6 Petua Untuk Mengurangkan Angin Dalam Badan
Angin dalam badan merupakan keadaan biasa yang menyebabkan rasa sakit dan ketidakselesaan di perut dan abdomen anda.

Angin dalam badan merupakan keadaan biasa yang menyebabkan rasa sakit dan ketidakselesaan di perut dan abdomen anda. Puncanya adalah pembentukan gas dalam sistem pencernaan yang meningkatkan tekanan di kawasan perut justeru itu menyebabkan kesakitan.

Penghasilan gas ini adalah normal, malahan, semua individu menghasilkan gas dan perlu membuang angin untuk mengurangkannya secara purata sebanyak 15 hingga 20 kali dalam sehari. Menahan gas ini boleh menyebabkan angin terperangkap dalam badan sejurus itu mengakibatkan kesakitan teruk dan perut kembung.

Simptom yang mungkin anda alami apabila terlalu banyak angin terkumpul dalam badan adalah:

  • Perut kembung
  • Sakit atau kekejangan di perut atau abdomen yang boleh merebak hingga ke bahu
  • Perut senak
  • Sendawa
  • Bunyi bising yang kuat dari perut
  • Perut berasa penuh dan tidak selesa

Walau bagaimanapun, angin dalam badan adalah tidak berbahaya. Namun, rasa sakit dan perut kembung boleh menyebabkan ketidakselesaan. Kunci bagi mengurangkan masalah angin ini adalah dengan mengurangkan jumlah gas yang dihasilkan dalam usus.

Gas dihasilkan semasa proses penghadaman. Apabila anda makan makanan tertentu seperti gula dan karbohidrat mengambil masa untuk dipecahkan oleh perut atau usus kecil. Jadi, ia cenderung untuk tidak habis dicerna pada saat ia masuk ke dalam usus besar.

Usus besar adalah perumah bagi berjuta-juta bakteria yang baik, yang dengan sukacitanya menjalankan tugas memecahkan gula, tepung dan serat dalam makanan yang tidak dicerna. Masalahnya, melalui proses tersebut, hasilnya adalah jumlah gas yang banyak. Sekiranya anda tidak dapat melepaskan gas tersebut melalui buang angin atau sendawa, ia akan terperangkap di dalam perut dan menyebabkan kesakitan serta kembung perut.

Kurangkan pengambilan makanan banyak angin

Terdapat makanan tertentu yang cenderung menyebabkan pengeluaran gas yang berlebihan, termasuklah:

  • Produk tenusu seperti susu lembu, keju dan yogurt
  • Makanan tinggi serat termasuklah kacang dan lentil
  • Sayur-sayuran tinggi serat seperti sayuran cruciferous termasuklah kubis, bunga kubis, brokoli dan brussel sprout.
  • Bawang merah dan bawang putih
  • Buah-buahan yang mengandungi fruktosa atau gula buah yang tinggi, seperti strawberi, nanas dan pisang
  • Gandum, barli dan rai (tetapi bukan biji-bijian lain seperti gandum, buckwheat dan quinoa)
  • Makanan tinggi lemak, bergoreng dan pedas
  • Minuman bergas dan alkohol

Bukan itu sahaja, angin dalam badan juga boleh disebabkan oleh:

  • Makan terlalu banyak atau terlalu cepat
  • Mengambil udara terlalu banyak apabila anda makan
  • Gula-gula getah

Setiap individu adalah berbeza. Sesetengahnya mungkin mendapati produk tenusu menyebabkan gas yang berlebihan manakala individu yang lain, kekacang atau sayur-sayuran merupakan punca utama.

Cara paling berkesan untuk membantu mengawal angin dalam badan adalah dengan melakukan perubahan pada diet anda. Selalunya, kaedah ini adalah ‘trial and error’, sambil anda mengenalpasti makanan yang menyebabkan anda menghasilkan terlalu banyak gas.

Petua mengurangkan angin dalam badan

1. Senaman

Senaman atau pergerakan secara fizikal turut menggerakkan usus anda. Ini bermakna, gelembung gas yang terhasil dalam usus akan dibebaskan.

Anda tidak perlu melompat atau berlari selepas makan, tetapi berjalan selepas makan boleh membantu mengurangkan angin dalam badan anda dan melegakan kesakitan akibatnya.

Namun, sekiranya anda masih mempunyai angin dalam badan, anda boleh mencuba melakukan lompat bintang ringan, menyentuh jari kaki anda atau berlari kecil untuk menggunakan graviti bagi memaksa angin ditolak ke bawah.

Terdapat satu senaman yoga yang turut boleh menghilangkan angin dalam badan anda. Mulakan dengan baring terlentang dan kemudian tarik lutut kiri ke arah dada. Kekalkan posisi dengan kedua-dua tangan, tarik lutut untuk lebih mendekati dada. Selepas ity, ulang dengan kaki yang lain.

2. Minum teh pudina

Teh pudina atau peppermint hangat boleh membantu mengurangkan simptom angin dalam badan. Ia bebas kafein secara semula jadi dan boleh diminum pada bila-bila masa.

Pudina merupakan sejenis bahan ‘anti-spasmodic’ semula jadi yang bermakna ia membantu mengelakkan otot daripada menjadi kejang yang boleh menyebabkan sakit perut berkaitan dengan kembung perut.

Untuk hasil yang terbaik, minum secawan teh pudina sebelum setiap hidangan.

Selain itu, Teh Chamomile juga merupakan minuman menenangkan yang diminum oleh ramai individu sebelum tidur. Ia juga boleh melegakan sistem pencernaan dan membantu mengurangkan rasa sakit yang berkaitan dengan angin dalam badan.

3. Kurangkan pengambilan tenusu

Produk tenusu boleh menjadi punca kepada masalah pencernaan, kembung dan sakit perut pada ramai individu. Selalunya, hal ini disebabkan oleh intoleransi terhadap laktosa. Laktosa adalah sejenis gula yang ditemui dalam tenusu yang tidak boleh dicerna oleh ramai individu seterusnya mengakibatkan masalah pencernaan.

Bagi mengenalpasti sama ada produk tenusu termasuklah susu lembu, krim, keju dan yogurt menyebabkan angin dalam badan anda, cuba kurangkan jumlah produk tenusu yang anda ambil. Sekiranya simptom semakin berkurang, anda mungkin perlu mengurangkan atau mengelakkan produk tenusu dalam jangka masa panjang.

Minuman seperti susu soya, susu kelapa, susu beras, susu kacang badam dan susu gajus semuanya bebas daripada tenusu dan merupakan alternatif yang baik bagi menggantikan susu lembu.

4. Tingkatkan pengambilan serat anda

Usus yang sihat boleh memastikan gas dalam usus berada di tahap minimum berikutnya mengurangkan angin dalam badan anda. Makan serat dalam jumlah yang cukup membantu bakteria baik dalam usus anda.

Bakteria baik ini berfungsi memecahkan makanan dan mengubahnya menjadi nutrien berguna. Ia juga membantu usus menyerap nutrien dan menyebarkannya ke dalam aliran darah supaya ia dapat digunakan oleh bahagian badan lain.

Serat juga menyempurnakan najis anda supaya ia boleh keluar dengan mudah melalui dubur. Keadaan ini mengelakkan Sembelit. Apabila makanan dan najis keluar dengan lebih cepat dari usus, jumlah gas yang dihasilkan juga adalah lebih sedikit.

Contoh makanan tinggi serat termasuklah kekacang, brokoli, kubis, pucuk brussel, pisang dan bijirin penuh. Cuba tingkatkan pengambilan makanan ini secara perlahan-lahan kerana jika anda memakannya dalam jumlah yang banyak apabila anda tidak biasa dengannya, ia boleh menyebabkan kesan yang bertentangan malah boleh menimbulkan masalah perut senak dan kembung pula!

5. Perkenalkan makanan tambahan ke dalam diet anda

Jika intoleransi terhadap laktosa merupakan punca utama angin dalam badan anda dan anda mendapati ia sukar untuk mengurangkan pengambilan tenusu dalam diet harian anda, anda boleh cuba mengambil suplemen laktase.

Laktase adalah enzim yang memecahkan laktosa. Mengambilnya sebagai suplemen boleh membantu memecahkan laktosa dan mengurangkan simptom yang anda alami jika anda mengalami intoleransi laktosa. Namun begitu, anda perlu mendapat nasihat daripada doktor terlebih dahulu sebelum mengambil suplemen ini.

Bukan itu sahaja, anda juga boleh mengambil minyak zaitun dalam bentuk suplemen jika anda tidak suka meminum teh pudina.

Anda juga boleh mencuba suplemen prebiotik. Sesetengah prebiotik mengandungi serat yang dipanggil galactooligosaccharide (GOS). Ia membantu memberi tenaga kepada bakteria yang baik dalam microbiome yang digelar probiotik justeru menyuburkan microbiome tersebut.

6. Hirup air suam secara perlahan-lahan

Pakar Gastroenterologi, Dr Jamile Wakim-Fleming mencadangkan seseorang untuk menghirup air hangat sepanjang hari. Perkara ini akan membantu mengurangkan angin dalam badan anda melalui dua cara:

  • Pertama, air suam membantu memindahkan makanan di sepanjang saluran pencernaan. Semakin cepat makanan bergerak ke usus, semakin sedikit kemungkinan jumlah gas meningkat.

  • Kedua, air suam membantu menenangkan usus. Untuk memindahkan makanan melalui usus, jika tanpa kehadiran air suam, usus perlu sentiasa mengembang dan kontrak. Proses ini dipanggil peristalsis. Air suam membuatkan usus kurang kontrak, menyebabkan penghasilan gas yang kurang.

7. Halia

Halia merupakan satu petua lama yang diamalkan di Asia untuk membuang angin dalam badan. Terdapat banyak cara nutuk menikmati halia. Anda boleh menggunakan halia dalam minuman seperti susu halia dan madu halia, atau meletakkan halia dalam makanan seperti sup.

8. Air Rebusan Daun Betik

Petua yang istimewa ini adalah petua yang tidak diketahui ramai. Daun pepohon betik boleh direbus dalam periuk dan airnya diminum untuk mengeluarkan angin dalam badan. Caranya senang sahaja, rebus 4 atau 5 helai daun betik dengan 1 liter air. Selepas itu, bolehlah diminum sepanjang hari. Walaupun airnya pahit tapi ia memudahkan angin keluar dari badan.

9. Massage atau urutan badan

Dengan menekan bahagian abdomen dalam urutan, angin dipaksa keluar melalui pusat badan dan usus-usus. Urutan ini digalakkan dibuat dua minggu sekali serta boleh dibuat dirumah. Gunakan minyak dan urut bahagian perut selama setengah jam.

Sekiranya anda mempunyai angin dalam badan dan perut kembung, cuba petua yang kami kongsi di atas untuk beberapa minggu bagi melihat jika ia melakukan sebarang perubahan. Baiknya, ramai individu mendapati perubahan gaya hidup dan diet ini boleh membantu mereka dengan ketara.

Sekiranya simptom anda berterusan walaupun selepas mencuba petua ini, seeloknya jumpalah doktor anda. Beliau mungkin akan melakukan beberapa ujian perubatan untuk melihat jika angin dalam badan anda disebabkan oleh keadaan perubatan lain yang lebih serius.

Summary
6 Petua Untuk Mengurangkan Angin Dalam Badan
Article Name
6 Petua Untuk Mengurangkan Angin Dalam Badan
Description
Angin dalam badan merupakan keadaan biasa yang menyebabkan rasa sakit dan ketidakselesaan di perut dan abdomen anda. Cuba 6 petua ini!
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: