Now Reading
3 Resepi Apam Pisang yang Gebu

3 Resepi Apam Pisang yang Gebu

apam pisang

Apam pisang ialah kuih yang mudah untuk dibuat kerana bahan utamanya hanyalah lebihan pisang yang sudah sedia ada di dapur anda.

Bahan – bahan lain pun kebanyakannya sudah biasa ada di rumah. Pendek kata, mudahlah nak mencarinya. Rasa kuih ini pula lemak – lemak manis, enak jika dihidangkan dengan secawan teh atau kopi ‘O’ sebagai minum petang.

Jadi apa tunggu lagi, jom saya kongsikan 3 resepi untuk membuat apam pisang yang gebu dan tentunya mudah diikuti!

Apam Pisang Sukatan Cawan

Bahan – bahan:

  • 1 biji telur Gred A
  • 4/5 biji pisang berangan/awak/emas (dilenyekkan)
  • 1/2 cawan gula
  • 1 sudu teh garam
  • 1 sudu teh esen vanila / pisang (opsyen)
  • 1 cawan tepung naik sendiri atau tepung gandum + 1 sudu teh serbuk penaik
  • 1 sudu besar soda bikarbonat
  • 1/2 cawan minyak jagung/minyak masak

Cara – cara penyediaan:

  1. Pukul telur bersama – sama gula, esen vanila/pisang dan garam sehingga sebati.
  2. Lenyekkkan pisang dan masukkan ke dalam adunan tadi. Kacau sebati.
  3. Ayakkan tepung bersama – sama soda bikarbonat. Setelah itu, masukkan ke dalam adunan dan kacau sebati.
  4. Masukkan minyak dan kacau semuanya sehingga sebati.
  5. Tuang adunan ke dalam acuan berlubang dan hiaskan dengan potongan pisang.
  6. Kukus selama 15 minit dengan api sederhana- kecil.

Apam Pisang Kelapa

Kalau anda nak menambah lagi keenakan lemak – lemak manis apam pisang anda, bolehlah cuba untuk menggunakan santan kelapa. Bagi saya pisang dan kelapa merupakan gandingan bahan yang sangat serasi.

Bahan – Bahan:

  • 5 biji pisang
  • 8 sudu besar gula
  • 1 biji telur (dipukul)
  • 3/4 sudu teh soda bikarbonat
  • 4 sudu besar santan pekat
  • 1 1/4 cawan tepung (diayak)

Cara – cara penyediaan:

  1. Griskan loyang bulat bersaiz 8 inci dengan minyak masak.
  2. Panaskan pengukus sehingga air mendidih.
  3. Lenyekkan pisang bersama – sama gula.
  4. Masukkan telur, soda bikarbonat dan santan ke dalam pisang yang telah dilenyek tadi. Gunakan pemukul adunan untuk mengadun.
  5. Masukkan sedikit demi sedikit tepung (1 sudu makan tepung setiap kali masukkan) dan kacau sebati.
  6. Tuang adunan ke dalam loyang dan kukus selama 30 – 40 minit.
  7. Setelah masak, biarkan apam sejuk di dalam loyang.
  8. Setelah sejuk, bolehlah dipotong dan disajikan begitu sahaja atau ditambahkan dengan parutan kelapa.

Tips:

  • Balutkan penutup pengukus untuk mengelakkan wap air jatuh ke atas apam.
  • Jangan buka penutup pengukus sehinggalah cukup 30 minit waktu mengukus.

Kek Cawan Apam Pisang

Kalau anda mahukan sentuhan moden, bolehlah jadikan apam pisang sebagai kek cawan. Sekarang ni dah banyak acuan kek cawan yang cantik – cantik. Tentu lebih teruja untuk menikmatinya nanti!

Bahan – bahan:

  • 260 gram tepung
  • 200 gram gula kasar
  • 210 gram minyak masak
  • 280 gram pisang yang telah dilenyekkan
  • 1 sudu besar susu pekat
  • 1 biji telur
  • 1 sudu teh serbuk penaik
  • 1 sudu besar soda bikarbonat
  • 1 sudu teh esen vanila
  • Hirisan nipis pisang (untuk hiasan)
  • Acuan kek cawan

Cara – cara penyediaan:

  1. Ayak tepung, serbuk penaik dan soda bikarbonat kemudian ketepikan.
  2. Panaskan pengukus. Pastikan air mencukupi dan balut penutup pengukus dengan tuala untuk mengelakkan wap air jatuh ke atas apam.
  3. Kisar gula, telur dan susu pekat menggunakan pengisar selama dua minit sehingga adunan bewarna pucat dan gebu.
  4. Pindahkan adunan ke dalam mangkuk besar.
  5. Masukkan minyak masak dan pisang yang telah dilenyekkan. Pukul dengan pemukul adunan selama 2 – 3 minit sehingga sebati dan gebu.
  6. Masukkan esen vanila dan pukul lagi selama 3 minit.
  7. Masukkan campuran tepung sedikit demi sedikit dan gaul sehingga semua bahan adunan sebati.
  8. Griskan acuan kek cawan dengan minyak dan tuang adunan sehingga paras 3/4 acuan sahaja.
  9. Letakkan hirisan pisang ke atas setiap kek cawan sebagai hiasan.
  10. Kukus kek cawan apam pisang dengan api besar selama 20 – 30 minit.
  11. Setelah masak, kukus lagi apam selama 3 minit tanpa balutan tuala pada penutup pengukus untuk mengeringkan permukaan apam.
  12. Setelah siap biarkannya sejuk di atas rak penyejuk.

Mudah bukan cara membuatnya? Jadi selepas ini janganlah dibiarkan lebam sahaja pisang yang lebih di meja. Boleh olah jadi makanan lain seperti apam pisang ini. Sedap pun sedap, makanan pun tidak terbazir. Berbaloi bukan?

Saya ucapkan selamat mencuba!

Sumber:

https://malaykitchen.my/apam-pisang-kukus-sukatan-cawan-gebu-gebas/amp/

http://myhouseholdcapers.blogspot.com/2009/07/recipe-banana-steamed-cake-apam-pisang.html?m=1

https://asianinspirations.com.au/recipes/steamed-banana-cupcakes-apam-pisang/

https://m.facebook.com/sedapnyaresepi/posts/352414882307925

https://www.rasa.my/cara-buat-apam-pisang-gebu-terlajak-mudah-yang-hanya-perlu-kukus-5-minit/amp/

https://www.resepimudah.com/resepi/apam-pisang/

error: Content is protected !!