7 Petua Semulajadi Melegakan Batuk
Batuk bertujuan untuk membersihkan kerengsaan dan jangkitan daripada sistem tubuh, tetapi Batuk yang berterusan boleh menjadi sesuatu yang menjengkelkan.

Batuk bertujuan untuk membersihkan kerengsaan dan jangkitan daripada sistem tubuh, tetapi Batuk yang berterusan boleh menjadi sesuatu yang menjengkelkan dan perlu rawatan untuk melegakan batuk. Rawatan yang terbaik untuk Batuk bergantung kepada puncanya. Terdapat pelbagai kemungkinan penyebab Batuk, antaranya adalah Alahan, jangkitan, dan Asid Refluks.

Terdapat beberapa ubat semulajadi yang boleh membantu melegakan Batuk. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk diingat bahawa kesan dari penggunaan tumbuh-tumbuhan dan suplemen adalah tidak terjamin terhadap penyakit anda. Jika batuk semakin teruk atau berterusan selama lebih dari beberapa minggu, anda perlu mendapatkan nasihat perubatan daripada doktor yang bertauliah.

Berikut merupakan beberapa petua rawatan semulajadi bagi melegakan Batuk buat sementara waktu:

1. Madu

Madu sangat berkesan untuk melegakan Sakit Tekak. Menurut satu kajian, ia juga boleh melegakan Batuk.

Anda boleh menyediakannya sendiri di rumah dengan mencampurkan 2 sudu teh madu dengan teh herba atau air suam dan buah lemon. Madu bersifat melegakan manakala lemon membantu mengurangkan kesesakan. Selain itu, anda juga boleh makan satu sudu madu atau menyapunya pada roti untuk dijadikan sebagai snek.

2. Probiotik

Probiotik adalah sejenis mikroorganisma yang mempunyai pelbagai manfaat terhadap kesihatan. Walaupun ia tidak melegakan batuk secara langsung, ia membantu menyeimbangkan bakteria dalam usus anda. Bakteria usus adalah bakteria yang hidup di dalam usus anda.

Keseimbangan bakteria dalam usus menyokong fungsi sistem imun seluruh badan. Tambahan lagi, lactobacillus iaitu sejenis bakteria dalam tenusu, boleh mengurangkan risiko Selesema atau Demam dan alahan terhadap alergen tertentu, seperti debunga.

Susu diperkaya dengan sumber lactobacillus yang tinggi. Namun begitu, anda harus berhati-hati apabila mengambilnya kerana produk tenusu boleh menebalkan kahak.

Sebagai alternatif lain, anda juga boleh membeli suplemen Probiotik di kebanyakan farmasi. Suplemen tambahan biasanya mempunyai saranan pengambilan yang tetap untuk setiap hari. Selain itu, probiotik juga terkandung dalam beberapa jenis yogurt dan dalam sup miso.

3. Bromelain

Biasanya, anda mungkin tidak pernah terfikir langsung tentang kebaikan Nanas sebagai rawatan Batuk. Sebenarnya, terdapat bukti yang mencadangkan bahawa bromelain, iaitu sejenis enzim yang hanya terdapat di batang dan buah nanas, boleh membantu mengawal Batuk serta mencairkan kahak dan lendir dalam tekak anda sekaligus melegakan batuk.

Untuk menikmati kebaikan nanas dan bromelain, anda disarankan untuk memakan sepotong nanas atau minum setengah gelas jus nanas segar sebanyak tiga kali sehari.

Terdapat juga tuntutan bahawa Nanas boleh membantu melegakan masalah Sinusitis dan masalah berasaskan Alahan yang boleh menyebabkan Batuk dan kahak. Walau bagaimanapun, masih belum ada kajian yang cukup untuk menyokong fakta tersebut.

Namun, suplemen Bromelain tidak boleh diambil oleh kanak-kanak atau individu dewasa yang menjalani rawatan penipisan darah. Selain itu, berhati-hatilah dalam menggunakan bromelain jika anda juga mengambil ubat antibiotik seperti amoksisilin, kerana ia dapat meningkatkan penyerapan antibiotik dalam badan. Sentiasalah berunding dengan doktor anda sebelum mengambil suplemen tambahan yang baru ke dalam rutin harian anda.

4. Pudina

Daun Pudina terkenal dengan sifat penyembuhannya. Ia juga bagus untuk batuk kerana kandungan menthol dalam pudina boleh melegakan kerongkong dan bertindak sebagai dekongestan dengan membantu mencairkan kahak. Anda boleh mendapat manfaat daripada tumbuhan ini dengan meminum teh pudina atau menghirup wap pudina daripada mandian wap. Untuk membuat mandian wap, tambahkan 3 atau 4 tetes minyak pudina untuk setiap 150 mililiter air panas. Letakkan tuala di atas kepala anda, dan tarik nafas di atas mangkuk yang mengandungi campuran pudina dan air panas.

5. Herba Marshmallow

‘Marshmallow’ merupakan sejenis herba yang dihasilkan daripada tumbuhan Althaea officinalis, iaitu bunga yang berbunga pada musim panas. Daun dan akar herba ini telah digunakan sejak zaman purba untuk merawat Sakit Tekak dan mengawal Batuk. Namun, tiada kajian yang dilakukan secara jelas untuk menyokong tuntutan ini, tetapi penggunaannya dianggap selamat.

Ramuan herba ‘Marshmallow’ mengandungi mucilage, yang bertindak melapisi tekak dan melegakan kerengsaan.

Kini, anda boleh mendapatkan akar marshmallow sebagai teh atau dalam bentuk kapsul. Teh Marshmallow yang hangat boleh menenangkan Batuk disertai dengan Sakit Tekak. Tetapi, akar Marshmallow tidak disyorkan untuk penggunaan kanak-kanak.

6. Thyme

Thyme digunakan oleh sesetengah individu yang mengalami masalah pernafasan. Satu kajian telah menunjukkan bahawa pati yang diekstrak daripada daun Thyme dan dicampur dengan ekstrak daun Ivy boleh membantu melegakan batuk serta Bronkitis buat jangka masa pendek. Daunnya mengandungi sebatian yang dipanggil flavonoid yang melegakan otot tekak yang terjejas sewaktu Batuk justeru itu  mengurangkan keradangan.

Anda boleh membancuh teh Thyme di rumah menggunakan 2 sudu daun Thyme yang dihancurkan dan 1 cawan air mendidih. Tutup cawan, biarkan selama 10 minit, dan tapis airnya.

7. Kumur Air Garam

Berkumur dengan Air Garam dapat membantu meredakan Sakit Tekak yang menyebabkan Batuk. Caranya adalah, campurkan 1/4 hingga 1/2 sudu teh garam dengan segelas air suam dan kumur. Ia dapat membantu melegakan kerengsaan pada tekak.

Cara untuk mencegah batuk

Di samping melakukan petua untuk merawat batuk, anda perlu mengetahui cara  untuk mencegahnya. Untuk melindungi diri anda daripada Batuk atau Selesema, pastikan anda:

  • Elakkan bersentuhan dengan orang yang sakit. Jika anda tahu anda sakit, elakkan bekerja atau pergi ke sekolah supaya anda tidak akan menjangkiti orang lain.
  • Tutup hidung dan mulut anda setiap kali batuk atau bersin.
  • Minum banyak cecair untuk kekal terhidrat.
  • Basuh tangan dengan kerap, terutamanya selepas Batuk, makan, pergi ke tandas, atau merawat seseorang yang sakit.
  • Jika anda mengalami Alahan, anda boleh mengurangkan simptomnya dengan mengenal pasti alergen yang menjejaskan keadaan anda dan mengelakkan pendedahan kepadanya. Alergen biasa yang menyebabkan alahan termasuklah pokok, debunga, hama debu, bulu haiwan, kulat, dan serangga.
  • Suntikan alergi juga berkesan dan boleh mengurangkan alahan anda terhadap sebarang alergen.

Apa pun, berundinglah dengan doktor terlebih dahulu mengenai rancangan yang sesuai untuk keadaan anda.

Sumber

https://www.medicalnewstoday.com/articles/322394

https://www.healthline.com/health/allergies/best-natural-cough-remedies

https://www.webmd.com/cold-and-flu/ss/slideshow-natural-cough-remedies

https://www.healthline.com/health/cold-flu/home-remedies-for-dry-cough

Summary
7 Petua Semulajadi Melegakan Batuk
Article Name
7 Petua Semulajadi Melegakan Batuk
Description
Batuk bertujuan untuk membersihkan kerengsaan dan jangkitan daripada sistem tubuh, namun ia boleh menjadi menjengkelkan. Cubalah petua ini!
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: