Petua Kencing Manis
Ubat semulajadi boleh membantu mengimbangi gula darah

Menggunakan makanan sebagai ubat semulajadi adalah cara yang baik untuk melengkapkan rawatan kencing manis anda. Sekiranya anda mencari cara untuk mengimbangi gula darah secara semulajadi, terdapat beberapa ubatan semulajadi yang boleh membantu.

Penyelidikan baru-baru ini mendapati bahawa beberapa makanan tambahan dan ubat herba boleh membantu menguruskan diabetes terutamanya apabila digabungkan dengan pengambilan ubat-ubatan oral preskripsi doktor.

Walau bagaimanapun, ubat semulajadi, campuran herba dan suplemen boleh menyebabkan keadaan hipoglikemia iaitu penurunan gula darah secara mendadak sekiranya diambil tanpa pengetahuan tentang kesan-kesannya.

Sedikit peringatan buat pesakit kencing manis di luar sana, di samping mengamalkan pengambilan ubat-ubatan semulajadi, anda juga perlu terapkan gaya hidup yang sihat. Malah, amalkan diet yang kaya dengan serat digabungkan dengan senaman secara berkala.

Berikut merupakan senarai makanan yang boleh dijadikan sebagai ubat semulajadi bagi mengawal penyakit kencing manis.

Pokok Lidah Buaya (Aloe Vera)

Pokok lidah buaya atau aloe vera adalah sejenis tumbuhan yang memiliki pelbagai kegunaan berbeza. Ramai mengetahui akan manfaatnya untuk penjagaan kulit, tetapi ia juga mempunyai pelbagai manfaat lain seperti melambatkan perkembangan kencing manis.

Satu kajian yang dilakukan pada tahun 2013 menguji manfaat lidah buaya terhadap seekor tikus yang menghidap diabetes. Keputusan kajian tersebut adalah memberansangkan kerana berjaya membuktikan bahawa lidah buaya dapat membantu melindungi dan memperbaiki sel beta yang menghasilkan insulin dalam pankreas tikus tersebut. Para penyelidik percaya bahawa keadaan tersebut mungkin berpunca dari kesan antioksidan yang terdapat pada lidah buaya.

Sehingga kini, para penyelidik masih berusaha mengkaji manfaat ekstrak lidah buaya yang lain terhadap kesihatan manusia.

Cara mengambil lidah buaya adalah mudah sahaja. Anda boleh:

  • Menambah isi daun lidah buaya ke dalam minuman seperti jus buah-buahan atau ‘smoothie’.
  • Mengambil kapsul yang mengandungi ekstrak lidah buaya sebagai makanan tambahan.
  • Minum jus lidah buaya.

Kulit kayu manis (Cinnamon)

Kulit kayu manis merupakan sejenis rempah berbau wangi dan berasal daripada kulit kayu. Ia adalah bahan masakan yang terkenal dan digunakan dalam pelbagai masakan seperti kek, biskut, lauk-pauk dan hidangan-hidangan lain.

Keistimewaan kulit kayu manis adalah ia boleh menambah kemanisan kepada masakan anda tanpa memerlukan gula tambahan. Selain itu, ia juga boleh jadi pengganti gula yang baik bagi pesakit kencing manis.

Kajian pada tahun 2010 telah membuktikan bahawa kulit kayu manis boleh mingkatkan tahap:

  • Glukosa
  • Insulin dan sensiviti insulin
  • Lipid atau lemak dalam darah
  • Status antioksidan
  • Tekanan darah
  • Jisim badan tanpa lemak
  • Pencernaan

Dalam ulasan lain pada tahun 2013, penyelidik telah menyimpulkan bahawa kulit kayu manis mungkin membantu:

  • Mengurangkan tahap glukosa darah.
  • Mengurangkan jumlah kolesterol dan kolesterol ‘jahat’ (LDL).
  • Meningkatkan paras kolesterol ‘baik’ (HDL).
  • Mengurangkan lemak dalam darah (triglycerides).
  • Meningkatkan sensitiviti insulin.

Namun, dalam kedua-dua kajian, para penyelidik mencatatkan bahawa hasilnya mungkin bergantung pada:

  • Jenis kayu manis yang digunakan. Jumlah bahan aktif dalam kulit kayu manis bergantung kepada jenisnya.
  • Jumlah atau dos yang diambil.
  • Tindak balas individu terhadap kulit kayu manis.
  • Ubat-ubatan lain yang diambil oleh pesakit.

Kebanyakan kajian yang dilakukan tidak melibatkan manusia, jadi terdapat kekurangan bukti tentang sebarang kesan sampingan kayu manis. Para saintis masih perlu menjalankan lebih banyak penyelidikan bagi mengesahkan keselamatan dan keberkesanan kulit kayu manis sebagai rawatan semulajadi.  

Anda boleh mengambil kulit kayu manis dengan cara berikut:

  • Menggunakan kulit kayu manis dalam pelbagai masakan dan pastri yang dibakar.
  • Memasukkannya ke dalam teh yang hangat.
  • Mengambil suplemen yang mengandungi ekstrak kulit kayu manis.

Jika anda bercadang untuk mengambil suplemen kulit kayu manis, bertanyakan pada doktor anda terlebih dahulu untuk menentukan kesesuaiannya dengan keadaan penyakit anda.

Peria Katak (Bitter melon)

‘Momordica charantia’, atau peria katak adalah sejenis buah yang mempunyai banyak manfaat perubatan. Pengamal perubatan tradisional Cina dan India telah menggunakan peria katak sejak berabad lamanya. Anda juga boleh memasak peria katak dan memasukkannya dalam pelbagai hidangan. Sesetengah saintis juga telah mengkaji penggunaan peria katak sebagai ubat kepada penyakit diabetes.

Terdapat beberapa bukti bahawa peria katak boleh membantu melegakan simptom kencing manis. Salah satu ulasan menyatakan bahawa manusia telah menggunakan banyak bahagian peria katak untuk merawat diabetes.

Selain itu, kajian telah menunjukkan bahawa bebrapa individu berjaya mengurangkan paras gula dalam darah setelah mengambil peria katak dalam bentuk seperti berikut:

  • Bijian
  • Isi sayuran yang dikisar
  • Jus
  • Suplemen

Memakan atau meminum peria katak boleh memberi rasa yang kurang enak, tetapi pengambilan suplemen peria katak mungkin boleh diterima oleh deria rasa anda.

Walau bagaimanapun, tiada bukti yang cukup untuk menyokong pendapat bahawa pengambilan peria katak adalah lebih baik berbanding suntikan insulin atau ubat-ubatan farmasi bagi merawat kencing manis.

Namun, ia boleh membantu pesakit jadi kurang bergantung kepada ubat-ubatan moden dan dapat mengurangkan dosnya.

‘Milk Thistle’

‘Milk Thistle’ mempunyai ciri-ciri antiradang dan berpotensi menjadi salah satu rawatan kencing manis. Ia telah digunakan sejak zaman purba untuk merawat pelbagai jenis penyakit, dan bertindak seperti tonik untuk hati.

Ekstrak daripada ‘milk thistle’, ‘silymarin’ telah mendapat banyak perhatian daripada saintis kerana sifatnya yang mengandungi antioksidan dan antiradang. Jadi, ia boleh menjadi herba yang berkesan bagi pesakit kencing manis.

Banyak kajian positif dilakukan mengenai ‘silymarin’, tetapi menurut kajian yang diterbitkan pada 2016, penyelidikan sahaja tidak cukup kuat untuk mengesyorkan penggunaan herba atau ekstrak ‘milk thistle’ sebagai penjagaan diabetes dan penggantian ubat moden.

Namun, sehingga kini masih ramai individu yang mengambil ‘milk thistle’ sebagai suplemen. Malah, tiada laporan ketara mengenai kesan sampingannya ke atas kesihatan individu. Walau bagaimanapun, berbincang dengan doktor anda terlebih dahulu sebelum menggunakan sebarang suplemen.

Halba (Fenugreek)

Halba adalah sejenis benih yang boleh membantu menurunkan tahap gula dalam darah. Bijian ini mengandungi kandungan serat dan bahan kimia yang boleh membantu melambatkan penghadaman karbohidrat dan gula. Terdapat beberapa bukti yang menunjukkan bahawa halba boleh melambatkan atau mencegah kencing manis jenis 2 (diabetes type 2).

Pada tahun 2015, kajian yang dijalankan selama 3 tahun telah mendapati bahawa pesakit pra diabetes kurang berkemungkinan untuk didiagnosis dengan kencing manis jenis 2 setelah mengambil serbuk halba dalam diet mereka. Kajian tersebut melibatkan 66 pesakit diabetes yang mengambil 5gram halba dua kali sehari sebelum makan, dan 74 pesakit yang tidak mengambil halba.

Justeru itu. para pengkaji telah menyimpulkan bahawa, pengambilan halba boleh:

  • Meningkatkan tahap insulin dalam badan justeru mengurangkan gula darah.
  • Mengurangkan tahap kolesterol.

Sekiranya anda ingin memasukkan halba dalam diet harian, anda boleh:

  • Memasukkan halba dalam hidangan.
  • Menambah halba dalam air suam.
  • Menghancurkan halba menjadi serbuk.
  • Mengambilnya sebagai suplemen dalam bentuk kapsul.

Tumbuhan Gurmar (Gymnema)

Tumbuhan gurmar atau gimnema sylvestre, adalah sejenis herba yang berasal dari negara India. Namanya bermaksud “pemusnah gula. Kajian pada tahun 2013 telah mendapati bahawa pesakit yang menghidap kencing manis jenis 1 dan jenis 2, menunjukkan tanda-tanda positif selepas mengambil tumbuhan ini.

Bagi pesakit diabetes jenis 1 yang telah mengambil ekstrak daun gurmar selama 18 bulan pula, kadar gula dalam darah mereka didapati menurun dengan ketara sewaktu berpuasa, berbanding kumpulan yang hanya menerima insulin.

Manakala, ujian lain yang melibatkan pesakit kencing manis jenis 2 telah mendapati bahawa mereka mempunyai tindak balas positif terhadap penggunaan daun dan ekstrak tumbuhan gurmar.

Sesetengah daripada mereka yang mengambil tumbuhan gurmar telah berjaya:

  • Menurunkan paras gula darah.
  • Meningkatkan tahap insulin.

Penggunaan daun atau ekstrak tumbuhan gurmar mungkin memberi manfaat terhadap penyakit diabetes anda. Tetapi, anda masih perlu berbincang dengan doktor sebelum mengambilnya dalam diet harian anda.

Halia

Halia adalah herba lain yang digunakan sebagai perubatan tradisional.semenjak beribu-ribu tahun dahulu. Ia sering digunakan untuk membantu merawat masalah pencernaan dan keradangan. Kini, terdapat beberapa kajian yang telah membuktikan bahawa pengambilan halia boleh juga menurunkan paras gula darah.

Pada tahun 2015, satu kajian menunjukkan bahawa halia juga boleh membantu merawat kencing manis. Keputusan kajian ini membuktikan bahawa halia dapat menurunkan kadar gula darah, tetapi ia tidak menurunkan kadar insulin darah.

Oleh hal yang demikian, para penyelidik mengatakan bahawa halia boleh mengurangkan ketahanan insulin dalam tubuh pesakit diabetes jenis 2. Walau bagaimanapun, mereka masih tidak pasti akan kesahihan teori tersebut dan menggesa lebih banyak penyelidikan dilakukan untuk mengesahkannya.

Anda boleh mengambil halia dengan cara:

  • Menambah serbuk halia, halia cincang atau akar halia segar ke dalam makanan atau masakan.
  • Membancuh halia bersama teh.
  • Mengambil halia sebagai suplemen dalam bentuk kapsul.

Pertimbangan bagi pesakit kencing manis

Sebelum mengambil sebarang ramuan atau suplemen baru, dapatkan nasihat daripada pakar perubatan terlebih dahulu. Doktor mungkin akan mencadangkan pengambilannya dalam dos yang rendah dan meningkatkannya secara beransur-ansur sehingga anda mendapatkan dos yang sesuai.

Sesetengah herba boleh bertindak balas dengan ubat lain, seperti ubat pencair darah dan ubat tekanan darah tinggi. Jadi, ia adalah amat penting untuk mengambil tahu tentang kesan sampingan ubat-ubatan tersebut sebelum mengambil suplemen baru.

Selain itu, pastikan anda mendapatkan herba dan suplemen daripada sumber yang dipercayai dan berkualiti tinggi. Pihak Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) tidak memantau tumbuh-tumbuhan dan suplemen tambahan. Jadi, produk tersebut mungkin mengandungi herba dan kandungan lain, atau mengesyorkan dos yang salah. Dalam kes yang lagi serius, ia mungkin menggunakan ramuan tercemar seperti racun perosak atau bahan kimia bahaya.

Ingatlah,

Herba dan suplemen adalah pilihan rawatan pelengkap sahaja, ia tidak boleh menggantikan ubat-ubatan preskripsi daripada doktor.

SUMBER

https://www.webmd.com/diabetes/preventing-type-2-diabetes

https://www.healthline.com/nutrition/prevent-diabetes

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/type-2-diabetes/in-depth/diabetes-prevention/art-20047639

https://www.medicalnewstoday.com/articles/317206

Summary
7 Petua Semulajadi Mencegah Kencing Manis
Article Name
7 Petua Semulajadi Mencegah Kencing Manis
Description
Menggunakan makanan sebagai ubat semulajadi adalah cara yang baik untuk melengkapkan rawatan kencing manis anda. Sekiranya anda mencari cara untuk mengimbangi gula darah secara semulajadi, terdapat beberapa petua kencing manis yang semulajadi.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: