lazada

Lazada adalah salah satu platform membeli belah atas talian yang sangat popular. Walaupun Lazada mempunyai pesaing kuat di dalam platform e-dagang, namun ia masih mampu mengekalkan kemasyhurannya sebagai salah satu gedung atas talian yang terbesar.

Lazada Group yang biasanya dikenali sebagai Lazada adalah syarikat teknologi multinasional dari Singapura yang memfokuskan pada sektor e-dagang. Ia ditubuhkan oleh Maximilian Bittner dengan sokongan Rocket Internet pada tahun 2012, dan ia kini dimiliki oleh Kumpulan Alibaba setelah pemerolehannya pada tahun 2016.

Pada tahun 2014, Lazada Group telah mengendalikan laman web di beberapa negara dan telah berjaya mengumpul kira-kira $ 647 juta untuk beberapa pusingan pelaburan dari para pelaburnya seperti Tesco, Temasek Holdings, Summit Partners, JPMorgan Chase, Investment AB Kinnevik dan Rocket Internet.

Laman webnya dilancarkan pada bulan Mac 2012, dengan memfoluskan kepada penjualan inventori kepada pelanggan dari gudangnya sendiri. Pada tahun 2013 ia menambahkan model pasaran yang membolehkan peruncit pihak ketiga menjual produk mereka melalui laman Lazada. Pasaran ini menyumbang 65% daripada hasil penjualannya pada akhir tahun 2014.

How the 'Lazada Effect' shaped the next normal of retail and Malaysia's  digital economy

8 Tips Untuk Membina Bisnes Yang Berjaya di Lazada

Lazada ini pada asasnya sama sahaja seperti platform e-dagang lain yang anda tahu, di mana ia membenarkan pihak ketiga menjual di platform mereka.

Penjualan di laman Lazada ini hanya memberikan dua hasil iaitu sama ada perniagaan anda berjaya ataupun sebaliknya.

Sekiranya anda berminat untuk menjual di pasaran Lazada, kami kongsikan anda tips-tips yang berguna untuk anda bina bisnes yang berjaya di platform ini.

1. Melabur untuk perniagaan anda

Perniagaan penjualan di Lazada tidak ada bezanya dengan perniagaan lain, iaitu anda tetap perlu melabur. Sekiranya anda ingin berjaya di Lazada dan memajukan perniagaan anda, jangan takut untuk melabur!

Ini bermaksud melabur dalam platform yang membantu anda memasarkan produk anda dan melabur untuk pengembangan produk dan sumber baru. Anda juga perlu melaburkan sedikit masa anda untuk memastikan penjualan produk anda bagus.

Dari segi kewangan pula, anda mungkin menghabiskan banyak wang tetapi ia pasti akan membantu anda dalam jangka masa panjang. Ini bukan perniagaan yang harus anda hadapi sebagai 100% pasif. Anda harus menguruskan perniagaan ini secara proaktif.

2. Uruskan maklum balas pelanggan secara aktif

Sebilangan besar pelanggan bergantung pada ulasan produk sebelum membuat pembelian. Sentiasa periksa sebarang maklum balas yang diberikan sama ada positif atau negatif dan menguruskannya secara proaktif untuk memastikan produk anda berada dalam kedudukan yang baik.

Mengambil berat akan maklum balas pelanggan anda secara konsisten akan memastikan perniagaan anda mempunyai kedudukan yang baik di pasaran Lazada.

3. Berikan diskaun dan promosi semasa pelancaran produk

Semasa pertama kali membuat penyenaraian produk di Lazada, anda bermula dari satu titik kosong. Anda tidak mempunyai ulasan produk dan sebarang sejarah penjualan produk.

Oleh itu, tidak mudah untuk anda membuat orang mempercayai produk yang anda iklankan dan pasarkan sekiranya anda masih belum mempunyai ulasan produk dan pembeli.

Untuk mengatasi masalah ini, anda boleh memberi potongan harga pada waktu pelancaran produk anda agar pelanggan berminat untuk membeli produk anda. Ya lah, siapa yang tidak suka harga yang murah berbanding dari tempat lain, kan?

4. Pastikan inventori produk anda sentiasa dikemaskini

Sentiasa lakukan yang terbaik untuk memastikan inventori anda sentiasa dikemaskini agar anda tidak produk yang lama ataupun kehabisan produk jualan. Apabila anda tidak menguruskan inventori secara proaktif, terdapat dua perkara yang boleh berlaku.

Pertama sekali, anda mungkin boleh menjual lebih banyak, tetapi ini akan menyebabkan anda perlu membatalkan pesanan yang berisiko memberikan ulasan negatif kerana kekurangan kualiti dari pihak anda sendiri.

Kedua, produl anda juga boleh habis terjual dan ini akan mengakibatkan produk anda hilang dari hasil carian. Oleh itu, pastikan anda sentiasa menjaga inventori anda dengan baik.

Tidak ada yang lebih menyakitkan bagi penjual di Lazada daripada menjual produk yang mempunyai hasil jualan baik tetapi kemudiannya hasil jualan menurun kerana kesilapan anda sendiri.

5. Buat gambar dan maklumat produk yang menarik dan hebat

Oleh kerana anda berurusan dengan pelanggan dalam talian, gambar berkualiti adalah faktor yang sangat penting untuk memastikan jualan produk anda dapat menarik minat pelanggan yang berkunjung ke kedai atas talian anda di Lazada.

Gambar adalah perkara pertama yang akan dilihat oleh para pelanggan, jadi pastikan anda mengambil gambar yang berkualiti tinggi. Anda juga boleh menggunakan teknik flatlay untuk mengambil gambar produk jualan anda sekiranya teknik itu bersesuaian dengan produk yang dijual.

Yang paling penting, pastikan bahawa gambar anda mempunyai maklumat yang cukup dan mampu memberi pelanggan pengetahuan yang mencukupi mengenai apa yang akan mereka beli dan terima kelak.

6. Patuhi terma dan syarat dari Lazada

Apabila anda tidak mematuhi peraturan, akaun anda akan dikenakan denda atau bahkan ditangguhkan dari sebarang aktiviti penjualan. Untuk mengelakkan anda menghadapi masalah ini kelak, bacalah dan biasakan diri anda dengan terma dan syarat dari Lazada.

Ini sangat penting untuk memastikan bahawa anda tidak terjerumus dalam aktiviti yang dilarang oleh pihak Lazada sendiri. Ini juga adalah langkah penting untuk anda diikuti supaya anda tidak kehilangan keupayaan untuk menjalankan perniagaan anda di platfrom ini.

7. Ketahui kadar keuntungan jualan produk anda

Semua perniagaan pasti mengharapkan keuntungan, betul tak? Oleh itu, tidak perlu kami ulas panjang mengenai hal ini.

Yang paling penting, sebelum anda mengisi semula stok produk jualan anda, anda harus tahu berapa banyak kuantiti yang anda harapkan untuk dijual.

Selain itu, sebelum menyenaraikan produk di Lazada, anda harus mengetahui berapa margin keuntungan anda melalui harga jualan dan juga harga stok yang anda ambil daripada pembekal.

8. Iklankan produk anda di luar Lazada

Terdapat banyak cara untuk memasarkan kedai dan produk yang anda jual di Lazada.Sekiranya anda tahu cara yang betul, anda boleh menarik pelanggan dari luar Lazada untuk tahu mengenai produk yang anda jual di Lazada.

Anda boleh menulis artikel dan juga blog yang akan membuatkan produk anda di Lazada dikenali ramai. Beberapa cara yang boleh anda lakukan untuk iklankan produk anda di luar Lazada adalah:

  • SEO Google
  • PPC Google
  • Halaman Facebook
  • Iklan Berbayar Facebook
  • Pengiklanan Berprogram

Apa Produk Terbaik Untuk Anda Jual di Lazada?

Persoalan yang sering menjadi tanda tanya mereka yang baru mahu bermula menjual di Lazada adalah apakah produk terbaik yang boleh dijual dan sering menjadi permintaan ramai di Lazada.

Berikut adalah beberapa kategori produk yang anda boleh pertimbangkan untuk jual di kedai atas talian anda:

  • produk bayi
  • barangan elektronik
  • pakaian fesyen wanita
  • produk kecantikan wanita

Sekiranya anda mahu memulakan perniagaan anda di Lazada, anda perlulah tahu cara-caranya terlebih dahulu. Oleh itu, anda bolehlah ikut tips-tips yang kami beri ini. Menjual produk secara atas talian kadangkala mampu memberikan pulangan yang lebih banyak lebih-lebih lagi pada musim pandemik ini. Semoga perkongsian ini memberi manfaat untuk anda.

Sumber:

https://blog.splitdragon.com/13-tips-to-build-a-successful-lazada-selling-business/

https://en.wikipedia.org/wiki/Lazada_Group

https://www.jtexpress.sg/insights/what-are-the-best-selling-products-on-lazada-2019

Summary
Article Name
8 Tips Untuk Membina Bisnes Yang Berjaya di Lazada
Description
Lazada adalah salah satu platform membeli belah atas talian yang sangat popular. Walaupun Lazada mempunyai pesaing kuat di dalam platform e-dagang, namun ia masih mampu mengekalkan kemasyhurannya sebagai salah satu gedung atas talian yang terbesar.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: