Makanan Sabah

7 Jenis Makanan Sabah Yang Wajib Anda Cuba Ketika Berkunjung Ke Negeri Sabah ~ Makanan-makanan yang berasal dari Sabah merupakan antara makanan yang kaya dengan pelbagai rasa dan mempunyai keunikan tersendiri. Ia seringkali menjadi pilihan untuk dicuba oleh masyarakat lain yang bukan berasal dari negeri itu khususnya. 

Sabah bukan sahaja terkenal sebagai salah satu negeri pusat pelancongan, malah keunikan makanan yang terdapat di negeri Sabah juga merupakan salah satu tarikan pelancong yang utama. 

Tambahan lagi, kepelbagaian kaum yang wujud di Sabah menjadi salah satu faktor keunikan makanan tersebut bertambah menarik dan ada bermacam-macam jenis makanan untuk dijadikan pilihan. 

Kepada pengemar makanan ataupun food hunters, anda wajib mencuba 7 jenis makanan sabah yang kami senaraikan di bawah. 

Teruskan membaca. 

1. HINAVA

Hinava ialah merupakan makanan tradisional masyarakat Kadazandusun. Ia turut dikenali dengan nama Hinavan Ginapan. Makanan ini merupakan antara makanan istimewa yang popular dalam kalangan masyarakat Sabah khususnya kaum Kadazandusun. Selalunya, hinava dijadikan hidangan istimewa semasa Tadau Kaamatan.

Apa itu  Hinava?

Hinava merupakan hidangan yang terdiri daripada isi ikan yang segar kemudian dicampurkan dengan parutan biji buah bambangan, halia, cili merah, limau, bawang merah dan garam sebagai perasa. 

Hidangan ini tidak perlu dimasak (perahan digunakan untuk menjadikan hinava ‘masak’) dan biasanya dijadikan sebagai lauk pembuka selera kerana rasanya yang masam dan pedas. 

Bak kata orang Sabah, inilah ‘sushi ala-ala Sabah’.

2. PINASAKAN

Selain hinava, pinasakan juga merupakan makanan sabah yang sangat terkenal khususnya buat masyarakat Kadazan dan Dusun. Pinasakan atau Pinasakan Sada ini merupakan makanan yang dimakan bersama ikan (selalunya ikan basong). ‘Sada’ membawa maksud ikan yang menggambarkan pinasakan dan ikan.

Jadi, apa itu pinasakan?

Pinasakan dibuat daripada campuran buah bambangan, kunyit, takob-takob dan garam sebagai perasa. Makanan ini cukup sempurna jika dihidangkan bersama nasi putih yang panas dan sambal. Anda wajib cuba ya!

3. LATOK

Latok ialah sejenis makanan laut yang juga dikenali sebagai anggur laut kerana mempunyai rupa seperti anggur tetapi bersaiz kecil. Sebenarnya, latok ialah sejenis rumpai laut dan agak mudah didapati di Sabah. Makanan ini sangat popular dalam kalangan masyarakat Malaysia khususnya suku kaum Bajau Laut yang tinggal di persisiran laut di Sabah. 

Latok mempunyai tekstur seperti telur ikan dan dimakan mentah-mentah. Anda boleh memakannya bersama perahan limau dan cili. Atau, bersama kuah asam yang dibuat daripada campuran asam gelugor, garam, dan cili. Fungsi limau ialah untuk menghilangkan hanyir latok. Sekiranya anda tidak gemar memakan makanan yang hanyir, anda boleh meletak lebih sedikit perahan limau. 

Latok juga sebenarnya boleh dijadikan lauk dan dimakan bersama nasi panas dan ikan. 

Selain keunikan rasanya, latok juga mempunyai banyak khasiat seperti membantu merawat kanser, awet muda, dan lain-lain.

4.  BEROBOK

Berobok ialah merupakan makanan tradisi masyarakat Bugis di Tawau, Sabah. Namun, turut digemari oleh masyarakat sekitarnya tanpa mengira kaum dan bangsa. Secara umumnya, berobok ialah seperti bubur tapi di campur dengan jagung sebagai bahan asas atau ‘trademark’ kepada hidangan ini. 

Makanan ini sesuai di makan pada bila-bila masa termasuklah waktu sarapan, makan tengahari ataupun makan malam kerana teksturnya yang ringan namun cukup mengenyangkan. Cara pembuatannya sebenarnya bergantung mengikut citarasa individu dan kreativiti seseorang dalam masakan untuk menjadikannya kompleks dan sedap.Terdapat bermacam-macam versi resepi berobok yang terdapat di Sabah. 

Antara versi asas resepi berobok ini ialah terdiri daripada beras, jagung, ayam (isi atau leher), dan sayur-sayuran. Kemudian, ditabur dengan daun sup dan bawang goreng. Akhirnya, tambah sedikit perahan limau untuk melengkapkan rasanya. Pasti menjilat jari!

5. TUHAU

Tuhau juga merupakan antara makanan yang wajib anda cuba sekiranya anda berkunjung ke negeri dibawah bayu. Ia merupakan makanan tradisi kaum Kadazan-Dusun tetapi turut digemari oleh kaum-kaum lain yang terdapat di Sabah khususnya. 

Tuhau ialah makanan tradisi yang diperbuat daripada sejenis tumbuhan yang digelar pokok tuhau.  Pokok tuhau sebenarnya adalah sejenis tumbuhan liar (halia liar) yang tumbuh di sekitar Kepulauan Borneo . Biasanya, tuhau dijadikan jeruk, kerabu, serunding, sambal dan lain-lain. Mempunyai rasa tersendiri yang unik, tuhau sesuai dimakan bersama nasi putih yang panas ataupun, boleh juga dimakan begitu sahaja. 

Proses pembuatan tuhau mempunyai banyak versi mengikut citarasa individu. Secara asasnya, tuhau diperbuat daripada campuran jeruk tuhau, gula, bawang putih, cili padi, garam, dan minyak bijan. Jeruk tuhau pula dihasilkan seperti cara pembuatan jeruk buah, menggunakan cuka. 

Buat yang kali pertama ingin mencuba, pastikan anda mampu menahan bau yang kuat kerana tuhau mempunyai bau dan aroma yang kuat tetapi kaya dengan khasiat. Jangan lupa cuba ya!

6. NOONSOM

Hidangan ini juga wajib anda cuba ketika berkunjung ke Sabah kerana anda mungkin tidak akan menjumpainya di tempat lain. Noonsom membawa maksud “Jeruk” dan mempunyai pelbagai jenis seperti Noonsom Sada (ikan), Noonsom Bambangan (buah) dan Noonsom Tuhau (ulam).

Proses membuat noonsom sama seperti membuat jeruk biasa; menggunakan garam, cuka, cili dan bahan asas yang anda inginkan seperti ikan, buah bambangan atau ulam (pokok tuhau). 

Noonsom amat sesuai dijadikan sebagai snek, ataupun makanan sampingan dikereta sambil anda menjelajahi negeri Sabah. Anda boleh dapati noonsom di pasar-pasar, kedai runcit sekitar Sabah. 

7. AMPLANG

Ini memang wajib anda cuba! Amplang bukan sahaja terkenal di Sabah malah turut boleh didapati di seluruh Malaysia. Namun begitu, amplang yang original dihasilkan oleh penduduk Sabah pasti ada kelainan dan rasa aslinya yang tersendiri. 

Amplang diperbuat daripada ikan yang di blend halus dan dicampur dengan beberapa campuran lain untuk menjadikan ia sebagai keropok dan makanan ringan yang disukai ramai. Terdapat juga amplang versi lain seperti udang dan ketam. 

Hidangan ini amat digemari oleh semua peringkat umur dan turut dijadikan hidangan istimewa semasa sambutan hari raya dan dihidangkan seperti kuih-muih lain. Untuk rasa yang lagi “umpph!”, anda boleh mencubanya dengan sos. 

KESIMPULAN

Setiap negeri mempunyai keunikan makanannya yang tersendiri. Sekiranya anda berpeluang untuk mengunjungi mana-mana tempat, jangan lepaskan peluang tersebut untuk merasai semua makanan unik yang terdapat di tempat itu. 

Di Sabah, selain amplang dan makanan-makanan yang disenaraikan diatas, ada lagi beberapa jenis snek, makanan ringan, kuih ataupun buah yang anda wajib cuba seperti kuih cincin, kuih lidah buaya, buah tarap, buah bambangan dan lain-lain yang sukar di dapati di tempat lain. 

Untuk artikel kali ini, kami senaraikan 7 sahaja buat anda. Anda boleh membuat pencarian lagi atau terus bertanya penduduk lokal Sabah. Sudah pasti anda akan dibawa terus ke tempat makanan yang anda ingin cuba!

Sekian.

Sumber:

https://iamlejen.com/unik-tetapi-enak-ini-5-makanan-tradisi-sabah-yang-wajib-anda-cuba/

https://saji.my/makanan-tradisi-sabah/

https://rayaholidays.com/makanan-unik-yang-anda-wajib-cuba-apabila-berkunjung-ke-sabah/

Summary
7 Jenis Makanan Sabah Yang Wajib Anda Cuba Ketika Berkunjung Ke Sabah.
Article Name
7 Jenis Makanan Sabah Yang Wajib Anda Cuba Ketika Berkunjung Ke Sabah.
Description
7 Jenis Makanan Sabah Yang Wajib Anda Cuba Ketika Berkunjung Ke Negeri Sabah ~ Makanan-makanan yang berasal dari Sabah merupakan antara makanan yang kaya dengan pelbagai rasa dan mempunyai keunikan tersendiri.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: