75 Jenis Ulam-ulaman dan Manfaatnya Terhadap Kesihatan Anda
Tahukah anda bahawa ulam-ulaman tempatan seperti Petai bukan sahaja baik untuk kesihatan, tetapi juga kecantikan kita?

Tahukah anda bahawa ulam-ulaman tempatan seperti Petai bukan sahaja penuh manfaat untuk kesihatan, tetapi juga kecantikan kita? Ini kerana, ulam-ulaman biasanya dimakan mentah dan anda dapat seluruh manfaat vitamin dan mineral yang terkandung dalam ulam yang mentah. Selain itu, ulam juga menggalakkan sistem pencernaan yang sihat. Ketahui lebih lanjut mengenai ulam-ulaman tempatan dan manfaatnya terhadap kesihatan anda!

1. Pegaga

Nama saintifik: Centella asiatica

Tumbuhan ini dan penyediaannya telah digunakan sejak zaman purba terutamanya dalam sistem perubatan Ayurveda di India dan ubat-ubatan tradisional China dan Madagascar. Ia telah disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (Word’s Health Organisation) sebagai salah satu spesies tumbuhan herba yang sangat penting untuk dipulihara dan ditanam. Di Malaysia, ia lebih dikenali sebagai salah satu ‘ulam’ yang terkenal.

  • Manfaat Kesihatan

Pegaga telah digunakan untuk merawat bronkitis, asma, rembesan berlebihan jus gastrik, disentri, masalah Buah Pinggang sejak berabad lamanya. Herba ini dikatakan berkesan untuk menurunkan Tekanan Darah. Di Malaysia, ia lazim digunakan sebagai ulam di kalangan kaum Melayu, sebagai minuman sejuk oleh kaum Cina dan sebagai tonik untuk otak oleh kaum India. Kaum Melayu menggunakan rebusan daun pegaga untuk merawat penyakit Kusta dan Reumatik.

Manakala, campuran daun atau jus daripada daunnya, bersama makanan, digunakan untuk merawat disentri ringan pada kanak-kanak. Sesetengah individu juga menggunakan daun Pegaga untuk merawat luka, atau menumbuk daunnya menjadi pes untuk dilimurkan pada badan bagi melegakan Demam. Jus dari akarnya pula digunakan untuk membersihkan luka Ulser. Selain itu, daun pegaga juga dipercayai sangat bagus untuk ibu-ibu yang baru melahirkan bayi dan untuk kekal awet muda.

2. Kaduk

Nama saintifik: Piper sarmentosum Roxb.

Daun Kaduk adalah tumbuhan dalam keluarga Piperaceae yang digunakan dala banyak masakan di negara Asia Tenggara, termasuklah Malaysia. Walau bagaimanapun, daun Kaduk sering dikelirukan dengan Sirih, tetapi daun Kaduk tidak mempunyai rasa pahit atau pedas dan jauh lebih kecil daripada daun Sirih.

  • Manfaat Kesihatan

Daun Kaduk digunakan dalam perubatan tradisional negara-negara di Asia. Analisis kimia telah menunjukkan daun Kaduk mengandungi antioxidant naringenin. Sejenis kimia, ‘amides’ yang terkandung dalam buah Kaduk telah terbukti untuk mencegah Tuberkulisis dan bersifat anti-plasmodial.

Selain itu, buahnya juga berfungsi untuk membantu penghadaman dan merawat Demam dan juga sebagai expectorant, yang mengeluarkan lendir dan bahan lain dari saluran pernafasan. Akar Kaduk mempunyai pelbagai kegunaan, dari merawat Sakit Gigi, Batuk, dan Asma ke merawat, Pleurisy dan Jangkitan Kulat pada kaki.

3. Petai

Nama Saintifik: Parkia

Pokok petai adalah pokok yang besar dan teduh dan boleh tumbuh setinggi 30 meter. Buah-buahan Petai berbentuk panjang dan nipis, dan dikenali sebagai “papan”. Ia kelihatan seperti ‘French Bean’ yang besar. Biji Petai dikupas dan dimakan mentah dan juga dimasak dalam sambal bersama udang atau kerang.

  • Manfaat Kesihatan

Dalam perubatan tradisional Melayu, Petai dipercayai berkesan dalam merawat Penyakit Jantung, Kencing Manis dan membersihkan Buah Pinggang. Petai kaya dengan serat, justeru ia merangsang tenaga dengan cepat dan berterusan.

Penyelidikan telah membuktikan bahawa hanya dua hidangan petai menyediakan tenaga yang mencukupi bagi latihan berat selama 90 minit. Salah satu kesan sampingan utama memakan petai adalah ia menjadikan nafas berbau dan badan anda menghasilkan gas perut yang berbau. Ini disebabkan, ia mengandungi asid amino tertentu yang memberikan bau yang kuat kepada air kencing seseorang. Kesan ini berlangsung sehingga dua hari selepas pengambilan Petai.

4. Kacang Botol

Nama Saintifik: Psophocarpus tetragonolobus

Kesuluruhan bahagian tanaman Kacang Botol boleh dimakan, dari daun, bunga, akar, dan kacangnya, semua boleh dimakan secara mentah atau dimasak. Buahnya juga boleh dimakan walaupun masih mentah dan tidak matang. Benihnya pula boleh dimasak. Setiap bahagian Kacang Botol mengandungi vitamin A, vitamin C, kalsium, zat besi dan nutrien lain.

  • Manfaat Kesihatan

Selain rendah kalori, Kacang Botol juga kaya dengan Vitamin A. Vitamin ini menggalakkan pemulihan DNA dan boleh mengurangkan tanda-tanda penuaan yang ditakuti, seperti garis halus dan kedutan. Kacang Botol juga dipenuhi dengan kandungan protein. Malah, sesetengah individu mengatakan bahawa jumlah protein Kacang Botol hampir sama dengan kacang soya.

5. Peria

Nama Saintifik: Momordica charantia

Peria biasanya dimakan di peringkat menguning atau hijau. Pucuk dan daun Peria juga boleh dimakan sebagai ulam.

  • Manfaat Kesihatan

Peria dikatakan mempunyai kandungan antioksidan dan bersifat anti-radang, anti-kanser, anti-diabetes, antibakteria, anti-obesiti, dan imunomodulasi. Sesetengah individu percaya bahawa Peria juga boleh memerangi Kanser dan menggalakkan penurunan berat badan. Namun begitu, tiada bukti saintifik yang jelas bagi menyokong semua kegunaan ini.

Penyelidikan awal mencadangkan bahawa sebatian yang terdapat dalam Peria mungkin mempunyai kesan yang sama seakan insulin, iaitu hormon yang bertanggungjawab untuk membolehkan gula darah diserap oleh sel anda. Oleh kerana aktiviti insulin seperti ini boleh membantu melindungi terhadap ketahanan insulin dan mengawal tahap gula darah anda daripada meningkat, Peria disangka dapat mengawal Kencing Manis.

6. Daun Kesum

Nama Saintifik: Persicaria odorata

Daun Kesum adalah salah satu ramuan yang terdapat dalam Laksa Pulau Pinang dan Asam Pedas yang terkenal di Malaysia. Sekumpulan penyelidik dari University of Technology telah melakukan penyelidikan mengenai ekstrak herba dan mendapati Daun Kesum mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi dan antimikrobial dan boleh digunakan untuk memanjangkan jangka hayat produk seperti daging dan roti.

  • Manfaat Kesihatan

Daun Kesum bagus untuk sistem pencernaan. Air rebusan daun kesum diminum untuk menyembuhkan masalah pencernaan. Daun Kesum juga dipercayai dapat merawat masalah Kelemumur. Caranya adalah dengan membalut rambut anda dengan pes Daun Kesum selama 3-4 minit. Selain itu, Daun Kesum kaya dengan beta karoten, vitamin A, vitamin C dan mineral seperti kalsium dan fosforus. Tetapi individu yang mengalami Reumatik, Arthritis, Gout, Batu Karang harus mengelakkan dari memakan Daun Kesum kerana ia dapat memperburukkan lagi keadaan tersebut.

7. Jantung Pisang

Nama Saintifik: Musa paradisiacal

Jantung Pisang sebenarnya adalah bunga pokok pisang sebelum ia mengeluarkan buah. Anda boleh menemuinya di pasar basah dan penduduk tempatan memakannya sebagai ulam. Ia biasanya diambil dengan cara merebus Jantung Pisang dalam air panas dan memakannya bersama sambal belacan dengan hidangan.

  • Manfaat Kesihatan

Kajian telah menunjukkan bahawa Jantung Pisang mengandungi serat, protein dan asid lemak tak tepu. Ia juga kaya dengan vitamin E. Jantung Pisang bersifat antioksidan dan membantu dalam mencegah radikal bebas serta mengawal kerosakan sel dan tisu. Malahan, Jantung Pisang juga dianggap sebagai rawatan yang berkesan untuk menangani Sembelit, masalah Bronkitis dan Ulser.

8. Ulam Raja

Nama Saintifik: Cosmos caudatus

Ulam Raja berasal dari Amerika Latin tetapi dapat ditemui tumbuh liar di Malaysia. Kebiasaannya Ulam Raja dimakan pucuk. Ulam Raja dimakan dengan sambal belacan dengan cili yang ditumbuk, bawang mentah, pes udang dan air jeruk nipis.

  • Manfaat Kesihatan

Manfaat kesihatan makan ulam raja adalah yang dikatakan membersihkan darah dari bahan toksik dan juga dapat menguatkan tulang.

9. Bunga Telang

Nama Saintifik: Clitoria ternatea

Bunga Telang pada awalnya hingga kini sangat terkenal dalam perubatan tradisional India sebagai tonik otak dan dipercayai boleh memperbaiki memori. Ia juga digunakan secara meluas di Malaysia dalam masakan seperti nasi kerabu dan dimakan mentah sebagai ‘ulam’.

  • Manfaat Kesihatan

Jus Bunga Telang digunakan untuk menyembuhkan gigitan serangga dan penyakit kulit. Pes Bunga Telang pula digunakan untuk menyembuhkan jangkitan mata dan seluruh tumbuhan ini digunakan sebagai penawar untuk gigitan ular. Selain itu, ia juga boleh digunakan untuk menyembuhkan keradangan dan gatal-gatal.

10. Daun Selom

Nama Saintifik: Oenanthe javanica

  • Manfaat Kesihatan

Daun Selom mengandungi banyak air, karbohidrat, serat dan protein. Malah, daun dan batangnya berkesan untuk melegakan penyakit seperti Bisul dan gigitan serangga dan haiwan berbisa seperti kala jengking, ular atau pembengkakan disebabkan kanser. Untuk dijadikan sebagai penawar, air rebusan daun selom boleh diminum bagi melegakan demam selesema, masalah pergerakan usus dan buasir. Biji selom boleh menjadi penawar kepada penyakit darah tinggi manakala buah selom boleh digunakan untuk melancarkan proses pembuangan air besar serta mengeluarkan angin dari dalam perut dan usus.

11. Kangkung

Nama Saintifik: Ipomoea aquatica Forsk.

  • Manfaat Kesihatan

Kangkung ialah sejenis sayur yang kaya dengan pelbagai nutrisi dan khasiat. Ia boleh mengubati penyakit dan masalah seperti bisul, cacar air, buasir, ulser, sembelit dan masalah kelemumur pada rambut.

Seluruh bahagian kangkung muda boleh dimakan. Kangkung muda juga lebih digemari kerana tidak mempunyai serabut seperti kangkung tua. Sayur ini boleh dimakan mentah seperti yang dihidangkan dalam nasi kerabu atau dimasak. Kangkung boleh digoreng dan dijadikan pelbagai hidangan lazat seperti kangkung goreng belacan, kangkung ikan masin dan sebagainya.

12. Limau Kasturi

Nama Saintifik: Citrus Microcarpa

Limau Kasturi (Citrus microcarpa) sering dijadikan sebagai minuman sejuk bersama ais. Minuman ini dianggap boleh menghilangkan dahaga dan menyejukkan badan seseorang.

  • Manfaat Kesihatan

Jus buah limau kasturi mempunyai manfaat untuk membunuh kuman penyakit kolera, tifoid dan disentri. Selain itu, limau kasturi boleh membantu mengurangkan lemak dan mengawal berat badan oleh kerana kandungan asid sitrik di dalamnya. Asid ini juga berguna untuk melegakan masalah perut dan melancarkan penghadaman. Malah, ia turut mengandungi vitamin A di samping Vitamin C.

13. Timun

Nama saintifik: Cucumis sativus

  • Manfaat Kesihatan

Timun mengandungi pelbagai mineral dan nutrien penting termasuklah kalsium, zat besi, protein, magnesium, vitamin C, vitamin A, vitamin B1, vitamin B2 dan fosforus. Ia juga berkesan untuk merawat masalah cacing dalam kalangan kanak-kanak. Bukan itu sahaja, timun juga berkesan untuk merawat sakit tekak yang disebabkan oleh batuk.

14. Kacang Panjang

Nama Saintifik: Vigna unguiculata sesquipedalis

  • Manfaat Kesihatan

Kacang panjang merupakan salah satu sumber protein yang baik. Ia juga mengandungi mineral seperti thiamin, roboflavin, fosforus, zat besi, kalium, folat, magnesium, vitamin C dan vitamin A. Selain dimasukkan dalam masakan, kancang panjang boleh dimakan mentah. Secara tradisional, ia digunakan untuk merawat masalah jangkitan saluran kencing dan kesukaran melakukan pergerakan usus.

15. Kobis

Nama Saintifik: Brassica Oleracea

  • Manfaat Kesihatan

Kobis mengandungi sulfur yang dikenali sebagai zat galian penting untuk kesihatan seseorang. Kobis boleh mencegah penyakit ulser, barah dan masalah saluran pencernaan. Kobis kaya dengan nutrien dan mineral seperti kalsium, zat besi, vitamin A, vitamin C dan banyak lagi.

16.  Terung

Nama Saintifik: Solanum Melongena

  • Manfaat Kesihatan

Terung mempunyai warna yang menarik. Ia berkhasiat dan boleh mencegah penyakit seperti darah tinggi dan hepatitis. Ia boleh dijadikan sebagai sayur dalam masakan atau ulam yang dimakan mentah.

17. Daun Salad

Nama Saintifik: Lactuca sativa

  • Manfaat Kesihatan

Daun Salad biasanya digunakan untuk merawat penyakit kulit dan gatal-gatal. Ia boleh dijadikan penawar kepada masalah gangguan tidur. Tumbuhan yang sering dimakan mentah ini kaya dengan kandungan kalsium, zat besi, fosforus, vitamin A dan vitamin C. Ia sering dihidangkan bersama-sama sayuran lain, di dalam burger, sandwic dan sebagainya.

18. Jering

Nama Saintifik: Pithecellobium Jiringa

  • Manfaat Kesihatan

Menurut beberapa kajian yang telah dilakukan terhadap ulam ini, jering didapati mengandungi protein, lemak, karbohidrat, vitamin A, B dan C. Ia berasa kelat, namun sering dijadikan sebagai ulam dan dicicah bersama sambal belacan.

19. Tomato

Nama saintifik: Solanum lycopersicum

  • Manfaat Kesihatan

Warna merah pada tomato datang dari sejenis bahan yang dinamakan lycopene. Sebatian ini memberikan warna semula jadi kepada tomato. Tomato selalu dikelirukan sebagai sejenis sayur tetapi sebenarnya, ia adalah sejenis buah. Ia mempunyai pelbagai manfaat antioksidan yang baik untuk kesihatan badan.

20. Beluntas

Nama Saintifik: Pluchea indica Less

  • Manfaat Kesihatan

Manfaat daun beluntas adalah, ia boleh mengatasi masalah bau badan dan dijadikan sebagai ramuan herba untuk meredakan batuk dan mengubati penyakit cirit-birit. Daun beluntas boleh dijadikan sebai ulam atau direbus dan diminum airnya sebagai penawar.

21. Pucuk Betik

Nama Saintifik: Carica Papaya

  • Manfaat Kesihatan

Manfaat pucuk betik adalah untuk menambah susu ibu selepas bersalin. Selain itu, ia juga boleh dijadikan sebagai bahan perapan untuk mengempukkan daging.

Ambil sebanyak 2 helai pucuk betik dan buang semua urat daun yang kasar. Bersihkannya dan mesin bersama segelas air dalam pengisar. Panaskan air daun betik pada api sederhana sehingga hampir kering. Minum sesudah air tersebut sejuk.  

22. Geli-Geli

Nama Saintifik: Lasia Spinosa

  • Manfaat Kesihatan

Daun geli-geli boleh merawat sakit perut, sembelit dan buasir. Ia merupakan sejenis tumbuhan herba dan sering dijadukan ulam. Untuk memakan daun ini, anda perlu merebusnya terlebih dahulu dan cicah bersama cencalok, sambal belacan atau budu. Rasanya yang berlemak hampir sama seperti sayur asparagus. Harus diingat bahawa, daun geli-geli ini mempunyai toksik jadi ia harus direbus terlebih dahulu jika anda ingin memakannya.

23. Pucuk Gajus

Nama Saintifik: Annacardium Occidentale

  • Manfaat Kesihatan

Pucuk gajus berkesan untuk mengubati masalah pencernaan, pembuangan air besar, selesema dan penyakit kulit. Menurut prosedur perubatan tradisional, pucuk gajus ditumbuk terlebih dahulu sebelum disapukan pada gigi untuk melegakan kesakitan, Pes pucuk gajus juga boleh merawat kulit akibat kesan terbakar. Selain itu, anda juga boleh meminum air rebusan pucuk gajus untuk merawat cirit birit dan dijadikan sebagai penyegar mata.

24. Cekur

Nama saintifik: Kaempferia galanga

  • Manfaat Kesihatan

Dalam perubatan tradisional orang Melayu, daun cekur digunakan sebagai ramuan untuk merawat beberapa penyakit seperti batuk, perut kembung, muntah dan sebagainya. Caranya adalah dengan memakan daun cekur secara mentah. Bukan itu sahaja, air rebusan daun cekur boleh juga digunakan untuk merawat penyakit tersebut.

25. Daun Kelor

Nama Saintifik: Moringa oleifera

  • Manfaat Kesihatan

Khasiat daun kelor adalah meningkatkan daya tahan semula jadi tubuh badan serta meningkatkan metabolisme. Daun kelor boleh dijadikan sayur termasuklah ubat penawar penyakit.

26. Pucuk Mengkudu

Nama Saintifik: Morinda Citrifolia

  • Manfaat Kesihatan

Pucuk dan daun mengkudu memiliki pelbagai manfaat perubatan tersendiri. Ia mengandungi kandungan antioksidan yang tinggi dan dikenal pasti boleh mengurangkan risiko penyakit yang kronik seperti penyakit jantung, kencing manis, kanser dan masalah penuaan. Daun dan buah mengkudu selalunya direbus terlebih dahulu untuk mendapatkan air rebusannya. Selain itu buahnya juga boleh dijadikan sebagai ekstrak jus minuman.

27. Keman/Kamcong Puteri/Setangki

Nama Saintifik: Neptunia Prostrata

  • Manfaat Kesihatan

Ulam ini dikatakan berkesan untuk mengubati sakit telinga, resdung dan demam panas. Ia juga boleh dimakan sebagai sayur atau dijadikan penambah rasa dalam kari.

28. Keremak

Nama Saintifik: Alternanthera Sesilis

  • Manfaat Kesihatan

Terkenal dengan ciri anti-ulser, keremak dijadikan sebagai penawar untuk kegunaan luaran dan dalaman bagi menyejukkan badan dan melawaskan proses pembuangan air besar. Ia boleh dimakan sebagai sayur dan ulam-ulaman.

29. Kemahang

Nama Saintifik: Colocia Esculenta

  • Manfaat Kesihatan

Pucuk muda kemahang boleh dimakan sebagai ulam dan dimasak bersama gulai. 

30. Kacang Bendi

Nama Saintifik: Abelmoschus esculentus

  • Manfaat Kesihatan

Kacang bendi dikatakan elok untuk perkembangan otak dan menguatkan daya memori otak serta kecergasan badan. Dalam bidang perubatan tradisional, biji, akar dan bunga kacang bendi direbus yang diminum boleh melawaskan pembuangan air kecil, mengurangkan bengkak atau keradangan, mengurangkan kesukaran bersalin, mengubati penyakit gonorrhea dan sifilis. Air rebusannya juga sesuai untuk disapu pada kudis dan bisul.

Air rebusannya yang dicampur gula boleh dijadikan sirap ubat dan rawatan bagi sakit kerongkong. Manakala lendirnya boleh digunakan sebagai ubat untuk tujuan menyejukkan dan melembutkan kulit.

31. Umbut Tepus 

Nama Saintifik: Zingiber officinale

  • Manfaat Kesihatan

Dalam perubatan melayu tradisional daun tepus biasanya ditumbuk lumat hingga menjadi pes dan dijadikan ubat untuk mengurangkan bengkak.

32. Cekur manis

Nama Saintifik: Sauropus androgynus

  • Manfaat Kesihatan

Khasiat perubatan cekur manis boleh merangsang pengeluaran susu ibu dan dijadikan ubat untuk memulihkan keadaan kesihatan wanita lepas bersalin. Selain itu,  ia boleh mengubati demam panas, merawat masalah membuang air kecil, merawat pening, melawaskan kencing dan hidung berdarah. Daunnya dijadikan sebagai sayur dan pucuknya perlu dicelur sebelum dijadikan ulam.

33. Pucuk Putat

Nama Saintifik: Barringtonia racemosa

  • Manfaat Kesihatan

Khasiatnya adalah untuk melancarkan perjalanan darah, mencegah gatal-gatal disamping itu, mengubati beberapa penyakit kulit lain. Daun yang matang dikatakan boleh mengubati penyakit cacar air. Caranya adalah dengan mengambil 5 atau 6 helai daun, ditumbuk dengan beras dan kemudian disapu pada bahagian yang terkena cacar.

Pucuk putat muda sering dimakan sebagai ulam atau dihiris sebagai ramuan nasi kerabu. Bagi peminat laksa utara, ada juga yang suka memasukkan pucuk putat ke dalam laksa kerana dikatakan dapat menambah keenakan rasa laksa.

34. Kerdas

Nama Saintifik: Pithecellobium bubalinum

  • Manfaat Kesihatan

Kulit buah kerdas ini boleh dimakan. Kerdas sering dimakan sebagai ulam, tetapi kurang terkenal kerana mempunyai bau yang sangat kuat. Buah kerdas boleh dimakan sebagai ulam bersama nasi, namun cara ini kurang digemari terutamanya di kalangan generasi muda kerana baunya yang terlalu kuat seperti ulam petai atau jering. Kulit buahnya agak keras dan liat bersaiz panjang dengan isi didalamnya berulas-ulas berukuran antara 10mm – 15mm dibaluti kulit nipis seperti kulit jering. Isinya berwarna kuning pucat ketika masih muda tetapi akan menjadi kehitaman apabila matang (tua). Kerdas boleh bertahan lama jika disimpan bersama kulitnya.

35. Paku Uban

Nama Saintifik: Nephrolepis bserrata.

  • Manfaat Kesihatan

Paku Uban kebiasaannya direbus dan dicicah dengan sambal balacan selain dibuat ulam. Selain itu, ia juga boleh dimasak sayur tumis.

36. Tenggek Burung

Nama Saintifik: Gardenia tubifera kula

  • Manfaat Kesihatan

Dipercayai pucuk Tenggek Burung ini dapat mengecutkan rahim bagi wanita yang baru melahirkan bayi. Selain itu, ia juga dikatakan boleh menurunkan tekanan darah tinggi, menghilangkan lenguh-lenguh di badan dan melancarkan aliran darah. Bau pucuk tenggek burung ini agak wangi dan rasanya sedikit kelat. Selain itu, pucuk Tenggek Burung ini juga rangup. Pucuk ini enak dimakan sebagai ulam bersama sambal belacan, sambal budu atau sambal tempoyak.

37. Bangun-bangun

Nama Saintifik: Plectranthus amboinicus / Coeus amboinicus

  • Manfaat Kesihatan

Ia dimakan bagi melancarkan pengaliran darah, merawat sembelit, asma, haid tidak teratur, kencing bernanah, sakit kepala (migrain), sakit perut, batuk, pelbagai penyakit kulit, gastrik dan buasir. Ia juga dimakan bagi meningkatkan selera makan, daya imunisasi badan, kesan awet muda dan mendapatkan kesan antioksidan.

38. Tebengau

Nama saintifik: Gynura pseudochina

  • Manfaat Kesihatan

Pucuk mudanya berwarna kemerah-merahan boleh dimakan secara mentah dan dijadikan ulam-ulaman. Rasanya sedikit manis dan sedikit kelat tetapi rangup.

39. Belimbing Buluh

Nama saintifik:  Averhoa.

  • Manfaat Kesihatan

Sesuai untuk merawat darah tinggi dan demam panas. Caranya adalah mengambil beberapa buah belimbing buluh yang segar dan kemudiannya dikisar sehingga lumat. Tapiskan untuk dapatkan airnya. Campurkan sedikit bahan perasa kerana rasanya agak pahit. Minum airnya pada waktu pagi ataupun petang. Bagi merawat demam panas pula, ambil beberapa helai daunnya yang segar. Ramas dedaun itu dengan sedikit air sehingga dijadikan pes dan letakkannya diatas sehelai kain. Tuamkannya diatas kepala. Lakukan sehingga rasa panas berkurangan.

40. Akar Som/Ginseng Jepun (pucuk mentah)

Nama saintifik: Talinum paniculatum Gaertn

  • Manfaat Kesihatan

Daunnya yang dijadikan ulam dapat menambahkan selera makan dan meningkatkan kecerdasan badan. Selain itu iaa juga dapat menambah air susu bagi ibu yang sedang menyusukan anak. Akarnya pula boleh meredakan masalah batuk dan masalah paru-paru yang lain seperti asma.daunnya yang ditumbuk halus dan dicampurkan dengan sedikit gula merah boleh digunakan untuk merawat bisul dengan cara menampalnya pada bisul tersebut. Masyarakat melayu di malaysia terutamanya di kelantan menjadikan akar ginseng sebagai ulam mentah. Manakala, kaum cina juga memanfaatkan tumbuhan ini dengan menggorengnya sebagai sayur.

41. Letup-Letup

Nama Saintifik: Physalis minima

  • Manfaat Kesihatan

Digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat penyakit kulit seperti gatal-gatal. Ia turut digunakan untuk merawat luka dan batuk. Untuk merawat gatal-gatal kulit, keseluruhan pokok ini diambil dan dibersihkan. Kemudian direbus hingga mendidih dan disejukkan air rebusannya. Airnya turut digunakan untuk membasuh bahagian yang terjejas. Air rebusan ini juga boleh diminum untuk melegakan batuk.

42. Beluntas

Nama saintifik: Pluchea indica

  • Manfaat Kesihatan

Manfaatnya adalah menghilangkan bau badan, bau mulut, dan mengurangkan nafsu makan. Daunnya boleh dimakan sebagai ulam mentah atau dikukus dan dimakan bersama nasi. Bau daun beluntas menyegarkan dan dapat meningkatkan nafsu makan.

43. Lemak ketam

Nama saintifik: Parsonsia helicandra

  • Manfaat Kesihatan

Daunnya boleh digunakan untuk rawatan selepas bersalin. Rebus daunnya hingga mendidih dan minum airnya ataupun tumbuk daunnya dan campur dengan sedikit air. Airnya ditapis dan diminum. Daun pucuk mudanya boleh dimakan mentah sebagai ulam. Rasanya rangup dan tidak pahit.

44. Temu Kunci

Nama saintifik: Kaempferia pandurata

  • Manfaat Kesihatan

Temu kunci merupakan antara bahan terkenal yang digunakan sebagai jamu selepas bersalin. Ia berfungsi untuk melancarkan perjalanan darah dan mengembalikan kecergasan badan

Berbau wangi menyebabkan ia juga dijadikan rempah dalam masakan. Di kelantan , rizomnya yang diricih halus juga dijadikan ulam dalam nasi kerabu.

45. Selasih

Nama saintifik: Ocimum Sanctum

  • Manfaat Kesihatan

Selasih digunakan untuk merawat berbagai penyakit biasa dan ia boleh digunakan bagi merawat kencing manis, gangguan penafasan, alahan dan ketidaksuburan. Selasih mengandungi asid cinnamaniac yang meningkat peredaran darah dan menstabilkan gula dalam darah dan juga boleh merawat usus radang dan sakit sendi.

Teh selasih (secawan air panas + beberapa helai daun selasih, rendam selama 5 minit, tapis dan masukkan madu dan lemon) diambil untuk melegakan loya kemoterapi dan radiasi.

46. Mata Itik

Nama saintifik: Ardisia oxyphylla

  • Manfaat Kesihatan

Khasiat pokok ini adalah untuk merawat cirit birit, batuk, sakit dada dan demam panas. Selain itu daunnya juga boleh dijadikan teh yang berkhasiat. Rasanya yang berlemak dan tidak pahit memang sedap dijadikan ulam.

47. Ulam Sabung Nyawa Hijau

Nama saintifik:  Gynura sarmentosa

  • Manfaat Kesihatan

Salah satu khasiat ulam sabung nyawa adalah menurunkan tekanan darah yang tinggi.

48. Pudina

Nama saintifik:  Penny royal.

  • Manfaat Kesihatan

Mengurangkan panas tubuh adalah salah satu manfaat utama dari air daun pudina untuk kesihatan anda. Air daun pudina mampu memberikan rasa sejuk pada tubuh serta meminimumkan kesan sinaran matahari yang terik pada tubuh.

49. Belimbing

Nama saintifik: Averrhoa carambola

  • Manfaat Kesihatan

Penyembuh pelbagai penyakit. Pelbagai penyakit yang dimaksud adalah seperti demam, bisul, sakit tekak mahupun batuk. Selain itu, belimbing juga sangat berkesan untuk mencegah penyakit kencing manis.

50. Sabung Nyawa/Akar Sebiak

Nama saintifik: Gynura procumbens

  • Manfaat Kesihatan

Mengawal tekanan darah tinggi, kanser dan mengatasi haid yang tidak teratur.

51. Bayam

Nama saintifik: Amaranthus gangeticus

  • Manfaat Kesihatan

Bayam berkesan untuk mencegah anemia dan menambah tenaga dalam badan. Bayam kaya dengan kandungan kalium dan rendah sodium. Bayam memiliki tahap mineral yang seimbang dan sangat bermanfaat bagi penderita hipertensi atau tekanan darah tinggi.

52. Semanggi

Nama saintifik: Hydrrocotyle sibthorpioides Lam

  • Manfaat Kesihatan

Boleh dijadikan sebagai larutan kumur. Siapkan daun semanggi gunung yang masih segar sebanyak 50 gram. Rebus ramuan tersebut dengan 3 gelas air sampai mendidih. Gunakan air ramuan tersebut untuk berkumur-kumur selagi hangat.

53. Sekentut

Nama saintifik: Paederia Foetida

  • Manfaat Kesihatan

Dalam perubatan tradisional Melayu, daun sekentut digunakan untuk menghilangkan bintik-bintik merah pada kulit bayi. Selain itu, daun sekentut juga dipercayai boleh mengelakkan rambut daripada cepat beruban. Caranya ialah dengan menumbuk halus daun sekentut, lalu memerahnua untuk mendapatkan airnya. Air perahan itu kemudian disapukan pada tempat yang dijangkiti gatal-gatal atau bintik merah berkenaan.

54. Ketumpangan Air

Nama saintifik: Peperomia pellucida

  • Manfaat Kesihatan

Ia boleh digunakan sebagai penawar reumatik, sakit perut dan jerawat. Tumpangan Air ternyata diketahui mengandungi ciri anti-bakteria, antiradang dan antibiotik. Jadi, ia bagus digunakan untuk penyakit yang berkaitan dengan keradangan. Ia boleh dimakan secara mentah sebagai ulam atau dijadikan sayur.

55. Daun Petai Belalang

Nama saintifik:Leucaena Leucephala

  • Manfaat Kesihatan

Daun petai boleh digunakan untuk merawat demam kuning. Caranya ialah dengan merebus daun petai, kemudian airnya diminum. Daun petai belalang juga berkesan untuk mengatasi masalah kelemumur atau kulit bersisik. Daunnya dibakar manakala abunya dicampur dengan minyak kelapa sebelum digosok ke atas kulit kepala. Balut dengan pembalut rambut dan biarkan selama sejam sebelum dibilas dengan air bersih. Untuk masalah kayap, rebus pucuk daun petai belalang dengan tawas. Air rebusannya digunakan untuk mandi dan membersihkan badan.

56. Terung Telunjuk

Nama saintifik: Solanum sp.

  • Manfaat Kesihatan

Terung telunjuk kaya dengan karbohidrat, protein, vitamin C, serat, kalsium dan beta karoten yang baik untuk mata. Selain dimakan sebagai ulam atau dicelur, buah terung ini juga enak dimasak lemak cili api bersama udang atau ikan, digoreng dengan cili dan sebagainya.

57. Temu Pauh

Nama saintifik: Curcuma amada

  • Manfaat Kesihatan

Mengandungi bahan anti kanser, ia boleh merawat ketegangan urat saraf, mengurangkan kolesterol dan darah tinggi serta membantu mengurangkan masalah saluran pencernaan dan saluran darah tersumbat. Temu pauh juga dimakan bagi mengurangkan tekanan. Ia enak dimakan sebagai ulam, ditumbuk campur kedalam sambal dan digoreng dengan sayur.

58. Gelang Pasir

Nama saintifik: Portulaca oleracea

  • Manfaat Kesihatan

Ia dikatakan boleh merawat penyakit kencing tidak lawas, sembelit, reumatik, lemah jantung, lemah badan, tekanan, demam panas, keracunan, kecacingan, buasir, batu karang dan pendarahan dalam badan. Pucuk dan daun mudanya juga boleh dimakan mentah dijadikan sebagai ulam dan dimasak.

59. Pucuk Paku

Nama saintifik: Athyrium Esculentum

  • Manfaat Kesihatan

Mengandungi vitamin A (beta karoten) yang penting bagi menguatkan penglihatan dan mencegah rabun malam. Selain itu, tumbuhan liar ini kaya dengan mineral terutamanya fosforus dan kalium. Perubatan tradisional percaya pucuk paku ini mampu mengubati masalah kesihatan seperti penyakit cirit birit dan daunnya yang direbus boleh dimakan sebagai ulam.

60. Terung Pipit

Nama saintifik: Solanum Torvum

  • Manfaat Kesihatan

Terung pipit di gunakan secara meluas sebagai bahan masakan dan perubatan. Dalam perubatan Ayurveda, terung pipit sering digunakan bagi meningkatkan sistem imun, mengurangkan haba dalam badan dan juga sebagai tonik yang sangat baik untuk hati. Selain itu terung pipit juga di gunakan untuk rawatan lendir, kahak dan batuk. Ia juga sering digunakan bagi menguatkan saraf mata dan dikatakan baik untuk merawat ulser mulut dan perut.

61. Pucuk Ubi Kayu

Nama saintifik: Manihot esculenta

  • Manfaat Kesihatan

Bagus dijadikan sebagai penawar Radang Sendi. Ubi Kayu juga boleh digunakan untuk mengubati luka yang telah menjadi jangkitan. Tumbuk batang Ubi Kayu yang masih segar, lalu sapukan di kawasan yang luka. Kemudian balut kawasan tersebut dengan pembalut. Untuk luka yang disebabkan oleh benda panas, Ubi Kayu boleh diparut dan diperah dan disapu di kawasan luka. Lakukan hingga luka kering.

62. Asam gelugur

Nama Saintifik: Garcinia atroviridis Griff

  • Manfaat Kesihatan

Buah asam gelugur mengadungi asid sitrik, asid tartarik, asid malik, asid askorbik, asid hidroksisitrik, flavonoid, serat, vitamin dan mineral. Asid askorbiknya berperanan sebagai antibakeria. Daunnya pula mengandungi serat, karbohidrat, alkoloid, vitamin dan mineral. Pucuk muda yang mentah boleh dicelur dan dimakan bersama budu, cencaluk dan sambal belacan. Buah muda asam gelugur boleh dicampur dalam sambal belacan. Pucuk mudanya boleh dijadikan ramuan dalam nasi ulam dan nasi kerabu. Selain itu, daun muda dan bunganya juga boleh dimasukkan ke dalam masakan asam pedas dan masak lemak cili api.

63. Nangka Muda

Nama saintifik: Artocarpus heterophyllus or A. heterophylla

  • Manfaat Kesihatan

Biji nangka boleh direbus dan dimakan atau dihancurkan menjadi tepung yang boleh dicampur dalam air untuk diminum bagi mengubati penyakit berkaitan hempedu. Bijinya juga boleh dipanggang dan dimakan sebagai tonik kelamin.

Buah yang masak dimakan mentah atau dibuat jem, jeli, acar, dodol, pengat atau ditinkan. Isi nangka muda boleh dimasak gulai lemak, kari, kerabu atau direbus sebagai ulam.

64. Buah pala  

Nama saintifik: Myristica fragrans

  • Manfaat Kesihatan

Buah pala boleh diproses untuk dijadikan halwa dan jeruk pala. Manakala bijinya boleh dikeringkan dan digunakan sebagai rempah. Biji pala juga boleh digunakan sebagai rempah, bahan perisa untuk masakan yang manis seperti kek dan masakan yang menggunakan susu.

65. Turi atau geti

Nama saintifik: Sesbania grandiflora syn

  • Manfaat Kesihatan

Pucuk turi mengandungi khasiat yang tinggi, terutamanya vitamin C. Pucuk geti biasanya dimasak lemak atau masak manis. Masyarakat kampung juga menjadikan pucuk geti sebagai julap. Jus dan bunganya dikatakan boleh mengurangkan keradangan dan gatal hidung serta mengubati batuk. Air rebusan akar pula dikatakan dapat mengurangkan batuk dan mengeluarkan kahak.

66. Rebung

Nama saintifik: Gigantochloa albociliata

  • Manfaat Kesihatan

Rebung madu juga mengandung protein, karbohidrat, lemak vitamin A, thiamin, riboflavin, vitamin C, serta mineral lain seperti kalsium, fosforus, zat besi, dan kalium. Kandungan kalium dalam rebung adalah cukup tinggi, iaitu sebanyak 533 mg per 100 gram rebung. Rebung buluh, terutamanya rebung buluh madu boleh digoreng dan dimasak lemak cili api rebung dengan ayam atau daging salai. Selain itu rebung juga boleh di buat kerepek dan juga tepung.

67. Peria Pantai

Nama saintifik: Colubrina Asiatica

  • Manfaat Kesihatan

Daun peria pantai digunakan sebagai ubat kumur untuk menyembuhkan ulser mulut. Selain itu, pokok ini dipercayai berkesan untuk menstabilkan tekanan darah dan membantu mengawal penyakit kencing manis. Menurut rujukan, daun pokok peria pantai dikatakan boleh digunakan sebagai sabun. Daunnya boleh menghasilkan buih apabila diramas dalam air. Pucuknya dicelur dengan air panas dan dijadikan ulam atau pun boleh juga dijadikan sayur lemak.

68. Gelam Tikus

Nama saintifik: Syzygium inophylla

  • Manfaat Kesihatan

Berkesan untuk merawat sakit perut, pening kepala, sengal-sengal sendi, asma, sakit gigi. Pucuknya berwarna merah jambu dan sedap dijadikan ulam.

69. Buah Binjai/Malinja

Nama saintifik: Gnetum gnemon

  • Manfaat Kesihatan

Pucuk, daun muda, bunga dan kulit buah beinjai boleh dimakan. Selain itu, bijinya juga boleh dimakan setelah direbus atau digoreng. Ia juga boleh dijadikan kerepek, keropok atau emping.

70. Paku Rawan

Nama saintifik: Limnocharis flara(L)

  • Manfaat Kesihatan

Menurut pendapat tertentu, sayur ini tidak elok dimakan terlalu banyak kerana akan menyebabkan sakit kepala, sakit urat dan lenguh-lenguh badan. Cara-cara memakannya adalah dicelur dan dijadikan sebagai sebahagian daripada sayuran pecal, masak tumis kering, gulai lemak, dijadikan bahan dalam sayur kerabu dan beberapa jenis masakan lain.

71. Kelat Paya

Nama saintifik: Eugenia Oleina Shrub

  • Manfaat Kesihatan

Kelat paya dikatakan boleh menurunkan tekanan darah tinggi, menghilangkan lenguh-lenguh di badan dan melancarkan aliran darah

72. Kedondong/Amra (pucuk dimakan mentah)

Nama saintifik: Spondias Dulcis Forst

  • Manfaat Kesihatan

Khasiat buah kedondong adalah ia boleh membantu proses penurunan berat badan dan menurunkan kandungan lemak. Ia boleh dibuat minuman atau dimakan sebagai asam.

73. Keladan

Nama saintifik: Dryobalanops oblongifolia Dyer

  • Manfaat Kesihatan

Bagi penggemar ulam, keladan semestinya termasuk dalam hidangan utama mereka. Rasanya agak pahit, rangup dan kadangkala kelat. Kebiasaannya ia digabungkan dengan sambal tempoyak, sambal belacan atau sambal hitam.

74. Bebuas

Nama saintifik: Premna Spp

  • Manfaat Kesihatan

Air rebusan dan pucuk herba bebuas dipercayai oleh masyarakat Melayu boleh menyembuhkan masalah pening kepala. Pucuknya dicelur atau direbus dan dimakan bersama sambal belacan, budu, cencaluk atau sos pencicah yang lain. Rasanya manis-manis pedas dan sedikit pahit.

75. Bunga Kunyit (bunga dimakan mentah)

Nama saintifik: Curcuma domestica Loir

  • Manfaat Kesihatan

Sangat berkhasiat terutamanya bagi ibu-ibu dalam pantang (selepas bsersalin). Bunga kunyit sesuai dijadikan ulam dan dimakan mentah.

Sumber Gambar:

https://goingplaces.malaysiaairlines.com/all-about-ulam-the-traditional-malay-salad/

Summary
75 Jenis Ulam-ulaman dan Manfaatnya Terhadap Kesihatan Anda
Article Name
75 Jenis Ulam-ulaman dan Manfaatnya Terhadap Kesihatan Anda
Description
Tahukah anda bahawa ulam-ulaman tempatan seperti Petai bukan sahaja baik untuk kesihatan, tetapi juga kecantikan? Bacalah untuk info lanjut.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: