Tempat Menarik di Kuala Selangor

Tempat menarik di Kuala Selangor adalah tempat yang sangat sesuai untuk memuaskan hasrat bercuti anda. Daya tarikan yang ditawarkannya boleh terbawa-bawa ke dalam mimpi, dari keindahan cahaya kelip-kelip hinggalah kepada fenomena refleksi pada lautan, banyak lagi tarikan lain yang masih ramai tak tahu wujud di Kuala Selangor.

Berikut merupakan beberapa tempat-tempat menarik di kuala Selangor yang sering menjadi pilihan pelancong Ketika musim cuti sekolah atau di hujung minggu.

1. Kelip-Kelip Kg. Kuantan

Anda sekeluarga dapat menikmati dunia magical yang dipenuhi kelip-kelip dengan menaiki bot menyusuri Sungai Selangor. Cahaya kecil yang dihasilkan oleh kelip-kelip ini tidak ubah seperti cahaya bintang yang jauh dari mata.

Pengalaman melihat Kelip-Kelip Kg. Kuantan ini sungguh mengujakan tapi tidak bermakna anda boleh bergambar kerana takut nanti menyorok pula si kelip-kelip disebabkan cahaya ‘seram’ flash di telefon.

Dengan harga sewa RM4 untuk orang dewasa dan RM2 untuk anak-anak. Berpuaslah bercuti di tempat ini bersama keluarga ketika berada di Kuala Selangor.

2. Taman Ikan Air Tawar Kuala Selangor

Terdapat lebih 1500 ekor ikan yang ada di Taman Ikan Air Tawar Kuala Selangor ini. Kesemuanya terdiri lebih daripada 60 spesies. Antara jenis ikan yang dapat ditemui di sini adalah ikan keli, ikan belida, ikan kelah, ikan toman, ikan lampan, ikan kelisa dan banyak lagi.

Anda juga dapat mengetahui pelbagai info menarik yang lain berkaitan ikan air tawar dan sejarahnya. Turut dipamerkan di sini adalah pelbagai peralatan menangkap ikan yang digunakan para nelayan seperti raga batang, bubu daun, bubu saadah, raga tok dan lain-lain lagi. Taman yang berkeluasan 5 ekar ini terletak hanyalah 5 minit dari Bukit Melawati dengan menaiki trem yang disediakan.

3. Pantai Remis Sungai Sembilang

Pantai Remis Sungai Sembilang adalah pantai yang tepat untuk destinasi yang menenangkan. Di sini anda boleh bersantai bersama keluarga di bawah pokok-pokok Rhu ataupun pada bangku yang disediakan untuk menikmati pemandangan yang mengujakan cahaya mentari dan air laut yang tenang.

Anda boleh membawa anak-anak untuk bermain layang-layang kerana di sini juga terdapat beberapa peniaga yang menjual layang-layang yang penuh warna-warni.

4. Bukit Melawati

Bukit Melawati menjadi tempat menarik di Kuala Selangor kerana panorama alam yang menakjubkan di bukit. Terdapat juga bangunan saksi-saksi sejarah pada masa lalu. Bagi anda yang ingin berkunjung ke bukit ini, kami sarankan anda mengunjunginya di malam hari.

Pemandangan malam bandar selangor yang elok akan tersaji untuk anda dari bukit ini. Cahaya lampu kotanya yang sangat cantik dipenuhi pula bintang-bintang yang menakjubkan membuatkan jiwa anda menjadi tenang.  

5. Firefly Park Resort Kampung Bukit Belimbing

Anda sekeluarga juga dapat menikmati pemandangan kelip-kelip di Bukit Belimbing. Aktiviti yang ditawarkan Firefly Park Resort Kampung Bukit Belimbing ini cukup menarik untuk dicuba.

Anda boleh menyusuri keliling Sungai Selangor menggunakan bot yang disewa. untuk melihat kelibat gerombolan kelip-kelip yang banyak terdapat di sekitar pohon-pohon Berembang di tepian sungai.

6. Taman Alam Kuala Selangor

Merupakan destinasi yang menarik di Kuala Selangor yang sangat popular kerana menjadi persinggahan burung-burung dari luar negara dan juga tempatan. Antara spesies burung tempatan yang ada di sini ialah burung bakau, burung bangau, ketitir, pekaka, raja udang, pucong, serandau, helang bahu hitam dan banyak lagi.

Di samping itu, anda boleh melihat keindahan kawasan paya nipah yang berbentuk seperti hati. Aktiviti lain yang boleh juga dilakukan di sini adalah mengutip siput, melihat monyet, kera dan lotong serta memerhatikan burung-burung yang diancam kepupusan di dalam sangkar besi bersaiz gergasi yang terdapat di sini.

7. Sky Mirror

Sky Mirror merupakan antara tarikan terbaru di Kuala Selangor dan negeri Selangor. Sky Mirror yang turut digelar sebagai Salar De Uyuni Malaysia ini merupakan lokasi untuk anda berfotografi sepuas hati yang paling best. Untuk datang ke sini, anda perlu naik bot lebih kurang 30 minit dari Jeti Sasaran, Kuala Selangor.

Tarikan ini terletak kira-kira 15 minit perjalanan dari Kampung Sasaran, Kuala Selangor. Ia sebenarnya sebuah fenomena unik yang hanya berlaku pada waktu air surut dan ketika air tenang dari pukulan ombak, di mana pada waktu ini anda boleh berjalan di ‘atas’ air yang menghasilkan refleksi seolah-olah cermin.

Untuk pengetahuan anda, fenomena Salar de Uyuni di Sasaran ini tidak selalu berlaku kerana ia sebenarnya sebuah kawasan pantai. Ianya hanya terjadi 6 hari pada setiap bulan mengikut kalendar lunar masyarakat Cina iaitu pada pertama, ke-2, 14, 15, 16 dan 30.

8. Rumah Api Kuala Selangor

Rumah Api Kuala Selangor dibuka pada 1907 oleh penjajah British, berdekatan dengan muara Sungai Selangor. Rumah Api Kuala Selangor terletak di atas puncak Bukit Melawati dan menghadap ke arah laut Selat Melaka.

Rumah Api Kuala Selangor mulanya bernama ‘Rumah Api Altingsburg’ sempena nama seorang Gabenor Belanda kerana Belanda pernah berkuasa ketika itu dan Belanda mengumpul bijih timah dari Selangor dan Perak.

Semoga lokasi-lokasi menarik di Kuala Selangor memberi anda idea untuk bercuti bersama keluarga atau rakan-rakan nanti. Selepas ini anda bolehlah merancang percutian anda di Kuala Selangor pada cuti sekolah dan hujung minggu.

SUMBER

https://www.maisinggah.com/tempat-menarik-di-kuala-selangor/

https://mytrip123.com/tempat-menarik-di-kuala-selangor/

https://www.caridestinasi.com/tempat-menarik-di-kuala-selangor-best/

https://travetopia.my/2020/12/21/10-tempat-menarik-di-kuala-selangor-yang-anda-wajib-datang/

Summary
8 Tempat Menarik di Kuala Selangor
Article Name
8 Tempat Menarik di Kuala Selangor
Description
Tempat menarik di Kuala Selangor adalah tempat yang sangat sesuai untuk memuaskan hasrat bercuti anda. Daya tarikan yang ditawarkannya boleh terbawa-bawa ke dalam mimpi, dari keindahan cahaya kelip-kelip hinggalah kepada fenomena refleksi pada lautan, banyak lagi tarikan lain yang masih ramai tak tahu wujud di Kuala Selangor.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: