purdah

Kebelakangan ini, di negara kita, ramai selebriti telah mula mengenakan niqab atau dikenali juga sebagai purdah. Tidak dapat dinafikan, mengenakan purdah adalah merupakan satu langkah yang baik untuk menjaga seseorang wanita daripada fitnah duniawi.

Purdah disebut sebagai niqab di dalam Bahasa Arab. Purdah juga bermaksud kain penutup muka perempuan menurut Kamus Arab-Melayu Dewan. Purdah digunakan oleh wanita muslimah untuk menutup sebahagian besar wajah dan hanya memperlihatkan mata sahaja. Pemakaian purdah dapat membantuseseorang wanita itu menjaga maruah dan keselamatannya dengan lebih baik.

Sememangnya pemakaian purdah itu tidak digalakkan tetapi fitnah dapat dielakkan jika seseorang wanita itu mengenakan purdah pada dirinya. Oleh itu, memakai purdah bukanlah benda yang salah.

Namun begitu, anda harus tetap menyediakan diri anda sebelum istiqamah untuk berpurdah. Terdapat banyak perkara yang boleh anda lakukan sebelum anda betul-betul mula memakai purdah.

Pada posting kali ini, kami kongsikan kepada anda 5 tips sebelum anda mula memakai purdah. Jadi, mari kita lihat tips-tips tersebut.

1. Mencari rakan yang berpurdah

Rakan adalah orang yang paling rapat dengan kita dan mampu memberi pengaruh besar terhadap hidup seseorang. Jika kita berteman dengan golongan yang berpurdah, pasti rasa ingin mencuba itu akan timbul dalam diri.

Kawan yang berpurdah pasti akan mengajak anda untuk berpurdah juga kerana sering melakukan aktiviti bersama-sama mereka. Antara aktiviti yang sering mereka lakukan bersama adalah seperti membaca al-Quran, mendengar ceramah dan kuliah agama.

Semasa kita hendak berhijrah menjadi lebih baik, pasti ramai akan mencaci dan mengejek kita. Namun, kawan-kawan yang baik pasti akan tetap menyokong kita agar terus semangat berhijrah.

2. Meminta pendapat orang lain yang lebih berpengalaman

Kita dapat belajar banyak perkara daripada pengalaman hidup kerana ilmu itu tidak terhad dan boleh diperoleh di mana-mana sahaja. Bagi mereka yang ingin mula memakai purdah, anda boleh mendengar pengalaman daripada mereka yang telah lama memakai purdah dan mendengar nasihat mereka.

Pengalaman mereka yang telah lama berpurdah sedikit sebanyak akan dapat membantu anda untuk terus istiqamah dalam pemakaian purdah. Jadi, anda tidak akan mudah rasa berputus asa dengan ujian-ujian semasa berpurdah dan akan sentiasa kuat untuk meneruskan perjuangan anda untuk berpurdah.

3. Belajar daripada Youtube tentang cara memakai purdah

Bagi mereka yang ingin memakai purdah namun tiada siapa yang dapat mengajar anda, anda dapat belajar sendiri melalui tutorial di Youtube. Cara penggayaan dan pemakaian purdah terdapat dalam banyak cara, anda boleh mempelajarinya sendiri dan memilih gaya yang sesuai dengan diri anda.

Penggayaan purdah yang sesuai akan membantu menaikkan semangat anda untuk berpurdah. Selain itu, haruslah selalu ingat bahawa pemakaian purdah mestilah seiring dengan pakaian yang sesuai seperti pakaian yang longgar, menutup aurat, dan juga patuh syariah.

4. Rajin menghadiri kelas agama

Menghadiri kelas agama dapat menambahkan ilmu pengetahuan  anda mengenai purdah dan kekal istiqamah. Dengan ilmu pengetahuan agama yang diperoleh, anda dapat menguatkan pendirian dan selesa menggunakan purdah tanpa perlu rasa malu dan segan terhadap orang lain.

Menghadiri kelas agama juga akan membuat anda lebih mengenali agama Islam. Maka, anda akan lebih dekat dengan Allah S.W.T dan anda akan sentiasa berpakaian mengikut syariat dan menutup aurat dengan niat kerana Allah semata-mata, termasuklah dalam hal berpurdah.

5. Mengutamakan perkara wajib dahulu

Sebelum mula berhijrah untuk berpurdah, adalah lebih afdal untuk anda melaksanakan segala perintah tang wajib terlebih dahulu. Memakai purdah atau niqab merupakan pakaian sunnah para isteri Rasulullah SAW jadi kita harus memeliharanya dan menghindarkannya daripada sebarang fitnah.

Pada zaman ini, masih ramai wanita yang berpurdah tetapi tidak menjaga aurat anggota badan yang lain dengan sempurna seperti memakai pakaian ketat, dan tidak menjaga akhlak.

Oleh itu, sebelum mengenakan purdah, perlulah memperbaiki akhlak terlebih dahulu dan menimba ilmu gama dengan lebih banyak.

Kesimpulannya, sememangnya pemakaian purdah itu tidak wajib tetapi fitnah dapat dielakkan jika seseorang wanita itu mengenakan purdah pada dirinya. Oleh itu, memakai purdah bukanlah benda yang salah, namun anda juga perlulah betul-betul bersedia sebelum istiqamah berpurdah.

Sumber:

https://bidadari.my/purdah/

https://nurulfadhilah.wordpress.com/purdah-pada-pandangan-ulama%E2%80%99/

https://www.wilayahku.com.my/purdah-tepuk-dada-tanya-iman/#.YMLf_agzbIU

Tagged: