5 Makanan tradisional Melayu yang boleh dijadikan lebih sihat
Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk menyediakan versi makanan tradisional Melayu kegemaran anda yang lebih sihat dengan hanya menukar beberapa bahan sahaja.

Menjadi rakyat Malaysia memberikan anda akses kepada banyak pilihan makanan daripada pelbagai bangsa, etnik dan faktor-faktor lain. Hidup di negara dengan kepelbagaian ini membolehkan anda mendapatkan rasa bagi pelbagai hidangan seperti nasi lemak, nasi ayam, roti canai, laksa Sarawak dan banyak lagi walaupun anda tidak berasal dari bangsa atau etnik itu sendiri.

Untuk hidangan Melayu, anda boleh menjumpai banyak hidangan yang terkenal di ‘gerai tepi jalan’ atau bahkan di restoran mewah terutama bagi hidangan nasi lemak yang sememangnya telah diterima sehingga ke peringkat antarabangsa. Selain itu, terdapat banyak juga hidangan yang mungkin diilhamkan daripada bangsa atau etnik lain, tetapi diolah dengan sentuhan orang Melayu.

Tetapi, tidak semua hidangan lazat itu sihat untuk tubuh anda. Oleh itu, ianya adalah  baik untuk anda mengetahui beberapa cara yang boleh dilakukan untuk menyediakan versi makanan tradisional Melayu kegemaran anda yang lebih sihat.

Di sini, kami akan memberitahu anda beberapa helah seperti di bawah.

1. Nasi lemak

Nasi lemakialah makanan tradisional Melayu yang bukan hanya dikenali oleh rakyat Malaysia, tetapi juga terkenal di seluruh dunia kerana nasi enak yang dimasak dengan santan ditambahkan dengan sambal berserta telur, ikan bilis, kacang tanah dan potongan timun. Tetapi, kerana penggunaan santan dan bahan-bahan lain, hidangan ini tinggi kalori dan dipenuhi dengan lemak tepu. Tambahan pula, kekurangan sayur-sayuran juga menjadikannya hidangan yang kurang sihat.

Oleh itu, untuk membuat nasi lemak versi lebih sihat, ianya mencukupi dengan memasukkan lebih banyak sayur ke dalam pinggan. Ia mungkin tidak sama dengan nasi lemak tradisional, tetapi ia akan membantu anda mendapatkan lebih banyak nutrien daripada hidangan itu sendiri. Selain itu, anda juga boleh menggantikan nasi putih biasa dengan beras multigrain atau beras perang mengikut pilihan anda. Seterusnya, gunakan pengganti santan yang terdapat di pasaran.

2. Kari

Sekiranya anda ingin makan secara lebih sihat tetapi masih memerlukan hidangan kari dalam diet anda, maka gantikan santan dengan yogurt Yunani. Walaupun itu akan mengubah sedikit rasanya dan tidak begitu berkrim seperti sebelumnya, tetapi ia adalah cara yang baik untuk mengubah resipi supaya tidak “kurang sihat” seperti kebiasaannya.

Selain itu, jika anda menggemari kari ayam, kari daging, kari kambing atau protein lain pilihan anda, cubalah mengubah norma tersebut dengan kari sayuran menggunakan kubis bunga, kacang kuda, kacang, atau bayam yang baik untuk meningkatkan serat pengisian. Anda juga boleh mencuba kari udang kerana ia mempunyai kalori yang lebih rendah berbanding sumber protein lain.

3. Rendang

Rendang adalah hidangan wajib semasa perayaan Hari Raya. Memakannya bersama lemang atau ketupat menjadikan rempah-rempahnya terasa sungguh enak. Tetapi, resipi rendang tradisional dianggap tidak sihat kerana penggunaan santan yang mempunyai kandungan lemak tepu. Ini akhirnya berkaitan dengan penyakit jantung yang harus anda hindari dalam jangka masa pendek atau panjang.

Jadi, untuk menjadikan hidangan rendang lebih sihat, gunakan daging tanpa lemak untuk mengurangkan kandungan lemak. Selain itu, anda juga boleh mencuba kelapa kering berbanding santan biasa ke dalam resipi anda sendiri.

4. Asam pedas

Anda pasti akan mendapat pelbagai versi resipi untuk makanan tradisional Melayu ini kerana setiap orang mempunyai tafsiran masing-masing tetapi secara amnya, asam pedas adalah hidangan yang masam, pedas dan mengandungi rasa yang luar biasa. Biasanya, hidangan ini mempunyai sekitar 213 kalori setiap hidangan.

Untuk mengurangkan kadar kalori dan menghasilkan versi lebih sihat, anda dapat membuat beberapa perubahan seperti menggunakan minyak zaitun untuk menggantikan minyak masak biasa dan juga gula perang untuk gula putih. Penggunaan ikan sebagai bintang utama dalam hidangan juga boleh mempengaruhi ‘kesihatan’ hidangan. Walaupun resipi biasa banyak yang menggunakan ikan pari, anda dapat mengubah dengan jenis ikan lain seperti ikan kembung, ikan tenggiri atau ikan tongkol yang memiliki kalori lebih rendah.

5. Sambal ayam/ Ayam masak merah

Kredit gambar: listikel.com

Mungkin ada yang keliru sama ada masakan yang dimasak itu adalah sambal ayam mahupun ayam masak merah kerana kedua-duanya menggunanya bahan yang hampir sama begitu juga dengan rasanya. Namun, satu petua untuk membezakannya adalah ayam masak merah menggunakan sos untuk memekatkan kuahnya. Sekarang, bagi mendapatkan versi kedua-dua resipi yang lebih menyihatkan, anda boleh mengukus ayamnya terlebih dahulu.

Mengukus makanan pastinya mengelakkan anda daripada menggunakan minyak masak yang mana ia secara langsung akan mengehadkan pengambilan kalori anda. Namun, jika anda masih mahukan ayam yang digoreng, cuba masaknya menggunakan ‘air fryer’ atau ketuhar. Ini pastinya adalah pilihan lebih baik berbanding gorengan dalam minyak masak.

SUMBER

https://www.buro247.my/lifestyle/health-fitness/how-make-healthy-raya-malay-dishes-recipes.html

https://cendanakasih.blogspot.com/2011/08/sambal-ayam-versi-sihat.html

https://myresipi.com/recipes/723

Summary
5 Makanan tradisional Melayu yang boleh dijadikan lebih sihat
Article Name
5 Makanan tradisional Melayu yang boleh dijadikan lebih sihat
Description
Tidak semua hidangan lazat sihat untuk tubuh anda. Oleh itu, jom ketahui cara menyediakan versi hidangan Melayu kegemaran anda yang lebih sihat.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: