4 resipi kuih tradisional sihat
Kuih tradisional pastinya menjadi suatu kegemaran terutama bagi sarapan pagi pada hari biasa mahupun hujung minggu

Kuih tradisional pastinya menjadi suatu kegemaran terutama bagi sarapan pagi pada hari biasa mahupun hujung minggu. Biasanya, setelah mengambil sarapan yang utama seperti nasi lemak, roti canai dan lain-lain, anda pasti akan mula menginginkan kuih sebagai penutup hidangan sarapan pagi anda. Namun, ada juga yang mengambil kuih sebelum hidangan sarapan utama namun itu terpulang pada anda.

Walaupun kuih tradisional yang terdapat di negara ini sangatlah sedap, namun ada yang masih dikategorikan sebagai tidak sihat memandangkan kebanyakan resepi menggunakan santan, gula dan bahan-bahan lain yang tinggi dalam nilai kalori.

Justeru itu, jom lihat beberapa resipi kuih tradisional versi sihat seperti di bawah.

1. Burger Malaysia

Walaupun ia bukanlah seperti burger sebenar, namun dengan bahan-bahan yang diapit bersama doh yang dibentuk seperti burger mini, ia pastinya menarik perhatian anda. Namun, dengan inti sambal ikan bilisnya yang pedas dan manis, ia mungkin tidak begitu sihat buat mereka yang ingin mengamalkan pemakanan yang sihat. Tapi, itu tidak bermakna anda tidak dapat menikmatinya kerana sekarang, kita akan sediakan kuih tradisional burger Malaysia versi sihat seperti di bawah.

Bahan-bahan untuk sambal:

Bahan-bahan untuk doh:

  • 250g tepung gandum
  • 120ml air
  • 2 sudu besar margerin (pilih yang tidak bergaram)
  • 2 1/2 sudu gula halus
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 2 sudu kecil yis
  • 500g minyak masak (pilih minyak yang lebih sihat seperti minyak zaitun, minyak kelapa)
  • 1/2 biji timun (dipotong nipis)

Arahan (bagi sambal):

  1. Masak ikan bilis menggunakan ‘air fryer’ atau ketuhar buat seketika sehingga ia kekuningan.
  2. Kemudian, di dalam periuk pula, masukkan bawang dan cili kisar. Gaul rata dan biarkan ia menggelegak.
  3. Masukkan pula gula merah, stevia dan garam bersama ikan bilis tadi.
  4. Gaul rata dan biarkan ia menggelegak sekali lagi buat seketika.
  5. Angkat dan ketepikan.

Arahan (bagi kuih):

  1. Masukkan tepung gandum, air, margerin, gula halus, yis dan garam ke dalam mangkuk.
  2. Uli doh sehingga ia tidak lagi melekat. Buat bulatan besar dan biarkan ia rehat serta kembang 2 kali ganda.
  3. Tumbuk doh seidkit dan bahagian kepada 8 bahagian.
  4. Buat bentuk bulat dan biarkan ia kembang 2 kali ganda lagi.
  5. Panaskan minyak dalam kuali dan goreng doh dalam minyak yang sederhana panas sehingga kekuningan.
  6. Angkat dan toskan daripada minyak berlebihan.
  7. Belah 2 dos tersebut (jangan sampai terputus).
  8. Isikan dengan sambal ikan bilis dan hirisan timun.
  9. Kuih burger Malaysia anda sedia untuk dihidangkan.

2. Kuih tepung pelita

Dengan dua lapisan warna iaitu putih dan hijau, sudah pasti ia akan memikat anda untuk mencubanya. Dengan kadar lemak yang betul, keenakannya pasti terasa. Kuih tradisional ini pastinya menjadi satu kemestian terutama semasa bulan Ramadhan. Ia mungkin agak sukar untuk dicari pada waktu lain. Jadi, jika anda teringin untuk membuatnya sendiri, ia tidaklah begitu susah untuk disediakan. Jom lihat resipi kuih tepung pelita versi sihat.

Bahan-bahan bagi bahagian hijau:

  • 1 cawan stevia (pengganti gula putih)
  • 1 cawan tepung beras
  • 4 cawan air
  • 1 sudu besar pewarna hijau

Bahan-bahan bagi bahagian putih:

  • 4/5 sudu tepung beras
  • 200 – 250ml santan kotak (kurangkan sukatan bagi mengelakkan rasa terlalu manis)
  • 3 cawan air
  • 1 sudu kecil garam

Arahan:

  1. Satukan semua bahan bagi bahagian hijau ke dalam periuk dan masak dengan api sederhana sehingga ia menjadi pekat.
  2. Apabila ia sudah agak likat, masukkan ia ke dalam acuan yang kecil-kecil.
  3. Masak bahagian putih seperti cara sama bagi bahagian hijau sebelumnya. Pastikan anda masak sehingga ia sebati dan pekat.
  4. Apabila bahagian putih pula sudah likat, tuangkan di atas lapisan hijau.
  5. Biarkan ia buat seketika agar ia mengeras. Anda juga boleh meletakkannya di dalam peti sejuk jika anda mahukan.
  6. Kuih tepung pelita anda siap dihidangkan.

3. Kuih keria

Dengan rasanya yang manis dan berbentuk seperti donut, kuih keria sangatlah terkenal di kalangan masyarakat Malaysia. Hiasan gula di atasnya pasti membuatkan anda hendakkan lagi dan lagi. Namun, itu boleh menjadikan ia sebagai satu kuih yang tidak sihat memandangkan penggunaan gula pastinya melibatkan kadar kalori yang banyak. Jadi, jom lihat resepi kuih tradisional keria versi sihat seperti di bawah.

Bahan-bahan:

  • 3 biji keledek
  • 5 sudu besar oat
  • Minyak masak (gunakan minyak jagung atau pengganti minyak masak biasa yang lebih sihat)
  • Gula kelapa atau gula kabung

Arahan:

  1. Rebus 3 biji keledek dan lecekkannya.
  2. Kisar kering 5 sudu oat sehingga menjadi seperti tekstur tepung.
  3. Campurkan oat tersebut dalam keledek dan aduh hingga menjadi doh.
  4. Bentukkan menjadi bentuk cincin.
  5. Goreng menggunakan minyak masak sehingga garing.
  6. Cairkan gula kelapa dan masak sehingga pekat dan melekit.
  7. Selepas keria masak dan garing, anda boleh selaputi keseluruhan bahagian keria dengan gula kelapa tadi. Kemudian, ia siap dihidangkan.

4. Karipap sardin

Karipap pastinya merupakan antara kuih kegemaran bagi pelbagai lapisan umur terutama jika diambil pada sarapan pagi. Beberapa ketul karipap bersama air teh di pagi hari pastinya sangat menyenangkan terutama pada hujung minggu. Sekarang, jom kita lihat resepi kuih tradisional karipap sardin versi sihat yang boleh anda sediakan.

A. Inti sardin

Bahan-bahan:

  • 1 tin sardin
  • 3 – 4 biji bawang besar
  • 1 – 2 biji lada merah
  • Sedikit garam
  • Minyak zaitun

Arahan:

  1. Ambil sardin dan buang kesemua sosnya. Kemudian, lenyekkan sardin sehingga hancur.
  2. Potong dadu bawang besar dan racik halus lada merah.
  3. Panaskan minyak zaitun buat seketika.
  4. Masukkan sardin, bawang, lada dan perasakan dengan garam. Gaul hingga ia masak dan ia sedia digunakan bersama kulit karipap.

B. Kulit karipap

Bahan-bahan:

  • 500 – 600gram tepung gandum
  • 1/2 mentega asli
  • 1 cawan air suam yang dicampur dengan sedikit garam

Arahan:

  1. Letakkan tepung di dalam mangkuk atau bekas.
  2. Panaskan mentega sehingga ia cair. Kemudian, tuang ke dalam mangkuk atau bekas tersebut.
  3. Gaul hingga rata dan masukkan air bercampur garam sedikit demi sedikit.
  4. Uli sehingga ia tidak melekat pada tangan.
  5. Letakkan sedikit inti di dalamnya dan “ikat” bahagian tepi mengikut gaya anda.
  6. Goreng menggunakan ‘air fryer’ atau ketuhar mengikut suhu yang sesuai.
  7. Hidangan anda telah siap apabila kulit karipap dilihat berwarna keemasan.
  8. Karipap anda siap dihidangkan.

SUMBER

https://welovesusuibu.blogspot.com/2016/07/resepi-karipap-sardin-versi-eat-celan.html

Cara Buat Keria Tanpa Tepung, Ganti Dengan Oat, Lebih Sihat

Resepi Tepung Pelita Paling Simple Masak Atas Api Je. Cuma 4 Bahan, Rasa Sebijik Macam Kat Bazar

Resepi Kuih Koci Dengan Tips Penuh Untuk Kuih Yang Sangat Sedap

100 Resepi Kuih Muih Malaysia Paling Sedap & Mudah Disediakan

Summary
4 resepi kuih tradisional versi sihat
Article Name
4 resepi kuih tradisional versi sihat
Description
Walaupun kuih-kuih tradisional sangatlah sedap, namun ada yang dikategorikan sebagai tidak sihat. Jadi, jom lihat 4 resipi kuih tradisional versi sihat.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: