kari telur

Dalam senarai makanan pengubat hari yang membosankan, kari telur berada di tangga teratas. Inilah yang anda perlukan bila dah bosan dengan telur dadar kerana ia penuh rasa.

Kari telur juga merupakan juadah yang senang untuk dibuat kerana telur merupakan bahan asas yang sentiasa ada di dapur. Kari telur dibuat dengan cara yang berbeza di beberapa kawasan di Malaysia. Kuah kari telur pula boleh disediakan lebih awal dan disejukbeku.

Bila anda dah sedia untuk menikmati juadah ini, rebus sahaj telur, nyahbeku kuah, tambah telur di dalam kuah dan hidang. Kari telur juga juadah kegemaran keluarga kerana anda boleh kawal kepedasannya mengikut penggunaan rempah yang anda suka.

Mari lihat 3 resepi kari telur yang sangat enak seperti kami kongsikan di bawah.

KARI TELUR DENGAN KACANG BUNCIS

kari telur kacang buncis

Bahan-bahan:

  • 6 biji telur
  • Kacang buncis
  • 3 ke 4 biji cili hijau
  • 4 biji cili padi
  • 1 biji buah tomato
  • 4 biji bawang merah
  • 4 ulas bawang putih (dihiris)
  • 1 tangkai daun kari
  • 1 batang kayu manis
  • 1 peket kecil rempah kari daging
  • 1 santan kotak
  • 1 sudu besar kerisik
  • 1 sudu besar sos tiram (bancuh dengan air)
  • 1/2 sudu besar kecil pes asam jawa
  • Garam dan gula

Cara penyediaan:

  1. Panaskan minyak di dalam kuali dan tumis kayu manis, bawang merah, hirisan bawang putih dan daun kari sehingga naik bau. Masukkan rempah kari daging dan kacau dengan cepat untuk bagi bau wangi. Tuangkan sedikit air dan masak sampai dia pecah minyak.
  2. Masukkan air secukupnya untuk dididihkan. Kemudian, masukkan santan kotak dan sambung kacau.
  3. Masa ni dah boleh masukkan telur rebus, kerisik dan pes asam jawa. Jangan lupa garam dengan gula okay.
  4. Bila dah mendidih dan pecah minyak, masukkan tomato, cili hijau dan kacang buncis.
  5. Masak sebentar dan tutup api supaya kacang buncis tidak terlalu masak. Kita nak dia punya rangup tu masih ada.

Tips:

  • Resepi ini menggunakan Noxxa untuk rebus telur. Letakkan tisu dapur lembap di bawah inner pot. Susun elok telur-telur yang nak digunakan beralaskan tisu dapur tadi. Guna tetapan mengukus selama 2 minit.
  • Angkat keluar dan redam di dalam air sejuk untuk mudahkan proses mengupas kulitnya.

TELUR DALAM SOS YOGURT

kari telur dalam sos yogurt

Bahan-bahan:

  • 6 biji telur (direbus)
  • 1 biji bawang (jadikan pes)
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 inci batang kayu manis
  • 1 daun salam
  • 1 sudu teh gula
  • 1/2 cawan yogurt
  • 1 sudu teh pes halia
  • 1 sudu teh serbuk cili merah
  • 1/2 sudu teh serbuk kunyit
  • 1/2 sudu teh tepung gandum
  • 2 ke 3 biji cili hijau (potong senget memanjang)
  • 4 sudu besar minyak biji sawi
  • 1 cawan air
  • Daun ketumbar (dihiris)

Cara penyediaan:

  1. Kupas kulit telur rebus dan sapukan serbuk kunyit dan garam. Kisar bawang kepada pes halus dengan sedikit air jika perlu.
  2. Panaskan 1 sudu besar minyak di dalam kuali menggoreng. Tambahkan telur dan goreng sehingga kuning keemasan. Keluarkan telur yang telah digoreng dari kuali dan ketepikan.
  3. Masukkan baki minyak ke dalam kuali menggoreng dan bila dah panas tambah buah pelaga, cengkih, batang kayu manis dan daun salam. Biarkan dampai naik bau untuk satu minit.
  4. Lepas menumis kesemua rempah-ratus selama 1 minit, masukkan pes bawang. Tambah setengah sudu teh gula dan tumis sehingga bertukar warna peranga kemerahan.
  5. Masa tengah tumis bawang, campurkan yogurt, pes halia, tepung gandum dan serbuk kunyit di dalam mangkuk dan gaul sehingga sebati.
  6. Bila bawang dah layu dan keperangan, alihkan kuali menggoreng daripada dapur dan masukkan campuran yogurt tadi. Gaul sebati dan letak kembali di atas dapur selepas 1 minit. Kalau anda terus campur yogurt masa kuali di atas dapur, yogurt tu akan berketul.
  7. Tumis campuran bawang dan yogurt selama 5 minit pada api perlahan. Kemudian, masukkan cili haijau dan satu cawan air, perasakan dengan garam.
  8. Biarkan kuah anda mendidih. Masukkan telur dan masak untuk beberapa minit lagi dengan api besar sampai kuah capai konsistensi yang anda suka. Kalau kuah nampak cair, biarkan ia pada api besar selama satu minit atau sampai ia pekat.
  9. Tambahkan daun ketumbar dan sudah siap. Sedap dihidang bersama nasi.

KARI TELUR NASI KANDAR

kari telur nasi kandar

Bahan-bahan A:

  • 10 biji telur rebus
  • Satu genggam ikan bilis (dicuci bersih dan ditos kering)
  • 3 biji kentang (belah dua tanpa putus)
  • 1 cawan santan pekat
  • 1 sudu teh rempah pedas TUMIS
  • 1 sudu besar gula
  • Minyak (untuk menumis)

Bahan-bahan B (untuk menumis):

  • 1 bawang besar (dihiris)
  • 3 ulas bawang putih (dihiris)
  • 1 inci batang kayu manis
  • 3 kuntum cengkih
  • 1 sudu teh jintan manis
  • 1 sudu teh jintan putih
  • 2 tangkai daun kari

Bahan-bahan C (kisar halus):

  • 4 sudu besar rempah kari daging BABAS
  • 2 biji bawang besar
  • 4 ulas bawang putih
  • 3 biji cili hijau
  • 3 biji buah keras
  • Sedikit air (untuk mengisar)

Cara penyediaan:

  1. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis kesemua bahan-bahan (B) sehingga naik bau. (tapi jangan sampai hangit pula).
  2. Kemudian, masukkan pula kesemua bahan-bahan (C) ke dalam kuali dan kacau rata. Tutup kuali untuk mengelakkan percikan. Masak sampai kuah bertukar garing.
  3. Tuangkan santan pekat anda bersama dengan dua cawan air. Kacau lagi dan biarkan mendidih.
  4. Perasakan dengan garam, gula dan rempah pedas TUMIS. Sekali lagi, kacau rata.
  5. Sekarang anda dah boleh masukkan kentang dan masak sehingga kentang lembut.
  6. Bila kentang dah lembut, masukkan telur rebus dengan ikan bilis. Kacau dan biar ikan bilis masak serta kuah mendidih.
  7. Bila dah tutup api, masukkan cili hijau.
  8. Sedia untuk dihidang dengan nasi putih dan ikan tenggiri goreng jeruk.

Ini adalah makanan segera untuk anda yang mahukan juadaah yang cepat dan mengenyangkan untuk santapan tengahari di tempat kerja.

Ketiga-tiga resepi ini sangat mudah untuk dimahiri dan bahannya pula kebanyakannya sudah ada di dalam dapur. Nanti jangan lupa bagitahu kami hasil anda daripada resepi ini okay!

Sumber:

https://www.thespruceeats.com/egg-curry-anda-curry-1957390

http://www.flavorquotient.com/2012/07/doi-dim-eggs-in-yogurt-sauce

https://creativehomex.com/rr-resipi-kari-telur-nasi-kandar/

https://www.aziekitchen.com/2020/04/kari-telur-dengan-kacang-buncis.html

Summary
3 Resepi Kari Telur Yang Lazat Dan Menyelerakan
Article Name
3 Resepi Kari Telur Yang Lazat Dan Menyelerakan
Description
Dalam senarai makanan pengubat hari yang membosankan, kari telur berada di tangga teratas. Inilah yang anda perlukan bila dah bosan dengan telur dadar kerana ia penuh rasa.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: