nasi berlauk

Nasi berlauk mempunyai pelbagai variasi. Ada yang dilengkapi lauk utama seperti ayam, ikan, dan banyak lagi pilihan lauk.

Nasi berlauk sering kali menjadi pilihan santapan pada setiap masa dan banyak dihidang di kedai-kedai makan kerana ramai yang menggemarinya.

Ia boleh dinikmati dengan pelbagai jenis lauk. Ia juga sangat mengenyangkan. Oleh sebab itulah, ia menjadi pilihan warga Malaysia sebagai menu makan tengah hari.

Cara pembuatan dan penyediaannya juga sangat mudah dan tidak renyah. Bukan itu sahaja, ia juga tidak memerlukan belanja yang banyak untuk membeli bahan-bahan masakannya.

Jadi, di sini kami kongsikan 3 resepi nasi berlauk yang anda boleh cuba di rumah. Selamat membaca dan mencuba ya!

NASI BERLAUK GULAI LENGKUAS IKAN AYA

Bahan-bahan:

  • Beras 1 cawan
  • Ikan Aya Hitam dipotong 4 ke 5 bahagian – 2 ekor
  • Santan – 1/2 cawan
  • Kunyit ditumbuk – 2 batang
  • Lengkuas muda – 2 cm
  • Cili kering – 3 biiji
  • Bawang merah – 5 ulas
  • Timun
  • Kacang panjang
  • Garam
  • Gula

Cara-cara penyediaan:

  1. Masak nasi seperti biasa.
  2. Untuk lauk, rebus ikan Aya Hitam dengan asam keping dan garam. Simpan air rebusan.
  3. Kisar bawang merah dan lengkuas.
  4. Masak santan.
  5. Setelah santan mendidih, bahan di langkah no 2 di masukkan ke dalam santan.
  6. Masukkan teh serbuk kunyit sebanyak 2 sudu teh. Gaul sebati dengan perlahan-lahan.
  7. Tambahkan air rebusan dan ikan Aya Hitam rebus ke dalam santan.
  8. Tambahkan juga timun, kacang panjang dan secukup rasa garam dan gula.
  9. Hidangkan dan makan dengan nasi putih.

NASI BERLAUK ALA KAK WOK

Bahan-bahan:

  • Ayam (tulang,kaki, leher) – 1/2 ekor
  • Rempah kari daging – 3 sudu
  • Rempah kerutuk – 1 sudu
  • Bawang holand – 1/2 biji
  • Halia – 2 inci
  • Bawang merah kecil – 1 biji
  • Bawang putih – 2 ulas
  • Santan – 1/2 kotak
  • Kacang panjang
  • Terung
  • Asam keping – 1 ke 2 keping
  • Gula merah – secukup rasa
  • Garam
  • Penambah perisa

Cara-cara penyediaan gulai:

  1. Tumbuk halus bawang holland,halia, bawang kecil dan bawang putih. Kemudian, tumis semuanya bersama.
  2. Masukkan rempah kari dan rempah kerutuk hingga pecah minyak.
  3. Masukkan ayam dan kacau hingga ia menyerap bahan yang ditumis tadi.
  4. Tambah asam keping, air dan santan.
  5. Jika ayam dah masak, masukkan kacang panjang dan terung. Gulai anda sudah siap.

Cara-cara penyediaan ayam goreng:

  1. Sapukan ayam goreng dengan serbuk kunyit, garam, perasa, serbuk cili dan daun kari.
  2. Perap 30 minit – 1 jam.
  3. Goreng hingga masak.

Cara-cara penyediaan sambal belacan:

  1. Bakar bawang putih.
  2. Kisar cili merah,cili padi, bawang besar holand dan bawang putih yg dibakar tadi bersama air asam jawa dan belacan.
  3. Masukkan gula dan garam secukupnya.
  4. Keluarkan bahan kisaran tadi dari pengisar dan campur dengan air limau kasturi.

NASI BERLAUK GULAI AYAM KELANTAN

Bahan-bahan kisar:

  • Bawang merah – 5 ke 6 biji
  • Bawang putih – 2 ulas
  • Halia – 1 inci
  • Lengkuas – 1 inci
  • Air sedikit

Bahan-bahan lain:

  • Ayam – 1/2 ekor
  • Rempah gulai darat Kelantan atau adabi – 2 sudu besar
  • Biji ketumbar ditumbuk halus – 1 sudu besar
  • Cili kisar – 1 sudu besar
  • Santan cair – 1 mangkuk
  • Asam keping – 1 keping
  • Santan pekat – I mangkuk
  • Cili hijau – 3 biji
  • Telur – 4 biji
  • Kerisik – 1/2 sudu besar
  • Gula melaka sedikit
  • Garam secukup rasa

Cara-cara penyediaan:

  1. Masukkan bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas dan sedikit air ke dalam blender dan kisar halus.
  2. Sanggai sekejap biji ketumbar dan kemudian tumbuk halus.
  3. Masukkan ayam dan bahan kisaran tadi ke dalam kuali.
  4. Masukkan juga rempah gulai darat, serbuk ketumbar dan cili kisar dan gaul sekata.
  5. Bila mula masak, tambahkan santan cair dan asam keping.
  6. Tutup dan biar sekejap supaya ayam menyerap semua bahan.
  7. Masukkan santan pekat dan cili hijau bila mula mendidih.
  8. Jika anda mahu, anda boleh masukkan telur rebus, kemudian kecilkan api dan gaul selalu.
  9. Masukkan sedikit kerisik, gula melaka dan garam. Gaul.
  10. Tahniah! Hidangan anda dah siap.

Akhir sekali,

Mudah bukan resepi yang kami kongsikan ini. mungkin resepi-resepi tersebut mengambil masa untuk disiapkan, namun percayalah, rasanya yang lazat pasti berbaloi masa dan tenaga anda. Jadi, selamat memasak ya!

Sumber:

https://resepichenom.com/resepi/gulai-nasi-berlauk-ayam-kelantan/show

http://www.encikshino.com/resepi-gulai-kuning-nasi-berlauk-pagi/

https://cookpad.com/my/recipes/12259391-nasi-berlauk-ala-kakwok?ref=search&search_term=nasi%20berlauk

Summary
3 Resepi Nasi Berlauk Untuk Anda Cuba di Rumah
Article Name
3 Resepi Nasi Berlauk Untuk Anda Cuba di Rumah
Description
Nasi berlauk mempunyai pelbagai variasi. Ada yang dilengkapi lauk utama seperti ayam, ikan, dan banyak lagi pilihan lauk.
Author
Publisher Name
CERIA SIHAT
Tagged: