8 Khasiat Lemon yang Tidak Diketahui
Lemon adalah buah yang popular dan sering digunakan dalam jumlah kecil untuk menambah rasa bagi hidangan atau minuman tertentu. Walau bagaimanapun, ia jarang dimakan secara sendiri kerana rasa masamnya yang kuat.

Lemon adalah buah yang popular dan sering digunakan dalam jumlah kecil untuk menambah rasa bagi hidangan atau minuman tertentu. Walau bagaimanapun, ia jarang dimakan secara sendiri kerana rasa masamnya yang kuat. Malah, lemon boleh menaikkan rasa bagi makanan yang dipanggang, sos, kuah salad, perapan, minuman dan pencuci mulut serta juga merupakan sumber vitamin C. Sebiji buah lemon seberat 58gram (g) sudah dapat memberikan lebih dari 30 miligram (mg) vitamin C.

Kandungan nutrien beginilah yang bertanggungjawab untuk beberapa faedah kesihatan seperti di bawah.

1. Menyokong kesihatan jantung

Penyelidikan menunjukkan bahawa makan buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan vitamin C dapat mengurangkan risiko penyakit jantung dan strok. Namun, ia bukanlah semata-mata kerana kandungan vitamin C sahaja. Malah, serat dan sebatian tumbuhan dalam lemon juga dapat menurunkan beberapa faktor risiko penyakit jantung dengan ketara. Sebagai contoh, satu kajian menunjukkan bahawa mengambil 24gram ekstrak serat sitrus setiap hari selama sebulan boleh menurunkan kadar kolesterol darah secara keseluruhan.

2. Mengekalkan kulit yang sihat

Vitamin C memainkan peranan penting dalam pembentukan kolagen, iaitu sistem sokongan kulit. Pendedahan kepada cahaya matahari, pencemaran, peningkatan usia dan faktor lain boleh mengakibatkan kerosakan kulit. Kajian tikus pada tahun 2014 menunjukkan bahawa mengambil vitamin C sama ada dalam bentuk semula jadi atau menggunakannya secara topikal dapat membantu mencegah kerosakan jenis ini. Sekiranya anda ingin mula menambahkan buah lemon dalam rutin kecantikan anda di rumah, pastikan anda bertanya dahulu kepada penyedia perkhidmatan kesihatan anda mengenai cara terbaik untuk menggunakan produk lemon buatan sendiri dengan betul.

3. Mengurangkan risiko kanser

Beberapa kajian pemerhatian mendapati bahawa individu yang banyak memakan buah sitrus mempunyai risiko kanser yang lebih rendah, sementara kajian lain tidak menemui sebarang kesan. Sebilangan para penyelidik berpendapat bahawa sebatian tumbuhan yang terdapat dalam lemon seperti limonene dan naringenin boleh memberi kesan anti-kanser, tetapi hipotesis ini memerlukan penyelidikan lebih lanjut. Walau bagaimanapun, anda harus ketahui bahawa pasukan penyelidik menggunakan dos bahan kimia yang sangat tinggi dan ini mungkin tidak mungkin didapati daripada pengambilan buah lemon biasa. Walaupun sebilangan sebatian tanaman daripada lemon dan buah sitrus lain mungkin berpotensi mengurangkan risiko kanser, tiada bukti berkualiti yang menunjukkan bahawa ia sememangnya dapat melawan kanser pada manusia.

4. Memberi kesan positif bagi proses penghadaman

Lemon terdiri daripada sekitar 10% karbohidrat, yang mana kebanyakannya adalah dalam bentuk serat larut dan gula biasa. Serat utama dalam lemon adalah pectin, sejenis serat larut yang dikaitkan dengan pelbagai manfaat kesihatan. Serat larut ini dapat meningkatkan kesihatan usus dan melambatkan proses pencernaan gula dan kanji. Kesan ini boleh mengakibatkan penurunan kadar gula dalam darah. Walau bagaimanapun, untuk mendapatkan faedah serat dari lemon, anda perlu memakan pulpanya sekali. Individu yang minum jus lemon, tanpa serat yang terdapat di dalam pulpa akan kehilangan kelebihan serat tersebut.

5. Meningkatkan sistem ketahanan badan

Makanan yang tinggi dengan vitamin C dan antioksidan lain dapat membantu menguatkan sistem imun terhadap kuman yang menyebabkan selesema dan demam. Satu tinjauan mendapati bahawa walaupun suplemen vitamin C tidak kelihatan dapat mengurangkan masalah selsema, ia dikatakan dapat membantu mengurangkan jangka masa berapa lama selesema itu berlaku. Selain itu, vitamin C juga dapat meningkatkan imuniti bagi individu yang menjalani aktiviti fizikal secara melampau. Tambahan pula. perahan sebiji lemon ke dalam segelas air panas dengan satu sudu besar madu menjadikan ia minuman yang menenangkan bagi seseorang yang mengalami batuk atau selesema.

6. Melindungi individu daripada anemia

Anemia jenis kekurangan zat besi adalah satu perkara biasa. Ia berlaku apabila anda tidak mendapatkan zat besi yang mencukupi daripada makanan yang diambil. Lemon mengandungi sedikit zat besi, tetapi ia terutamanya boleh mencegah anemia dengan meningkatkan penyerapan zat besi daripada makanan tumbuhan. Usus anda boleh menyerap zat besi daripada daging, ayam dan ikan dengan mudah, sementara zat besi daripada sumber tumbuhan tidaklah semudah itu. Jadi, proses penyerapan ini dapat ditingkatkan dengan pengambilan vitamin C dan asid sitrik. Memandangkan lemon mengandungi vitamin C dan asid sitrik, ia boleh melindungi tubuh daripada anemia dengan memastikan anda menyerap zat besi sebanyak mungkin.

7. Mencegah batu karang

Batu karang adalah gumpalan kecil yang terbentuk apabila produk sisa berkumpul dan terbentuk di buah pinggang anda. Kandungan asid sitrik dalam buah lemon dapat membantu mencegah batu karang dengan meningkatkan jumlah urin dan meningkatkan pH air kencing, mewujudkan persekitaran yang kurang baik untuk pembentukan batu karang ini. Dengan hanya 1/2 cawan (4 auns atau 125 ml) jus lemon setiap hari dapat memberikan asid sitrik yang mencukupi untuk membantu mencegah pembentukan batu karang pada individu yang sudah memilikinya. Walau bagaimanapun, ada kajian lain yang tidak menunjukkan sebarang kesan positif akan manfaat ini. Oleh itu, kajian yang lebih baik perlu mengkaji sama ada jus lemon boleh mempengaruhi pembentukan batu karang atau tidak.

8. Meningkatkan semangat anda

Lemon adalah perangsang tenaga semula jadi, dan menambahkan jus lemon ke dalam air memberikan pukulan elektrolit yang cepat. Kajian di Universiti Negeri Ohio menunjukkan bahawa buah lemon dapat meningkatkan emosi anda dengan kaedah aromaterapi. Jadi, jika anda berasa letih selepas makan tengah hari, abaikan pengambilan soda atau kopi di waktu petang dan ambil air bersama perahan sebiji lemon.

SUMBER

https://www.medicalnewstoday.com/articles/283476

https://www.healthline.com/nutrition/6-lemon-health-benefits

The health benefits of lemon

Summary
8 Khasiat Lemon yang Tidak Diketahui
Article Name
8 Khasiat Lemon yang Tidak Diketahui
Description
Lemon adalah buah yang popular dan sering digunakan dalam jumlah kecil untuk menambah rasa bagi hidangan atau minuman tertentu. Jom ketahui khasiat lemon buat badan kita.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: