doa buka puasa

Amalan membaca doa sememangnya menjadi norma dalam masyarakat muslim termasuklah doa buka puasa. Hal ini demikian kerana umat islam berpegang pada keajaiban doa yang menjadi senjata mukmin. Nabi S.A.W bersabda:

الدُّعَاءُ سِلاحُ الْمُؤْمِنِ، وَعِمَادُ الدِّينِ، وَنُورُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ

“Doa adalah senjata orang beriman, tiang agama dan cahaya langit-langit dan bumi”

(Hadis Riwayat Hakim)

Kemudian Rasulullah SAW juga ada menyatakan doa orang yang berpuasa merupakan antara doa yang sangat mustajab. Sabda Baginda Nabi SAW:

ثَلاَثَةٌ لاَ تُرَدُّ دَعْوَتُهُمُ الصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ وَالإِمَامُ الْعَادِلُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

Maksudnya: Ada tiga golongan yang doa mereka tidak ditolak: Orang yang berpuasa hinggalah dia berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi.

Hadith Riwayat Tirmizi (3598)

Imam Nawawi ada menyatakan bahawa hadis ini merupakan petunjuk kepada kita untuk kita  memperbanyakkan doa semasa menunaikan ibadah puasa dari bermulanya puasa hingga kita berbuka puasa.

Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (6/375)

Kaifiat Membaca Doa Buka Puasa

Sebelum Berbuka

Pada waktu menunggu masa berbuka puasa kita digalakkan untuk berdoa untuk apa jua kebaikan atau kelebihan dunia dan akhirat samada untuk diri sendiri, ahli keluarga, saudara kita, kenalan kita dan untuk muslimin dan muslimat.

Amalan yang baik hendaklah dikongsikan bersama tidak begitu? Memandangkan menerusi hadis dan sabda Rasullullah banyak kebaikan berdoa. Berikut kami berikan contoh doa untuk anda amalkan sebelum menjelang berbuka dan ketika bersahur:

(Seeloknya dibaca dalam tempoh 10-15 minit sebelum berbuka puasa)

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

ٍ

اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِيْنَ وَلاَ عُدْوَانَ إِلاَّ عَلَى الظَّالِمِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ اْلأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْن

Allahhumma Ya Rabb, di petang yang penuh barakah ini, kami memohon pada Mu agar kami senantiasa beroleh taufik dan hidayah dari Mu.

Ya Allah, ampunilah kami, rahmatilah kami, anugerahilah kami kesihatan yang baik dan rezeki yang banyak.

Ya Allah, jadikanlah hari ini dan hari-hari mendatang agar kami senantiasa beroleh segala kebaikan dan kejayaan.

Ya Allah, panjangkanlah umur kami hingga kami dapat berpuasa penuh dan beribadah sepanjang bulan Ramadhan yg mulia ini pada tahun ini dan pada tahun2 akan datang dan bertemu dengan Lailatul Qadar.

Ya Allah, perelokkanlah akhlak kami dan anugerahkan kami keluarga yg beroleh Mawaddah, Sakinah dan Rahmah serta berkatilah segala urusan kami di dunia dan di akhirat. Kekalkanlah ukhwah dan silaturahim sesama kami dan berilah kemuliaan kpd kami di dunia dan di akhirat.

Ya Allah, Engkau ampunilah dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa pasangan kami, keluarga kami, saudara kami, sahabat kami dan guru kami. Lindungilah kami dan ahli keluarga kami daripada gangguan syaitan, fitnah dunia dan fitnah Dajjal.

Ya Allah, anugerahkanlah kami a’fiah dan lindungilah kami dan warga bumi ini dari wabak Corona Virus yg masih melanda sekarang ini. Engkau angkatkanlah dan lenyapkanlah wabak ini yg sedang melanda bumi kami Malaysia dan seluruh dunia.

Ya Allah, kami memohon di akhir usia kami nanti kami mendapat Husnul Khatimah. Selamatkanlah kami dari azab sakaratul maut, azab kubur, azab di Masyar dan azab api neraka. Jadikanlah kami golongan yg mendapat Syafaat Nabi Muhammad SAW dan dimasukkan kami ke dalam Jannatul Firdaus tanpa hisab.

Ya Allah berilah taufik dan hidayah kepada umatMu yang belum Islam dan juga kepada pemimpin, rakan dan jiran kami yang masih belum menerima Islam dengan sepenuhnya.

Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga dan para sahabatnya.

Segala puji pujian hanya untukMu Ya الله .

رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَّمْ تَغْفِرْلَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّ مِنَ الْخَاسِرِيْنَ

رَبَّنَا ءَاتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى اْلآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

وَصَلَّى الله ُعَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ

وَالْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمين.ِ

Di sini juga kami sertakan doa untuk anda amalkan ketika menunggu waktu berbuka dan ketika bersahur:

Bertambah iman

Sihat tubuh badan

Husnul Khotimah.

Murah rezeki.

Anak soleh.

Keluarga bahagia.

Rahmat ALLAH.

Jauhi azab kubur.

Lapang dada.

Kekalkan iman.

Ampunkan dosa.

Anak-anak yang Berjaya duni dan akhirat.

Perniagaan yg diberkati / gaji yang berkat.

Jauhi segala penyakit.

Ibadat diterima.

Mudah segala urusan.

Diterima taubat.

Lapangkan kubur.

Mudah bayar hutang.

Lailatulqadar.

Syafaat Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam.

Syurga Firdaus.

Jauhi neraka.

Terima kitab dengan tangan kanan.

Selamat meniti Sirat.

Selamat fitnah Dajal.

Ketenangan hati.

Doa ibubapa.

Keluarga yang dirikan solat.

Diterima puasa Ramadhan.

Sejurus Selepas Berbuka

Membaca doa buka puasa yang warid daripada Nabi s.a.w iaitu:

اللَّهُمَّ لَك صُمْت وَعَلَى رِزْقِك أَفْطَرْت

Maksudnya: Ya Allah, untuk-Mu aku berpuasa, dan dengan rezeki dari-Mu aku berbuka.

Sunan Abi Dawud (2358)

  • Doa Buka Puasa Individu

Allahumma Lakasumtu Wabika Aamantu Wa’alaa Rizqika Afthortu Birohmatika Yaa Arhamar Roohimiin

Maksudnya:

Ya Allah kerana Mu aku berpuasa, Dengan Mu aku beriman, kepada Mu aku berserah dan dengan rezeki Mu aku berbuka (puasa) dengan Rahmat Mu, Ya Allah Tuhan Maha Pengasih.

  • Doa Buka Puasa Berjemaah

 Allahumma Lakasumna Wabika Aamanna Wa’alaa Rizqika Afthorna Birohmatika Yaa Arhamar Roohimiin 

Maksudnya:

Ya Allah kerana Mu kami berpuasa, Dengan Mu kami beriman, kepada Mu kami berserah dan dengan rezeki Mu kami berbuka (puasa) dengan Rahmat Mu, Ya Allah Tuhan Maha Pengasih.

ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتْ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الْأَجْرُ إنْ شَاءَ اللَّهُ تَعَالَى

Maksudnya: Telah hilanglah dahaga, urat-urat telah basah, dan telah terhasil pahala, insyaAllah.

 Sunan Abi Dawud (2357)

Imam Ibn Hajar al-Haitami dan Imam Ramli menyatakan bahawa, doa ini hendaklah dibaca sejurus selepas berbuka (عقب), bukan sebelumnya. (Rujuk Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam Tuhfatul Muhtaj, 3/435 dan Imam Ramli dalam Nihayatul Muhtaj, 3/183. Doa-doa ini turut disebut oleh Imam Nawawi dalam kitabnya Al-Azkaar)

Antara doa yang baik untuk diamalkan ialah seperti doa ‘Abdullah ibn ‘Amru sewaktu berbuka puasa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَىْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِي

Maksudnya: Wahai Allah, sesungguhnya aku memohon dengan rahmat-Mu yang meliputi segala perkara, agar Engkau mengampuniku.

Sunan Ibn Majah (1753)

Adab Berbuka Puasa

1. Membaca doa

Ibn ‘Umar r.a berkata: “Apabila berbuka puasa, Nabi SAW akan membaca : Hilanglah segala kehausan, segala urat-urat telah basah dan semoga tetaplah beroleh pahala.

ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتْ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ

(Dzahabaz zhoma u wabtallatil ‘uruuqu wa thabatal ajru insyaallah) – Hadis riwayat Abu Dawud

Abdullah Ibn ‘Umar r.a berkata: “Apabila berbuka puasa bacalah: Ya Allah! sesungguhnya aku memohon rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu agar Engkau mengampunkan aku.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِي

(Allahumma inni as aluka birahmatikal lati wasi’ta kulla syai in an taghfirali)” – Hadis riwayat Ibn Majah

2. Mempercepatkan berbuka puasa selepas masuk.

Kita juga sangatlah digalakkan untuk mempercepatkan berbuka puasa selepas masuk waktu. Sebaik sahaja azan maghrib dilaungan atau ketika matahari mula terbenam adalah waktu yang paling afdhal. Adalah lebih baik menyegerakan makan daripada melakukan zikir, membaca al-Quran atau ibadah lain kerana perintah Baginda Rasulullah SAW bersabda:

“Manusia akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka sentiasa menyegerakan berbuka puasa.” – Hadis riwayat al-Bukhari

Di dalam sebuah hadis qudsi, Allah SWT telah berfirman maksudnya :

“Sebaik-baik hamba-ku menurut pandangan-Ku ialah orang yang menyegerakan berbuka puasa.” – Hadis riwayat al-Tirmizi

3. Berbuka Puasa Dengan Buah Rutab, Tamar Atau Air.

Buah kurma yang masak tapi belum atau tidak dikeringkan dipanggil Rutab. Rutab berasa lembut dan manis. Rutab berbeza dengan buah Tamar. Buah Tamar pula adalah buah kurma yang telah dikeringkan sebagaimana yang banyak terjual di pasaran. Berbuka puasa dengan buah rutab, tamar atau air merupakan sunnah Nabi SAW kerana ia adalah amalan Baginda SAW, Anas bin Malik r.a berkata:

“Rasulullah s.a.w berbuka puasa sebelum solat (Maghrib) dengan rutab. Jika tiada rutab, baginda akan berbuka dengan tamar dan jika tiada tamar, baginda akan meneguk beberapa teguk air.” – Hadis riwayat Imam al-Tirmizi

4. Bersegera Mengerjakan Solat Maghrib.

Setelah Rasulullah SAW berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air Baginda SAW akan bersegera solat maghrib.  Jika makanan malam untuk berbuka telah terhidang disunnahkan untuk menjamah makan malam terlebih dahulu walaupun solat telah didirikan. Kemudian, hendaklah kita semua untuk tidak melengah-lengahkan solat apabila telah selesai makan. Sabda Rasulullah SAW :

“Apabila seseorang dihidangkan makan malam sedangkan solat (jemaah) telah didirikan, utamakan makan malam. Janganlah seseorang itu tergopoh-gapah menghabiskan makanan itu sehinggalah dia selesai dalam keadaan tenang.” – Hadis riwayat al-Bukhari

Menurut Imam al-Nawawi : “Hadis ini menetapkan bahawa makruh untuk mengerjakan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.”

5. Berbuka Puasa Secara Sederhana.

Firman Allah SWT :

“Wahai Bani Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah setiap kali kamu ingin ke tempat ibadat (mengerjakan solat) dan makan minumlah serta janganlah kamu melampau. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas.” – Surah al-A’raaf : Ayat 31

Tanpa disedari semasa bulan Ramadan kita sentiasa berbelanja lbih untuk berbuka. Almaklumlah seharian sudah penat berpuasa pantang nampak makanan semua kita mahu. Sebaliknya, sebagai seorang muslim kita perlu sentiasa ingat bahawa ibadah puasa merupakan suatu Latihan untuk membentuk jiwa seorang muslim yang bersabar dan bertakwa. Agar ketika kita berbuka puasa kadar makanan kita mencukupi dan tidak berlebihan. Sabda Nabi SAW :

“Anak adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberi kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak mustahail (boleh dilakukan), suaplah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.” – Hadis riwayat al-Tirmizi

6. Menjamu Makanan Untuk Berbuka Bagi Orang Berpuasa.

Sekiranya kita berkesempatan jamulah makanan berbuka puasa kepada orang-orang miskin dan anak-anak yatim. Dalam keadaan pandemic ini mungkin kitab oleh usahakan kaedah bungkus makanan dan sebagainya. Dalam kejiranan kita sahaja ramai yang terkesan dengan keadaan sekarang. Firman Allah SWT :

“Mereka juga memberi makan sebarang makanan yang dihajati dan disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan tawanan (sambil berkata dengan lidah atau hati): Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu semata-mata kerana Allah dan kami langsung tidak inginkan sebarang balasan daripada kamu atau ucapan terima kasih.” – Surah al-Insan: 8-9.

Ganjaran yang besar menanti seorang muslim yang menjamu makanan kepada orang yang berpuasa. Semakin ramai jumlah orang yang dijamu makan, semakin tinggilah jumlah gandaan pahalanya. Sabda baginda SAW :

“Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang yang berpuasa, iaitu pahala orang yang berpuasa yang tidak dikurangkan walau sedikit.” – Hadis riwayat al-Tirmizi.

Berikut adalah perkongsian berkaitan doa dan adab berbuka puasa. Semoga mampu memberi panduan kepada kita semua untuk menjadi muslim yang sejati. Wallahu’alam!

SUMBER:

https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/edisi-ramadhan/2406-irsyad-al-fatwa-khas-ramadhan-siri-ke-99-kaifiat-membaca-doa-berbuka-puasa

https://akuislam.com/blog/ibadah/doa-buka-puasa/

https://harianpost.my/doa-berbuka-puasa/

https://harakahdaily..net/index.php/2018/03/22/doa-baik-dan-doa-keburukan-doa-senjata-mukmin/

https://www.islamituindah.my/adab-berbuka-puasa-menurut-sunnah/

Summary
Adab Dan Doa Buka Puasa
Article Name
Adab Dan Doa Buka Puasa
Description
Amalan membaca doa sememangnya menjadi norma dalam masyarakat muslim termasuklah doa buka puasa. Hal ini demikian kerana umat islam berpegang pada keajaiban doa yang menjadi senjata mukmin.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: