9 Khasiat Buah Tembikai Yang Menakjubkan
Tembikai adalah sejenis buah yang lazat dan menyegarkan yang juga baik untuk anda.

Tembikai adalah sejenis buah yang lazat dan menyegarkan yang juga baik untuk anda.

Secara umum, tembikai mengandungi sebanyak 46 kalori pada setiap cawan dan mempunyai kandungan vitamin C dan vitamin A yang tinggi serta banyak lagi sebatian tumbuh-tumbuhan yang sihat lain. 

Berikut kami kongsikan 9 khasiat buah tembikai terhadap kesihatan anda.

1. Membantu anda kekal hidrat

Ramai tahu bahawa meminum air merupakan cara yang penting untuk mengekalkan tahap hidrasi badan anda. Itu termasuklah makan makanan yang mempunyai kandungan air yang tinggi seperti tembikai. Menariknya, tembikai terdiri daripada 92% kandungan air.

Tambahan lagi, kandungan air yang tinggi merupakan salah satu sebab buah-buahan dan sayur-sayuran tertentu membantu anda merasa kenyang selepas memakannya. Makan makanan yang mengandungi gabungan air dan serat adalah jenis makanan yang terbaik kerana ia tidak mengandungi banyak kalori dan mengenyangkan.

2. Mengandungi nutrien dan sebatian tumbuh-tumbuhan yang bermanfaat

Tembikai adalah salah satu buah yang mempunyai kalori yang rendah, iaitu hanya 46 kalori bagi setiap cawan (154 gram). Jumlah itu adalah lebih rendah berbanding buah-buahan rendah kandungan gula seperti beri.

Satu cawan (154 gram) tembikai turut mengandungi variasi nutrien lain, termasuklah vitamin dan mineral seperti:

  • Vitamin C: 21% daripada Pengambilan Harian yang Disyorkan
  • Vitamin A: 18% daripada Pengambilan Harian yang Disyorkan
  • Kalium: 5% daripada Pengambilan Harian yang Disyorkan
  • Magnesium: 4% daripada Pengambilan Harian yang Disyorkan
  • Vitamin B1, B5 dan B6: 3% daripada Pengambilan Harian yang Disyorkan

Selain itu, tembikai juga tinggi dengan karotenoid seperti beta-karoten dan lycopene dan ia juga mengandungi citrulline, iaitu sejenis asid amino yang penting.

Berikut adalah keterangan bagi setiap bahan antioksidan penting dalam buah tembikai:

Vitamin C

Vitamin C adalah sejenis antioksidan yang membantu mencegah kerosakan sel daripada radikal bebas.

Karotenoid

Karotenoid merangkumi alpha-karotena dan beta-karoten, yang diperlukan dan ditukarkan oleh badan anda kepada vitamin A.

Lycopene

Lycopene adalah jenis karotenoid yang tidak berubah menjadi vitamin A. Ia merupakan bahan antioksidan yang kuat dan merupakan sumber warna merah pada buah tembikai dan tomato. Malah, ia juga dikaitkan dengan pelbagai manfaat kesihatan lain.

Cucurbitacin E

Cucurbitacin E adalah sebatian tumbuhan yang mempunyai fungsi antioksidan dan anti-radang. Contoh sayur yang mengandungi cucurbitacin E adalah peria katak yang merupakan saudara buah tembikai.

3. Mengandungi bahan yang boleh membantu mencegah kanser

Penyelidik telah mengkaji lycopene dan sebatian tumbuhan lain dalam tembikai untuk menyelidik manfaat anti-kanser buah ini.

Lycopene telah dikaitkan dengan risiko yang lebih rendah untuk beberapa jenis kanser, namun hasil kajian adalah bercampur. Ia mungkin boleh mengurangkan risiko kanser dengan menurunkan faktor pertumbuhan insulin (Insulin Growth Factor) iaitu protein yang terlibat dalam proses pembahagian sel. Tahap faktor pertumbuhan insulin yang tinggi berkait rapat dengan kanser.

Di samping itu, keupayaan cucurbitacin E yang dianggap boleh menghalang pertumbuhan tumor juga telah dikaji oleh para penyelidik.

4. Boleh meningkatkan kesihatan jantung

Penyakit jantung adalah punca utama majoriti kematian di seluruh dunia. Ia berlaku berdasarkan beberapa faktor seperti gaya hidup dan diet. Gaya hidup dan diet yang sihat boleh mengurangkan risiko serangan jantung dan strok kerana ia dapat mengurangkan tekanan darah dan paras kolesterol. Ajaibnya, terdapat beberapa nutrien dalam tembikai yang mempunyai manfaat khusus untuk kesihatan jantung.

  • Lycopene dalam tembikai boleh membantu menurunkan kadar kolesterol dan tekanan darah. Selain itu, ia juga boleh membantu mencegah kerosakan oksidatif terhadap kolesterol. 

  • Mengikut kajian terhadap obesiti yang dijalankan di kalangan wanita yang telah menopaus dan lelaki Finland, lycopene dapat mengurangkan kekakuan dan ketebalan dinding arteri.

  • Selain itu, tembikai juga mengandungi citrulline iaitu asid amino yang dapat meningkatkan kadar nitrogen oksida dalam tubuh. Nitrogen oksida mengembangkan saluran darah anda justeru itu menurunkan tekanan darah.

  • Vitamin dan mineral lain dalam tembikai juga bagus untuk jantung anda. Ini termasuklah vitamin A, B6, C, magnesium dan kalium.

5. Mengurangkan keradangan dan tekanan oksidatif

Keradangan adalah punca utama kebanyakan penyakit kronik.

Buah tembikai boleh membantu mengurangkan keradangan dan kerosakan oksidatif kerana ia kaya dengan antioksidan dan antiradang seperti lycopene dan vitamin C.

Dalam kajian terdahulu, manusia telah diberikan jus tomato yang kaya dengan lycopene dengan vitamin C tambahan. Selepas meminum jus tersebut, tahap keradangan mereka turun dan antioksidan meningkat. Menariknya, tembikai mengandungi kedua-dua bahan ini, lycopene dan vitamin C.

Bukan itu sahaja, sebagai antioksidan, lycopene juga boleh memberi manfaat kepada kesihatan otak. Sebagai contoh, ia membantu memperlahankan perkembangan penyakit Alzheimer.

6. Mencegah degenerasi makula

Lycopene membantu melindungi mata daripada kerosakan dan keradangan oksidatif di beberapa bahagian mata. 

Tambahan lagi, ia juga boleh mencegah degenerasi makula yang berkaitan dengan usia (Age Macular Degeneration). Degenerasi makula merupakan masalah mata yang berlaku pada individu dewasa yang lebih tua dan boleh menyebabkan buta. Peranan Lycopene sebagai sebatian antioksidan dan anti-radang boleh membantu mencegah degenerasi makula daripada berkembang dan menjadi lebih teruk.

7. Boleh membantu meredakan keradangan otot

Citrulline dalam tembikai juga boleh mengurangkan kesakitan otot. Selain yang terkandung dalam tembikai, ia juga boleh didapati dalam bentuk suplemen. Namun, apa yang mengejutkan adalah penyerapan citrulline boleh ditingkatkan dengan menjadikan tembikai sebagai jus.

Satu kajian kecil melibatkan pengambilan jus buah tembikai biasa, jus buah tembikai yang ditambah citrulline atau minuman citrulline. Kedua-dua minuman tembikai tersebut mengurangkan kesakitan otot dan memulihkan kadar jantung dengan lebih cepat, berbanding minuman citrulline sendiri.

8. Bagus untuk kesihatan kulit dan rambut

Dua vitamin dalam tembikai, vitamin A dan C adalah penting untuk kesihatan kulit dan rambut.

  • Vitamin C membantu badan anda menghasilkan kolagen. Kolagen adalah sejenis protein yang meningkatkan keanjalan kulit dan kekuatan rambut anda.
  • Manakala, vitamin A juga penting untuk kulit yang sihat kerana ia membantu menghasilkan dan memperbaiki sel-sel kulit. Tanpa vitamin A yang cukup, kulit anda boleh kelihatan kering dan bersisik.
  • Lycopene dan beta-karoten juga boleh membantu melindungi kulit anda daripada sinaran ultraviolet.

9. Memperbaiki sistem pencernaan

Tembikai mengandungi air yang banyak dan sejumlah kecil serat. Kedua-dua bahan ini adalah penting untuk memastikan pencernaan yang sihat.

Kelebihannya? Serat boleh memperbaiki tekstur najis anda, sementara air pula membantu menjaga saluran pencernaan anda dengan baik. Oleh itu, makanlah tembikai secara berkala bagi memelihara kesihatan usus anda.

Sumber

https://www.healthline.com/nutrition/watermelon-health-benefits

https://www.medicalnewstoday.com/articles/266886

https://www.webmd.com/diet/ss/slideshow-health-benefits-of-watermelon

Summary
9 Khasiat Buah Tembikai Yang Menakjubkan
Article Name
9 Khasiat Buah Tembikai Yang Menakjubkan
Description
Buah Tembikai adalah sejenis buah yang lazat dan menyegarkan yang juga baik untuk anda yang diperkaya dengan vitamin dan nutrien penting!
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: