Resepi sotong

Makanan laut merupakan kegemaran orang ramai di Malaysia terutamanya sotong yang boleh dimasak dengan pelbagai cara dan aneka rasa. Jangan khuatir sekiranya anda tidak ada idea untuk menu sotong, di sini kami telah menyediakan 5 resepi sotong yang dijamin lazat untuk anda cuba! *Resepi ini adalah anggaran bagi 3-4 orang makan sahaja

5 Resepi Sotong

  • Sotong Masak Kicap

Bahan-Bahan:

  1. 3-4 ekor sotong bersaiz sederhana (disiang dan dipotong sederhana)
  2. Seinci halia (diketuk atau dihiris nipis)
  3. 3 ulas bawang putih (diketuk atau dihiris)
  4. Sebatang serai (diketuk)
  5. 6-7 biji cili api diketuk (bergantung kepada citarasa masing-masing)
  6. Sebiji bawang besar (dihiris bulat)
  7. Secawan kicap manis atau kicap lemak manis
  8. Cuka atau air asam jawa
  9. Garam

Cara Memasak:

  1. Minyak dipanaskan di atas kuali.
  2. Halia, serai dan cili api ditumiskan bersama, lalu masukkan bawang putih.
  3. Apabila bahan-bahan tumisan telah naik aromanya, masukkan sotong yang telah dipotong.
  4. Kemudian, masukkan kicap manis atau kicap lemak manis (mengikut pilihan) dan gaul rata.
  5. Tunggu hingga mendidih dan masukkan bawang yang telah dihiris.
  6. Bawang besar dibiarkan layu dan sotong dibiarkan masak.
  7. Masukkan air asam jawa atau cuka serta garam secukup rasa dan tunggu sehingga mendidih.
  8. Gaul rata dan sotong masak kicap sedia untuk di makan bersama nasi panas.
  • Sotong Goreng Kunyit

Bahan-Bahan:

  1. 1/2 kilogram sotong (disiang dan dipotong sederhana)
  2. Cili merah 2 tangkai (dihiris)
  3. 7 biji cili api atau mengikut citarasa masing-masing (dihiris)
  4. Seinci halia (dihiris halus)
  5. Sebatang serai (diketuk)
  6. Sebiji bawang besar (dihiris halus)
  7. 3 ulas bawang putih (diketuk)
  8. Tomato setengah biji (dipotong menjadi 3 bahagian)
  9. Sekeping asam keping (saiz sederhana)
  10. Serbuk kunyit
  11. Garam

Cara Memasak:

  1. Bawang besar, serai, dan bawang putih ditumis dalam minyak kuali yang telah dipanaskan.
  2. Setelah bahan-bahan tumisan mulai garing, asam keping, cili api, serbuk kunyit, dan cili merah boleh dimasukkan.
  3. Lalu sotong dimasukkan dan diperasakan dengan garam.
  4. Agak-agak sotong telah masak, tomato yang telah dipotong boleh dimasukkan lalu digaul rata.
  5. Tutup api dan hidangan sedia untuk dimakan!
  • Kerabu Sotong Ala Thai

Bahan-Bahan:

  1. 6 ekor sotong bersaiz sederhana (dipotong)
  2. Sedikit serbuk perisa, garam, dan gula
  3. Sesudu sos ikan (sekiranya ada, tidak ada tidak mengapa)
  4. Air asam limau (sebiji atau 2 biji)
  5. Daun ketumbar 3 tangkai
  6. Serai 2 batang (dipotong nipis)
  7. Cili api 10 biji (potong sederhana nipis)
  8. Tomato 2 biji (dipotong dadu)
  9. Bawang besar 2 biji (dipotong dadu)

Cara Memasak:

  1. Sotong yang telah dipotong direbus seketika, kemudian toskan air rebusan.
  2. Bahan-bahan yang telah dipotong dimasukkan ke dalam sebuah mangkuk dan gaul.
  3. Setelah itu, garam, gula, perahan asam limau, dan sedikit serbuk perisa dimasukkan.
  4. Apabila kerabu mempunyai sedikit rasa manis, masin dan masam, ianya siap untuk dihidangkan.
  • Sotong Masak Lemak Cili Padi

Bahan-Bahan:

  1. Sotong segar sekilo
  2. Santan pekat 2 cawan (boleh ditambah mengikut citarasa masing-masing)
  3. Sekeping asam keping
  4. Batang serai yang di titik – 2 batang
  5. Garam

Bahan-Bahan untuk Ditumbuk Halus/Hancur:

  1. Cili merah – 3 biji
  2. Bawang merah – 3 biji
  3. Kunyit hidup – 1/2 inci
  4. Bawang putih – 2 ulas
  5. Halia – 1 inci

Tips: Tambahkan santan sekiranya kuah agak kurang dan jika gemar rasa pedas, cili boleh ditambah mengikut citarasa masing masing.

Cara Memasak:

  1. Setelah sotong di siang, potong sotong dalam saiz yang kecil.
  2. Bahan-bahan yang perlu ditumbuk lumat ditumbuk sehingga halus.
  3. Setelah bahan tersebut lumat, minyak dipanaskan dan bahan-bahan tersebut ditumiskan sehingga naik aroma bahan tumisan.
  4. Seterusya, serai, santan, dan asam keping dimasukkan ke dalam masakan.
  5. Apabila kuah telah mendidih, masukkan sotong. Masakan tersebut perlu sesekali dikacau agar kuah santan tidak pecah minyak.
  6. Garam dimasukkan secukup rasa dan di biarkan sehingga sotong telah masak.
  7. Sotong masak lemak cili padi siap untuk dihidangkan!
  • Sotong Goreng Tepung Rangup

Bahan-bahan:

  1. Sotong bersaiz sederhana – 4 ekor
  2. Tepung gandum – secawan kecil
  3. Tepung jagung – 1/2 cawan kecil
  4. Tepung beras – 3 sudu besar
  5. Garam (untuk dicampurkan dan digaul dengan sotong serta dalam tepung)
  6. Serbuk kunyit
  7. Serbuk lada hitam
  8. Serbuk lada putih
  9. Telur – sebiji (dipukul sedikit)

Cara Memasak:

  1. Sotong dibersihkan lalu dihiris kasar (toskan sehingga hampir kering), lalu letak garam dan gaulkan.
  2. Tepung-tepung yang disediakan dicampurkan bersama serbuk lada putih, serbuk lada hitam dan garam.
  3. Sebahagian campuran tepung tersebut dicampurkan dengan telur yang telah dipukul.
  4. Tuangkan minyak ke dalam kuali dan panaskan.
  5. Sotong digaulkan dengan campuran tepung dan telur.
  6. Hirisan sotong tersebut diambil satu-satu dan disalut dengan tepung lebihan yang tidak dicampur telur.
  7. Sotong yang telah disalut tepung digoreng dalam minyak yang telah panas dengan api yang sederhana besar.

Sumber:

https://www.majalahpama.my/menarik-15-resipi-yang-berasaskan-sotong-wajib-dicuba-sepanjang-pkp-ini-1/

https://www.hellokerja.com/2020/07/10-resepi-masakan-berasaskan-sotong.html

Tagged: