baju kahwin

Tips memilih baju kahwin bajet memang sesuai di masa pandemik Covid 19 yang melanda seluruh dunia kini. Seperti kita tahu pandemik ini telah merubah beberapa kebiasaan atau norma-norma yang lama kepada norma-norma yang baru.

Sektor ekonomi yang dahulunya giat beroperasi secara fizikal telah beralih kepada pengoperasian secara dalam talian. Tidak terkecuali, sistem sosial juga telah terkesan. Masyarakat tidak lagi membeli belah di pusat beli belah kerana pembelian turut dilakukan di dalam talian.

Kebanyakan syarikat melaksanakan cara bekerja daripada rumah bagi mengurangkan risiko jangkitan. Tiada lagi majlis keramaian secara besar-besaran. Majlis kahwin, majlis tahnik, majlis pertunangan, majlis akikah dan majlis kesyukuran terpaksa ditangguhkan atau dibatalkan. Disebabkan norma baharu ini, ada juga sesetengah masyarakat Malaysia yang melakukan proses merisik secara talian.

Impak pandemik secara jelas telah mempengaruhi cara manusia menjalankan kehidupan seharian. Ini termasuk pasangan-pasangan yang bakal berkahwin. Arahan Kerajaan Malaysia pada masa kini melarang sebarang majlis keramaian, telah memaksa bakal pengantin melakukan pernikahan mereka secara ringkas tanpa perlu mengundang ramai tamu.

Ada sisi positifnya. Kos perbelanjaan kenduri dapat dikurangkan dengan banyak. Walau bagaimanapun, dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu masih ramai yang memilih untuk mengenakan pakaian pengantin dengan harga ‘bajet’ bagi menyediakan kelengkapan yang cukup untuk kehidupan selepas berkahwin.

Perkataan ‘Bajet’ merupakan bahasa pasar Bahasa Melayu yang diambil daripada Bahasa Inggeris iaitu “Budget” yang bermaksud “Anggaran perbelanjaan untuk sesuatu tempoh tertentu”. Perkataan ‘bajet’ bukanlah bermaksud kos rendah, akan tetapi merujuk kepada perbelanjaan yang mengikut kemampuan seseorang.

Langkah pertama sebelum menyediakan baju kahwin yang bersesuaian ‘bajet’ anda adalah dengan menentukan berapa kos yang diperuntukkan bagi sepasang baju dan kos-kos sampingan yang datang dengannya. Di sini kami cadangkan 5 tips memilih baju kahwin ‘bajet’.

Tips 1 : Tentukan Tema Baju Pengantin

Setiap bakal pengantin pasti akan memilih warna baju untuk majlis kenduri. Tetapi memandangkan majlis kenduri tidak dibenarkan pada musim pandemik ini, hanya baju pernikahan yang paling penting. Lazimnya baju pernikahan dipilih daripada warna putih atau kuning cair (cream). Apa salahnya di musim pandemik ini baju pernikahan dipilih daripada warna baju yang sepatutnya dipilih untuk majlis kenduri. Yang penting sah, kan?

Tips 2 : Rancang pembelian baju pengantin

Bagi mendapatkan baju pengantin yang berpatutan dengan bajet anda, rancang jenis kain dan tempat pembelian. Jenis kain memainkan peranan harga baju perkahwinan anda. Lazimnya, baju perkahwinan diperbuat daripada chiffon, sutera, organza, satin dan songket.

Akan tetapi, pasangan pengantin pada hari ini, tidak terlalu menitik beratkan jenis kain baju perkahwinan. Pada hari ini terdapat gedung-gedung yang menawarkan barangan dengan harga borong contohnya seperti Gedung Beli Belah Kenanga dan Gedung Beli Belah GM Klang. Pelbagai jenis pakaian yang menarik dapat dipilih oleh pasangan pengantin dengan harga yang berpatutan.

Tips 3 : Pilih pakaian yang selesa, ringkas tapi menarik

Seeloknya, beli baju pernikahan anda dan bukan menyewa baju. Ini kerana jika dibandingkan dengan harga dan kegunaan, lebih berbaloi untuk membeli sendiri baju pernikahan. Baju pernikahan yang dibeli dapat dipakai berulang kali terutama pada acara-acara istimewa. Memandangkan tujuan beli baju pernikahan adalah untuk dipakai pada acara yang lain, pastikan anda pilih rekaan yang selesa dan menarik.

Tips 4 : Tambah aksesori

Meraikan hari bahagia sudah pasti membuatkan seseorang itu ingin kelihatan cantik. Sekiranya bakal pengantin memilih untuk berpakaian ringkas, tidak salahnya untuk menambah sedikit perhiasan seperti mahkota dan layah atau selendang labuh (veil). Sekiranya bakal pengantin ingin tampil lebih tradisional, bakal pengantin juga boleh menambah perhiasan seperti sanggul, dokoh, pending, gandik dan cekak. Kesemua perhiasan ini boleh didapati di platform seperti Shopee dan Lazada dengan harga yang murah.

Tips 5 : Solekan

Bagi Pengantin Perempuan, tidak sah hari bahagia tanpa solekan. Solekan yang cantik akan melengkapkan penampilan pengantin dengan baju kahwin. Ianya bertujuan menaikkan seri pengantin. Akan tetapi, kos mengupah jurusolek pada hari ini agak tinggi. Oleh itu, bagi menjimatkan kos solekan, bakal pengantin boleh mengenakan solekan yang minimal tetapi menarik.

Terdapat banyak tutorial di Youtube tentang bagaimana menyolek wajah. Daripada gaya solekan Korea hinggalah ke Barat dan pelbagai cara solekan yang berat dan minimal. Mempelajari solekan di platform ini adalah zero cost.

Sesungguhnya, perkahwinan itu sesuatu yang indah akan tetapi tidak mudah untuk menyediakan kelengkapan perkahwinan kerana ianya memerlukan kos dan penyediaan yang rapi daripada kedua belah keluarga pengantin. Cabaran pengantin pada hari ini nyata terletak pada kos perkahwinan.

Namun, setiap bakal pengantin perlu mengetahui bahawa kehidupan selepas berkahwin lebih mencabar kerana kos-kos yang diperlukan bagi membina kehidupan baru sebagai suami isteri adalah lebih tinggi. Janganlah kerana ingin dilihat gah di hari perkahwinan, bakal pengantin menghabiskan wang simpanan apatah lagi membuat pinjaman. Justeru, memilih untuk melangsungkan perkahwinan secara sederhana dan mengikut ‘ukur baju di badan sendiri’ adalah sangat digalakkan.

SUMBER:

https://www.investopedia.com/terms/b/budget.asp

http://kaylarafy.blogspot.com/2019/08/jenis-jenis-fabrik-untuk-baju.html

https://nourcahaya.wordpress.com/jenis-jenis/    

https://educalingo.com/ms/dic-ms/gandik

Summary
5 Tips Memilih Baju Kahwin ‘BAJET’
Article Name
5 Tips Memilih Baju Kahwin ‘BAJET’
Description
Tips memilih baju kahwin bajet memang sesuai di masa pandemik Covid 19 yang melanda seluruh dunia kini. Seperti kita tahu pandemik ini telah merubah beberapa kebiasaan atau norma-norma yang lama kepada norma-norma yang baru.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: