8 Manfaat Kesihatan Ketumbar yang Menakjubkan
Daun Ketumbar adalah sejenis herba yang biasa digunakan dalam hidangan antarabangsa sebagai penambah rasa.

Daun Ketumbar adalah sejenis herba yang biasa digunakan dalam hidangan antarabangsa sebagai penambah rasa. Ketumbar berasal dari tumbuhan ‘Coriandum Sativum’ dan berkait rapat dengan parsli, lobak merah dan seleri. Tumbuhan ini juga dikenali sebagai parsli Cina (Chinese Parsley).

Ramai yang menggunakan Ketumbar dalam sup dan masakan, termasuklah kaum Melayu, Cina dan India di Malaysia. Ia turut digunakan oleh masyarakat di negara Timur Tengah dan negara Asia lain. Daun ketumbar sering digunakan keseluruhannya, manakala biji Ketumbar dikeringkan atau ditumbuk.

Berikut adalah 8 manfaat kesihatan yang menarik mengenai Ketumbar.

1. Boleh membantu menurunkan gula darah

Gula darah tinggi merupakan faktor risiko untuk penyakit Kencing Manis jenis 2.

Ekstrak dan minyak biji Ketumbar boleh membantu menurunkan tahap gula darah. Namun begitu, individu yang mempunyai gula darah yang rendah atau mengambil ubat Kencing Manis perlu berhati-hati dengan pengambilan Ketumbar kerana ia boleh  menurunkan gula darah dan berisiko mengakibatkan Hipoglikemia.

Kajian menunjukkan bahawa biji Ketumbar boleh membantu mengurangkan gula darah dengan menggalakkan aktiviti enzim yang membantu menghilangkan gula dari darah.

2. Kaya dengan antioksidan yang meningkatkan sistem imun

Ketumbar menawarkan beberapa manfaat antioksidan, yang menghalang kerosakan selular yang disebabkan oleh radikal bebas.

Kandungan antioksidannya telah dibuktikan untuk memerangi keradangan di dalam badan anda. Bahan dalam Ketumbar seperti terpinene, quercetin, dan tocopherols, mungkin mempunyai kesan antikanser, boleh meningkatkan daya tahan imun dan perlindungan saraf, menurut beberapa ujian yang telah dilakukan.

Salah satu kajian tersebut mendapati bahawa antioksidan dalam ekstrak biji ketumbar boleh menurunkan keradangan dan memperlahankan pertumbuhan sel-sel Kanser pada paru-paru, prostat, payudara, dan kolon.

3. Boleh memberi manfaat kepada kesihatan jantung

Sesetengah kajian menunjukkan bahawa Ketumbar boleh mengurangkan faktor risiko Penyakit Jantung, seperti Tekanan Darah Tinggi dan tahap kolesterol LDL (buruk).

Ekstrak Ketumbar bertindak sebagai diuretik, maksudnya ia berkeupayaan untuk membantu tubuh mengeluarkan natrium dan air berlebihan. Keadaan ini boleh menurunkan tekanan darah anda. Kajian yang lain pula telah menunjukkan bahawa Ketumbar juga boleh membantu menurunkan kolesterol.

Tambahan lagi, ramai yang mendapati bahawa memakan herba dan rempah pedas seperti Ketumbar membantu mereka mengurangkan pengambilan natrium mereka, dan hal ini boleh meningkatkan kesihatan jantung.

Dalam populasi yang menggunakan sejumlah besar Ketumbar berbanding rempah-rempah lain, kadar Penyakit Jantung cenderung lebih rendah, terutamanya jika dibandingkan dengan individu yang mengamalkan diet Barat yang mengandungi lebih banyak garam dan gula.

4. Boleh melindungi kesihatan otak

Pelbagai penyakit otak seperti Parkinson, Alzheimer, dan Sklerosis Berbilang dikaitkan dengan keradangan. Walau bagaimanapun, ciri-ciri anti-radang ketumbar boleh melindungi seseorang daripada mendapat penyakit-penyakit ini. Selain itu, Ketumbar juga boleh membantu mengatasi kebimbangan. Kajian telah menunjukkan bahawa ekstrak Ketumbar hampir sama berkesan dengan Diazepam, ubat kebimbangan (anxiety) yang biasa digunakan untuk mengurangkan simptom keadaan tersebut.

5. Boleh melancarkan sistem penghadaman dan kesihatan usus

Minyak yang diekstrak daripada biji ketumbar boleh mempercepat dan menggalakkan proses pencernaan yang sihat.

Satu kajian yang dilakukan selama 8 minggu terhadap 32 orang dengan sindrom Usus Radang mendapati bahawa 30 titis ubat herba yang mengandungi Ketumbar yang diambil tiga kali sehari secara berkala dapat mengurangkan Sakit Perut, Kembung Perut, dan ketidakselesaan berbanding dengan kumpulan plasebo.

Bukan itu sahaja, ekstrak Ketumbar juga telah digunakan sebagai perangsang nafsu makan dalam perubatan tradisional Iran. Satu kajian menyatakan bahawa ia dapat meningkatkan selera makan.

6. Boleh melawan jangkitan

Ketumbar mengandungi sebatian antimikrob yang boleh membantu melawan jangkitan dan penyakit bawaan makanan tertentu.

Dodecenal, sejenis bahan dalam Ketumbar, boleh melawan bakteria Salmonella yang boleh menyebabkan keracunan makanan yang mengancam nyawa dan menjejaskan 1.2 juta orang setiap tahun.

Selain itu, satu kajian tabung uji telah menunjukkan bahawa biji Ketumbar adalah antara sejenis rempah India yang boleh melawan bakteria yang bertanggungjawab dalam jangkitan saluran kencing.

Kajian-kajian lain menunjukkan bahawa minyak Ketumbar mempunyai kelebihan untuk melawan jangkitan dan bagus dijadikan sebagai larutan anti-bakteria.

7. Boleh melindungi kulit anda

Ketumbar mungkin mempunyai beberapa manfaat untuk kulit, termasuklah mengurangkan ruam ringan seperti Dermatitis.

Dalam satu kajian yang telah dijalankan, ekstraknya boleh merawat ruam lampin pada bayi sendiri hanya apbila digunakan bersama sebatian menenangkan yang lain sebagai rawatan alternatif.

Kajian-kajian lain telah mencatatkan bahawa kandungan antioksidan dalam ekstrak Ketumbar dapat membantu mencegah kerosakan sel yang menyebabkan penuaan, serta kerosakan kulit akibat radiasi ultraviolet B.

Tambahan pula, ramai individu yang mengambil jus daun Ketumbar untuk mencegah dan merawat keadaan kulit seperti jerawat, pigmentasi, berminyak, atau kering. Walau bagaimanapun, lebih banyak penyelidikan diperlukan mengenai kesahihan manfaat ini.

8. Mudah ditambah ke dalam diet anda

Semua bahagian tumbuhan Ketumbar boleh dimakan. Biji ketumbar mempunyai rasa yang kuat, daun-daunnya pula mempunyai rasa kelat. Malah, sesetengah individu menjelaskan bahawa rasa daunnya seperti memakan sabun.

Biji Ketumbar boleh ditambah ke dalam hidangan yang dibakar, sayur-sayuran, perapan, sayuran panggang, lauk-pauk dan sebagainya. Memanaskan Ketumbar akanmengeluarkan aroma yang sangat aromatik, dan serbuknya juga boleh digunakan di dalam doh atau pes.

Sementara itu, daun Ketumbar juga digunakan untuk menghias sup atau dimakan bersama salad pasta sejuk, lentil, salsa tomato, atau hidangan mee versi Thai. Selain itu, anda juga boleh memasak daun Ketumbar bersama bawang putih, kacang tanah, santan, dan jus lemon untuk membuat salsa atau perapan.

Kesimpulannya,

Ketumbar adalah herba yang kaya dengan antioksidan dan mempunyai banyak kegunaan dalam masakan dan kesihatan. Ia boleh membantu mengurangkan gula darah anda, melawan jangkitan, dan meningkatkan kesihatan jantung, otak, kulit, dan sistem pencernaan. Anda boleh menambah biji atau daun Ketumbar ke dalam diet anda.

Tetapi, perlu diingat bahawa apa sahaja yang anda makan, ambilnya dalam jumlah yang sederhana. Jika anda mengalami sebarang simptom penyakit, adalah amat penting untuk berjumpa dengan doktor terlebih dahulu sebelum mengamalkan sebarang rawatan tradisional.

Sumber

https://www.healthline.com/nutrition/coriander-benefits

https://www.medicalnewstoday.com/articles/277627

https://www.webmd.com/vitamins/ai/ingredientmono-117/coriander

Summary
8 Manfaat Kesihatan Ketumbar yang Menakjubkan
Article Name
8 Manfaat Kesihatan Ketumbar yang Menakjubkan
Description
Ramai yang menggunakan Ketumbar dalam sup dan masakan, termasuklah kaum Melayu, Cina dan India di Malaysia. Apakah manfaat kesihatan ketumbar?
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: