biskut kelapa

Biskut kelapa ialah biskut tradisi yang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Aromanya yang wangi cukup membangkitkan nostalgia zaman dulu – dulu.

Dahulunya, biskut ini sering disajikan pada musim perayaan. Namun, pada masa kini, ia juga boleh ditemui sebagai snek ringan dalam pek.

Ada juga biskut kelapa yang telah dimodenkan dengan olahan pelbagai rasa dan rupa. Walaubagaimanapun, ia tetap enak dengan rasa dan aroma kelapa yang menjadi bahan utamanya.

Sekarang anda juga boleh membuatnya sendiri di rumah. Semestinya air tangan sendiri lebih lagi enak bukan? Ikuti sahaja 3 resepi mudah biskut kelapa yang saya kongsikan di bawah. Jom kita lihat resepi-resepinya.

Biskut Kelapa Tradisi

Bahan -bahan:

  • 90 gram serbuk roti putih
  • 180 gram parutan kelapa segar
  • 45 gram marjerin/mentega yang dicairkan
  • 70 gram gula halus
  • 30 gram (2 sudu besar) air

Cara – cara penyediaan:

  1. Sangai serbuk roti dan parutan kelapa dengan menggunakan kuali yang kering, pada api sederhana – kecil. Kacau selalu sehingga berwarna perang keemasan. Masa sangai ialah dalam anggaran 18 minit.
  2. Kacau gula pasir halus dengan air sehingga gula hampir larut kemudian masukkan marjerin atau mentega yang telah dicairkan.
  3. Setelah itu, masukkan pula serbuk roti dan parutan kelapa yang telah disangai tadi, tutup dan rehatkan adunan selama 15 minit.
  4. Panaskan ketuhar pada suhu 160°C.
  5. Masukkan adunan biskut ke dalam acuan dan tekan untuk membentuk biskut.
  6. Susunkan biskut di atas dulang pembakar dan bakar selama anggaran 28 minit.
  7. Setelah masak , sejukkan di atas rak penyejuk dan simpan di dalam bekas kedap udara.

Tips:

  • Gunakan serbuk roti putih kerana ia akan menghasilkan warna biskut yang lebih natural berbanding menggunakan serbuk roti kuning.
  • Gunakan parutan kelapa segar kerana ia lebih berlemak dan penuh rasa berbanding kelapa kering atau kelapa sangai segera.
  • Serbuk roti juga boleh dibuat sendiri di rumah. Caranya ialah bakar 3 -4 keping roti dengan api kecil atau jemur di bawah panas matahari. Setelah roti itu kering sepenuhnya, kisar dengan menggunakan mesin pemproses makanan.
  • Resepi ini menggunakan acuan tekan bulat yang berdiameter 4.7 cm dan berketinggian 2 cm.
  • Sangai bermasksud goreng tanpa minyak.

Biskut Kelapa Keladi

Bahan -bahan:

  • 1 cawan tepung
  • 2 sudu besar tepung jagung
  • 2 cubit garam
  • 1/2 sudu besar perisa keladi
  • 1/2 cawan mentega
  • 1/2 cawan gula ising
  • 1 biji telur
  • 30 gram kelapa kering

Cara – cara penyediaan:

  1. Campurkan mentega, garam, gula ising, perisa keladi kemudian adun sebati.
  2. Masukkan tepung dan tepung jagung. Kemudian, kaup rata sehingga semuanya melekat sebati.
  3. Bentukkan adunan kepada bentuk kesukaan anda.
  4. Celupkan biskut ke dalam telur dan sadurkan dengan kelapa kering.
  5. Akhir sekali, bakar biskut pada suhu 160°C selama 14 – 15 minit.

Tips:

  • Anda juga boleh menggantikan keladi dengan keledek ungu dalam resepi ini.
  • Apabila anda mengadun mentega dengan gula, garam dan perasa, pastikan anda hanya adun sebati. Jangan terlebih adun kerana tekstur biskut yang hendak dihasilkan dalam resepi ini ialah lembut dan bukannya rangup.
  • Anda boleh memilih untuk menyalut biskut dengan telur atau tidak. Dengan salutan telur anda akan menghasilkan biskut yang berwarna kekuningan dan tekstur yang lebih rangup di luar. Anda boleh memilih untuk tidak menyalut telur jika anda mahu hasil warna yang lebih ungu dan cantik.

Biskut Kelapa Bulan Sabit

Kebiasaannya, biskut kelapa yang sering kita temui adalah berbentuk bulat. Namun, resepi ini menampilkan bentuk yang unik dan anda mesti kena cuba. Kalau tiada acuan di rumah jangan risau, masih boleh buat. Gunakan sahaja mana – mana gelas yang sedia ada.

Bahan – bahan:

  • 1 1/3 cawan kelapa kering
  • 1/2 cawan + 1 sudu besar mentega tanpa garam (suhu bilik)
  • 2/3 cawan gula ising (diayak)
  • 1 kuning telur Gred A (suhu bilik)
  • 1 1/2 cawan tepung ubi kayu
  • 1/4 cawan tepung serbaguna
  • 1/2 sudu teh serbuk penaik

Cara – cara penyediaan:

  1. Dengan api kecil, sangai kelapa kering sehingga bewarna perang keemasan. Sentiasa kacau selalu untuk mengelakkan ia hangus. Setelah selesai, ketepikan dan biar sejuk.
  2. Masukkan tepung ubi kayu, tepung serbaguna dan serbuk penaik ke dalam mangkuk. Kemudian campur rata dan ketepikan.
  3. Dalam mangkuk yang lain pula, masukkan mentega dan gula ising. Gaul sehingga berkrim.
  4. Masukkan kuning telur dan gaul hingga sebati.
  5. Masukkan 1/3 campuran tepung pada satu- satu masa berselang seli dengan 1/2 kelapa sangai yang telah disejukkan. Gaul sebati.
  6. Uli seketika hingga membentuk bebola kemudian tutup sebentar dengan plastik untuk mengelakkan doh kering.
  7. Taburkan sedikit tepung di atas permukaan yang hendak digunakan untuk menerap biskut anda.
  8. Mulakan dengan 1/2 bahagian doh terlebih dahulu dan canai doh sehingga tebalnya anggaran 1 cm.
  9. Dengan menggunakan gelas, terapkan bentuk separuh bulan.
  10. Setelah itu, letakkannya di atas dulang pembakar yang telah digriskan dengan minyak.
  11. Bakar pada suhu 150°Cºdalam ketuhar yang telah dipanaskan selama 15-20 minit atau sehingga perang keemasan dan masak sepenuhnya.
  12. Sejukkan sepenuhnya di rak sebelum disimpan di dalam balang.

Tips:

  • Anda juga boleh menggunakan acuan berbentuk bulan sabit yang sedia ada di pasaran.

Dah siap nanti jangan lupa simpan dalam bekas kedap udara ya. Nanti takut masuk angin pula. Semoga resepi kali ini bermanfaat untuk anda dan seisi keluarga anda dapat menikmati rasa biskut kelapa yang enak ini! Selamat mencuba!

Sumber:

https://mykitchen101en.com/traditional-coconut-biscuit-biskut-kelapa-old-fashioned-baking-recipe/

https://www.gulasage.com/pastry/coconut-yam-cookies-recipe-resepi-biskut-kelapa-keladi

https://www.elmundoeats.com/en/half-moon-coconut-cookies/

https://www.mykeuken.com/2017/12/biskut-kelapa-cina.html?m=1

Tagged: