Now Reading
5 Lokasi Air Terjun Yang Menarik Untuk Bersantai

5 Lokasi Air Terjun Yang Menarik Untuk Bersantai

air terjun

Air terjun merupakan lokasi pilihan ramai untuk bersantai sambil mandi-manda di dalam air yang sejuk dingin dan juga menikmati makanan sambil melihat pemandangan alam.

Di sebalik kesibukan bandar, terdapat beberapa lokasi dan khazanah alam yang mampu memberikan ketenangan kepada warga kota yang berkampung di air terjun.

Cukup tenang, cukup mendamaikan serta cukup memberikan kerehatan kepada minda buat warga kota apabila sesekali dapat lari dari kesibukan urusan kerja dan dapat menghabiskan masa senggang di kawasan kampung. Lebih-lebih lagi di kawasan pergunungan yang menghijau. Tambahan pula, dapat mandi manda di sungai yang dingin.

Bagi warga kota yang dahagakan masa senggang diisi dengan aktiviti-aktiviti menarik di kawasan semula jadi ini, apa kata kali ini anda ambil peluang dengan menghabiskan masa hujung anda bersama keluarga atau rakan-rakan ke kawasan air terjun di kaki-kaki bukit sekitar Selangor.

Keriangan anak kecil bermain di dalam air dan si isteri sibuk menyediakan makanan di kawasan teduh sudah cukup membuatkan anda tersenyum bahagia.

Berikut kami kongsikan lokasi air terjun untuk anda dan kekuarga anda lakukan aktiviti-aktivit kekeluargaan di sini.

1. Air Terjun Chilling, Kuala Kubu Bharu

Air Terjun Chilling Selangor

Jika anda seorang yang gilakan sesuatu yang mencabar? Lasak dan mengujakan? Jika ya, Air Terjun Chilling adalah lokasi yang tepat dan sesuai dengan jiwa anda. Perlu merentasi 5 batang anak sungai, mengharungi anak sungai yang berbatu dan licin serta perlu melepasi titi gantung adalah antara cabaran yang bakal anda hadapi untuk sampai ke kawasan ini.

Tetapi semua cabaran ini sangat berbaloi apabila melihat ianya yang bertingkat, panorama hutan yang masih kekal tak terusik, kejernihan air yang mengalir serta anak-anak ikan riang berlari disekeliling kaki. Penat dan lelah sebentar tadi seolah-olah hilang sebaik saja anda tiba di lokasi ini.

Untuk makluman anda yang belum pernah ke sini, Air Terjun Chiling hanya akan dibuka pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula pada jam 8.00 pagi sehingga 6 petang. Jadi rancang aktiviti anda di sini sebaiknya.

Jika ingin mencuba trek ke kawasan ini yang paling atas, pastikan anda mula mendaki pada sebelah pagi kerana selepas jam 3 petang sebarang aktiviti pendakian adalah tidak dibenarkan atas faktor keselamatan.

Dilarang memasak, memancing, membuang sampah merata-rata dan mandi ketika hujan adalah antara peraturan yang perlu dipatuhi semasa berkunjung ke sini.

2. Air Terjun Sungai Tua, Ulu Yam

Air Terjun Sungai Tua di Ulu Yam

Air Terjun Sungai Tua merupakan salah satu kawasan air terjun yang terbaik bagi aktiviti anda sekeluarga. Terdapat sungai yang cetek dan amat sesuai serta selamat bagi aktiviti mandi manda si kecil.

Selain itu, terdapat juga kemudahan pondok untuk berteduh di tepi sungai serta mudah untuk diakses dengan menggunakan kereta ke kawasan ini adalah antara faktor utama tempat ini menjadi tumpuan ramai pada hujung minggu.

Bukan itu saja, lokasinya bersebelahan dengan taman rekreasi juga menjadikan ia lebih istimewa berbanding kawasan yang lain. Bagi anda yang merancang untuk ke sini nanti, pastikan anda membuat persiapan yang rapi dan memastikan cuaca yang baik.

Sekiranya hujan, kami nasihatkan supaya anda membatalkan dulu aktiviti di kawasan ini bagi mengelakkan kejadian yang tak diingini berlaku seperti kes kepala air pasang. Ingat keselamatan anda dan orang tersayang adalah lebih dari segala-galanya.

3. Air Terjun Kancing, Selayang

Air Terjun Kancing Selayang

Apa yang menariknya di Air Terjun Kancing Selayang sehingga ia tersenarai dalam senarai tempat menarik di Selangor ini? Untuk makluman anda, terdapat 7 peringkat air terjun untuk anda terokai bersama rakan-rakan serta keluarga pada hujung minggu di sini.

Tapi, pastikan stamina anda cukup ye sebelum ke sini kerana untuk sampai ke peringkat yang paling atas anda perlu meredah hutan terlebih dahulu. Namun begitu jangan risau kerana ianya amat berbaloi bagi anda si pencinta alam semula jadi.

Pemandangan yang cantik, suasana yang dihiasi dengan kicauan burung serta kerjenihan air dingin yang memikat hati bakal anda nikmati nanti.

Selain dari itu, sungai yang cetek serta kurang berbatu sangat sesuai untuk aktiviti berenang terutamanya bagi anak-anak kecil. Kemudahan seperti tandas, surau dan tempat persalinan pakaian antara keistimewaan dan kemudahan lain turut disediakan di sini.

4. Air Terjun Komanwel, Selayang

Air Terjun Komonwel Selangor

Jika sebelum ini Air Terjun Kanching sudah anda terokai, apa kata sekarang kita jelajahi pula Air Terjun Komanwel yang terletak di Hutan Rimba Komanwel, berhadapan dengan Hutan Lipur Kanching. Ramai yang kata destinasi ini sangat sesuai untuk aktiviti lasak secara berkumpulan mahupun persendirian.

antara aktiviti lasak yang boleh anda lakukan di sini adalah menunggang kuda, berakit, jungle trekking serta flying fox. Di samping itu, jika anda ingin mencuba sesuatu yang baru jangan lepaskan peluang untuk mencuba aktiviti abseiling dan juga mountain bike di trek yang disediakan.

Bagi anda yang sukakan aktiviti santai pula, kami syorkan anda untuk berkampung di tapak perkhemahan yang disedaikan. Pasti seronok apabila waktu pagi boleh mandi-mandi dan malam hari pula boleh berborak sambil diterangi unggun api!

5. Air Terjun Perdik, Hulu Langat

Air Terjun Perdik di Hulu Langat

Air Terjun Perdik adalah kawasan yang sangat sesuai bagi kumpulan atau rakan sekerja yang inginkan aktiviti team building.

Jungle trekking yang mencabar serta aktiviti pendakian ke Bukit Chenuang yang berketinggian 850 meter dari paras laut pasti dapat mengeratkan lagi hubungan antara ahli kumpulan.

Tambahan pula suasana yang mendamaikan serta berbagai kemudahan yang disediakan membuatkan Air Terjun Perdik di Hulu Langat lokasi ideal untuk beriadah bersama rakan sekerja.

Bagi memastikan kelestarian kawasan air terjun dan perhutanan ini terjaga, marilah sama-sama kita bergandingan dalam memelihara kebersihan serta kemudahan-kemudahan yang telah disediakan sebaiknya. Selamat bersantai di air terjun yang indah ini ya.

Sumber:

https://www.maisinggah.com/air-terjun-di-selangor-yang-menarik/

https://ammboi.my/air-terjun-di-selangor/

https://www.caridestinasi.com/air-terjun-di-selangor-kl-best/

error: Content is protected !!