Adakah anda dalam kumpulan yang boleh atau tidak boleh berpuasa secara selang-seli?
Walaupun banyak manfaat yang ditawarkan oleh kaedah berpuasa secara selang-seli, namun itu tidak bermakna bahawa ianya sesuai dilakukan oleh semua orang.

Walaupun banyak manfaat yang ditawarkan oleh kaedah berpuasa secara selang-seli, namun itu tidak bermakna bahawa ianya sesuai dilakukan oleh semua orang.

Kaedah berpuasa ini sebenarnya hanyalah salah satu strategi gaya hidup yang dapat meningkatkan kesihatan anda. Makan makanan yang sihat, bersenam dan menjaga tidur masih menjadi faktor yang perlu diberi perhatian sekiranya anda ingin meningkatkan tahap kesihatan sendiri.

Selain itu, sekiranya anda tidak suka dengan idea berpuasa ini, anda boleh sahaja mengabaikan kaedah ini dan teruskan dengan perkara yang memberi manfaat kepada anda.

Jadi, persoalannya sekarang, siapakah yang patut dan tidak patut mengamalkan kaedah berpuasa secara selang-seli?

Golongan yang sesuai mengikuti kaedah puasa secara selang-seli

Sekiranya anda telah membaca dengan lebih lanjut tentang kaedah puasa secara selang-seli ini, anda pasti tahu mengenai pelbagai kaedah yang ditawarkan mengikut kesesuaian individu. Berdasarkan faedah dan risiko yang telah dipertimbangkan, individu yang sesuai melakukan kaedah ini adalah:

  • Individu yang menikmati pelbagai jenis makanan

Individu sebegini lebih sesuai mengikuti kaedah ini kerana tiada sekatan pengambilan makanan yang khusus perlu diikuti. Jadi, mereka masih boleh makan seperti biasa mengikut keperluan.

  • Individu yang mengalami kesukaran dengan diet yang lain

Ada juga individu yang mencuba kaedah ini kerana badan mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan diet pemakanan yang lain. Memandangkan kaedah berpuasa ini tidak begitu ketat seperti sesetengah diet yang mengehadkan pengambilan karbohidrat ataupun yang mengehadkan kadar kalori dalam sehari, lebih ramai orang yang boleh mengamalkannya.

  • Individu yang mempunyai masalah pencernaan pada waktu malam

Biasanya, masalah ini berlaku pada mereka yang suka mengambil makanan pada lewat malam sebelum tidur. Makanan ringan seperti kentang goreng, mi segera dan minuman bergas seperti ‘Coke’ dan ‘Pepsi’ menjadi kegemaran terutamanya bagi golongan muda. Sekiranya individu mengambil keputusan untuk mencuba kaedah berpuasa ini, mereka sebenarnya boleh mengelakkan pedih ulu hati, refluks asid ataupun masalah pencernaan lain.

Aspek ini juga tidak terhad bagi masalah pencernaan pada waktu malam sahaja kerana ada juga di antara kita yang mengalami masalah sama selepas makan sarapan mahupun makan tengah hari. Di samping itu, ia biasanya berlaku kerana pengambilan makanan berlebihan berbanding apa yang diperlukan oleh badan kita.

Golongan yang perlu elak mengikuti kaedah berpuasa secara selang-seli

Walaupun kajian terdahulu mendapati bahawa berpuasa mungkin mempunyai manfaat untuk mengawal kadar gula dalam darah, namun penyekatan pengambilan kalori dalam tempoh yang lama tidak sesuai bagi sesetengah individu termasuklah:

  • Individu yang mempunyai penyakit diabetes berasaskan insulin

Jika anda merupakan pesakit diabetes, elakkan kaedah berpuasa secara radikal kerana ia mungkin menjejaskan lagi penyakit anda. Sebaliknya, ambil makanan biasa yang menyihatkan bagi membantu mencegah kadar gula dalam darah naik atau turun secara mendadak. Keadaan ini boleh mengancam nyawa sekiranya kadar gula tidak dikawal dengan betul.

  • Atlet amatur atau profesional

Kaedah berpuasa secara selang-seli ini mungkin tidak sesuai bagi mereka yang bergantung pada sumber tenaga yang banyak sebelum dan selepas melakukan aktiviti. Ini adalah penting agar prestasi mahupun tempoh pemulihan selepas bersukan tidak terganggu.

Bagi mereka yang mempunyai berat badan yang kurang, kaedah berpuasa ini haruslah dielakkan. Ia seharusnya dilakukan oleh mereka yang ingin mengurangkan berat badan, jadi sekiranya anda sudah tergolong dalam kumpulan yang ‘underweight’, anda pasti tidak mahu sekiranya berat anda menurun lagi.

  • Wanita mengandung

Mengubah tabiat pemakanan secara drastik boleh mengakibatkan kekurangan nutrisi dan isu kesihatan lain pada anda dan bayi anda. Ia juga boleh mengubah tahap hormon si ibu yang seterusnya menjejaskan keadaan bayi.

Walaupun tiada kajian yang boleh memberikan maklumat tepat tentang kaedah berpuasa pada wanita mengandung, namun ianya masih berisiko untuk dilakukan. Antara risikonya termasuklah keguguran ataupun masalah lain pada bayi yang telah lahir itu.

  • Wanita yang menyusukan bayi

Biasanya, ramai wanita yang mencuba kaedah berpuasa kerana ingin menghilangkan berat badan setelah kelahiran bayi mereka. Kaedah ini dikatakan berbahaya bagi wanita yang menyusukan bayi kerana berpuasa menyekat pengambilan makanan dan cecair pada ibu dan bayi.

Memandangkan penyusuan ibu memerlukan sumber cecair dan kalori berterusan bagi mengekalkan bekalan susu dan nutrien yang mencukupi, kaedah berpuasa boleh menghalang proses tersebut. Bekalan susu berkurangan, kandungan nutrien yang tidak mencukupi, tahap tenaga yang rendah dan dehidrasi mungkin boleh berlaku sekiranya si ibu masih ingin berpuasa.

Oleh itu, secara amnya golongan wanita tidak digalakkan berpuasa untuk tempoh yang lama kerana bimbang ianya boleh mengganggu proses reproduksi biasa seperti kitaran haid atau menopaus.

Kesimpulannya,

Seperti kebanyakan pelan pemakanan yang lain, ianya mungkin berkesan kepada satu individu tetapi gagal bagi yang lain. Sekiranya anda bercadang memulakan kaedah berpuasa sebegini, pastikan anda mendapat nasihat daripada doktor atau pakar nutrisi terlebih dahulu untuk mendapat pemahaman yang lebih baik berkaitan kaedah ini.

Sekiranya anda berasa bahawa kaedah berpuasa ini boleh dilakukan dan sesuai dengan diri anda, ia boleh menjadi satu alat berkuasa dalam membantu mengurangkan berat badan dan meningkatkan tahap kesihatan anda.

SUMBER

https://www.healthline.com/nutrition/intermittent-fasting-guide#faq

https://www.healthline.com/nutrition/6-ways-to-do-intermittent-fasting#section4

https://www.huffpost.com/entry/intermittent-fasting-whos_b_6236712

https://healthblog.uofmhealth.org/wellness-prevention/intermittent-fasting-it-right-for-you

Summary
Adakah anda dalam kumpulan yang boleh atau tidak boleh berpuasa secara selang-seli?
Article Name
Adakah anda dalam kumpulan yang boleh atau tidak boleh berpuasa secara selang-seli?
Description
Walaupun banyak manfaat yang ditawarkan oleh kaedah berpuasa secara selang-seli, namun itu tidak bermakna bahawa ianya sesuai dilakukan oleh semua orang.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: