hidupan laut

Hidupan laut merupakan khazanah alam yang tidak ternilai harga dan mesti dipelihara dengan baik agar tidak hilang diancam kepupusan.

Di bumi bertuah Malaysia, anda berpeluang melihat pelbagai hidupan laut seperti penyu, jerung dan juga pari. Penggemar aktiviti menyelam sudah tentu teruja jika dapat menyaksikan gelagat dan aksi hidupan lautan biru ini.

Kalau anda nak tahu lebih banyak lagi tentang penghuni lautan biru ini, jom saya kongsikan 8 hidupan laut Malaysia yang unik dan menakjubkan.

Anda pasti teruja mengenali mereka!

1. Penyu Karah/ Sisik

underwater photography of turtle

Penyu Karah dapat dibezakan dengan mudah daripada penyu – penyu laut lain kerana bentuk unik cengkerangnya yang tajam melengkung dan runcing. Bentuk penyu ini nipis, bewarna terang serta mempunyai corak bergerigi di bahagian tepi cengkerang yang sangat dicari- cari untuk dijadikan perhiasan. Sayangnya, keunikan ini telah membuatkan hidupan laut unik ini menjadi spesis yang amat terancam.

Penyu Karah kebiasaanya berada di kawasan lagun – lagun cetek dan terumbu karang. Hidupan ini menjadikan span laut, obor – obor dan anemon laut sebagai sumber makanan mereka.

Bukan span cuci pinggan tu ya! Tetapi span laut iaitu sejenis hidupan laut yang ringkas dan tidak bergerak. Kalau anda nak tahu, watak Spongebob yang anda tonton di televisyen itu diilhamkan daripada hidupan inilah.

Terdapat 200 – 300 penyu spesis ini di persisir pantai Melaka manakala populasi terbesarnya  terletak di Pulau Penyu, Sabah dengan anggaran 500 – 600 sarang penyu setiap musim.

2. Penyu Belimbing

Leatherback sea turtle - Wikipedia

Penyu Belimbing merupakan spesis penyu yang paling besar dalam kalangan penyu laut. Satu fakta menarik buat anda!

Penyu belimbing terbesar yang pernah direkodkan  ialah seekor penyu jantan sepanjang 256 cm dan seberat 916 kg. Wah, sangat besar bukan!

Dalam Bahasa Inggeris, penyu ini dikenali sebagai “leatherback turtles”. Nama ini diambil sempena tekstur cengkerangnya seperti kulit.

Lebih mengujakan lagi tentang hidupan laut ini ialah, ia merupakan salah satu spesis yang paling banyak bermigrasi. Menurut rekod, penyu belimbing bermigrasi sepanjang Lautan Atlantik dan Lautan Pasifik.

Penyu ini bermigrasi dari pantai tapak bersarang di Asia Tenggara hingga ke California semasa musim panas dan musim luruh untuk makan obor – obor.

Senasib seperti spesis penyu laut yang lain, penyu belimbing juga disenaraikan sebagai spesis terancam oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN).

3. Penyu Lipas

Penyu Lipas ? Anehnya nama, rupanya seperti lipas ke?

Jangan risau, rupanya comel molek sahaja. Jikalau penyu belimbing merupakan spesis penyu laut terbesar, penyu lipas ini pula memegang tahkta sebagai spesis penyu laut terkecil. Ia hanya membesar sehingga mencecah panjang kira – kira 70 cm dan berat 50 kg sahaja.

Dalam Bahasa Inggeris penyu ini dikenali sebagai “Olive Ridley turtle”. Nama ini juga  diambil bersempena sifatnya iaitu warna hijau zaitun cengkerangnnya. Penyu Lipas kerap bermigrasi beribu – ribu kilometer untuk membuat sarang dan mencari makan.

Walaupun, spesies ini adalah yang paling banyak dibandingkan semua penyu laut di dunia, tetapi mereka disenaraikan sebagai spesis terancam kerana jumlah tempat bersarang yang sangat sedikit di seluruh dunia.

4. Penyu Agar

Green Sea Turtle | The Nature Conservancy

Berbeza dengan spesis penyu lain yang ditemui di Malaysia, Penyu Agar merupakan penyu herbivor. Penyu ini boleh membesar hingga mencecah panjang 120 cm dan berat 180 kg. Oleh itu, ia juga merupakan antara spesis penyu laut yang terbesar di dunia.

Spesies terancam ini ialah spesies penyu yang paling biasa ditemui di Malaysia. Ia  bersarang di persisiran pantai di Terengganu, Pahang, Johor, Perak, Sabah dan Sarawak.

Selama tempoh berbulan – bulan penyu bersarang, anda boleh menyaksikan Penyu Agar di Cherating,  Anda bahkan juga berpeluang untuk membantu melepaskan anak penyu di tempat perlindungan penyu.

5. Ikan Pari Manta

time lapse photography of white and black stingray in water

Nampaknya, sudah banyak fakta yang anda sudah ketahui mengenai spesis penyu laut. Jom kita beralih untuk melihat  keunikan hidupan laut yang lain pula..

Ikan pari Manta. Dengar nama sahaja bukan main gah lagi bukan? Ikan ini merupakan spesis pari yang terbesar di dunia dan boleh dikategorikan kepada dua sub – spesis iaitu  

  • Pari Manta Alfredi – dikenali juga sebagai Manta Karang
  • Pari Manta Birostris – dikenali . juga sebagai Manta Raksasa

Menariknya mengenai ikan pari ini, mereka merupakan peluncur yang sangat baik. Namun kepada geng penyelam, anda perlu berjaga – jaga kerana Pari Manta boleh menimbulkan sedikit ancaman kepada anda.

Kalau anda berminat untuk bertemu si peluncur lincah ini, anda boleh mengikuti aktiviti menyelam di Terembu Harimau, Pulau Tioman.  Kawasan ini berkedalaman purata 15 meter/50 kaki dan dikelilingi terumbu karang yang indah serta sesuai untuk semua peringkat penyelam.

6.  Dugong

beige sea creature underwater photography

Sebut sahaja dugong, pasti ada yang mengaitkan hidupan laut ini kisah mitos si ikan duyung. Ia juga dikenali dengan nama tempatan lain seperti lembu laut, unta laut dan khinzir laut.

Si cantik ikan duyung itu hanyalah sekadar mitos ya, anda jangan tertukar dengan dugong pula.

Dugong merupakan hidupan laut jenis mamalia herbivor. Ia hanya makan tumbuh – tumbuhan sahaja seperti rumput laut.  Sedihnya, ia juga telah  disenaraikan oleh IUCN sebagai spesis yang diancam kepupusan.

7. Ikan Jerung Tukul

hammerhead shark

Rupa menggerunkan jerung dengan bentuk kepala unik seperti tukul sering berenang di Pulau Layang – Layang. Pulau ini dikelilingi laut dalam sepanjang kira – kira 300 kms barat laut Kota, Kinabalu, Sabah.

Istimewanya jerung ini, ia mempunyai penglihatan 360o kerana kedudukan matanya yang berada di tepi.

Namun, hati – hati ya! Sesetengah spesis ikan jerung tukul boleh bersifat agresif terhadap manusia.

Kepada penyelam – penyelam yang ingin bertemu haiwan eksotik ini, anda bolehlah berkunjung ke Pulau Layang – Layang, Sabah. Jika anda bernasib baik semasa bulan April dan Mei anda mungkin berpeluang bertemu sekumpulan spesis ikan jerung tukul sanggul.

Menyelam – menyelam juga ya. Namun, sentiasalah ingat akan etika dan peraturan yang perlu dipatuhi ketika menyelam.  Hal ini penting untuk menjaga tau untuk memelihara keselamatan dan kesejahteraan sang penghuni laut ini.

Kalau kita tidak menjaga mereka,siapa lagi bukan?

8. Ikan Barakuda

Barracuda - Wikipedia

Harimau lautan ini sangat terkenal dengan saiz yang besar dan rupa yang menggerunkan. Ikan ini sangat panjang dan berupa seperti senjata  dan mempunyai gigi taring yang tajam seperti seekor pirana.

Fizikalnya sahaja sudah menakjubkan bukan?

Ikan ini ialah sejenis pemangsa yang rakus dan bersifat oportunis. Namun, ia jarang menyebabkan bahaya kepada manusia. Salah satu lokasi ikonik ikan Barakuda di Malaysia ialah Baraccuda Point di Pulau Sipadan, Sabah. Baraccuda Point juga merupakan sebuah lokasi menyelam terkenal yang telah dinamakan sempena sekumpulan besar barakuda yang sering dilihat berenang di situ.

Unik dan menakjubkan  bukan spesis – spesis hidupan laut yang berada di Malaysia ini?  Jikalau anda seorang penyelam sudah tentu anda tak sabar – sabar untuk melihat mereka di depan mata bukan?

Sayangnya, kebanyakan hidupan laut ini berhadapan ancaman kepupusan. Oleh itu, kita mestilah menjadi insan yang tidak pentingkan diri serta  bertanggungjawa menjaga kelestarian alam sekitar demi memelihara kelangsungan hidupan laut ini.

Sumber:

https://www.beontheroad.com/2012/11/exploring-marine-life-of-malaysia.html

https://www.clubmed.com.my/l/blog/malaysian-sea-turtle-species

https://blog.padi.com/unique-marine-life-in-malaysia-what-to-see-and-when-to-go/

https://unsplash.com/photos/ENTnRXtHhzc

https://en.wikipedia.org/wiki/Leatherback_sea_turtle

https://pros-blog.padi.com/2019/07/29/olive-ridley-project-padi-specialty/

https://www.nature.org/en-us/get-involved/how-to-help/animals-we-protect/green-sea-turtle/

https://unsplash.com/photos/wbhgIkk2vMM

https://unsplash.com/photos/5L47XYRvGOo

https://unsplash.com/photos/zBORpP97apw

https://en.wikipedia.org/wiki/Barracuda

Summary
8 Hidupan Laut Malaysia yang Unik dan Menakjubkan
Article Name
8 Hidupan Laut Malaysia yang Unik dan Menakjubkan
Description
Hidupan laut merupakan khazanah alam yang tidak ternilai harga dan mesti dipelihara dengan baik agar tidak hilang diancam kepupusan.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: