jepun

Cakap sahaja tentang negara Jepun, mesti ramai yang terbayang-bayangkan kota raya Tokyo yang sentiasa sibuk, kereta api yang laju, tandas yang berteknologi tinggi ataupun Geisha kan?

Tapi, anda tahu tak sebenarnya tarikan yang terdapat di Jepun ini adalah jauh lebih banyak daripada itu?

Sampai sahaja di Tokyo, Jepun, pasti membuatkan anda terasa seperti di dalam filem sains fiksyen. Manakan tidak, bangunan-bangunan di bandaraya ini kebanyakannya memiliki reka bentuk futuristik, tambahan lagi dengan kewujudan segelintir golongan remaja yang berpakaian seperti dalam watak anime, memang terasa seperti dalam mimpilah!

Tapi jangan terkejut pula, walaupun sebahagian besar kawasannya serba moden, kawasan-kawasan tokong lama yang terbina indah dan taman-taman hijau mekar yang terletak di Tokyo, Jepun tetap terjaga dengan baik. Nak tahu dengan lebih terperinci tentang tempat-tempat menarik di Jepun? Teruskan membaca artikel di bawah.

1. Shinjuku Gyoen National Garden

Shinjuku Gyoen National Garden yang berkeluasan 144 ekar ini menawarkan keindahan 3 jenis taman dengan konsep yang berbeza iaitu Taman Rasmi Perancis, Taman Lanskap Inggeris dan Taman Tradisional Jepun. Siap dibina pada tahun 1906, taman ini merupakan taman yang penting pada Era Meiji.

Kalau anda datang ke sini pada bulan April, anda dapat menikmati pemandangan indah pokok negara Jepun yang terkenal, tak lain tak bukan, pokok sakura. Selain pokok-pokok sakura, anda juga dapat melihat kolam-kolam ikan koi yang banyak di sekitar taman.

Shinjuku Gyoen National Garden

2. Tokyo Camii & Turkish Culture Center

Selepas bermulanya pemerintahan Soviet Rusia pada tahun 1917, segelintir komuniti Turki berpindah keluar dari negara itu dan sesetengahnya bermigrasi ke Tokyo, Jepun. Komuniti Turki yang datang ke sini disambut baik oleh masyarakat Jepun yang banyak membantu mereka dari segi sosial dan ekonomi.

Pada tahun 1938, Tokyo Camii dibina dan dijadikan sebagai tempat umat Islam berkumpul dan melakukan pelbagai aktiviti Islamik. Reka bentuk masjid terbesar di Jepun ini cukup indah dengan seni binaan timur tengah.

Selain itu, yang turut menarik tentang masjid ini adalah khutbahnya yang disampaikan dalam 3 bahasa iaitu Jepun, Turki dan Inggeris.

Kalau anda nak tahu lebih banyak info tentang masyarakat Turki di Jepun pula, anda boleh singgah ke  Turkish Cultural Centre yang terdapat di sini.

Tokyo Camii & Turkish Culture Center

3. Meiji Jingu Shrine

Sebaik sampai ke Meiji Jingu Shrine anda akan terlihat pintu gerbang besar untuk memasuki kawasan tokong yang siap dibina pada tahun 1920.

Walaupun terletak di tengah-tengah kotaraya yang sibuk, Tokyo, atmosfera di sekitar Tokong Meiji Jingu ini sungguh menenangkan kerana ribuan pokok yang tumbuh meliar di sekitarnya memisahkan kawasan ini dengan kemodenan Tokyo.

Kalau anda sekeluarga bernasib baik, dapatlah anda melihat majlis perkahwinan tradisional Jepun yang selalu diadakan di sini. Sewaktu majlis ini, wanita-wanita akan berpakaian kimono dan lelaki pula akan memakai baju suit. Satu suasana yang cukup klasik dan fotogenik.

Meiji Jingu Shrine Tokyo

4. Asakusa

Nak lihat bagaimana Jepun sebagai sebuah bandaraya klasik? Anda boleh menyelami kehidupan masa lalu masyarakat Jepun yang juga digelar zaman Edo Jepun ini dengan melawati Asakusa.

Terletak di sekitar tokong Sensoji, pekan Asakusa ini dipenuhi dengan gerai-gerai yang menjual bermacam barangan antik, dari cenderamata hinggalah ke pakaian, barulah gempak bawa balik barangan sebegini sebagai hadiah kepada orang tersayang apabila pulang daripada melancong.

Selain meriah dengan jualan barangan antik, Asakusa juga turut terkenal dengan pelbagai sambutan festival tahunan seperti festival yang sering diadakan pada setiap bulan Mei iaitu Festival Sanja.

Asakusa

5. Senso-ji Temple

Di dalam Pekan Asakusa, terletaknya sebuah tokong yang sangat hebat auranya, Senso-ji Temple yang menyerlah dengan warna dan kehalusan seni binanya.

Kalau anda berjalan ke dalam kawasan tokong ini, anda dapat menikmati keindahan kawasan taman kecilnya.

Apa-apa pun, sekiranya anda ingin datang ke sini untuk bergambar, datanglah selepas pukul 7 malam kerana gambar pada waktu malam di tokong ini cukup menarik di samping dapat mengelakkan gangguan orang ramai daripada ter‘photobomb’ di dalam gambar percutian anda.

Senso-ji Temple Tokyo

6. Samurai Museum

Selalu tengok dalam tv je kan? Nak lihat secara live pedang-pedang dan pakaian Samurai ini? Jom ke Samurai Museum yang terletak di Shinjuku-ku ini.

Terbahagi kepada dua bahagian, tingkat  bawah muzium ini terdapat kedai yang menjual cenderahati serta ruangan pameran perisai yang disusun mengikut zaman iaitu dari zaman Muromachi (1336-1573) hinggalah ke zaman Edo (1600-1868).

Di tingkat atas muzium ini pula terdapat pelbagai jenis pameran yang terdiri daripada pameran pedang samurai, helmet kabuto, perisai yoroi, senapang dan banyak lagi.

Untuk pengalaman yang lebih menarik, anda boleh melihat demonstrasi pedang Samurai yang diadakan 4 kali sehari, mengikuti kelas kaligrafi, ataupun yang paling best sekali, anda boleh cuba memakai perisai Jepun!

Samurai Museum Tokyo

7. Nezu Museum

Nezu Museum ditubuhkan untuk mengumpulkan dan memelihara koleksi hasil seni pra-moden dari negara Jepun dan Asia Timur.

Asalnya, koleksi-koleksi di muzium ini mula dikumpulkan oleh Nezu Kaichirō (1860-1940) yang selepas pemergiannya, legasinya disambung oleh anaknya Kaichirō Jr.

Antara pameran yang terdapat di sini adalah terdiri daripada kaligrafi, ukiran, seramik, kraf buluh, spesimen arkeologi, lukisan dan banyak lagi. Memang puas hatilah kalau datang ke sini!

Nezu Museum Tokyo

Untuk memudahkan perjalanan anda sewaktu ke negara matahari terbit ini, rancanglah dengan awal destinasi-destinasi yang anda sekeluarga termimpi-mimpi untuk pergi. Bila dah rancang, barulah senang untuk bergerak dah sampai di sana nanti. Jangan buang masa lagi, mari kita melancong ke negara Jepun yang sangat maju teknologinya ini!

Sumber:

https://www.trixoli.com/my/ms/destinasi/jepun/

https://www.maisinggah.com/tempat-menarik-di-jepun/

https://www.maisinggah.com/tempat-menarik-di-tokyo/

Summary
7 Tempat Menarik Di Jepun Untuk Anda Lawati
Article Name
7 Tempat Menarik Di Jepun Untuk Anda Lawati
Description
Cakap sahaja tentang negara Jepun, mesti ramai yang terbayang-bayangkan kota raya Tokyo yang sentiasa sibuk, kereta api yang laju, tandas yang berteknologi tinggi ataupun Geisha kan?
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: