendangan dalam tempoh masa tertentu dan melihat perubahan aktiviti yang janin anda lakukan.
  • Ultrabunyi. Ini adalah sejenis ujian pengimejan yang menggunakan gelombang bunyi dan komputer untuk menghasilkan imej saluran darah, tisu, dan organ dalam badan. Ia digunakan untuk melihat bagaimana organ dalaman berfungsi dan melihat aliran darah melalui saluran darah.
  • Ujian tanpa tekanan. Ujian ini mengukur denyutan jantung bayi sebagai tindak balas kepada pergerakan.
  • Profil biofizikal. Ukuran yang menggabungkan beberapa ujian seperti ujian tanpa tekanan dan ultrabunyi untuk memeriksa pergerakan bayi, denyutan jantung dan cecair amniotik.
  • Kajian aliran doppler. Ini adalah sejenis ultrabunyi yang menggunakan gelombang bunyi bagi mengukur aliran darah.

Bayi kepada ibu yang menghidap diabetes boleh dilahirkan secara normal atau melalui pembedahan cesarean. Ia bergantung kepada keadaan kesihatan anda serta berat bayi anda. Pakar penjagaan kehamilan boleh menjalankan ujian yang dipanggil ‘amniocentesis’ pada minggu kehamilan yang terakhir. Ujian ini akan mengambil sampel cecair amniotik si ibu dan menguji cecair tersebut untuk mengetahui jika paru-paru bayi telah matang atau tidak. Paru-paru biasanya matang dengan lebih perlahan pada bayi dengan ibu yang menghidap diabetes gestasi. Namun, sekiranya paru-paru bayi telah matang, pakar penjagaan kehamilan boleh menasihati anda untuk melakukan induksi bersalin atau bersalin secara ‘cesarean’.

Perkara utama mengenai kencing manis semasa kehamilan

Petua bagi membantu anda mendapatkan lebih banyak maklumat daripada perjumpaan dengan doktor semasa kehamilan:

  • Ketahui tujuan lawatan anda dan apa yang anda harapkan akan berlaku.
  • Sebelum berjumpa doktor, tulis soalan yang anda mahu tanya kepada doktor.
  • Bawa seseorang dengan anda untuk membantu anda bertanya dan mengingati apa yang telah diberitahu oleh doktor.
  • Di setiap lawatan, tuliskan nama diagnosis baru dan mana-mana ubat, rawatan, atau ujian baru. Tulis juga sebarang arahan baru yang diberikan oleh doktor anda.
  • Ketahui mengapa ubat atau rawatan baru dicadangkan, dan bagaimana ia akan membantu anda. Pastikan anda juga mengetahui kesan sampingannya.
  • Tanya doktor jika keadaan anda boleh dirawat dengan cara lain.
  • Ketahui mengapa ujian atau prosedur disyorkan dan apakah hasilnya.
  • Ketahui apa yang akan berlaku jika anda tidak mengambil ubat atau menjalani ujian atau prosedur.
  • Sekiranya anda mempunyai rawatan susulan, tulis tarikh, masa dan tujuan bagi lawatan itu.
  • Ketahui bagaimana anda boleh menghubungi doktor jika anda mempunyai sebarang soalan.

SUMBER

https://www.webmd.com/diabetes/pregnancy-diabetes-and-pregnancy

https://www.healthline.com/health/pregnancy/type-2-diabetes

https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/pregnancy-week-by-week/in-depth/pregnancy-and-diabetes/art-20044621

https://www.medicalnewstoday.com/articles/325177

Summary
Adakah Anda Mengalami Kencing Manis Sewaktu Hamil?
Article Name
Adakah Anda Mengalami Kencing Manis Sewaktu Hamil?
Description
Sesetengah wanita mungkin telah menghidap kencing manis sebelum hamil. Ada juga yang mungkin mendapat kencing manis kehamilan yang membimbangkan.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: